Seharian mak buat kerja rumah, penatnya membawa ke malam. Mak yang ada anak kecil lagilah penatnya berganda. Kena pula berjaga malam, menyusukan anaknya dengan susu badan. Kadang tak sedar, mak boleh terlelap sama.
Rupanya dalam pada mak terlelap sekejap, macam-macam boleh berlaku. Dan inilah yang dialami oleh ibu ini, Cik Puan Ammy yang alami pengalaman anak tersedak susu. Mujurlah ibunya tersedar awal dan anaknya dapat diselamatkan.
Beliau berkongsi ingatan untuk dirinya agar kelak tiada lagi kejadian yang sama berlaku kepada dirinya lagi. Kejadian menakutkan ini juga mungkin pernah mak-mak alami. Lagi-lagi bila tubuh penat seharian bekerja, dalam masa sama tuntutan menyusukan anak perlu dilunaskan. Moga diberi kekuatan untuk ibu-ibu yang berhadapan situasi ini.
Jam 3 pagi, Ammy dikejutkan dengan bunyi seperti sudu terjatuh di atas simen. Mungkin ianya satu mimpi kerana dapur jauh berada di belakang dan pintu bilik tertutup rapat.
Tidak mungkin kedengarannya jelas seolah-olah berada di hujung telinga. Seperti biasa bila terkejut daripada tidur, perkara pertama yang Ammy perhatikan adalah Mahsuri. Allahu rabbi…
Kelihatan Mahsuri seperti terbatuk-batuk dan nafasnya laju. Tangan dan kakinya sejuk. Tiba-tiba Ammy teringat yang dia baru lepas menyusu (brestfeeding) dan mungkin Ammy tertidur sehingga tidak tahu bila masa dia berhenti.
Ammy segera mengangkat Mahsuri dan memangkunya di bahu, suami Ammy pun turut sama membantu menepuk-nepuk dan mengosok-gosok belakang Mahsuri. Tiba-tiba…. Burppp!
Mahsuri sendawa diikuti dengan muntah susu yang berketul-ketul. Tersedak susu rupanya anak Ammy. Bila sahaja muntah itu keluar, suhu badan Mahsuri mendadak naik. Tidak lagi sejuk seperti sebelumnya. Sebelum ini Ammy selalu dengar tentang bayi tersedak susu serta risikonya. Allahu Akbar..
Terima kasih Ya Allah kerana lindungi anak Ammy dan mengejutkan Ammy dari tidur.
Satu pengajaran buat Ammy. Selepas ini Ammy akan berhati-hati dan pastikan:
1. Temani anak menyusu walau bagaimana penatnya seharian bekerja.
2. Jangan tidur sebelum anak habis menyusu.
3. Pastikan anak dalam keadaan selesa, susu yang diminum atau makanan yang dimakan telah dihadam sebelum mereka tidur.
4. Pastikan situasi anak nyaman sebelum kita melelapkan mata, tidak kiralah anak kita masih bayi ataupun telah dewasa.
Sesungguhnya bagi kita sebagai seorang ibu, walaupun anak kita sudah punyai keluarga sendiri dan pandai jaga diri, namun mereka masih anak-anak kecil dimata kita. Masih perlukan kasih sayang kita, perhatian kita dan yang lebih penting doa restu daripada kita.
Semoga Allah SWT sentiasa melindungi anak-anak kita. Amin.
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy