“Ibu Terlantar, Separa Koma Selepas DiLanggar.” Anak Nekad Korbankan Masa Depan, Berhenti Kerja

Share

“Ibu terlantar, separa koma selepas dilanggar.” Anak nekad korbankan masa depan, berhenti kerja demi menjaga ibu tercinta.

Ternyata pengorbanan ini syurga balasannya, tidak semua anak sanggup melepaskan kerja, seterusnya menguruskannya ibu. Apatah lagi bagi seorang anak lelaki.

Ibu Terlantar

Seorang anak berkorban masa depan dan berhenti kerja bagi menjaga ibu yang terlantar akibat kemalangan, sejak lima tahun lalu.

Menurut Mohamad Haziq Naim Fauzi, 24, yang juga anak sulung daripada dua beradik itu, ibunya, Tuan Zainani Tuan Lah, 52, terlantar dan separa koma selepas dilanggar oleh sebuah motosikal pada Januari 2017.

Tambahnya, ibunya dilanggar motosikal ketika pergi membuang sampah di hadapan kedai makan milik ibunya di Tunjong.

Separa Koma Selepas DiLanggar

“Ibu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama tiga bulan dan menjalani pembedahan membuang tempurung kepala kerana mengalami pendarahan.

“Sehingga kini, ibu terlantar dan separa koma serta tidak memberi sebarang reaksi apabila dipanggil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sireh, Kampung Sireh, Kota Bahru, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Amanah Ini Akan DiPikul Sebaik Mungkin.” Lelaki Redha Jaga Isteri Lumpuh, Empat Anak OKU

“Tidak Pernah Terfikir Cari Pengganti.”Suami Ini Tak Menyesal Berhenti Kerja Jaga Isteri Terlantar

Anak Nekad Korbankan Masa Depan

Menurut Mohamad Haziq, sejak kejadian itu, dia membuat keputusan drastik berhenti kerja di sebuah kedai serbaneka kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada ibunya.

Beliau juga mahu adiknya, Nik Nunisha Damia Fauzi, 20, menumpukan perhatian pada pelajaran dan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat universiti.

“Alhamdulillah, setakat ini adik saya turut membantu menjaga ibu walaupun dia masih menuntut di Tingkatan Enam.

“Kami bergilir-gilir menjaga ibu. Jika saya ada urusan, adik akan jaga ibu dan begitu juga sebaliknya. Kami tidak pernah meninggalkan ibu sendirian kerana ibu memerlukan penjagaan rapi dan perlu menyedut kahak dalam tempoh beberapa kali dalam masa satu jam bagi mengelakkan pernafasan ibu terganggu.

“Ibu juga perlu diberi minum susu khas setiap empat jam atau lima kali sehari,” katanya.

Berhenti Kerja

Jelas Mohamad Haziq, dirinya sekeluarga bersyukur kerana masih mampu menampung keperluan ibu.

Malahan, ibunya turut menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,200 sebulan, selain bantuan susu dan lampin pakai buang setiap bulan.

“Dengan wang itu, dapatlah kami membeli segala keperluan ibu dan bersyukur kerana kehidupan kami agak baik.

“Saya berhasrat untuk berniaga secara dalam talian kerana mahu memberi lebih masa kepada ibu,” katanya.

Mingguan Wanita : Begitulah kasihnya seorang anak kepada ibunya. Semoga ibunya kembali pulih dan urusan anak anaknya dipermudahkan Allah SWT.

Sumber : Berita Harian

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat