Sudah tentu sebagai ibu, dirinya merasa terkilan tidak dapat bercakap dengan anaknya buat kali terakhir. Guru dan rakan arwah Nur Aqilah juga turut terasa kehilangan Nur Aqilah.
Menurut ibunya, Nur Atiqah, mereka kerap berhubung melalui telefon dan pada malam kejadian, arwah Nur Aqilah tidur awal jadi ibu ini tidak sempat mendengar suara anaknya buat selamanya.
Sudahlah sepanjang PKP, ibu dan anak ini tidak dapat berjumpa kerana mereka tinggal berasingan. Biar pun berat, ibu muda ini redha dengan ketentuan Allah.
“Sejak dua hari lalu, anak begitu teruja hendak ke sekolah setelah hampir lima bulan bercuti tetapi tidak menyangka kegembiraannya berakhir tragedi pilu.” Demikian luahan Nur Atiqah Saadin, ibu kepada Nur Aqilah Husna.
Nur Atiqah ketika ditemui menjelaskan dia merasa terkilan kerana tidak dapat bercakap dengan arwah anaknya ketika menghubungi bekas suaminya, Amirul, tiga hari lalu.
Menurutnya, sejak bercerai dengan Amirul, Nur Aqilah dan adiknya, Mohd. Ammar Darwish, 4, tinggal bersama bekas suami dan kali terakhir mereka bertemu ialah pada awal Mac lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Saya tinggal di Tampin, Negeri Sembilan, namun hampir setiap hari kami berhubung melalui telefon. Bagaimanapun, pada malam kejadian, saya tidak sempat bercakap dengan arwah yang tidur awal kerana kerana terlalu teruja untuk ke sekolah.
“Saya terkilan kerana tidak dapat bercakap dengan arwah malam tadi tetapi reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di Hospital Alor Gajah dan Nur Atiqah memberitahu, anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Beringin.
Artikel Berkaitan:
Murid MENINGGAL Hari Pertama Sekolah Bermula, Ibu Terkilan TAK Dapat BERJUMPA
Guru Ini Tidak Akan Lupa Peristiwa Murid Meninggal Dunia Di Atas Pangkuannya
Info lebih menarik, klik saja di sini.
Arwah seorang murid yang baik, disenangi guru dan rakan menyebabkan kehilangannya amat dirasai,” kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana, Azmirah Abd Aziz, 45.
Guru mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) itu merujuk keperibadian Nur Aqilah Husna Abdullah, 9, murid Tahun 3 sekolah berkenaan yang meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terperosok ke bawah lori dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Panchor M17 Kampung Panchor, Durian Tunggal kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, Nur Aqilah yang ketika itu dalam perjalanan ke sekolah menaiki motosikal ditunggang bapanya, Amirul Hussaini Muhammad, 33, maut serta-merta di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut Azmirah berkata, walaupun bukan guru kelasnya, dia mengenali sifat arwah kerana telah mengajarnya sejak tahun lalu bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.
“Walaupun agak pendiam, arwah akan bertanya pada guru jika tidak memahami sesuatu subjek dan mempunyai ramai kawan.
“Saya pasti sangat merasai kehilangannya kerana dia duduk betul-betul di hadapan meja guru di dalam kelas,” katanya sebak.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Parit Melana, Ir Fairullizam Isahak berkata, pihaknya telah melancarkan kutipan derma kilat untuk mengurangkan beban ditanggung keluarga arwah.
“Kami harap sumbangan ini dapatlah membantu mengurangkan perbelanjaan bapa arwah yang cedera dan mungkin tidak dapat bekerja sehingga dia benar-benar pulih,” katanya.
Dalam kejadian semalam, nahas dilaporkan berlaku apabila pemandu sebuah Proton Wira dalam perjalanan dari Pantai Belimbing menghala ke Melaka Pindah hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.
Kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun itu kemudian merempuh Toyota Alphard yang dipandu guru lelaki berusia 47 tahun dan sebuah lori yang berada di laluan sama.
Lori itu kemudian terbabas sebelum menghimpit motosikal Honda EX5 ditunggang Amirul Hussaini bersama anaknya yang berada di sebelah kenderaan berat itu.
Dalam masa yang sama melalui satu perkongsian di instagram MW, bekas guru yang pernah mengajar Nur Aqilah tidak menyangka mangsa yang terlibat dalam kemalangan pada pagi itu adalah bekas muridnya. Pada hari kejadian, dia melalui kawasan kemalangan dan tidak tahu bahawa ada mayat muridnya di bawah lori.
MW: Bukan mudah menerima kehilangan anak dalam sekelip mata apatah lagi di saat menghitung hari untuk berjumpa dengan anak kesayangan setelah sekian lama tidak bertentang mata. MW sekali lagi mendoakan ibu kepada arwah Nur Aqilah Husna dikurniakan ketabahan, kesabaran dan ketenangan dalam menghadapi ujian ini.
Sumber/ Foto: Kosmo Online