Ibu & teman “tomboy” menangis ditangkap dera anak, kepekaan jiran bongkar dipuji Che’ Puan Khaleeda. Kepekaan jiran melihat ada sesuatu yang tidak kena pada seorang kanak-kanak lelaki membongkar kes dera yang amat tragis.
Dengan tubuh yang amat kurus, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang sering dilihat bermain sendirian, rupanya menjadi mangsa dera ibu kandung dan “suami” tomboynya. Apa yang membuat ramai geram, pasangan ini dilihat menangis ketika diasak oleh jiran yang berasa simpati dengan nasib kanak-kanak malang ini.
Ibu & Suami “Tomboy” Menangis Ditangkap Dera Anak
Memetik laporan Harian Metro, seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya dipercayai ibu kandungnya.
Kejadian menimpa kanak-kanak berusia tujuh tahun itu akhirnya terbongkar selepas jiran di kawasan perumahan dipercayai di sekitar Bandar Layangkasa dekat Pasir Gudang di sini, menyerbu rumah diduduki dua beranak itu.
Difahamkan, ibu kanak-kanak berkenaan adalah ibu tunggal berusia 27 tahun, manakala seorang lagi wanita adalah rakannya yang berperwatakan seperti lelaki (tomboy) berusia 30 tahun.
Terdahulu, video menunjukkan insiden orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa tular di media sosial. Dalam video berkenaan, turut memaparkan kecederaan teruk di bahagian belakang badan kanak-kanak berkenaan.
Ads
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat orang awam pada malam kejadian.
“Tangkapan sudah dilakukan pada ibu kandung dan teman perempuan (tomboy) manakala mangsa dihantar ke HSI (Hospital Sultan Ismail) untuk rawatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.
Mohd Sohaimi bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memaklumkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes berkenan.
Dalam pada itu, kes penderaan ini mendapat perhatian dari isteri Tengku Mahkota Johor, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda yang juga ibu kepada empat orang cahayamata merakamkan ucapan tahniah di atas keprihatinan jiran membongkar dan membantu kes ini.
Ads
Saya terpanggil dan mengambil maklum berhubung penularan kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di Pasir Gudang, Johor hari ini.
Saya difahamkan mangsa berusia 7 tahun itu berjaya diselamatkan oleh jiran-jiran setempat dan kanak-kanak berkenaan kini telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Saya turut difahamkan kes tersebut telah berada dalam siasatan pihak polis dan sehubungan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor; pihak polis serta semua kakitangan Hospital Sultan Ismail yang terbabit atas tindakan pantas mereka membantu menyelamatkan kanak-kanak itu.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kesemua jiran kanak-kanak berkenaan yang prihatin dan sudi berusaha melindungi kanak-kanak tersebut.
Tindakan mereka membuktikan betapa pentingnya komuniti setempat bersatu menjaga kesejahteraan dan keselamatan golongan kanak-kanak di negara ini.
Insiden itu bagaimanapun mengingatkan kita bahawa kes penderaan kanak-kanak masih lagi menjadi isu yang memerlukan perhatian serius oleh semua pihak.
Justeru, saya menggesa agar kesedaran tentang penderaan kanak-kanak dipertingkatkan melalui usaha berterusan daripada semua pihak kerana setiap bantuan kecil yang dihulurkan oleh kita akan memberikan impak besar dalam melindungi hak serta masa depan kanak-kanak.
Sensasi! Wanita miliki 4 suami! Yakin perkahwinan sebelumnya telah bubar dengan sendiri tanpa daftar ke mahkhamah. Akhirnya hanya berkahwin 2 minggu sebelum suami memfailkan faraq perkahwinan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Demi kasih pada anak, ibu sanggup ketepikan sakitnya dan lupa terus penderitaan yang dialami untuk jaga anak yang terlantar akibat kemalangan jalan raya.
Perjalanan hidupnya diuji satu persatu. Apatah lagi, bila berpisah dengan bekas suami, barulah dia dapat tahu masalah kesihatan yang dialami. Pasrah. Demi anak-anak, dia bangkit dan ketepikan sakitnya untuk menjaga dan teruskan kehidupan dengan anak-anak yang disayangi.
Kisah yang dikongsikan oleh Natipah Abu ini diharap dapat membantu sedikit sebanyak buat keluarga ini.
“Saya Shanani, seorang ibu tunggal berumur 44 tahun. Saya telah berpisah dengan bekas suami dua tahun yang lalu setelah 19 tahun hidup bersama.
Dua bulan selepas berpisah, saya disahkan mengidap kanser ovari dan telah menjalani pembedahan membuang ovari dan seterusnya kimoterapi.
Asalnya saya hanya menjalani pembedahan untuk membuang cysts di ovari.
Sebulan selepas pembedahan, doktor pakar menghubungi saya dan saya diminta hadir ke hospital.
Doktor memaklumkan bahawa hasil ujian ke atas sample cysts yang dihantar ke makmal, ada sel kanser dikesan dan saya perlu menjalani kimo dalam tempoh sebulan untuk mencegahnya dari merebak ke bahagian lain.
Waktu itu saya tergamam dan hanya mampu mengalirkan air mata. Di fikiran hanya terbayangkan wajah anak-anak.
Bagaimana tiga orang anak saya hendak meneruskan kehidupan jika sesuatu terjadi kepada saya.
Saat itu, saya memang rasa down yang amat sangat dengan ujian yang datang. Ujian yang datang bertimpa buat saya rasa seolah saya tak sempat nak bangun, datang lagi dan lagi.
Terasa jatuh dan terduduk semula, itulah ibaratnya saya. Sampai satu tahap saya rasa, tidak mahu hidup lagi.
Dengan semangat dari keluarga & anak-anak, saya jalani rawatan kimo sebanyak 6 pusingan.
Kesan dari kimo saya mengalami kebas tapak tangan, jari sakit setiap kali bangun pagi & sakit juga di pergelangan tangan.
Berat badan saya pun turun mendadak. Doktor cakap, akan megambil masa untuk pulih.
Semenjak berpisah, saya bertanggung-jawab sepenuhnya menjaga dan menguruskan segala keperluan yang berkaitan anak-anak dengan bantuan ahli keluarga terdekat yang lain.
Diuji Lagi, Anak Kedua Terlibat Kemalangan
Allah Maha Besar akhirnya menjentik hati saya bila sekali lagi saya diuji .
Enam bulan yang lalu, anak kedua saya yang berumur 17 tahun telah terlibat dalam kemalangan.
Sejak itu, saya kembali bangkit melawan semua perasaan. Saya ada tanggung jawab yang besar terhadap anak-anak.
Dan saya harus kuat dan tabah demi anak-anak. Saya “lupa terus” tentang penderitaan jiwa dan raga yang saya tanggung akibat penceraian dan kanser.
Anak saya yang menunggang motosikal itu telah dirempuh oleh sebuah lori ais ketika melintas jalan hendak ke padang bola.
Ketika kejadian, dia masih sedar dan dapat bercakap seperti biasa. Hanya terdapat luka-luka ringan pada anggota badan.
Sepatutnya dia ambil SPM tahun ini.
Nampak hanya cendera ringan tapi oksigen drop dan terus tak sedarkan diri.
Tahap Oksigen Rendah
Semasa dalam perjalanan ke hospital dengan ambulan, dia mula muntah dan memberi tahu, lehernya sakit. Dia berkali-kali memberitahu bahawa hendak dia tidur.
Rupanya, tahap oksigen anak saya telah merudum dan terus diintube oksigen & ditidurkan.
Kepalanya terkena hentakan kuat dan menyebabkan berlakunya pendarahan.
Tengkoraknya juga ada yang retak.
Menurut doktor, keadaan anak saya sangat kritikal & perlu menjalani pembedahan segera. Akibat dari kemalangan tersebut, tempurung kepala kanannya terpaksa dibuang dan terdapat beberapa sarafnya yang tidak lagi normal.
Sehingga sekarang anak saya masih terlantar. Hanya minum susu khas di tiub yang ditebuk perut. Tengkuknya juga di tebuk untuk membantu pernafasan.
Dia juga masih mendapat rawatan susulan di hospital. Purata temujanji, dua – tiga kali sebulan. Untuk memenuhi temujanji, saya terpaksa menggunakan khidmat ambulan luar.
Terlantar, ibu sakit kembali bangkit demi anak.
Anak Ketiga Masalah Jantung Berlubang
Anak ketiga saya, berumur 16 tahun dan belajar di Tingkatan 4. Mempunyai jantung berlubang sejak lahir dan telah dua kali menjalani pembedahan ketika kecilnya dulu.
Terdapat 1 lagi lubang lagi yang tak dapat ditutup. Setiap tahun, kami akan menjalani pemeriksaan dan scan jantung utk perkembangan terkini.
Terbaru, pihak hospital telah memberi tarikh untuk anak saya menjalani satu lagi pembedahan pada 23/6/2022 .
Sejak anak kedua saya kemalangan, saya tidak dapat keluar bekerja kerana menjaga dia yang memerlukan pemantauan sentiasa.
Alhamdulillah, saya ada menerima bantuan dr JKM dan ZAKAT kerana saya memang tiada pendapatan yang lain.
Buat masa ini, keperluan saya yang utama ialah lampin pakai buang anak saya dan susu khasnya yang terlalu mahal.
Sedangkan pada masa yang sama, saya masih perlu menanggung dua anak yang masih belajar.
Gambar semasa menyambut Aidilfitri yang lepas.
Ketepikan Sakitnya, Keutamaan Hanya Untuk Anak-anak
Itulah luahan Puan Shanani tentang ujian demi ujian yang dilaluinya.
Menghormati pendirian Puan Shahani untuk tidak berkongsi tentang bekas suami atas dasar ‘hormat’. Apa yang boleh dikatakan, tempatnya telah berganti sebaik saja talak dijatuhkan.
Apa yang menjadi keutamaannya kini ialah menyelesaikan keperluan anak-anak.
Saat indah. …kenangan semasa sihat.
Bagi menunaikan hajat si ibu untuk mendapatkan sedfikit bantuan dengan niat membeli lampin pakai buang dan susu khas Muhammad Danish Hakim.
Sebarang sumbangan bolehlah diberikan pada:
PERTUBUHAN JARIAH QASEH MAYBANK 552107634719
Untuk maklumat lanjut, bolehlah hubungi Puan Natipah Abu di Facebooknya.
Mingguan Wanita : Moga Puan Shahani diberi kekuatan dan anak-anaknya kembli sembuh seperti sedia kala. Allah uji pada hambanya yang mampu dan DIA tak akan uji hambanya melebihi kemampuan.
Setiap pasangan bercinta tentunya ingin menghalalkan perhubungan dengan ijab dan kabul. Namun malang bagi gadis ini apabila hubungan cintanya ditentang keluarga kerana darjat yang berbeza.
Ikuti luahan hati gadis yang cinta terhalang ini di dalam ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita. Kaunselor dan Penulis bebas, Puan Maimunah Mohamad telah memberikan pendapat dan saranan beliau.
Hidup Senang
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang gadis yang berusia 25 tahun, punya kerjaya yang mantap. Saya berasal daripada keluarga yang boleh dikatakan senang lenang. Ayah memiliki syarikat guaman sendiri manakala ibu punya perniagaan katering. Saya anak sulung daripada tiga beradik, dan anak tunggal perempuan.
Walau pun keluarga saya agak kaya, namun ayah dan ibu saya tidak pernah mengajar saya adik-beradik untuk hidup mewah. Kami diajar berjimat cermat dan sekiranya hendakkan sesuatu barangan yang mewah, kami kena buktikan sesuatu dahulu. Misalnya keputusan cemerlang di dalam pelajaran. Keluarga juga ajar kami untuk bersikap pemurah dan tidak sombong dengan orang lain terutama yang kurang berkemampuan. Malah ibu aktif dalam pelbagai NGO pada waktu lapang saya sering ikut serta.
Aktif Di Kolej
Saya mengikut jejak langkah ibu yang aktif dengan pelbagai persatuan di universiti dan terlibat dengan NGO. Ketika itulah saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sebaya dengan saya. Orangnya sentiasa tersenyum dan lemah lembut tutur bicara namun ada tegasnya. Dia sering kali dilantik sebagai ketua untuk aktiviti kami. Saya juga dapat rasa dia mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Saya bukan gadis yang mudah terpikat dengan mana-mana lelaki dan dia adalah lelaki pertama berjaya mengetuk pintu hati saya. Dia tidaklah terlalu handsome, berkulit sawo matang tapi penuh karisma di mata saya.
Terus terang, saya yang mulakan langkah pertama mendekati dirinya. Agak lama juga sebelum huluran cinta saya disambut. Itu pun dengan pertolongan kawan baiknya yang juga teman lelaki sahabat baik saya.
Jejaka yang berjaya memikat hati saya itu berasal dari kampung di timur semenanjung. Ayahnya bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah kebangsaan manakala emaknya suri rumah tangga. Dia ada enam beradik dan anak kelima. Kakak dan abangnya semua berjayamelanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Bagi saya, keluarganya sudah memenuhi syarat yang saya inginkan. Tapi, malangnya berbeza dengan keluarga saya.
Percintaan saya dan teman lelaki itu berlangsung selama tiga tahun dan kini teman lelaki saya sudah pun bekerja dengan gaji yang agak lumayan. Kami berasakan sudah tiba masa untuk kami membawa hubungan ini ke tahap seterusnya.
Takut Berterus Terang
Yang menjadi kerisauan, keluarga saya. Pernah saya memberi ‘hint’ tentang teman lelaki saya. Tapi dengan tegas mak dan ayah mengatakan, mereka tak kisah siapa pun dia asalkan ada gelaran yang sama dengan keturunan kami di pangkal namanya. Ini kata mereka, demi nak mengekalkan gelaran itu pada nama-nama anak saya kelak memandangkan saya perempuan. Itu sebabnya juga saya lihat sepupu-sepupu perempuan saya majoriti perkahwinan mereka diatur keluarga mereka.
Itu membuatkan saya risau dan takut hendak memperkenalkan teman lelaki kepada keluarga, risau tidak diterima. Dalam masa yang sama, saya rasa sedih dan kecewa kerana pada zaman ini, keluarga saya masih bersikap mementingkan keturunan semata-mata. Bagi saya, cukuplah jika lelaki dan keluarganya orang baik. Saya sudah beberapa kali berkunjung ke rumah keluarga teman lelaki dan mereka sangat baik bagi saya.
Puan, bagaimana caranya saya dapat pujuk dan yakinkan mak dan ayah untuk terima pilihan hati saya ini? Untuk pengetahuan puan, ayah saya juga sangat tegas orangnya.
Gadis Risau
Saranan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum saudari yang dirahmati Allah..
Dalam kehidupan kita banyak perkara yang kita inginkan belum tercapai kerana ada halangan. Kita berhadapan dengan ujian dan halangan kerana Allah mahu lihat sejauh mana kita berusaha, berdoa dan bertawakal memohon pertolongan-Nya untuk memenuhi hajat kita. Lebih Bermakna Dengan Ujian
Justeru, kehidupan kita akan lebih bermakna apabila diberi ujian dan halangan. Jika tiada ujian maka tiada daya usaha dan membina ketahanan diri. Semakin banyak halangan dan ujian maka akan menjadikan kita lebih kuat, jika kita percaya dan yakin pada diri bahawa Allah sentiasa membantu kita Ibu bapa sering mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Baik daripada segi pendidikan, pencapaian hidup, kerjaya, ketinggian peribadi, agama, imej malah yang paling utama kesihatan anaknya. Secara umumnya persepsi dan pertimbangan ibu ayah betul dalam memilih dan menentukan kebaikan untuk anak-anaknya.
Namun dalam situasi dan perkara tertentu tidak semua keputusan ibu ayah benar dan tepat. Justeru, bagaimana cara memahamkan dan meyakinkan ibu ayah untuk menerima dan bersetuju dengan pilihan saudari.
Mohon Petunjuk Allah
Pertama sekali saudari perlu memohon petunjuk daripada Allah bagaimana cara terbaik untuk memberitahu ibu dan ayah tentang pilihan saudari. Banyakkan solat hajat dan berdoa agar Allah mudahkan saudari untuk meyakinkan ibu dan ayah tentang pilihan saudari. Pilih orang yang paling mudah untuk berbincang, dan kurang rigid terhadap imej keturunan, sama ada ibu atau ayah. Hanya saudari yang tahu siapa yang kurang rigidnya,
Cara memberitahu boleh dimulakan dengan menceritakan tentang jodoh buat wanita kini sangat sukar ditemui. Terlalu ramai wanita untuk lelaki yang sedikit. Ciri-ciri lelaki yang baik boleh dinyatakan dan lelaki yang bagaimana yang menjadi pilihan di hati. Perlahan-lahan bina hubungan yang baik dengan ibu ayah, khusus kepada individu yang saudari mahu nyatakan hasrat di hati. Ini mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan salah seorangnya.
Boleh tanyakan juga bagaimana pilihan ibu atau ayah tentang pasangan hidup saudari. Jika spesifikasi calon dan keturunan itu dinyatakan, cuba tanya dengancara berhemah, adakah mereka (ibu ayah) mudah peroleh calon tersebut? Sekiranya mereka menyebut ada, maka peranan saudari akan jadi lebih sukar untuk memahamkan dan meyakinkan mereka. Namun, saudari masih boleh mencuba dan bertegas jika saudari yakin bahawa itu adalah calon terbaik buat saudari. Saya ada ahli dalam keluarga terdekat yang pilihannya tidak direstui oleh ibu ayah, hanya kerana kerjayanya bukan setaraf dengan anaknya. Namun, kecekalan anak tadi yang mahu pilihan hatinya, maka ibu bapa akur . Kini sudah 12 tahun, dan anaknya bahagia bersama pasangannya.
Orang Tengah
Apabila saudari nampak ada bunga-bunga kurangnya “rigid” tentang pemilihan keturunan (jika mereka tiada calon), maka saudari gunakan orang tengah yang paling disegani atau dipercayai oleh individu (ibu atau ayah) untuk meyakinkan mereka. Jika salah seorangnya sudah lembut, maka kurang sukar sikit untuk saudari membuat penegasan terhadap pilihan saudari.
Gunakan sebaik mungkin saluran yang ada. Nyatakan pandangan dan pendapat saudari dan jika terdesak , perlukan sedikit ketegasan dan sedikit “ancaman” maka bolehlah digunakan. Ini bergantung kepada kebijaksanaan saudari menggunakan pendekatan itu.
Jika saudari benar merasakan bahawa itu adalah pilihan terbaik saudari, jangan takut untuk bertegas. Akhir sekali, beranikan diri beritahu keluarga bahawa lelaki tersebut nak datang berjumpa di rumah. Maka lelaki yang betul-betul mahukan saudari akan sanggup menerima cabaran ni. Selamat Mencuba!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Hari ni saya minta duit dengan orang, esok belum tentu orang akan bagi lagi”. Alhamdulillah, hidayah itu milik Allah pada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Pada usia mencecah 60 tahun, lelaki ini telah ‘terpilih’ untuk memeluk Agama Islam.
Menurut lelaki ini, pada mulanya terdetik hati untuk masuk Islam, apabila jiwa berasa tenang setiap kali mengikuti kawan menjejakkan kaki ke masjid.
“Dulu saya Kristian. Saya ada satu kawan Muslim. Saya ada ikut dia pergi masjid, ikut-ikut saje. Tapi saya dapat rasa, hati saya “senyap” (Tenang), berkali-kali saya ikut, hati saya senyap. Itu mula saya cakap kawan, saya mau masuk Islam”.
14hb Jun, 2022, termeterailah seorang hamba Allah kembali ke fitrah, menggunakan nama Abdul Malek. Mempunyai seorang anak yang kini berusia 26 tahun. Bekas isteri dan anaknya masih belum menerima hidayah.
Dari Pahang, merantau ke Selangor, untuk memulakan hidup baru setelah bercerai dengan isteri 8 tahun lalu. Kini tinggal sendiri dalam usia mencecah 60 tahun di sebuah rumah yang di sewa dan dibiayai oleh Zakat Selangor.
Gigih Berusaha Sendiri Cari Sumber Pendapatan
Sebagai saudara baru, selayaknya diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk sebagai sokongan memeluk agama yang suci ini.
Namun saudara baru ini tetap gigih berusaha berniaga kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan dan duit makan, tanpa mengharapkan ehsan orang lain mahupun meminta-minta.
“Saya bukan nak kaya, tapi untuk cari duit makan sahaja”.
“Uncle Malek, hari Ahad ni hari kelahiran Nabi kita, Nabi Muhammad SAW, tekad dalam hati, mahu menjejaki Rasulullah. Minta pada Allah, supaya Allah membuka pintu hati ibu, bekas isteri dan anak untuk memeluk agama Islam”. Sedikit pesanan buat saudara baru kita, yang perlu dijinakkan hatinya.
Berniaga Sumber Pendapatan
Memerlukan sedikit modal perniagaan menjual kain batik dan kain pelikat, dengan menjaja ke kampung-kampung dengan sedikit keuntungan sebagai sumber pendapatan.
“Hari ni saya minta duit dengan orang, esok belum tentu orang akan bagi lagi” Sambil mata berkaca mengenang usia menjejak 60 tahun dan diceritakan Rasulullah wafat pada usia 63 tahun, maknanya “Saya cuma ada 3 tahun lagi”…
Sewajarnya pihak Zakat Selangor akan terus menyantuni saudara baru yang perlukan bimbingan agama dan kami akan merasa bangga jika individu yang dibantu itu mempunyai tekad serta usaha dalam membangun diri sendiri.
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...