Ibu Tak Pernah Tak Ada Untuk Kita, Anak Saja Yang Sering Terlupa..

Share

Besar pengorbanan seorang ibu. Dari mula mengandungkan sehingga 9 bulan kelahiran, ibu sentiasa ada di sisi seorang anak. Ketika mula belajar bercakap, ibu paling bahagia sekali. Di hantar anak itu ke sekolah sampai universiti.

Kalau pun tidak ke universiti tempatan, ibu didik anak sampai hadam di universiti kehidupan. Dan ibu tak pernah jauh. Sentiasa ada di sisi anak-anaknya. Cuma bila sampai satu saat, entah kesibukan apa entah, anak itu seakan terlupa.

Terlupa apa yang pernah ibu korbankan. Wahai anak, ingatlah pesan yang disampaikan oleh Puan NurulAa Mustofa ini. Kerana luahan ini dekat sekali dengan kita yang masih punyai ibu.

Ketika Mingguan Wanita menghubungi, beliau mohon agar didoakan kesihatan ibunya. “Tolong doakan ibu saya sihat ya. Dia ada breast cancer.

Dah 4 tahun. Cuma baru-baru ini macam ada balik di tengkuk. Dulunya stage 2. Sekarang belum tahu lagi. Sebab masih dalam rawatan.”

 

Ibu Tak Pernah Tak Ada

Dari kita dalam perut, ibu tak pernah tak fikir pasal kita.

Bila kita lahir ke dunia, ibu paling sakit, paling lemah, tapi ibu orang yang paling gembira bila tengok muka kita.

Bila kita mula boleh makan, ibu paling teruja nak siapkan makanan pejal kita.

Bila kita mula belajar bercakap, ibu orang yang paling gembira dan mula rakam detik manis kita.

Bila kita mula belajar berjalan, ibu orang yang paling risau kalau kita jatuh.

Bila kita mula masuk tadika, ibu orang yang paling risau akan keadaan kita.

Bila kita masuk ke alam persekolahan, ibu tak pernah berhenti tanya keperluan belajar dan duit belanja kita.

Bila kita bakal menduduki peperiksaan, ibu adalah orang yang paling risau dan susah hati. Doa ibu tak pernah putus untuk kita.

Bila kita masuk ke universiti, ibu tak pernah tak ingatkan kita supaya belajar bersungguh-sungguh dan jaga diri di tempat orang.

Bila kita berjaya tamatkan pengajian, ibu adalah orang yang paling bangga dengan kejayaan kita.

Bila kita mula bekerja, ibu mula rasa lega, tapi ibu tak pernah lekang dengan nasihat kepada kita.

Bila kita berumahtangga, ibu tak pernah jemu menjadi telinga untuk kita bertukar fikiran dan memberi nasihat.

 

Puan NurulAa Mustofa disamping ibu dan ayahnya.

Walau Ibu Tak Ada, Doanya Tetap Kita Rasa, Dekat Dengan Kita

Di setiap hari-hari besar buat kita, ibu tak pernah tak ada. Dan walaupun kadang-kadang mungkin ibu tak ada, tapi kita tetap boleh rasa doa ibu sentiasa ada dengan kita.

Di saat semua orang berpaling dari kita, ibu tak pernah sedikit pun berinjak walau seinci. Ibu tetap teguh berdiri di belakang kita.

Di saat kita berada di keadaan yang paling tertekan, ibu tetap sahaja menghulur tangan untuk membantu kita.

Datanglah dugaan sebesar mana, nama ibu juga yang akan terlintas di fikiran kita untuk berkongsi rasa.

Jangan ada orang yang sakitkan kita, ibu tak akan pernah berdiam diri.

Ya, ibu tak pernah tak ada untuk kita.

Begitu juga ayah tercinta..

Kini, masa telah berlalu dengan pantas sekali. Tiba saat sepatutnya kami pula untuk tidak pernah tak ada ketika ibu mengharungi hari-hari besar buat ibu sehingga hari yang paling besar untuk kita semua tiba.

Namun hakikatnya kita sering sahaja tak ada di hari-hari besar buat ibu dan ayah atas alasan kerja dan tanggungjawab yang lain. Maafkan kami ibu, maafkan kami ayah.

Sungguhlah, kami tak akan mampu dapat membalas jasa baik ibu dan ayah walaupun kami serahkan diri kami untuk berbakti padamu seumur hidup kami.

Mohon doa sahabat-sahabat agar ibu saya diberi kesihatan yang baik dan dijauhi penyakit yang bahaya.

Sumber/Foto : NurulAa Mustofa

Published by
Netty Ah Hiyer