Berita

Ibu & Suami Jadi Pendorong 2 Wanita Ini Berjaya. Kongsi Rahsia Kejayaan Di Malam Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA

Share

Keberanian, ketabahan, dan dedikasi adalah antara sifat-sifat utama yang dimiliki oleh wanita-wanita hebat seperti Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan. Kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing bukan sahaja hasil daripada usaha dan kerja keras mereka sendiri, tetapi juga berkat sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan figura ibu dalam kehidupan mereka.

Datin Dr. Nor Fadilah Alias telah diberi penghormatan  menerima Anugerah Ibu Inspirasi oleh Mingguan Wanita & NONA baru-baru ini. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang telah menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi sumbangan yang signifikan kepada masyarakat.

Dunia Pendidikan Sebati Dalam Jiwa

Datin Dr. Nor Fadilah Alias, yang juga merupakan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids telah berjaya mengimbangi antara kerjaya yang cemerlang dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada empat orang cahayamata. Beliau dikenali ramai bukan sahaja kerana sumbangannya dalam bidang Pendidikan kanak-kanak tetapi juga kerana peranannya sebagai seorang ibu yang penuh inspirasi dan berdedikasi.

Sebagai ibu kepada empat orang anak, Datin Dr. Nor Fadilah sentiasa memastikan bahawa anak-anaknya mendapat pendidikan yang terbaik dan membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang dan disiplin. Beliau percaya bahawa pendidikan yang baik dan sokongan moral yang kukuh adalah kunci kepada kejayaan anak-anaknya. Ketika ditemui usai Majlis Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA baru-baru ini, beliau mendedikasikan kejayaan tersebut hasil dorongan ibu tersayang.

“Perasaan saya Alhamdulillah Syukur dan bangga kerana terpilih menerima penghargaan Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA ini. Ramai ibu-ibu hebat menerima anugerah ini pada majlis ini. Mereka patut diraikan supaya mereka terus bersemangat dan memberi inspirasi kepada wanita lain,” ujarnya Ketika ditemui media selepas selesai majlis.

Dalam berkongsi kisah kegembiraan, Datin Dr Nor Fadilah tidak pernah lupa mengenang kembali kehidupannya yang lalu yang disifatkan sebagai salah satu pendorong kejayaan dirinya pada hari ini.

“Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Pengorbanan ibu adalah antara faktor pendorong kejayaan saya. Sejak kecil saya diberi pendedahan tentang kehidupan apabila ibu membawa keluar berniaga di pasar secara kecil-kecilan. Alhamdulillah dari kecil saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan dan sebagainya.

Itu antara sebab mengapa saya berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Saya melihat banyak penorbanan yang ibu lakukan untuk saya. Meskipun dia hanya berpendidikan sekolah rendah dan anak yatim piatu, dia amat mementingkan pendidikan untuk anak-anak.

“Apabila saya melihat sendiri betapa sukarnya nak mencari rezeki, ada kalanya hasil jualan tidak laku dan sebagainya, saya belajar sesuatu yang berharga dalam kehidupan.”-Datin Dr Nor Fadilah Alias

Saya bersyukur kerana sebagai anak bongsu, saya dapat membalas jasa kedua orang tua dan berkongsi kejayaan ini dengan mereka,” ujar Datin Dr Nor Fadilah sebak ketika bercerita mengenai sumber inspirasinya untuk berjaya dalam kerjaya dan keluarga.

“Saya tidak akan berada di sini hari ini tanpa sokongan suami saya dan anak-anak saya. Mereka adalah sumber kekuatan dan inspirasi saya,” katanya dengan penuh emosi.

Beliau juga menekankan pentingnya peranan ibu dalam membentuk masa depan anak-anak. “Sebagai seorang ibu, tanggungjawab kita bukan sahaja membesarkan anak-anak tetapi juga membimbing mereka untuk menjadi individu yang berguna kepada masyarakat,” tambahnya.

Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids baru-baru ini.

Raihana Rosdan, seorang usahawan berjaya yang telah membangunkan rangkaian tadika dan taska, juga mendapat dorongan besar daripada suami dan ibunya. Suami Raihana, Mohammad Faazil Bin Fakharazi, bukan sahaja menjadi penyokong utama dalam perniagaan mereka tetapi juga memberikan sokongan emosi dan moral yang sangat diperlukan. Kerjasama mereka dalam membina perniagaan dan menguruskan keluarga telah membolehkan Raihana mencapai kejayaan yang luar biasa.

Kuasa Wanita Luar Biasa

Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi impak positif kepada masyarakat.

“Alhamdulillah dengan izin Allah atas kejayaan menjadi salah seorang penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA dan Al Kauthar Eduqids ini. Saya dedikasikan anugerah ini untuk ibu, yang banyak memberi motivasi untuk diri saya,” ujar Raihana.

Menurut Raihana yang merupakan anak sulung dari tiga bersaudara, ibunya  menjadi sumber inspirasi dalam hidup. Dari kecil, Raihana  melihat bagaimana ibunya mengharungi pelbagai cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi. Nilai-nilai inilah yang diterapkan oleh Raihana dalam kehidupan dan kerjayanya, menjadikannya seorang wanita yang kuat dan bersemangat.

“Antara perkara yang paling memberi kesan mendalam dalam hidup saya adalah motivasi dari ibu. Sejak kecil, ibu tidak putus-putus memberi motivasi untuk saya. Ia menjadi dorongan dan rangsangan untuk saya berjaya dalam kehidupan,” ujarnya.

Kisah kejayaan Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan adalah bukti bahawa sokongan daripada orang-orang tersayang, terutama suami dan ibu, adalah kunci penting dalam mencapai kejayaan. Dorongan moral, bantuan praktikal, dan inspirasi yang diberikan oleh suami dan ibu mereka telah membentuk asas yang kukuh untuk mereka mengejar impian dan mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing.

Anugerah Ibu Inspirasi yang diterima oleh kedua-dua wanita hebat ini adalah pengiktirafan terhadap dedikasi dan pengorbanan mereka, serta sokongan yang tidak ternilai daripada suami dan ibu mereka. Majlis yang ditaja oleh Al Kauthar Eduqids dan kerjasama Mingguan Wanita dan Majalah NONA ini telah dihadiri ramai tokoh wanita terkemuka, termasuk ahli perniagaan, selebriti, dan aktivis.

Anugerah Ibu Inspirasi ini bertujuan untuk mengiktiraf jasa ibu-ibu yang telah memberi impak besar dalam kehidupan anak-anak dan masyarakat.

Published by
Rosmah Idayu