Dalam tragedi menyayat hati sekitar jam 5.29 petang itu, percutian keluarga ini bertukar tragedi apabila terlibat insiden di kawasan pantai berhampiran Bayu Camp Site. Dalam insiden lemas ini, Siti Fatimah yang tidak pandai berenang berjaya menyelamatkan anak keduanya, Muhammad Daniel Rifqie, 10 yang lemas dan seorang lagi anak saudara menemui ajal. Turut lemas dalam percutian keluarga ini adalah Nur Arisya Hanan binti Mohd Salleh berusia 13 tahun.
Dalam pada itu, memetik Sinar Harian, Abu Mansur Ahmad Musa, 43 tahun yang juga suami kepada arwah memaklumkan, panggilan video pertama yang diterimanya dari isteri merupakan panggilan terakhir baginya. Dirinya turut terlibat dalam percutian keluarga itu namun ketika kejadian, dirinya pulang ke rumah mereka kerana mahu mengambil barang.
Jelas bapa kepada tiga anak ini, arwah isterinya telah membuat panggilan video sekitar jam 5 petang sebelum insiden lemas itu. Katanya, wajah isterinya lain dari kebiasaan di mana amat berseri-seri ketika panggilan dibuat.
“Wajahnya kelihatan begitu cantik ketika panggilan video itu. Saya pelik dia tidak pernah buat panggilan video sebelum ini. Saya sempat usik isteri, minta dia ucap ‘I love you’ tetapi dia malu. Panggilan kemudian ditutup.
Tambahnya lagi, tidak lama selepas itu, dirinya menerima panggilan dari seorang anak saudara yang memaklumkan yang isteri dan anak saya lemas selain beberapa orang anak saudara. Saya bergegas dari rumah kami di Ulu Tiram ke pantai,” katanya.
“Masa itu saya sempat cakap kepada anak saudara agar tenang, pesan kepada isteri saya supaya jangan ‘gabra’, tetapi dalam kelam kabut saya mahu ke sana, saya terima panggilan telefon lagi yang menyatakan isteri lemas.
“Rupanya isteri lemas disebabkan mahu selamatkan mereka, padahal dia pun tidak pandai berenang,” katanya.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :– Ibu Rayu Jangan Sebar Jenazah Anak Lemas, “Saya Sendiri Tak Ambil Video, Ia Menambah Sakit Jiwa Ini…”
Bayi Lelaki LEMAS, Terlepas Daripada Pegangan Ayah Ketika Berkayak Di Sungai
Bercerita lanjut, Abu Mansur menyifatkan arwah Siti Fatimah adalah isteri dan ibu yang sangat baik, bahkan semua orang di sekelilingnya amat sayang kepada isterinya yang suka bersedekah.
Katanya, banyak perubahan dilihat pada isterinya sejak dua tiga minggu lalu, termasuklah tidak mahu berjauhan dengannya.
“Antaranya setiap kali lepas solat, dia akan menangis. Akan cium peluk anak-anak dan dia ajak anak sulung dan kedua (along dan angah) supaya jaga adik yang autism.
“Biasanya dia yang uruskan semua hal anak bongsu dan tidak benarkan anak-anak lain buat, tapi katanya dia mahu ajar along dan angah untuk jaga adiknya.
“Isteri juga berpesan kepada saya, supaya solat berjemaah di masjid mulai tahun ini. Kami sekeluarga memang biasa solat berjemaah di rumah. Mungkin dia nak suruh saya terima yang selepas ini, saya sudah tidak lagi dapat solat berjemaah dengannya,” katanya sayu.
Menurut Abu Mansur, anak keduanya, Muhammad Daniel Rifqie, 10, yang terselamat kini dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa Hospital Kota Tinggi.
“Dia tahu maknya sudah tiada. Semalam, dia berulang-ulang cakap rindu pada maknya.
“Saya memang reda pemergian isteri. Dia adalah isteri dan ibu yang terbaik buat kami,” katanya yang memaklumkan isterinya dan anak saudaranya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE