Ibu ini, Siti Nur Ashima Makhatar, 28 sedang sarat mengandung anak keempat. Dalam masa yang sama, anak bongsunya, Nur Syifa Aulia Mohd Firdaus, setahun disahkan kanser tisu tahap empat.
Sejak Mei lalu bayi perempuan ini terus menahan derita, menangis bila kesakitan menyerang.
Ubat tahan sakitlah jadi menenang sementara buat anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Sementara ibu ini berada di wad menjaga si kecil, anak yang lain-lain berada di bawah jagaan ayahnya, Mohd Firdaus Abdul Rahim, 32. Masing-masing berusia 8 dan 3 tahun.
Suaminya pula terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan, memandangkan dia perlu berulang alik dari rumah di Kampung Kubang Golok, Bachok ke hospital dengan motosikal.
Nur Syifa mulanya alami demam panas berpanjangan. Dari bulan April dia demam. Sehinggalah keluar benjolan dekat kiri leher dan makin lama makin membesar.
“Saya bawa anak ke klinik berhampiran dan doktor beri ubat antibiotik.”
“Melihat keadaan anak tidak berubah, saya membawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian
.”“Selepas sampel diambil, doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser tisu.”
Sehingga hari ini, Nur Syifa sudah 7 kali jalani rawatan kimoterapi. Dan keadaannya masih sama.
“Setiap hari benjolan di leher makin membesar. Sebab tak mampu telan makanan, anak saya terpaksa bergantung dengan susu.”
Sayunya, Siti Nur Ashima dijangka bersalin Disember ini. Kalau bukan dia siapa lagi yang akan menjaga Nur Syifa di hospital. Tentulah berpantang bagi ibu ini bukan lagi keutamaan untuknya.
Baru-baru ini, Siti Nur Ashima menerima bantuan dari Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-kanak (PEKA) HUSM dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) untuk tampung kos rawatan anaknya.
“Cuma untuk susu dan lampin pakai buang, saya kena guna duit sendiri. Ada yang dari bantuan keluarga dan orang ramai.”
Pembaca Mingguan Wanita yang bersimpati dengan ujian ibu sarat mengandung diuji anak sakit ini, boleh hulurkan sumbangan ke :
Bank Islam 03111020184189 milik Siti Nur Ashima.
Sumber/Foto : Harian Metro , Rosheeda Husain