Mungkin kerana kasihnya seorang ibu yang sedang sakit tenat bimbangkan anak-anaknya yang tidak terjaga, sanggup membuat keputusan diluar jangkaan dengan mengahwinkan anak lelaki sulungnya pada wanita yang lebih berusia.
Seorang budak lelaki yang baru berusia 13 tahun mengahwini perempuan 10 tahun lebih berusia daripadanya semata-mata kerana mahu memenuhi kehendak ibunya yang sakit tenat. Alasannya mudah agar ada wanita dewasa menguruskan rumah keluarga mereka selepas kematiannya.
Media tempatan melaporkan, majlis perkahwinan di Upparahal, Andhra Pradesh itu berlangsung pada 27 April lalu tetapi cuma diketahui pihak berkuasa tempatan selepas gambar upacara berkenaan menjadi tular di media sosial.
Menurut Hindustan Times, kedua-dua keluarga pengantin terbabit kini dilaporkan hilang. Menurut penduduk tempatan, remaja itu datang daripada keluarga miskin dan kedua-dua ibu bapanya meraih pendapatan seharian sebagai buruh.
Bimbang 4 Anak Terabai
“Wanita itu sakit tenat dan suaminya kaki botol, jadi dia bimbang empat anaknya terabai melainkan yang sulung dikahwinkan dengan wanita yang lebih berusia,” kata jiran yang enggan dikenali.
Menurutnya, wanita itu dimaklumkan mengenai keluarga yang mencari suami untuk anak perempuan mereka berusia 23 tahun dan hasil rundingan masing-masing bersetuju untuk menyatukan dua keluarga berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Srinivasa Rao dipetik The Hans India berkata: “Perkahwinan itu akan dibatalkan kerana tidak sah di sisi undang-undang. Jika ibu bapa mereka tidak menyerahkan pasangan terbabit kepada pihak berkuasa daerah dalam tempoh dua hari, kami akan membuka kertas siasatan terhadap mereka.”
Sumber: Hmetro & Hindustan Times
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selepas 21 Tahun, Ini Rupa Kembar 7 Beradik Pertama Di Dunia Melalui IVF
Isi Kandungan
ToggleBukan calang-calang mak-mak boleh melalui proses mengandung dan melahirkan 7 anak kembar yang sihat dan selamat ke dunia. Namun wanita ini berjaya Bobbie McCaughey berjaya melakukannya. Kini, selepas 21 tahun, anak-anak Mc Caughey kian meningkat dewasa dan mempunyai kehidupan masing-masing.
Kembar “Septuplets”
Pada tahun 1997 , kehidupan keluarga McCaughey itu sangat berubah. Bobbie McCaughey melahirkan tujuh anak – empat lelaki dan tiga perempuan. Berita tentang keajaiban ini tersebar di seluruh dunia kerana bayi McCaughey ini adalah “septuplets” buat pertama kali yang masih hidup .
Kenny, Kelsey , Natalie , Brandon, Alexis , Nathan dan Joel dipanggil ‘Tujuh Dari Syurga. ‘ Anugerah daripada septuplets adalah satu pencapaian besar untuk Bobbie dan suaminya Kenny, dan semua orang yang mempunyai anak-anak boleh memahami mengapa.
Tetapi di sebalik semua kesukaran, kanak-kanak ini telah dikelilingi oleh kasih sayang dan penjagaan yang baik.Tahun ini anak-anak McCaughey terkenal menyambut ulang tahun ke-21 Mereka bertukar menjadi anak-anak muda yang menakjubkan yang sudah tahu apa yang mereka mahu apabila mereka membesar.
Rawatan Kesuburan IVF
Mengimbas kembali kenangan pada tahun 1997, Bobbie dan Kenny mahu mempunyai anak yang kedua dan mereka dapatkan bantuan ke Pusat IVF. Setelah mengetahui bahawa Bobbie mengandung tujuh anak selepas rawatan kesuburan , pasangan itu enggan memilih untuk mengurangkan bilangan bayi. Para doktor cuba untuk menghalang mereka, tetapi ibu bapa yang taat pada agama tetap setia pada keputusan mereka.
Kanak-kanak ini dilahirkan benar-benar kecil , berat kanak-kanak yang paling kecil adalah 2 lbs 8 oz ( 1,13 kg ) dan kanak-kanak yang paling besar adalah 3 lbs 4 oz ( 1,5 kg ). Para doktor melakukan apa yang mereka boleh untuk selamatkan bayi-bayi tersebut dan kanak-kanak itu akhirnya selamat dan membesar dengan sihat. Alexis dan Nathan dilahirkan dengan bentuk cerebral palsy , tetapi kedua-dua mereka telah menjalani pembedahan dan kini mereka dalam keadaan yang baik. Hari ini mereka masih sihat dan bersekolah.
Ramai Pihak Membantu
Semua orang faham dengan keadaan yang sukar dan luar biasa keluarga McCaughey itu, begitu ramai orang dan yayasan amal membantu mereka . Keluarga mereka mendapat rumah besar baru, dan anak-anak mendapat makanan yang percuma di sekolah dan masih mampu pergi bercuti. Walau bagaimanapun, Kenny telah bekerja keras, dan anak-anak nya diajar kepentingan untuk mencapai impian sendiri.
Anak perempuan yang sulung, Mikayla , yang dilahirkan setahun lebih awal daripada adik-adiknya , membantu ibunya untuk menjaga adik-adiknya.
Dalam baris kedua dari kiri ke kanan adalah Brandon, Alexis, Joel, dan Nathan. Dalam baris pertama dari kanan ke kiri adalah Kenny Sr., Kenny Jr., Kelsey , Natalie , dan ibu mereka Bobbie. Anak-anak ini dalam keadaan baik sekarang, dan mereka telah memutuskan apa yang mereka mahu untuk mengejar.
Brandon akan menjadi tentera selepas sekolah tinggi; Alexis mahu menjadi seorang pendidik ; Natalie mahu menjadi seorang guru sekolah rendah ; Kenny Jr. berharap kerjaya dalam pembinaan; Nathan dan Joel akan menjadi pengaturcara, dan Kelsey menyanyi dalam koir Iowa dan mahu menjadi seorang penyanyi profesional.Mereka ini bukan sahaja adik-beradik , mereka juga adalah teman baik .
Anak kembar 7 ini tidak lama lagi akan menamatkan pengajian dari sekolah masing-masing. Apabila mereka semua akan pergi, ia akan menjadi benar-benar drastik, ‘ Bobbie mengakui .
Sesungguhnya , rumah yang tidak pernah tenang akan menjadi kosong dan sunyi sekaligus.
Sumber:sembangsaja
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Laungan Azan Jentik Hati Wanita Ini Untuk Lebih Kenal Islam
Tidak pernah terlintas di benak fikiran gadis muda yang dahulunya menggunakan nama asal, Ester Michelle anak Peter Alli, 24 tahun, untuk menukar agama kepada agama fitrah iaitu Islam. Dia yang dijaga oleh neneknya suatu masa dahulu di Serian, Sarawak merupakan gadis berketurunan Bidayuh yang menganut agama Kristian.
Pindah ke Semenanjung
Ketika umurnya sembilan tahun, gadis ini bersama adiknya dibawa ke Kuala Lumpur untuk menetap bersama ibunya.
“Saya mengenali Islam dan banyak bercampur dengan orang Melayu setelah saya berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika di sekolah khususnya, saya mula bergaul dengan orang Islam. Suatu hari, semasa kali pertukaran pelajaran antara Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam, saya masuk dalam kelas yang mengajar Pendidikan Islam secara sorok-sorok. Dari situ saya mendengar kisah-kisah para Nabi dan Allah dan ia sangat menarik hati saya untuk terus ketahui lebih banyak lagi.
“ Dari situ juga saya tahu tentang penciptaan manusia. Sejak kecil lagi, saya memang pernah terfikir tentang penciptaan manusia. Bagaimana terjadinya manusia di muka bumi ini? Tetapi setelah ustazah dalam kelas tersebut bercerita tentang nabi-nabi, saya masih merasa semua itu hanyalah cerita rekaan semata-mata untuk dijadikan pelajaran dan pengajaran kerana saya menganggap cerita seperti itu macam cerita dongeng yang ada ditayangkan di televisyen dan cerita kartun yang penuh dengan fantasi.
“Ketika saya di kampung, saya tidak pernah dengar kisah nabi dan Allah. Saya hanya mengenali Jesus Christ dan itulah tuhan yang saya selalu tengok di gereja. Biasalah, kita hanya percaya dengan apa yang kita nampak. Sedangkan Allah dan nabi yang ustazah cerita itu semuanya kita tak pernah nampak dalam mana-mana buku,” ujar gadis yang kini sudah menukar namanya kepada Nur Aisyah Maisara, selepas mengucapkan syahadah pada usianya 19 tahun.
Ibu peluk Islam dulu
Hidayah pertama kali menjengah keluarga Maisara ketika usianya 13 tahun, yang mana ketika itu ibunya telah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Namun ibu Aisyah sedikit pun tidak memaksa anak-anaknya untuk turut serta sebaliknya menerapkan ajaran agama Islam secara tidak langsung di dalam kehidupan keluarganya itu.
“Semasa umur saya 13 tahun, ibu saya telah memeluk Islam. Saya dan adik tidak ikut ibu kerana bimbang akan dimarahi oleh nenek. Walaupun ibu telah bertukar agama tetapi kami sekeluarga tidak sedikit pun merasa pelik atau rasa berbeza. Masing-masing boleh menerima keadaan tersebut.
“Sekali sekala saya akan baca atau ibu akan berkongsi tentang buku agama yang telah dibaca. Banyak pengajaran yang saya dapat. Ibu tidak pernah bertanya secara terus terang kepada kami adik-beradik, adakah kami mahu ikut agama dia atau tidak kerana ibu mahu kami menilai sendiri dengan mata hati kami. Ibu juga banyak mempraktikkan cara-cara Islam mendidik anak-anak tanpa kami sedari. Ibu banyak mengajar kami tentang akhlak dalam Islam.
“Walaupun Islam itu sudah berada dalam rumah kami, tetapi ketika itu hati saya tidak merasa mahu bertukar agama kerana bagi Islam itu banyak aturannya dan saya tidak mahu bertukar agama kerana manusia. Biarlah saya melakukannya benar-benar dari hati.
Sambung Pelajaran
“Ketika saya berumur 19 tahun, saya menyambung pelajaran saya di tingkatan 6 SMK Taman Melawati. Menjadi pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki STPM bukanlah suatu yang mudah. Tambahan lagi saya merasa rendah diri kerana kawan-kawan saya yang lain semuanya dapat menyambung pelajarannya terus ke universiti.
“ Suatu hari, saya benar-benar dalam keadaan yang sangat tertekan dan sedih kerana saya rasa susahnya menjadi pelajar tingkatan 6. Saya bimbang tidak dapat menggembirakan hati ibu kerana saya adalah anak sulung dan saya perlu berjaya dalam hidup. Semasa saya sedang memikirkan perancangan saya untuk berjaya, tiba-tiba azan asar disiarkan di TV3. Saya merenung ke arah kotak televisyen tersebut dan mendengar azan serta menghayati maksud-maksudnya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya tertarik dengan satu baris azan yang bermaksud, “marilah solat menuju kejayaan”. Dari situ saya terfikir, betul ke macam itu caranya jika nak berjaya? Solat? Okaylah aku kena cuba cara tu kalau nak berjaya. Mesti solat. Tapi kena masuk Islam, kena belajar Islam.
“Saya buntu apa yang perlu saya buat. Tetapi hati saya tetap mahu juga buat solat itu kerana bait-bait azan dan maksudnya itu terngiang-ngiang di fikiran saya. Lalu saya menceritakan niat saya untuk masuk Islam kepada ibu. Kebetulan ketika itu ibu mahu ke Terengganu. Jadi saya ikut ibu dan Alhamdulillahlah prosesnya berjalan lancar. Saya mengucapkan kalimah Syahadah pada tarikh lahir saya iaitu 2 Januari. Balik sahaja dari pejabat agama Kuala Terengganu itu, ibu ajar saya mandi wajib, ambil wuduk dan solat. Ibulah yang banyak membantu saya untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan cara solat. Hati saya rasa lapang tetapi saya masih berfikir tentang kehidupan yang saya perlu jalani. Hati kecil saya kata, saya mesti mencari sesuatu yang saya perlu dalam hidup,”cerita Maisara bagaimana dirinya mula tertarik dengan agama Islam.
Kehidupan berbeza
Sudah hampir lima tahun Maisara menjadi seorang Muslimah, kehidupannya kini lebih teratur dan punya garis panduan. Baginya banyak perbezaan yang dapat dilihat daripada kehidupan dahulu dan sekarang.
“Kini sudah lima tahun saya hidup sebagai orang Islam, saya merasa ada garis panduan dalam kehidupan. Saya sangat bersyukur. Apabila saya sedih, kini saya tahu saya perlu mencari siapa, mencari Allah dalam solat dan memohon kepada-Nya. Di situ saya dapat ketenangan.
“Banyak sangat perbezaan kehidupan sebagai muslimah dan kehidupan lama saya. Kalau kini, saya sudah tahu betapa berharganya maruah seorang wanita muslimah. Islam benar-benar menjaga hak-hak wanita. Dari segi akhlak mereka, harta mereka, dan keperibadian mereka. Kini penampilan saya lebih terjaga berbanding dulu. Peluang berada di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA), telah mentarbiahkan penampilan saya dan pemikiran saya. Dulu setelah mengucap kalimah syahadah, saya menutup aurat tetapi bukan menutup dengan cara yang betul, lebih kepada membungkus diri iaitu pakai tudung tetapi baju dan seluar nampak bentuk badan. Ketika itu saya rasa itulah cara tutup aurat.
“ Tapi setelah belajar, barulah saya faham pengertian menutup aurat yang betul dan mengikut syariat. Itulah perbezaan ada ilmu dan tanpa ilmu. Menutup aurat juga bukan lah dari segi penampilan luaran sahaja tetapi begitu juga dengan akhlak kita. Ustaz Ramli selalu berpesan, wanita mesti ada rasa malu. Malu itu merupakan perhiasan wanita. Malu itulah yang menjaga diri wanita daripada diganggu. Betapa besarnya kesan Islam pada diri saya kini,” tambah Maisara.
Syukur dengan kehidupan kini
Mengakui dirinya sangat bersyukur dengan kehidupan yang dijalani pada hari ini, pelajaran awal tentang Islam adalah melalui ibunya dan juga bimbingan yang diperoleh di PUSBA. Selain itu, menyertai kelas dakwah secara berterusan banyak membantu diri gadis ini untuk terus mendalami Islam dengan lebih baik.
“ Saya sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Sedikit demi sedikit Allah memberikan kebaikan kepada kehidupan saya. Jika dulu saya sangat kecewa kerana tidak dapat menyambung pelajaran saya ke universiti, kini Allah dah makbulkan doa saya.
“ Saya sedang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi, mengambil Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia. Saya tidak menyangka Allah akan memberi jalan ini kepada saya. Saya tidak pernah terlintas untuk masuk agama Islam sehinggalah saya menghayati maksud azan tentang kejayaan. Jika dulu saya benar-benar cemburu dengan kejayaan kawan-kawan saya yang lain, kini saya tidak perlu membandingkan diri saya dengan mereka. Saya percaya semuanya atas kehendak Allah. Saya tidak perlu tamak dan cemburu dengan rezeki orang lain kerana Allah telah menentukan rezeki hambanya masing-masing dengan usaha diri sendiri dan semuanya lahir dari hati yang ikhlas bukan kerana ikutan semata-mata.
“Saya yakin hidayah Allah itu hanyalah pinjaman sementara. saya perlu menjaga hidayah yang diberikan oleh Allah dengan sebaik mungkin. Allah telah banyak memberi petunjuk kepada saya, cuma saya tidak dapat menilai dengan baik. Saya bersyukur dengan pilihan saya. Saya harap saya mampu menggenggam agama Islam dengan ilmu sehingga akhir hayat. Saya harap Allah sentiasa menjaga dan melindungi saya serta keluarga kerana iman ini senipis kulit bawang yang mudah koyak dan rapuh. Inilah hikmah yang saya pelajari tentang Islam. Islam banyak mengajar saya tentang kehidupan yang sebenar.Dulu saya hidup seperti saya tidak akan mati meninggalkan dunia tetapi kini saya sedar erti tujuan sebenar hidup. Bukan hanya kerana kejayaan dunia tetapi juga kejayaan akhirat. Ingin berjaya dalam hidup, ingatlah Allah. Mengingati-Nya adalah dengan solat,” akhiri Maisara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cara Fail Cerai Di Mahkamah Tanpa Guna Khidmat Peguam Syarie
Isi Kandungan
ToggleCara fail cerai cerai di mahkamah syariah tanpa guna khidmat peguam syarie, tak perlu keluar duit beribu-ribu. Bila tiada lagi persefahaman suami isteri, cara yang paling mudah adalah berpisah dengan persetujuan bersama.
Tapi ada kalanya pasangan buntu cara bagaimana untuk bercerai terutama cara hendak pergi ke mahkamah buat pertama kali.
Cara Fail Cerai Di Mahkamah
Bagi yang pertama kali hendak ke mahkamah syariah, ia taklah sesusah difikirkan. Hanya kena tahu beberapa perkara sahaja dan selebihnya pasangan boleh berpisah secara baik.
Memetik sumber rasmi dari My Goverment, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia inilah cara paling mudah pasangan bercerai secara baik.
Langkah pertama perlu dibuat :-
Pergilah ke KAUNTER MAHKAMAH tempat tinggal terdekat. Ambil borang dan isi selengkapnya. Atau boleh muat turun BORANG PERCERAIAN di sini. (rujukan borang ini untuk Negeri Selangor)
A) Suami atau isteri:-
i. Serah Borang Permohonan Perceraian yang telah dilengkapkan (mengikut format borang)
ii. Bayar yuran pendaftaran (mengikut kadar ketetapan negeri masing-masing).
iii. Daftar kes cerai di kaunter
- Terima tarikh dan masa hadir ke Mahkamah (tarikh untuk suami dan isteri hadir ke mahkamah hendaklah tidak melebihi 21 hari dari tarikh kes didaftarkan).
Ketika sudah ada tarikh hadir ke mahkamah, jangan tidak hadir.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :– Wanita Diceraikan Suami Selepas Lahirkan Anak Berkulit Gelap
Masalah Átas Ranjang’ Jadi Punca Ramai Suami Isteri Bercerai!
Isteri Minta Cerai Sebab Suami Malas Mandi, Baru 40 Hari Kahwin
Di dalam Mahkamah.
- Suami dan isteri:-i. Hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan
ii. Bawa bersama dokumen asal seperti berikut:
• Sijil Nikah atau Sijil Ruju’
• Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri atau pasport.C). Mahkamah mendapatkan persetujuan perceraian daripada suami dan isteri
D). Suami melafazkan cerai talaq satu (1)
E). Mahkamah:-
i)Sahkan lafaz cerai suami
ii)Keluarkan perintah perceraian
F). Suami dan isteri terima rekod perceraian
G). Suami dan isteri bawa rekod perceraian dengan SEGERA ke Jabatan Agama Islam untuk daftar cerai.
H). Suami dan isteri:-
- Serah rekod cerai kepada Jabatan Agama bersama dokumen asal berikut:-
- Sijil Nikah atau Sijil Ruju’
- Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri atau Pasport
- Perintah Daftar Cerai dan Rekod Perceraian
- Bayar yuran daftar cerai (mengikut kadar yang ditetapkan oleh negeri-negeri)
- I) . Jabatan Agama Islam:-
- Daftar cerai
- Keluarkan sijil cerai
Selepas selesai semua ini, maka sahlah perceraian antara pasangan secara persetujuan bersama. Namun keadahnya sedikit berbeza dengan cerai secara taklif atau fasakh, tanpa persetujuan bersama, tebus talak atau lafaz talak di luar mahkamah.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI