“Ibu Rehat Ya…” Nampak tenang tetapi hakikatnya inilah luahan penuh vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad, atas permergian ibunya Aminah Bahari, 54, yang meninggal dunia semalam.
Suami Stacy Anam, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 27, berkongsi khabar sedih itu menerusi akaun Instagram peribadinya.
“Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Innalillahi wainna ilaihi roji’un. Dukacita saya ingin maklum, ibu saya, Aminah Bahari kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarhamah. Amin ya rabbal alamin.
“Ibu tenang ya di sana, Insya-Allah Akim akan kirimkan apa saja untuk ibu. Ibu rehat ya!”
Selain isterinya, Stacy Anam, perkongsian berkenaan turut mendapat simpati daripada pengikutnya, termasuk selebriti tanah air seperti Datuk Aznil Nawawi, Hazama, Radin Era, Aweera, Aiman Tino, Marsha Milan, dan Along Cham.
Sebelum berita kematiannya ibunya, Akim meminta pengikut dan peminat beliau supaya mendoakan kesihatan ibunya, tanpa menjelaskan penyakit dihidapi arwah ibunya. Salam takziah dari team Mingguan Wanita, moga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan solehah.
AL- FATIHAH.
“Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu: Sedekah yang ditinggalkan semasa hidup, ilmu yang di menfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”
-Hadis Riwayat Luqman Hakim-