Hubungan

Ibu Pinjaman Jentik Konflik Kasih Sayang, Penuh Emosi

Share

Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, syarikat penerbitan Dream At Work Sdn Bhd telah  membawakan sebuah telefilem khas berjudul Ibu Pinjaman yang ditayangkan di saluran Astro RIA dan Astro Oasis, jam 10 pagi.

Karya ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Wan Maimunah, Bell Ngasri, Hasnul Rahmat, Sherie Merlis, Amanda Misbun, Zalif Sidek dan Rahim Jailani. Tidak ketinggalan Adik Qisya Hairulzain dan dibantu oleh Linda Soh, Shukri Tahir dan Afiq Aris.

Inspirasi Kisah Benar

Menurut Penerbit dan Pengarah Dream At Work Sdn Bhd Datuk Razlan Ismail, telefilem Ibu Pinjaman dinspirasikan daripada kisah benar Ustaz Abdullah Muda.

“Telefilem ini mengisahkan konflik jiwa dua insan bernama Rizal dan Makcik Rokiah. Rizal, seorang lelaki yang sudah lama dahagakan kasih sayang seorang ibu, sering berasa kesunyian dan kekosongan dalam hidupnya.

Penerbit dan Pengarah Dream At Work Sdn Bhd Datuk Razlan Ismail

“Di satu sisi lain, Makcik Rokiah, seorang wanita tua yang hatinya hancur merindukan anak kandungnya. Dia menjalani hari-hari yang penuh kesepian.

“Kisah ini menyentuh hati apabila kedua-dua insan ini bertemu dan cuba mengisi kekosongan dalam hati masing-masing dengan kasih sayang yang terpendam,” katanya.

Menurutnya, lebih bermakna apabila telefilem itu bersiaran pada Hari Raya Aidiladha, hari yang penuh dengan makna pengorbanan dan kasih sayang.

Menariknya lagi, pelakon utama Ibu Pinjaman iaitu Wan Maimunah kini sedang mengerjakan ibadah haji di tanah suci. Sekaligus, telefilem ini turut membawa kesan dan keistimewaannya yang tersendiri.

“Ibu Pinjaman IBU menjanjikan sebuah pengalaman emosi yang mendalam dengan kisah penuh kerinduan dan kasih sayang serta pengorbanan.

“Dibarisi pelakon yang hebat, cerita ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati setiap penonton,” katanya.

Telefilem yang mendapat sentuhan pengarah Datuk M. Razlan Ismail yang juga bertindak sebagai penerbit, bersama Irfan Hasan selaku Penerbit Eksekutif.

Antara pelakon hebat yang turut membintangi drama Ibu Pinjaman

Dream At Work Sdn Bhd diberikan kepercayaan untuk menerbitkan telefilem ini bagi saluran Astro RIA di bawah naungan Penerbit Eksekutif Astro, Abdul Adzim Shahabudin.

Ibu Pinjaman bakal menemui penonton pada 17 Jun ini, jam 10 pagi di saluran Astro RIA dan Astro Oasis dan ulangan pada jam 11 malam pada hari yang sama.

Published by
Rosmah Idayu