Ibu Patut Tahu 4 Cara Disiplinkan Anak Bangun Pagi

Share

Pening memikirkan kerenah anak, terutamanya ketika mengejutkan mereka bangun tidur untuk ke sekolah. Paling dibimbangi jika anak bangun kemudiannya menangis dan menjerit kerana tidak mahu ke sekolah.

Amni anakku berusia empat tahun dan sudah aku hantar dia belajar di sekolah Pasti, sebelah petangnya dia akan masuk pusat jagaan harian di sana. Dengan umurnya begitu sudah ada rutin harus bangun pagi dan bersiap untuk ke sekolah.

Seperti biasa tepat jam 6.00 pagi aku sudah kejutkan Amni bangun, secara tidak langsung adiknya Akid turut terbangun sama. Perkara pertama yang aku jangkakan akan berlaku, Amni dan Akid akan menangis.

Riuh rendah seketika rumahku, apabila ayahnya memarahi mereka barulah mereka akan senyap dan menurut perintah untuk mandi.

Tiba-tiba aku teringat bagaimana seorang ibu yang pernah aku temu bual dalam ruangan kisah masyarakat. Dia memiliki anak sindrom down yang berumur tujuh tahun.

Paling aku terkesan apabila si ibu ini tidak perlu mengejutkan anak ini dari tidur dan dia tidak perlu mempersiapkan anak ini mandi. Tahu-tahu sahaja jam 6.30 pagi anaknya ini sudah siap berpakaian sekolah dan menunggu ayahnya untuk solat berjemaah.

Apabila ditanya rahsianya, katanya dia sudah mengajar anaknya itu bangun jam 5.40 pagi. Dia kejutkan anak ini bukan tujuan untuk ke sekolah tetapi untuk solat subuh. Lama kelamaan anak ini sudah boleh bangun sendiri dan  bersedia untuk ke sekolah.

Antara tip lain yang aku pelajari untuk kejutkan anak ini.

4 Cara Mudahkan Anak Bangun Pagi

1. Pastikan Anak Tidur Lena

Jika anak sukar untuk tidur malamnya akan membuatkan mereka sukar untuk  bangun pagi. Jadi usahakan agar tidak akan makan berlebihan atau mengambil minuman berkafein di malam hari.

2. Siapkan Sarapan

Sediakan sarapan kegemaran anak. Aroma masakan ini akan membuatkan anak cepat bangun dari tempat tidur.

3. Asuh Anak Bangun Sendiri

Asuh anak untuk bangun sendiri dan jangan terlalu bergantung kepada anda untuk membangunkan mereka. Mungkin ajar mereka bangun dengan bunyi jam loceng. Lama kelamaan mereka senang untuk bangun sendiri.

4. Ucapkan Syahadah

Setiap kali jika melihat anak bangun dari tidur, peluk mereka dan ucapkan dua kalimah syahadah di telinga mereka. Bisik kata-kata baik yang anda inginkan kepada anak itu. Insya-Allah mereka akan bersiap mandi tanpa tentangan.

Published by
Netty Ah Hiyer