Ibu nafi anak kedua makan keropok beracun meninggal, “separuh jiwa saya sudah pergi, doakan Luth selamat. Tragedi dua beradik termakan keropok beracun yang digantung untuk menjerat binatang mengacau tanaman amat menyayat hati.
Malam tadi, jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, kira-kira pukul 9.45 malam semalam sementara adik, Muhammad Luth Syauqi, 2 masih bertarung nyawa lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik Hospital Pulau Pinang.
Ibu Nafi Anak Kedua Makan Keropok Beracun Meninggal
Di saat keluarga ini masih dalam kesedihan, tular berita kononnya adik juga sudah meninggal dunia dan ia mulai tersebar hari ini. Berita ini membuatkan ibu kanak-kanak ini bertambah sedih.
Menafikan anak keduanya sudah meninggal dunia, Nurain Hasnorizal, 25 tahun memaklumkan
Ibu kepada dua kanak-kanak yang termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus menafikan anak keduanya pula meninggal dunia, hari ini.
Nurain Hasnorizal, 25, berkata Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik Hospital Pulau Pinang.
“Separuh Jiwa Saya Sudah Pergi, Doakan Luth Selamat…”
Memetik laporan Harian Metro, Nuain berkata, penyebaran berita anak keduanya meninggal selepas ditanya adiknya yang memaklumkan hal tersebut.
“Khabar angin itu menerusi tangkap layar komen warganet di media sosial yang dihantar adik saya. Ketika itu saya berada di perkarangan hospital, lantas menghubungi doktor bagi mendapatkan pengesahan.
Ads
“Doktor menafikan dan memaklumkan keadaan anak saya masih sama serta sedang dirawat,” katanya ketika ditemui di perkarangan HPP, di sini.
Nurain berkata, perkara itu amat melukakan hatinya sebagai ibu dan menyebabkan dia bertambah runsing.
“Saya faham ramai yang mengikuti perkembangan pemulihan adik (Muhammad Luth), tetapi jangan sebar khabar angin (tidak benar) seperti ini.
“Sebaliknya, saya mohon semua berdoa mengenai kesejahteraan anak saya,” katanya yang kembali ke HPP pada 2 pagi tadi untuk melihat perkembangan anak keduanya pula.
Jenazah anak sulungnya selamat dikebumikan malam tadi. Foto BERNAMA
Katanya, urusan pengebumian Muhammad Akil, semalam berjalan lancar dan dia amat gembira kerana ramai yang hadir.
Ads
“Seolah-olah separuh jiwa saya sudah ‘pergi’ bersamanya, namun saya perlu kuat demi Muhammad Luth.
“Saya melawat Muhammad Luth sekitar jam 8 pagi tadi dan keadaannya masih sama serta tiada pergerakan.
“Seperti abang, saya juga berbual dengan Muhammad Luth. Rasa mahu peluk adik, tetapi tidak boleh kerana badannya dipenuhi wayar (rawatan). Saya hanya dapat cium tangan dan pipinya bagi melepas rindu,” katanya.
Mengenai seorang lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan, Nurain berkata, dia menyerahkan segalanya kepada pihak polis.
“Tiada apa yang boleh saya katakan, semuanya saya serah kepada siasatan polis. Di kampung sudah lakukan persiapan kenduri doa selamat bagi semuanya,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan Muhammad Akil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Baling pada 9.45 malam.
Ads
Media sebelum ini melaporkan dua beradik itu kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada Ahad lalu.
Kakak Hello Kitty. Usahawan ini pernah bercerai dan ramai mengaitkan perceraiannya kerana suami dipaksa pakai baju Hello Kitty.
Mesra disapa Na, mengakui perceraian selama 23 hari dengan suami membuatkan diri dan hatinya tidak kuat. Perlu melakukan kerja-kerja rumah yang selama ini dibantu suaminya, Mohd Afizi.
Dan kerana itulah dirinya mengambil peluang kedua diberi Allah dan mereka kembali rujuk demi anak-anak serta menurunkan ego masing-masing demi membina keluarga bahagia.
Ikuti video penuh kisah suka duka pasangan ini yang memilih peluang kedua dalam kehidupan mereka dalam Sembang Wanita Xtra di saluran YouTube MW.
Kehilangan Abam bukan hanya ditangisi oleh suluruh rakyat, insan terdekat terutamanya isteri Abam antara insan yang paling terkesan akan kehilangan ini. Sudah tentu bukan mudah menelan kenyataan ini, apatah lagi melihat anak yang masih kecil tercari-cari ayahnya.
Buat masa sekarang, mungkin cara mendiamkan diri adalah jalan terbaik untuk meredakan kesedihan yang ada. Biar pun anaknya masih kecil dan belum faham apa yang berlaku tetapi pasti dia juga merasai. Allahuakbar! Sedihnya.
“Anak arwah sudah mula tercari-cari bapanya,” kata pelawak, Ali Puteh yang juga adik kepada Allahyarham Abam.
Ali, 31, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, anak Abam, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan lebih banyak diam dan tidak meragam.
Kakak Ipar Banyak Diam, Hamzah Tak Meragam
Menurut Ali, kakak iparnya yang juga balu arwah, Siti Nurhidayah Mohd Ali juga banyak mendiamkan diri.
“Sudah hari keempat, kakak ipar lebih banyak diam. Begitu juga dengan anaknya yang tidak meragam. Dia sama macam Abam yang banyak diam.
“Cuma, dia sudah mulai tercari-cari sebab sampai sekarang rumah sentiasa dipenuhi orang menziarah. Dari pagi sampai malam. Mungkin dia pun hairan kenapa setiap hari ramai orang. Tapi, disebabkan dia masih kecil jadi tidak tahu apa yang berlaku,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai hasil bedah siasat punca kematian arwah, Ali berkata, mereka masih belum mendapat sebarang keputusan.
“Kami tidak dapat apa-apa keputusan lagi. Dimaklumkan paling lambat dalam tempoh tiga minggu lagi,” katanya.
Ali berkata, pesanan terakhir diterima daripada arwah adalah menjaga ibunya, Sabariah Arshad, 63, yang kini tidak sihat dan terpaksa berkerusi roda.
“Arwah pergi mengejut tanpa sebarang pesan. Namun, minggu lalu dia ada cakap kepada emak yang jiwanya kosong dan tidak fikir apa-apa lagi. Dia juga pesan kepada emak dan sampaikan pada saya supaya banyak rehat. Jangan terlalu penat bekerja.
“Malah, minggu lalu juga dalam kumpulan Whatsapp keluarga, dia mengatakan sekarang giliran saya menjaga emak pula. Jangan lupa bagi emak makan ubat. Saya jawab, okay dan tidak ada masalah. Kebetulan emak sudah sebulan tinggal di rumah saya,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga Siti Nurhidayah sentiasa dipermudahkan urusan. Ternyata menerima kehilangan orang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah dan sudah tentu mengambil masa yang lama. Al-Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bergelar seorang isteri dan ibu bukanlah satu perkara yang mudah. Ibu kepada tiga orang anak ini akui diari hariannya begitu sibuk. Mendirikan rumahtangga bersama Que Haidar pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua puteri comel, Tengku Ratu, 9 dan Tengku Cleopatra, 7 serta seorang anak lelaki Qalif, anak hasil perkahwinan pertamanya, guru tari Linda Jasmine Hashim ini menunjukkan sisi berbeza, seiring dengan kematangan dirinya.
Ditanya tentang kehidupannya yang tampak begitu bahagia dengan keletah dua puterinya yang sering dipaparkan di akaun Instagram milik dia dan suami,
Linda turut memikul tanggungjawab dan amanah berharga sebagai seorang ibu. Malah dia juga akui, kehidupan peribadinya selepas berkahwin cukup indah dan tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Keluarga bahagia. (foto-Instagram Linda Jasmine)
“Tak tahu nak terangkan macam mana. Tapi, kehidupan saya kini bersama Que dan anak-anak saling melengkapi. Ikutkan melayan gelagat anak-anak di rumah memang penat tetapi sangat berbaloi. Tapi ironinya, itulah fasa bermakna yang dilalui ibu bapa saat melihat mereka membesar di depan mata,” ungkap Linda yang sememangnya begitu ramah turut menerangkan kehadiran anak-anak yang mempunyai kerenah dan perangai berbeza menceriakan lagi suasana.
Saling Membantu
Akui kesibukan masa di antara dia dan suami, membuatkan diari seharian mereka begitu padat. Selain menguruskan anak, Linda juga begitu sibuk menguruskan kerjayanya dalam bidang seni tari.
“Alhamdulillah walaupun sibuk namun anak-anak kami akan uruskan bersama-sama. Jika saya sibuk, Que akan jaga anak-anak. Bila Que sibuk dengan lakonan saya akan menjaga mereka,” jelas ibu yang bekerjaya ini.
Rutin sebagai tenaga pengajar tari dan juga kerja-kerja di rumah perlu seiring dan Linda juga mahu beri yang terbaik.
“Selain mahu beri komitmen yang baik dalam kerjaya. Saya juga mahu luangkan masa dengan anak dengan cara terbaik. Saya mahu terus sukses dalam karier dan pada masa yang sama juga mahu berikan komitmen dan tumpuan yang terbaik pada anak-anak.
“Memandangan kerja saya jenis yang tak menentu, jadi saya boleh aturkan masa kerja agar bersesuaian dengan anak-anak. Saya boleh ambil anak dari sekolah dan sediakan pelbagai keperluan sebelum saya keluar bekerja.
“Saya bersyukur bila ada masa saya tidak sibuk saya akan berikan tumpuan sepenuhnya pada mereka terutama pada anak-anak perempuan saya. Saya juga boleh bekerja dari rumah, jika Que sibuk saya boleh berada di rumah. Bila Que ada di rumah saya boleh keluar bekerja,” luah Linda.
Tawaran Berlakon Untuk Anak-Anak
Menyentuh tentang telatah Tengku Ratu, 9 dan Tengku Cleopatra, 7, Linda sambil tersenyum bercerita tentang anak-anaknya yang pernah berlakon dan beraksi di pentas fesyen.
“Tengku Ratu pernah berlakon dan kedua-dua puteri saya pernah dijemput beraksi di pentas fesyen. Sebelum ini Tengku Cleo pernah dapat tawaran berlakon dan kami tanya dia nak berlakon ke tak? Dia boleh bertanya berapa bayaran dan kalau dapat bayaran nak diserahkan kepada dia terus jangan bagi pada Mummy atau Daddy,” ungkap Linda sambil tertawa apabila mengimbas kembali telatah anaknya itu.
Sokong Minat Anak-Anak
Ditanya adakah anak-anaknya juga minat dalam dunia seni terutamanya seni tarian, Linda akui sememangnya dia dapat perhatikan minat tersebut memang ada pada diri dua puterinya.
“Saya sebagai penari dan cikgu tari, suami pula terlibat dalam seni. Bohonglah jika saya tak gembira jika ada anak yang ikut jejak kami. Terpulanglah pada mereka samaada nak ikut ke tidak asalkan mereka lakukan benda yang baik.
“Tengku Ratu saya nampak dia suka menari dan ada bakat. Tapi dia jenis yang cepat mengalah. Bila dia menari salah langah dia akan putus asa. Tapi sebagai ibu dan bapa akan beri ajaran yang terbaik buat anak-anak.
“Tengku Cleo pula beritahu dia nak jadi seorang penyanyi pop satu hari nanti. Masing-masing masih kecil jadi masih berangan nak jadi apa nanti bila dewasa. Sebagai ibu bapa, kami mendorong dan menggalakkan apa yang mereka minat. Sebab itu kami hantar anak-anak ke kelas tarian balet dan gimnastik serta kelas muzik Jazz. Bakat sudah kelihatan, semuanya terserah kepada mereka,” terang Linda yang akui memang memanjakan anak-anak.
‘Me Time’ Setiap Malam
Sangat letih menguruskan keluarga dan keluar bekerja wanita ini akui setiap hari dia amat nanti-nantikan ‘me time’ terutamanya selepas anak-anak tidur.
“Paling seronok apabila anak-anak sudah tidur, setiap malam saya akan ambil masa buat air milo panas kemudian duduk menonton TV atau melayari Youtube. Pada masa inilah saya dapat menjenguk dunia media sosial. Saat-saat begini sangatlah diperlukan dan penting buat saya rehatkan minda. Sekurang-kurangnya sejam atau dua saya akan lakukan ‘me time’ ini sebelum masuk ke bilik tidur.
“Dengan kawan-kawan saya jarang jumpa dan ‘me time’ dengan mereka. Sebabnya jika saya lepak dengan kawan-kawan fikiran saya akan melayang memikirkan rumah, keadaan anak-anak dan ditambah dengan pelbagai perkara urusan kerja. Tapi saya beruntung kerana ada kawan-kawan setia dan sentiasa berhubung dengan mereka,” kata Linda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!