Masih ramai kaum isteri yang tak sebulu dengan ibu mentua, dan puncanya tak akan sama. Tetapi yang merasa tersempit, tetap golongan lelaki.
Nak dengar bleah ibu mentua atau isterinya? Ini yang mungkin pasangan suami isteri boleh renungkan dalam perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini, jangan sampai dua hati wanita kesayangan ini terluka dalam tak sedar.
Hak Ibu Mentua
Bila seorang lelaki jaga dua hati wanita, insyaAllah hidupnya akan beroleh kejayaan dunia akhirat, insyaAllah.
Wanita itu adalah ibunya dan isterinya.
Lelaki yang bijak dan berilmu, dia akan sedaya upaya menjaga hati kedua hati ini. Tanpa menidakkan doa mustajab ibu, serta kelapangan hati isteri yang akan melancarkan segala urusannya.
Ads
Sebab itu kita lihat, ramai lelaki yang diberikan kejayaan kerana berjaya menjaga kedua hati wanita ini. Lihat sahaja bagaimana santunnya Rasulullah SAW pada ibu susuannya bila datang berziarah, baginda akan membentangkan kain untuk ibunya duduk. Lihatlah bagaimana akhlak Nabi.
Lihat juga akhlak Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda yang santun lagi memuliakan mereka. Nak berjaya, ikutlah cara Rasulullah SAW. InsyaAllah.
Walau ibu kita tidak mewariskan kemewahan, ibu kita tidak berkelulusan tinggi, namun jangan sesekali kita lupa, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu.
Ads
Kita kecilkan hati ibu, di dunia lagi Allah akan tunjukkan, mungkin masa kita masih hidup, atau semasa kita nazak. Tanpa doa dan redha ibu, susahnya kita mahu menongkah ujian hidup, ibarat melangkah di dalam selut.
Ibu melahirkan kita, tetapi isteri kita melahirkan zuriat buat kita. Kedua-dua mempunyai parut kekal di tubuhnya yang menjadi saksi bahawa mereka telah berjihad melahirkan khalifah atas muka bumi ini.
Biarpun isteri kita kadangkala mencabar kesabaran, serta pelbagai hal lagi yang membuatkan hati kita tidak senang, sentiasa tajdid niat, “inilah penghulu bidadariku di syurga.” Supaya kita ingat, betapa besarnya tugas kita untuk membimbingnya.
Ads
Ibu Mentua Bukan Pesaing
Isteri yang solehah pula takkan sesekali menganggap ibu mertuanya pesaing untuk beroleh cinta suami kerana dia mengerti, ibu itu pemegang kunci syurga suaminya. Sekiranya isteri menggalakkan suami berkhidmat kepada ibubapa, semoga rahmat Allah akan memayungi rumah tangga mereka juga, insyaAllah.
Begitupun, isteri tetap mempunyai hak dari suaminya yang perlu dipenuhi, seperti hal nafkah zahir dan batin, didikan, perlindungan, kasih sayang dan menghormatinya. Tidak boleh suami menganiaya isteri, tidak menunaikan hak nafkah, memalukan serta menyakiti emosi dan fizikal isteri semata-mata kononnya untuk meraih redha ibu.
Ibu yang solehah juga akan sentiasa mengingatkan anak lelakinya agar menyantuni isteri. Isteri lubuk pahala, isteri anugerah dan amanah. Layani isteri sebaiknya sebagaimana si suami mahu bapanya menyayangi ibunya.
Jagalah hati kedua wanita ini kerana Allah. Sesungguhnya semoga kamu akan menjadi lelaki yang beruntung, berjaya dan bermanfaat di dunia dan akhirat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gaduh adik beradik, itu perkara biasa. Marah, lepas tu boleh pulak gelak ketawa bila jumpa kembali. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula darah daging sendiri.
Namun, tak semua adik beradik boleh macam tu. Jenis ada gaduh adik beradik sampai left grop keluarga, tak bercakap berbulan-bulan dan lebih teruk ada yang sampai sanggup putus saudara.
Jangan begitu, itulah darah daging kita. Tak perlu nak bergaduh atau bermasam muka. Kita tak tahu apa yang akan berlaku nanti, keluarga jugalah tempat kita akan kembali. Seperti apa yang dokongsikan oleh Nurshakinah Ahmad dalam video tiktoknya.
Adik beradik, ada sesetengah orang bergaduh bukan main lagi, sampai ‘left grop’ tak nak bercakap berminggu-minggu, block sana, sini.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula adik beradik. Ada msa alah faham, berselisih pendapat. Tapi janganlah jadi macam budak-budak. Kita yang dah matang dan besar panjang kenalah tangani dengan baik.
Doakan yang baik dan bukannya perbesarkan masalah yang ada. Bayangkan kalau dah ‘left grop’, lepas tu terhegeh-hegeh pula nak masuk grop keluarga. Kan dah malu!
Terimalah adik beradik kita sebab kita tak pilih untuk dapat adik beradik begitu tapi Allah yang pilih. Jadi, jagalah amanat dengan baik.
Sentiasa Memaafkan
Kena ingat, suatu hari ditakdirkan kita susah, mesti akan berbalik pada adik beradik dan keluarga juga. Ada beribu-ribu kawan pun, kita akhirnya akan berbalik pada keluarga.
Begitu juga hubungan suami isteri, kita sayang, romantik, bagai pinang di belah dua tapi bila dilandai badai, orang yang kita akan rujuk dan balik pada keluarga kita juga.
Jadi, sentiasalah memaafkan dan doakan yang baik-baik untuk adik beradik dan keluarga kita.
Mingguan Wanita : Tak perlulah nak gaduh, dengki atau iri hati. Susah macam mana sekalipun, dengan adik beradik juga kita minta tolong.
Dilema apabila usia makin bertambah namun jodoh belum juga sampai. Ditambah pula bila orang sekeliling desak untuk kahwin. Itu yang dialami oleh gadis ini. ikuti pengakuannya.
Dalam Dilema
Assalamualaikum puan. Saya berusia 39 tahun, berkerjaya mantap dan masih bujang. Saya sedar, pada usia ini, orang sudah ‘cop’ saya sebagai andartu (anak dara tua). Saya tak kisah orang nak bercakap apa saja tentang diri saya. Tapi apabila ahli keluarga sendiri yang bercakap, saya rasa jauh hati.
Saya anak ketiga daripada enam beradik. Semua adik-beradik yang lain sudah pun mendirikan rumah tangga. Kakak sulung berusia 44 tahun ada anak empat, kakak kedua berusia 42 tahun sudah ada anak dua. Manakala adik lelaki yang berusia 37 mempunyai anak dua dan isterinya sedang hamil anak ketiga, adik perempuan yang berusia 35 tahun ada tiga anak dan adik bongsu lelaki yang berusia 32 tahun sudah ada lima anak. Bermakna saya ada 16 anak sedara!
Tumpang Kasih Sayang
Hidup saya tidak sepi dengan adanya anak-anak saudara yang ramai. Adik perempuan saya sekeluarga hanya tinggal di sebelah rumah mak dan ayah. Manakala saya sendiri memang tinggal bersama mak dan ayah. Boleh dikatakan sepanjang masa tiga orang anak adik yang berumur 10, 9 dan 6 tahun berada di rumah mak dan ayah.
Lebih-lebih lagi bila adik dan suaminya bekerja, anak-anaknya akan makan dan bersiap di rumah mak dan ayah. Malam selepas makan malam baru mereka balik rumah. Bahkan selalu juga tidur di rumah atuk dan nenek saja. Dengan mereka bertiga saya paling rapat, umpama anak sendiri. Tempat saya menumpang kasih. Bila keluar berjalan-jalan, sering kali mereka dianggap anak-anak saya apatah lagi mereka memanggil saya ‘mummy’.
Dalam Dilema Dan Rasa Tertekan
Saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Namun bila mak yang sejak akhir-akhir ini asyik memerli saya agar cepat kahwin, saya rasa tertekan. Saya boleh pekakkan telinga jika orang lain bercakap, tapi bila mak sendiri yang bercakap, saya tak boleh nak cakap apa. Mungkin kerana umur saya hampir mencecah angka ‘4’ buat mak rasa gusar.
Puan, bukan saya tak nak kahwin tapi belum jodoh. Bukan saya tak pernah bercinta, pernah dua kali bercinta tapi tiada jodoh. Bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih. Takkan nak cari lelaki yang muda? Setahun dua okaylah. Tapi kalau lebih lima tahun, rasa macam bercinta dengan adik pula.
Ramai lelaki yang cuba pikat tapi kebanyakan suami orang. Maaf, bukan nak riak, tapi kalau boleh saya akan elakkan kahwin dengan suami orang. Tak sanggup lukakan hati wanita lain.
Puan, bagaimana saya nak berterus terang dengan mak supaya faham dengan perasaan saya? Tidak lagi mendesak saya berkahwin? Saya buntu dalam dilema.
Gadis Pilu, KL
JAWAPAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamualaikum cik yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan semua orang mahu bahagia… bahagia dengan keluarga, pasangan dan anak-anak. Daripada ini dapat berkongsi kasih – memberi dan menerima kasih sayang daripada orang yang siginfikan dalam hidup. Namun ada juga orang yang bahagia hidup berseorangan. Mungkin dia juga mahu hidup bahagia dengan mempunyai keluarga sendiri, namun keadaan belum mengizinkan lagi. Bukan mudah utuk mendapat suami yang baik dan bertanggungjawab, apatah lagi membelai isteri dengan kasih sayang yang menjadi idaman setiap wanita.
Anak Dilema, Keluarga Risau
Mana-mana ibupun mahukan kebahagiaan anaknya. Salah satu bahagianya seorang ibu adalah apabila melihat anaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Apabila melihat anaknya belum mempunyai pasangan, sudah menjadi kelaziman soalan-soalan atau kata- kata yang tidak sedap didengar oleh anak. Pada ibu asalkan anaknya berkahwin dengan lelaki yang baik sudah memadai. Namun pada anak mungkin tidak. Cik ada menyebut dalam tulisan cik….. “bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih.…
Perkataan memilih itulah yang mungkin dilihat oleh ibu sebagai halangan kepada cik untuk berkahwin. Cik kata cik bahagia dengan keadaan sekarang. Bagi seorang ibu tidak sama seperti apa yang dilihat oleh anaknya. Bahagia bagi cik tidak semestinya bahagia buat seorang ibu.
Ibu dikelilingi oleh masyarakat yang kerap bertanya kenapa cik tidak berkahwin lagi. Ini menyebabkan ibu tidak gemar dengan keadaan cik, walhal ibu lihat puan ada rupa, ada pekerjaan yang baik. Maka mustahil untuk sukar mendapat pasangan hidup. Walhal adik beradik lain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang sama seperti puan. Jodoh mereka ada, walaupun tidak sempuna seperti yang diinginkan.
Cik, jika kita terlalu memikirkan “kesempurnaan” dalam memilih jodoh, maka kita akan akhiri dengan hidup membujang. Puan pada masa kini di kelilingin anak saudara yang hidup bersama cik. Di kala cik muda dan bertenaga. Cuba bayangkan apabila cik sudah mencecah umur 70-an, sakit demam. Adakah cik yakin mereka yang sudah berkeluarga sendiri akan menunggu dan merawat cik?
Inilah antara kebimbangan lain yang dilahirkan oleh ibu cik dengan kata-kata yang cik tidak suka. Pada ibu, mungkin sifat cik yang memilih menyebabkan puan tidak bertemu jodoh. Bukan tidak ada, tetapi disebabkan kesukaran dalam memilih, maka usia cik berlalu begitu sahaja. Tahukah cik bahawa peratus wanita yang tidak berkahwin kini ramai? Jika cik bahagia, maka tidak perlu gusar dengan soalan-soalan yang ditanya oleh ibu mahupun ahli keluarga yang lain.
Dilema Andai Cari Kriteria Idaman
Kesempurnaan kriteria yang diidamkan itu mungkin satu dalam sejuta. Kebarangkalian untuk dapat sukar bukan? Jika cik tidak bersifat memilih, maka cik boleh serahkan urusan itu kepada ibu untuk memilih jodoh. Asalkan cik memberi ruang dan peluang untuk berkahwin. Pastinya ibu akan mencari lelaki yang baik untuk anaknya…bukan lelaki yang menjadi idaman anaknya.
Persoalannya adakah cik masih meletakkan kriteria tertentu untuk lelaki yang menjadi calon suami? Jika masih ada, maka sukar untuk bertemu jodoh… dan jika kata-kata yang keluar dari mulut ahli keluarga puan tidak boleh terasa…kerana itu adalah kebiasaan bagi ahli keluarga kepada anaknya yang sukar untuk berkahwin.
Kerjaya setakat mana sahaja…sampai masa akan bersara…sampai masa kita akan tinggal keseorangan. Ini yang ahli keluarga cik bimbang. Namun cik tidak melihat ini sebagai masalah.
Abaikan Cakap Orang
Justeru, jika cik ingin meneruskan kehidupan tidak berkahwin, maka cik perlu ada kekuatan diri yang tidak kisah apa orang kata. Ramai juga orang tidak berkahwin yang bahagia. Cik boleh juga mengambil anak angkat seorang atau dua buat peneman di hari tua. Cik boleh saja melibatkan diri dengan pertubuhan NGO untuk membantu manusia lain. Sehingga cik merasa hidup cik penuh bermakna. Namun, jika cik kasihkan ibu, pastinya cik boleh “berkorban” sedikit kriteria yang ditetapkan untuk mendapat calon suami.
Berkahwinlah, asalkan suami itu baik dan bertanggungjawab. Jangan kisah soal pendapatan, asalkan dia mahu bekerja, hidup insya-Allah akan bahagia. Sesuaikan diri dengan keadaan dan pasangan, yang kurang dan tidak sempurna itu, berikan “sedekah” kepadanya. Insya-Allah cik akan dapat ganjarannya. Kalau tidak di dunia, insya-Allah di akhirat…bahkan apa yang cik berkorban ini sebenarnya “hadiah” buat ibu….meskipun cik tidak mahu berkahwin, namun dengan membahagiakan ibu, insya-Allah, akan memberi kebahagiaan itu buat cik…Wallahuallam.
Artikel: Hajah Maimunah Muhamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kos hidup yang tinggi di bandar membuatkan pasangan berkeluarga terpaksa ‘menyekat’ keinginan yang diperlukan. Ada juga dikatakan perbelanjaan melebihi pendapatan sehingga pasangan suami isteri ini sanggup berhutang.
Dalam mengulas lebih lanjut tentang topik ini, Dr Hj Mohd Nor Mamat mengatakan hukum berhutang asalnya adalah harus terutama apabila ada keperluan yang memerlukan modal ataupun harta untuk digunakan dalam kehidupan kita.
“Malah Islam menggalakkan kita supaya bantu- membantu dan salah satunya adalah memberi hutang kepada mereka yang memerlukan. Walau bagaimanapun, berhutang untuk tujuan memenuhi keinginan tambahan seperti perhiasan atau semata-mata untuk bermewah-mewah, ia tidaklah digalakkan dan boleh menjadikan diri kita terbiasa dengan sikap berhutang. Akhirnya membebankan untuk kita membayar balik,” terangnya.
Tahu Tujuan Keperluan
Ada sesetengah perbelanjaan diharuskan untuk berhutang. Contohnya, dengan tujuan menjaga keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda kita. Inilah dinamakan tujuan-tujuan keperluan dalam kehidupan kita ataupun maqasid syariah.
Ia juga tertakluk kepada pertimbangan tahap keperluan sesuatu yang diinginkan dengan berhutang tersebut, iaitu perkara keperluan asasi sahaja (dharuriyyat) seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, kenderaan dan pendidikan asas.
Manakala keperluan berbentuk bermewah-mewah dan tujuan menambah keselesaan (hajiyyat), sepatutnya kita elakkan daripada berhutang. Apatah lagi, sekiranya untuk sekadar penambahan yang tidak diperlukan ataupun untuk perhiasan semata-mata (tahsiniyyat).
Pertimbangan keutamaan yang perlu didahulukan adalah untuk menentukan keperluan berhutang. Contohnya, dalam menyediakan makanan 3 kali sehari, tempat tinggal untuk keluarga sama ada sewa mahupun beli, pakaian untuk dipakai seharian (tidak termasuk untuk berhias-hias ke majlis tertentu). Kita dibenarkan berhutang sekiranya kita tidak mampu menyediakan perkara asas begini.
Namun tidak dinafikan, wujud keadaan yang boleh tukar terma pendapatan berkala ataupun gaji bulanan kita dalam bentuk pendahuluan sebagai hutang. Contohnya, membuat pinjaman tunai dengan terma pembayaran ansuran bulanan secara potongan gaji secara tetap. Ini termasuk dalam hutang yang tidak membebankan atau yang disuruh segerakan pembayarannya seperti hutang biasa. Walau bagaimanapun, ia perlulah secara terancang dan ikut kemampuan.
Apa Patut Suami Isteri Lakukan?
Pada sudut psikologi, isteri mencadangkan pembelian manakala suami membuat keputusan. Ia lebih seimbang kerana fitrah isteri mudah cenderung kepada keperluan perhiasan manakala suami pula lebih cenderung kepada keperluan asas.
Sebagai isteri:
Elakkan daripada suka meminta-minta kerana ini disebut dalam kitab Muhimmah sebagai sikap wanita yang buruk dan tidak disukai oleh suami. Malah Rasulullah s.a.w juga berpesan tentang larangan supaya isteri jangan suka meminta-minta sesuatu apatah lagi di luar kemampuan suami.
Sebagai suami:
Haruslah diutamakan harta yang da untuk mencukupkan keperluan keluarga terlebih dahulu sebelum menggunakannya bagi tujuan lain, sehingga keperluan keluarga pula yang terbeban dengan hutang. Rasulullah s.a.w pernah menyebut tentang pemberian yang paling baik oleh seorang lelaki adalah kepada isterinya.
Sebagai isteri:
Sarankan harta untuk membantu suami kurangkan bebanan hutang, bukannya menambah hutang dengan keinginan dan permintaan keperluan anda.
Sebagai suami:
Kadang kala anda tidak tersedar yang anda memikirkan logik keperluan semata-mata sehingga menafikan fitrah keinginan isteri anda yang Allah SWT ciptakan dengan kecenderungan kepada perhiasan. Inilah hikmah ketentuan Allah dalam Al Quran bahawa perhiasan itu hanya untuk wanita sahaja.
Usah Terjerumus Dengan Masalah Hutang
Biasakan diri dengan kehidupan berpada-pada dan bersederhana (wasatiyyah) agar tidak terikut tabiat hidup bermewah-mewah.
Jangan biarkan hidup anda terikut-ikut atau meniru gaya hidup orang lain yang lebih kaya kerana ia menjadikan anda sentiasa tidak cukup dan keluh kesah.
Dalam hal ibadat, pandanglah mereka yang lebih banyak beribadat agar kita cemburu untuk memperbanyakkan ibadat tetapi dalam hal harta, pandanglah mereka yang lebih miskin agar kita lebih berpada dan bersyukur.
Tip Belanja Berhemah
Biasakan beli secara tunai dan tepat dengan kemampuan semasa.
Merancanglah untuk membeli agar dapat dipertimbangkan keutamaan berdasarkan kepada kemampuan kewangan.
Berbincang sekiranya membabitkan pembelian perkara besar ataupun dalam hal keperluan berhutang, supaya ada pro dan kontra.
Belilah sesuatu dalam kemampuan untuk membayarnya dan berhutanglah pada kadar yang mampu dibayar dalam tempoh terancang.
Elakkan berhutang dengan mengharapkan tuah masa depan untuk membayar balik, ataupun dengan mengharapkan perubahan keadaan ekonomi yang lebih baik. Islam tidak membenarkan kita bergantung kepada tuah, nasib ataupun kemungkinan semata.
Saranan Buat Suami Isteri
Mahirkan diri dengan skil pengurusan kewangan mengikut keutamaan (fiqh awlawiyyat), perkara dharuriyyat(sangat perlu), perkara hajiyyat (memudahkan) dan perkara tahsiniyyat (aksesori).
Jadikan amalan yang berterusan dengan berdoa setiap selepas solat agar dimurahkan rezeki, diberi keberkatan hidup dan dihindari daripada bebanan hutang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...