Bagi ibu mengandung ada diabetes, berpuasa di bulan Ramadan memerlukan perancangan yang teliti di samping nasihat doktor.
Menurut Pakar Runding Endokrinologi Hospital Putrajaya dan Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr. Zanariah Hussein, wanita yang mengandung dengan diabetes, kalau diabetes adalah ringan dan kawal dengan kawalan pemakanan sahaja, selalunya tidak ada masalah untuk berpuasa.
“Sekarang ini sebilangan wanita yang mengandung dengan diabetes, doktor pun ada mengesyorkan ubat biji. Ubat biji Metformin ini juga tidak menyebabkan gula turun mendadak.
“Mungkin dengan perbincangan dan tengok cara komplikasi kawalan, mungkin boleh berpuasa.
“Tetapi kebanyakan pesakit diabetes yang mengandung, terutamanya mereka sudah ada diabetes sebelum mengandung atau pun semasa mengandung baru timbul dan tahap gula tinggi, mereka perlu suntikan insulin.
“Selalunya 4 kali suntikan sehari. Dan suntikan insulin ini boleh kalau tidak diseimbangkan dengan pemakanan yang betul seperti berpuasa boleh menyebabkan hipoglisemia (paras gula dalam darah rendah).
“Janin dalam kandungan sangat sensitif kepada perubahan gula dalam badan. Gula rendah, gula tinggi, Beberapa jam begitu adalah satu risiko besar untuk janin itu. Dan ia boleh menyebabkan keguguran kalau tahap kawalan gula yang tidak stabil.
“Itu sebabnya selalunya kita beritahu semua pesakit diabetes yang mengandung dan ada suntikan insulin terutamanya kalau kawalan tidak baik untuk menjamin keselamatan janin dan diri, lebih baik tidak berpuasa.
“Lagipun mereka (ibu mengandung) boleh bayar fidyah. Selepas itu kalau boleh dalam masa lepas bersalin, mereka boleh ganti puasa,” ujar Dr Zanariah semasa sidang video bersama media baru-baru ini.
Bengkel media ini dilakukan untuk menerangkan hasil kajian antara Nestle Health Science dan Universiti Putra Malaysia berkaitan Pelan Pemakanan Ramadan bagi membantu penghidap diabetes jenis 2 berpuasa dengan selamat.
Baca ini juga: pelan-pemakanan-untuk-penghidap-diabetes-jenis-2-bantu-berpuasa-dengan-selamat
Menurut penyelidik utama dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof, ibu mengandung perlu meneruskan pengambilan suplemen seperti yang disarankan oleh doktor mereka.
“Suplemen yang disyorkan oleh doktor seperti kalsium dan asid folik perlu diteruskan seperti biasa. Manakala berkaitan diet pemakanan dalam sehari, ibu mengandung kena pastikan semua kumpulan makanan ada.”
“Antaranya paling utama adalah susu. Yang kedua adalah sumber protein seperti ayam, ikan atau daging. Berapa banyak? Sebesar saiz tapak tangan itulah saiz protein yang diperlukan.
“Kumpulan karbohidrat seperti sedikit nasi sebesar satu hingga satu setengah genggam tangan. Diikuti oleh sayur-sayuran dan buah-buahan. Itu antara pemakanan yang perlu ibu mengandung ambil ketika sahur dan juga berbuka puasa.
“Kemungkinan hendak makan sekali banyak tidak boleh. Kita boleh ambil hidangan kecil dengan kerap antara waktu berbuka dan juga waktu moreh.
“Walau apa pun, disebabkan ibu mengandung ada diabetes ini golongan berisiko, dinasihatkan mereka mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan,” Ujar Dr Barakatun Nisak.
Baca sini juga: walaupun-berpuasa-tetap-boleh-ambil-8-gelas-air-ini-caranya