‘Basuh Pinggan Sebiji Pun 5 Minit’ Fuh! Mencabar Bila Minta Anak Perempuan Buat Kerja Rumah

Share

Mak anak ramai ini cabarannya memang tak terduga. Lagi-lagi bila minta anak buat kerja rumah. Kalau tak sabar, mak bukan takat jadi tarzan, naga.. gorilla semua keluar. Apa pun membesarkan anak agar mereka memahami tanggungjawab bukan satu pekerjaan yang enteng.

Sebenarnya, baik perempuan mahupun lelaki, mereka perlu diajar tanggungjawab buat kerja dapur. Sama rata. Inilah yang cuba disampaikan oleh Puan Farizah Shamsudin, 43.

Ibu anak 5, yang mana masing-masing berusia antara 7 tahun hingga 17 tahun. Cuma, kali ini anak perempuan kecilnya, Syahindah Humaira, 7 tahun menguji kesabarannya sebagai ibu. Bila diminta buat kerja rumah.. buat tak dibuat. Tapi ‘slow’ yakmat. Macamana ibu ini tunjukkan reaksi?

 

Terdengar Keluhan Berat Bila Diminta Basuh Pinggan

Selesai makan, dia letak pinggan ke dalam sinki. Basuh tangan laju-laju dan bersedia untuk beredar….

Haipp…!”

Langkah terhenti.

Mata terkebil-kebil pandang mama yang tiba-tiba dah tercegat di belakang.

Basuh pinggan!”

Pantas mama bagi arahan sebelum dia sempat lari jauh-jauh. Terus dia balas dengan muka macam kucing lemas kena siram air.

Alamaaak… tak sempat Syahindah nak jadi patung.”

Terdengar satu keluhan berat sebelum dia perlahan-lahan berpaling semula ke arah sinki. Wajah kecewa kerana hajat yang terputus di tengah jalan.

Dia Buka Air Laju-laju, Main Air Sabun

Kurang satu minit, riak wajah itu dah bertukar rupa, bersinar-sinar macam matahari baru terbit. Rupanya ada mentol sedang menyala-nyala dalam minda!

Dia buka air laju-laju. Tadah pinggan kotor. Tutup air. Celup span dalam air sabun. Perah span sampai kempis. Isi penuh-penuh dalam pinggan sampai berbuih-buih. Celup lagi. Perah lagi. Ulang lagi dan lagi. Wajah bahagia tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Syahindah ni memang suka main sabun.”

Mulut bersuara tanpa ditanya. Konon macam Chef Wan dalam rancangan masakan. Sambil campak ramuan sambil ajar. Gitu.

Mama perhatiiii saja dengan nafas turun naik. Ingatkan dah menang tanpa bertanding, rupanya ada ujian tahap dua. Ini ujian maha halus. Melibatkan jiwa dan raga. Tak mahu kalah, terus mama meratib laju-laju dalam hati.

Biarlah, asalkan bahagia…’
Biarlah, asalkan bahagia…’
Biarlah, asalkan bahagia…’

Selepas beberapa ketika, akhirnya dia pun angkat tinggi-tinggi pinggan yang dah siap berbasuh sambil sengih lebar-lebar tayang gigi.

Ok, dah bersih!”

“Thank you Syahindah!”

Saya hadiahkan dia ciuman paling manis. Paling bersari!

Fuhh! Hampir berjanggut kali ini mama terpaksa tunggu dia selesai membasuh sebiji pinggan. Ya, hanya sebiji pinggan untuk tempoh lima minit. Mengigil buku lali! Hati pun dah ada percikan api.

Mencabar Bila Minta Anak Buat Kerja Rumah

Begitulah. Cabaran nak minta anak buat kerja rumah bukan calang-calang. Nampak remeh, tapi penting. Tak selamanya berjaya dan tak selamanya juga gagal. Ada hari saya mampu tersenyum sampai ke telinga. Ada ketika saya mengamuk macam singa!

Isu culas? Biasalah. Sedangkan dewasa pun sarat dengan isu lari dari tanggungjawab, inikan pula kanak-kanak yang baru kenal hidup.

Lalu cabaran kita sebagai ibu bapa adalah memahamkan mereka bahawa tanggungjawab itu bukan sejenis hobi yang kita punya pilihan untuk melakukannya atau tidak. Sebaliknya, ia adalah satu kemestian yang mahu tidak mahu, satu hari nanti kita memang perlu ambil tahu dan buat!

Lalu, bagaimana mahu membiasakan anak-anak untuk menerima tanggungjawab tanpa berdolak-dalik lagi. Atau muka masam mencuka. Atau bertolak-tolakkan sesama mereka. Abang suruh adik. Adik jeling kakak. Kakak jegil pada adik-adik.

 

Akhirnya Ibu Praktik 3 Pendekatan : ‘Berdesup Anak Buat Kerja Rumah’

Peringkat 1 – Pendedahan

Haramkan ayat ini dalam hidup kalian – ‘Tak apa. Dia masih kecil lagi’.

Ini ayat makan diri namanya. Tidak perlu terlalu terikat dengan umur. Peringkat umur yang sesuai untuk mula didedahkan dengan tanggungjawab, sangat subjektif. Dua tahun? Tiga tahun? Empat tahun? Tidak ada masalah jika mereka sudah menunjukkan tanda-tanda berminat untuk turut serta melakukannya. Kita lebih kenal kemampuan mereka.

Nampak mereka dah boleh diharap angkat pinggan? Biarkan.

Takut pinggan mahal pecah? Bagi pinggan plastik.

Dah boleh jemur baju? Silakan.

Yang penting, berikan pendedahan dengan tugasan yang mudah. Jangan sesekali memandang rendah kebolehan mereka berdasarkan faktor umur. Potensi anak-anak berbeza antara satu sama lain. Pendedahan dapat memancing kebolehan dan kemahuan mereka.

Mulakan dengan tanggungjawab untuk diri sendiri dulu. Kemudian baru luaskan untuk bantu orang lain juga. Biar mereka berasa diri mereka sama penting dan diperlukan, seperti orang lain.

Peringkat 2 – Pemahaman

Biar dia faham, di peringkat awal yang diutamakan adalah USAHA. Bukan hasil.

Jadi, nampak hasil yang kurang memuaskan, usahakan ’wat lek wat pis’ saja. Baiki dan bimbing dari masa ke semasa. Salah satu sebab manusia kecundang sebab dia tak mendapat kepercayaan. Bila tak dipercayai, keyakinan dirinya akan merudum. Benda yang mudah pun akan jadi sukar. Practice make perfect! Lama-lama oklah….

Yang penting, hargai usaha dia. Puji. Itu perlu sebagai makanan motivasi. Puji pada setiap peningkatan. Bukan hanya tahu marah pada kesalahan sahaja. Biar mereka tahu, kita sedar dan peka dengan setiap usaha yang mereka buat. Gagal atau berjaya, raikan.

Kita mahu mereka terbiasa membantu kerja rumah tanpa rasa terbeban. Malah meraikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Nampak dia terkial-kial? Tak apa. Jangan cepat sangat cair kalau anak buat muka simpati. Belajar ‘membaca’ fikiran dia. Kalau nampak seolah dia memang nak lari dari tugas dengan sengaja, maka wajiblah keraskan hati. Ini ujian jiwa raga. Perlu ketahanan mental yang tinggi kalau nak lihat hasilnya yang baik di masa akan datang. Tunjukkan bahawa hati kau keras macam Roy! Langsung tidak terjejas atau terancam dengan sebarang propaganda.

Kalau dia nampak stres dan perlu bantuan, tawarkan bimbingan. Bukan ambil alih. Ingat ya. Bukan ambil alih!

Penting untuk mereka faham bahawa jika mereka tak lakukan sendiri, tak ada siapa yang akan buatkan untuk mereka. Jangan mudahkan jalan untuk mereka lari daripada tanggungjawab.

Peringkat 3 – Penguatkuasaan

Kalau kita sejenis manusia yang malas nak ulang arahan banyak kali, ambil kertas dan tampal di dinding. “Basuh pinggan selepas makan.” Contoh cenggini ha! Nak lagi power, kau ikut mereka macam bayang-bayang selagi tugas tak diselesaikan. Biar stres sampai ke urat nadi.

Itulah yang saya lakukan jika saya dapat kesan siapa yang punya angkara. Saya akan kejar sampai ke lubang cacing! Huh! Dah beritahu berkali-kali, lagi mau lari? Tidak hairanlah untuk hal yang satu ini, sehingga sekarang mama kekal dengan gelaran singa, abah… arnab.

Kalau perlu ulang sehingga 365 hari berturut-turut, silakan.

Kesulitan hari ini adalah untuk kesejahteraan masa hadapan. Gitu.

Sumber/Foto : Farizah Shamsudin

Published by
Netty Ah Hiyer