Seorang perempuan, walau pertama kali melahirkan anak dia akan dianugerahkan naluri keibuan yang kuat terhadap anaknya. Bukan hanya dapat membaca bau anaknya dari kecil, malah ibu dapat hidu benda tak elok kalau berlaku sesuatu pada anak. Inilah kelebihan yang kaum wanita dapat apabila statusnya bertukar menjadi mak-mak.
Apa lagi kalau anak-anak sudah meningkat remaja, berkawan dengan sesiapa saja di luar dan berjumpa dengan macam-macam jenis manusia. Seperti yang Puan Intan Dzulkefli kongsikan kali ini, dengan berita-berita yang dahsyat di dada-dada akhbar dan media sosial, membuatkan sedikit sebanyak kaum mak-mak bertambah risau tentang pergaulan anak-anak. Dalam usia meningkat remaja, manalah boleh nak disekat.
Nak tak nak, mak-mak perlu lepaskan anak-anak hidup berdikari dan keluar mencari ilmu baru. Apa yang patut mak-mak buat, jemput baca…
Ada urusan sikit di luar, angkutlah anak-anak solehah bersama walau bagaikan hendak berperang. Waktu hendak membelok ke simpang, nampak seorang ibu sama-sama berpayung di sisi remaja perempuan yang lengkap berpakaian sekolah. Fikir saya, si emak menemankan anaknya itu ke sekolah.
Terus pandang saya anak-anak di sisi. Cuba membayangkan di masa depan. Ketika anak-anak bersekolah menengah kelak, saya pun tak pasti apakah Allah izin saya hantar dan menjemput anak menaiki kenderaan atau sama seperti wanita tadi yang akan berjalan kaki.
Teringat ibu di kampung yang setia menjemput dan menghantar saya ke sekolah, dari sekolah tadika, rendah, menengah hatta sudah masuk universiti. Ibu akan hantar setakat yang dia mampu.
Bila ditanya orang kepada ayah, mengapa tak dibiarkan sahaja kami pulang sendiri, kata ayah, anak perempuan perlu dijaga rapi maruah dan keselamatannya.
Subhanallah.. moga Allah balas segala lelah itu dengan syurga tertinggi, amiin amiin.
Sesekali dahulu, ada juga kami adik beradik jalan bersama balik sekolah. Kadang berlumba dengan anak jiran, siapa sampai dahulu, sambil bergaduh mengejek. Aduh memori sungguh.
Suasana dan cabaran zaman ini tak sama seperti zaman dahulu. Zaman sekarang, predator ada di mana-mana. Nak biarkan anak-anak berjalan pulang sendiri memang perlu fikir ribuan kali. Anak-anak ibarat emas permata yang tak boleh ditayangkan berlama-lama di luar. Terutamanya yang masih di bawah umur. Tidak kira lelaki atau anak perempuan, berdepan dengan pedofilia mahupun pemangsa yang sentiasa mengintai peluang.
“Anak perempuan ni cabarannya bila dia dah anak dara nanti. Jarang malam dapat lelap nyenyak melainkan sentiasa memikirkan keselamatannya, keadaannya dengan siapa dia berkawan, berhubungan, keluar bersama.. risauuu..”
Kata ibu sewaktu saya duduk bersama memerhatikan keletah Maira dan Insyirah.
Jadi ibu kena sentiasa peka, percaya naluri keibuan. Kadang predator bukan di luar rumah pun, melainkan di dalam rumah, yang kita sangkakan pelindung, namun rupanya syaitan bertopeng manusia, bertuhankan nafsu. Nauzubillah min zaliq.
Jika baca tinta pengasas Baitus Solehah, terlalu banyak kes sumbang mahram terjadi apabila anak pulang ke kampung, atau kes di mana isi rumah terlalu ramai hingga sukar menjaga aurat dan ikhtilat. Ayah, atok, pak sedara, sepupu, semuanya boleh jadi syaitan bila dirasuk nafsu.
Robek hati bila membaca banyak kes ‘haruan makan anak’ yang dikuburkan kerana ibu hanya mendiamkan. Alasannya, ‘nanti tiada siapa nak bagi makan kalau bapak masuk penjara.’ Allahuakbar. Astaghfirullahal adzhim.
Oleh itu, seorang wanita apabila sudah menjadi ibu, pasakkan doa, harap dan tawakal setingginya kepada Allah, bukan kepada makhluk. Allah will provides, insyaAllah. Allah-lah yang akan mencukupkan. Kerana bila kita menjadi ibu, sampai akhir nafas kita menanggung amanah itu. Hak anak perlu dibela walau dizalimi oleh orang yang kita cinta. Allahuakbar.
Ibu, walaupun jasad kita dikatakan lemah, dari kedua tulang punggung kitalah yang menanggung berat dan sakitnya mengandung dan melahirkan anak-anak. Kadang kerana anak-anak, badan yang tidak sihat pun dipaksa-paksa kerana anak-anak memerlukan khidmat. Allahu..
Demikianlah.. bukan mudah menjadi seorang ibu yang amanah. Kadang tiada ayat mampu mencoretkan pengorbanannya. Barulah kita mengerti mengapa darjat ibu amat tinggi hingga doanya tiada hijab buat anak-anaknya.
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah orang yang paling utama aku harus berbakti?’
Nabi SAW menjawab; “Ibumu!” Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’
Nabi SAW menjawab; “Ibumu!’
Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Baginda menjawab; “Ibumu.”
Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi SAW pun menjawab,
“Kemudian ayahmu.’”(HR Bukhari dan Muslim)