Hidup orang perempuan yang dah bergelar isteri dan ibu ini tiada lainlah untuknya mencurah kasih melainkan diberikan kepada suami dan anak-anak. Bila dia bekerja, diserahkan sedikit untuk majikannya.
Yang benar-benar setia, wanita akan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Menjaga suami dan anak-anak dengan sepenuh perhatian. Tanpa dihiraukan sakit pening dirinya. Tapi jika mak-mak keterlaluan dalam mengatur kehidupannya ia akan memakan diri.
Menghilangkan sifat cantik yang ada pada dirinya. Inilah yang pernah terjadi dalam hidup Basyirah Ahmad. Apabila dia terlalu mencari kesempurnaan dan akhirnya kecundang dalam stress. Sampai satu masa dia praktikkan 5 tip untuk mendapatkan kembali ketenangan hatinya itu.
Dulu Saya Spesis Mak-mak Keturunan Naga
Basyi ni dulu spesis mak mak keturunan naga juga. Sehari rasanya 5-6 kali anak anak rentung kena semburan berapi.
Mungkin dengan bapak budak tu sekali terasa bahangnya sekali.
Mak paling stress dalam dunia la kekdahnya.
Basyi dulu banyak SOP yang bukan bukan dalam urusan harian.
Cerewet tak menentu la kata orang.
Rasa rasa, kebanyakan pompuan camtu jugak la.
Satu perkara yang boleh buat Basyi cepat meletop, menyinga dan terbakar jiwa adalah rumah yang bersepah tak tentu hala.
Kita ni kadang bangun pagi dengan mata yang tak berapa nak buka lagi, dah melilau tengok rumah bersih ke tidak. Ada mainan bertaburan atas karpet ke tak.
Kalau ada jumpa rambut rambut yang bergelimpangan atas lantai, kita sapu dengan tangan dan buangkan.
Itu hal pagi.
Balik Kerja Terus ‘Berperang’ Di Dapur
Balik kerja, dengan tudung belum buka dan beg sandang masih di badan, badan berlengas panas macam tu, kita dah sibuk kelentung kelentang dekat dapur, basuh baju, sapu lantai segala.
Lepas tu banyak sangat SOP.
Baju yang sidai pagi kena siap lipat malam tu juga.
Baju yang dah setengah penuh dalam bakul kena basuh segera.
Yang dah siap pusing dari mesin, kena sidai jam jam tu juga.
Prinsipnya, dalam bakul tu tak boleh ada apa apa. Bakul baju tu sampai pernah bertindih dua sebab kosong sentiasa.
Lantai wajib bersapu dan bermop setiap hari. Tanpa gagal.
Pukul 11 malam kadang tak tido lagi. Pasal lantai belum berseri seri.
Sebelum tido, sinki tak boleh ada sebijik pinggan atau cawan pun.
Susun atur rumah, dua tiga bulan sekali, kita alih segala perabot tukar habis tempat dia.
Melipat pun 1 hal juga. Bucu semua kena mau sama.
Basyi ni, Kalau sesekali encik tu tolong lipatkan, Basyi diam diam bukak dan lipat balik sebab tak ikut spek yang Basyi mahukan.
Ads
Rupanya dia tahu dan terus merajuk panjang.
Terlalu Perfectionist ‘Nak Nampak Sempurna Di Mata’
Baju hujung minggu kena siap beriron bergantung untuk seminggu punya.
Yang spesis masa sidai baju susun ikut kaler pun ada juga.
Dan segala rencah mak nenek ni, selalunya kita sibuk buat semua sorang diri. Atas prinsip orang pompuan ni mampu uruskan semua perkara sendiri.
Minta tolong orang lain uruskan rumah tu tanda kita lemah dan tidak mampu menjadi supermom mengikut standard yang kita tetapkan.
Orang laki ni pulak, selagi kita tak minta tolong, dia pun ingat kita mampu uruskan semua benda.
Tapi tahu tak korang, segala susah payah ni akhirnya akan makan diri ?
Semua standard prosedur yang kita cipta sendiri ni, memang boleh bentuk kita jadi orang yang cekap dan lebih berdisiplin.
Tambah tambah, benda kecil dan detail ni memang fitrah orang pompuan. Sukakan kecantikan.
Tapi sayangnya, benda benda kecil begini bila kita terlalu terikat dengannya, akan jadi satu tekanan negatif pula untuk kita.
Bahang Stress Mula Dirasai, Sudahnya..
Ada waktunya, korang akan mula merasa bahang stressnya.
Anak tak boleh sepahkan barang sikit, kita akan cepat melenting.
Baru dia nak letak mainan dia sekejap, kita dah gelisah macam cacing tak jumpa tanah.
Terkejar kejar nak siapkan semua task dalam 1 masa.
Lepas tu mula la buat kerja dalam keadaan marah marah. Jadi tak ikhlas sikit habuk pun sebenarnya.
Bila orang lain tak ikut cara kita, kita rasa diorang tak boleh paham dengan kita.
Muka asyik masam mencuka. Lagi masam dari cuka kurma.
Ads
Hati meronta ronta nak spend masa golek golek depan TV sambil gaduh berebut remote tibi dengan anak anak dan laki, tapi urusan rumah belum selesai lagi.
Tak ada me time.
Kehendak diri rasa tak dipenuhi.
Benci.
Sampai kadang kadang kena tegur dengan encik somi.
‘Awak ada marah saya ke apa?’ Padahal orang tu tak ada salah apa apa.
Apa yang kita nak kejar sebenarnya ?
Lepas tu kita mengharapkan semua orang akan berterima kasih dengan segala jerih perih yang kita dah lakukan. Tapi tak ada pun!
Deep down, kita sebenarnya dah start tak menghargai diri sendiri.
Belajar Relaks Demi Ketenangan Hati
That’s it!
Basyi dulu pun spesis tu la juga.
Tapi Basyi dah tak nak hidup macam ni dah.
Basyi nak rilek rilek. Happy happy.
Basyi tune. Tak mudah. Tapi lama lama benda tu akan jadi biasa.
Basyi buang semua standard yang Basyi dah tetapkan.
Pinggan tak sempat basuh, biarkan.
Rumah tak sempat mengemop dan bersapu. Pejam mata sudah.
Kain setimbun belum berlipat dan bersidai. Abaikan.
Ads
Esok ada. Tak sempat esok, lusa, tulat, tungging, hujung minggu.
Rumah tu rumah kita. Selagi tak berkecah sangat, tak payah nak kecoh sangat la.
Tak sempat nak masak segala, kedai kan ada. Support la jugak depa. Anak anak pun bosan juga asyik nak makan yang kita masak punya.
Basyi belajar delegate tugas.
Awak, awak tolong buat ini boleh? Saya buat ini.ini.. Tak sempat tak apa.
Rupanya tak ada masalah pun dia nak bantu kita. Kita ja yang kalut sorang nak pulun semua dah kenapa?
And yesss. Basyi lebih happy dengan diri sendiri, dengan tok laki, dengan family.
5 Perkara Inilah Yang Sepatutnya Mak-mak Praktik Kalau Nak Awet Muda
Kesimpulannya Basyi nak cakap lepas berleter panjang panjang ni,
(1) Sayang dan hargai diri kita dulu. Baru orang lain akan start hargai kita .
Jaga diri. Kalau kita sihat dan happy, baru kita boleh jaga anak anak.
Balik rumah, siapkan diri dulu. Letak beg, mandi, silang kaki depan TV. Hihi.
(2) Tak kisah kita mak yang kerja ke, duk rumah ke, kalau kita penat, berhenti sekejap dan berehat sajalah.
Sesekali usap usap muka dan belai jerawat yang ada seketol dua, tak ada salahnya.
(3) Cari me time.
Walaupun sekejap, setakat minum kopi panas sambil kaki bersilang atas meja dan angkat majalah tinggi tinggi depan muka, dah cukup heaven dah tu.
Abaikan saja anak anak yang tengah bergusti depan mata.
(4) Jangan biarkan orang lain sibuk sibuk judge kita. Dia tak tau susah kita, hidup kita macam mana.
Kalau dia asyik nak membawang pasal kita, pekakkan telinga saja. Kalau tak tahan juga, ambil bawang putih dan tonyoh dalam mata dia. Bhahahah. Ni jahat!
(5) Kita sendiri pun jangan down grade kan diri kita.
Enjoy dengan apa yang kita buat setiap hari sebab ada momen momen dalam hidup kita tu, yang mungkin lepas ni kita takkan rasa lagi.
Bebas dari stress adalah satu kejayaan bagi Basyi.
Kalau dari dulu Basyi macam ni, mesti muka Basyi awet muda macam budak darjah 6 baru habis periksa.
Selayaknya pesanan ini disampaikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kerana 11 tahun mendirikan rumahtangga, tak pernah sekalipun beliau berputus asa berdoa dan terus berdoa. Memohon agar Allah memberikan rezeki cahaya mata kepadanya.
Dan pada tahun ke-11 itu, beliau disahkan hamil. Tahun ke-12 bergelar isteri, barulah Allah menjawab doanya yang satu itu. Lahirlah Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa pada 19 Mac 2018.
Perjalanan panjang ini memberi harapan pada wanita-wanita yang belum dikurniakan cahaya mata, bahawa rezeki anak itu pasti akan ada. Biarpun lama penantiannya.
Benarlah seperti apa yang Datuk Seri Siti Nurhaliza katakan, “Penantian inilah yang buatkan peminat ternanti-nanti. Ia jadi satu perkara yang semua orang nak tahu.”
Usaha beliau bermacam dan putus asa istilah kata untuk penyanyi bertaraf Diva ini. Penghujung tahun 2015, beliau pernah melalui fasa kesedihan dalam diri apabila alami keguguran.
Malah beliau tak malu untuk akui yang beliau jalani rawatan kesuburan ‘In Vitro Fertilization (IVF) untuk mendapatkan cahaya mata.
Serius.. bukan mudah. Tiga kali percubaan IVF perlu dilakukannya sebelum janinnya lekat. Prosesnya juga banyak peringkat. Pengorbanan untuk menjadi seorang ibu itu sebenarnya cukup besar ertinya.
“Saya rasa nak berkongsi, bagi wanita yang berumah tangga tapi belum dikurniakan cahaya mata, jangan berputus asa. Benar, orang cakap itu senang. Tapi itulah yang saya buat, saya tak pernah berputus asa, tak pernah putus doa. Yang penting sekali, sentiasalah bersangka baik dengan Allah.
“Sebab sesetengah orang itu kan bila rasa dia tak diberi rezeki akan ada kata-kata dalam hati ‘kenapa orang itu boleh dapat, kenapa saya tak boleh dapat’. Orang mula persoalkan.
“Tapi saya, dalam hati selalu kata, ‘Tak apalah Siti, Allah akan bagi pada tarikh, hari dan masa yang terbaik. Dari situlah saya selalu cakap dengan diri saya.
“Walau pun saya pergi umrah beberapa kali. Doa saya tetap doa yang sama.”
“Saya tahu Allah akan jawab suatu hari nanti. Alhamdulillah, Allah jawab doa saya. Walau pun 11 tahun tetapi tetap ada rezeki juga.”
Beri Saya 6 Bulan Untuk Pulih – Siti Nurhaliza
Justeru, bakal-bakal ibu suatu hari nanti.. janganlah pernah berputus asa. Berusahalah untuk mendapatkan rawatan yang terbaik sama ada secara tradisional ataupun moden.
Memandangkan Datuk Seri Siti Nurhaliza bersalin dalam kaedah pembedahan, beliau memaklumkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Saya harap 6 bulan dah boleh pulih. Sesetengah orang 3 ke 4 bulan dah ok kan. Saya beri masa sebegitu supaya saya sihat sepenuhnya.
“Tak mahulah cepat-cepat slim tapi mudaratkan diri. Sekarang ini, saya masih lagi atas nasihat doktor.” Akui beliau lagi dan mengharapkan Siti Aafiyah akan menjalani kehidupan normal. Namun, beliau tak menyangkal anaknya itu sedikit sebanyak akan terkena tempias ibunya yang bergelar penyanyi.
Himpunan Artikel Mingguan Wanita Ini Diharapkan Dapat Membantu Bakal-bakal Ibu Kuat Semangat Dan Tak Putus Asa
“Suami saya cakap, dia perlu ceraikan saya sebab tak mahu jadi anak derhaka.” – aduan daripada seorang wanita yang berkahwin hampir 10 tahun dengan tiga anak tetapi tidak diterima ibu mentua gara-gara ibu mentua punyai pilihan hati sendiri.
Terkini, pilihan hati si ibu mentua kembali sendiri selepas kematian suami dan si ibu mentua memaksa si anak menceraikan isterinya untuk dia uruskan perkahwinan dengan si balu pilihannya.
Ikuti Perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap di dalam majalah Mingguan Wanita. FB: https://www.facebook.com/suzana.ghazali.94
Suami Tetap Kena Taat Pada Ibunya
Seperti yang kita sedia maklum, syurga seorang anak, khususnya anak lelaki (kerana anak perempuan tertakluk kepada ketaatan kepada suami) adalah terletak di bawah tapak kaki ibu, bermula daripada kelahirannya hinggalah tika menghembuskan nafas yang terakhir.
Dalam erti kata mudah, ibu adalah segala-galanya. Seorang anak lelaki perlu mengutamakan kehendak dan kemahuan seorang ibu berbanding kehendak seorang isteri dan anak-anaknya dengan syarat permintaan si ibu tidak menyalahi kehendak syarak dan syariat. Namun, jika seorang ibu menyatakan kehendak yang boleh menyalahi kehendak syariat maka si anak tidak wajib melaksanakannya.
Patuh Syariat Atau Nafsu?
Persoalannya, apakah kehendak si ibu yang menyalahi kehendak syariat? Dalam kes awal tadi, ibu menyuruh suami menceraikan isteri yang masih dicintai dan telah mempunyai anak-anak atas sebab ibu mahu pilihan hatinya menjadi menantunya juga. Wajarkah kehendak tersebut?
Perceraian yang dibenarkan di dalam syariat perlu dengan alasan yang munasabah. Munasabah yang diambil kira ialah perkahwinan tersebut memberikan kemudaratan kepada pihak-pihak terlibat iaitu isteri dan suami. Jika semata-mata mengikutkan kehendak ibu bapa yang mempunyai pilihan sendiri, haram jika suami menceraikan isterinya.
Biar Wajar Dan Munasabah
Kalau tak ikut, tak jadi derhakakah? Perlu difahami, bukan semua kehendak ibu bapa perlu dipenuhi. Kegagalan mentaati perintah ibu bapa atas sebab yang wajar dan munasabah mengikut syariat, tidak meletakkan si anak sebagai derhaka.
Hanya Allah yang berhak memberikan status derhaka atau sebaliknya kerana ketaatan yang paling utama adalah kepada Allah. Ya, redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa tapi masih juga tertakluk sikap ibu bapa yang bagai mana?
Sebagai suami, anda wajib melayan isteri dan anak-anak dengan baik. Sama juga dengan isu kewangan. Rata-rata kes yang saya terima adalah berkaitan kegagalan suami menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga seorang ayah kerana mengikut kehendak ibu, bapa dan adik-beradik sendiri.
Secara logiknya, kes-kes seperti ini tidak wajar berlaku jika setiap anak lelaki dan setiap ibu bapa serta sanak saudara lainnya mengetahui had dan batasan kewajipan dan hak-hak mereka.
Hak
Kewajipan adalah tanggungjawab yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperoleh apabila seseorang menjalankan kewajipannya. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak.
Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tambahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumah tangga. Kewajipan seorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu barulah berkewajipan menunaikan hak seorang ibu.
Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka.
Bererti, walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumah tangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini mempunyai keutamaan untuk menunaikan hak-hak isterinya dan anak-anaknya terlebih dahulu berbanding hak ibu bapanya atau adik beradiknya yang lain. Perlu diingat juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan keperluan sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau.
Masing-Masing Ada Hak Yang Perlu Ditoleransi
Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Hak seseorang juga adalah terbatas tertakluk kepada kepentingan dan keutamaan kewajipan seseorang. Lantas, jalan terbaik ialah bersikap bersedia menerima kesederhanaan, sanggup berkongsi dan bertoleransi.
Kepada para isteri, ingatlah: suami anda adalah anak kepada seorang wanita, juga seperti anda yang akan menjadi mentua kepada seorang wanita lain bila tiba masanya nanti. Kepada para ibu, ingatlah: anak lelaki anda adalah suami kepada seorang wanita yang juga mempunyai hak sebagai seorang isteri sama seperti anda. Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insya-Allah.
Alahai orang lelaki ni tak tahulah lagi ke, kecantikan dan wanita cukup sinonim. Berbanding kaum lelaki, golongan wanita sering meletakkan kecantikan sebagai perkara utama dalam kehidupan termasuklah dari segi menjaga penampilan diri luar dan dalam. So kalau isteri dah cantik-cantik untuk suami, jangan nak makan hati pula.
Kadang kala sikap isteri yang terlalu mementingkan kecantikan membuatkan sang suami makan hati. Malahan lebih buruk, isteri seolah-olah memperlekehkan sikap suami yang kurang menjaga penampilan diri. Dr Ben Fadzil Mohd Salleh tampil memberikan penjelasan berkaitan isu ini.
Jelasnya, tidak dinafikan perempuan memang dikenali dari dahulu lagi sebagai seseorang yang menjaga kecantikan dirinya sendiri. Semua perempuan ingin kelihatan cantik walau pun sesudah kahwin dan beranak cucu. Namun begitu, tidak ada kesalahan di dalam penjagaan penampilan, malahan ia akan membuat seseorang itu kelihatan lebih menarik di mata sosial, asalkan ianya tidak menjolok mata.
Sebaiknya, apabila seorang isteri itu mencantikkan diri mereka, ianya adalah untuk suami mereka sendiri. Seorang suami tidak perlu merasa rendah diri sebab tiada siapa yang boleh mengambil isteri mereka, melainkan si suami itu sendiri melakukan sesuatu perkara seperti mengabaikan isteri-isteri mereka. Ini akan membuatkan si isteri terasa yang suami mereka tidak menghargai kecantikan isteri itu.
Malahan, perkara seperti ini akan berlaku kepada sesiapa sahaja, apabila seseorang itu kurang mendapat perhatian dari orang yang sepatutnya memberi perhatian, dia akan mula mencari perhatian di tempat lain dengan memasang badan. Orang seperti ini hanya mahukan perhatian dan Kemungkinan mencari kasih sayang dari seseorang.
Tambahnya, bagi menghindarkan diri dari perasaan merendah diri, setiap suami tidaklah boleh memandang rendah terhadap keupayaan isteri-isteri mereka. Suami perlu lebih memberi perhatian tentang kehendak, kemahuan serta keperluan naluri dan sanubari isteri mereka.
Salah Jika Over Sangat Nak Cantik-cantik
Menonjolkan kecantikan di luar rumah tanpa persetujuan si suami memanglah ketertaluan dan salah. Semua suami berhak merasa diri mereka tergugat dengan tindakan isteri menayangkan kecantikan mereka di tempat yang salah, terutama sekali di luar rumah. Ianya seperti isteri tersebut mempunyai agenda tersendiri. Seorang suami akan membuat andaian dan gambaran tersendiri. Seringkali gambaran yang negatif dan salah anggap.
Di samping itu, sikap isteri yang sedemikian juga akan membuatkan suami mungkin akan rasa tercabar dan terancam, mempunyai perasaan syak wasangka dan curiga tentang tujuan isteri sebenarnya. malah banyak perasaan negatif akan timbul termasuklah perasaan cemburu dan berbagai tanda tanya tentang tujuan dan motif seorang isteri bertindak begitu.
Selain itu, si suami akan banyak bertanya soalan-soalan dan ini akan menimbulkan perasaan tidak senang kepada kedua-dua belah pihak. Jika persoalan yang ditujukan dan tidak mendapat jawapan yang memuaskan kemungkinan akan meledakkan dan “meletupnya” sesuatu perbalahan serta ketegangan suasana. Suami pula akan meletakkan perasaan cemburu yang agak tinggi terhadap isteri.
Akhir sekali, si suami akan mula membina berbagai undang-undang dan larangan. Tanpa di sangka, si suami akan menjadi seorang ustaz instant disebabkan tindakan si isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...