Tekad ini ibu, Cik Puan Ammy mahu melengkapkan impian menyusu anaknya genap dua tahun. Dalam tempoh itu, bukan mudah sebenarnya mak-mak. Macam-macam getir ujian mak perlu lalui, sayunya bila anak nak putus susu.
Demi anak, semua diharungi tanpa rungutan. Asal anak kenyang dan membesar dengan elok. Walaupun di sebalik getir itu, ibu juga yang merasakan.
Tak lama
Beberapa tahun sahaja
Nanti kita pula yang rindu
Anak asyik menangis sahaja bila bayang ibu tak nampak
Anak asyik melekap sahaja
Anak tak nak dengan pengasuh
Anak tak nak dengan orang lain
Kita mengandung 9 bulan
9 bulan anak dalam perut
9 bulan anak rasa perasaan ibunya
Anak lahir, situasi semua berubah
Dari ruang sempit, terus ke ruang yang sangat luas
Tiada lagi bunyi degupan jantung ibu
Tiada lagi rasa kehangatan air ketuban
Dunia ini asing buat mereka
Tak selesa, nangis
Sakit, nangis
Lapar, nangis
Tak suka, nangis
Takut, nangis
Kenapa mesti hairan bila anak asyik menangis?
Apa lagi yang dia mampu selain menangis, senyum dan ketawa
Apabila anak menyusu badan, segala perasaan ibu itu anak turut akan rasa
Jika kita sedih, marah atau beremosi anak akan tolak susu kita… anak tak mahu menyusu.
Ya, anak akan memang tahu perasan ibu itu
9 bulan dalam perut
Bukan 9 hari…. Bukan 9 minggu
Sebab itu kita kena jaga emosi ketika menyusukan anak
Jangan pelik bila habis kerja,
Anak mengempeng bagai nak gila
Jangan pelik bila kurang masa,
Anak meragam serba tak kena
Jangan pelik bila menyusukan dia,
Dia tenung mata macam jatuh cinta
Dia, rindu
Selagi dia tak tahu main,
Selagi dia tak ‘busy’,
Selagi dia tak tahu leka sendiri,
Selagi tu dia akan rindu kita, rindu mengempeng, rindu tenung mata, rindu masuk jari dlm mulut, rindu dakapan kita.
Tak lama.
Beberapa tahun sahaja
Nanti, kita pula yang akan merindui mereka
Saya adalah salah seorang ibu yang sedang menyusukan anak dengan susu badan sepenuhnya atau Full Breastfeeding, pengalaman ini memang agak mencabar buat diri saya.
Saya yakin bukan saya sahaja yang rasa bergitu kerana di luar sana ramai para ibu yang sedang menyahut cabaran untuk menghabiskan fasa 1 iaitu menyusukan anak dengan susu ibu selama 6 bulan dan jika diberi rezeki oleh Allah SWT akan berlanjutan sehingga fasa ke 2 iaitu menyusukan anak selama 2 tahun penuh.
Mahsuri, anak kecil saya yang berusia 1 tahun 6 bulan menolak susu formula malah dia juga akan menolak jika saya pump susu dan bagi melalui botol. Dia mahukan yang FRESH dan jika dipaksa dia akan muntah sepanjang hari.
Pernah saya menangis sendirian jika tidak mampu menghasilkan susu yang mencukupi sekiranya keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Namun, ibu mana yang sanggup melihat anak kelaparan dan kehausan.
Saya tetap akan usahakan selagi saya mampu demi si manja saya dengan mengambil pelbagai makanan yang berkhasiat sebagai makanan tambahan untuk menambah susu contohnya seperti susu kurma, roti putih, oat atau nestum, jantung pisang dicelur dan dijadikan sebagai ulam dan sebagainya.
Jadi tidak hairan lah jika kita melihat ibu – ibu yang masih menyusukan anaknya kerap makan dan ada diantaranya mengalami masalah kenaikkan berat badan yang berterusan.
Maka para ibu harus bijak mengambil pemakanan dengan betul. Contohnya biar dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap makan. Air kosong juga perlu sekurang – kurangnya 8 gelas setiap hari. In sha Allah berat badan kita tidak akan beterusan naik.
Bonus bagi saya kerana saya bekerja sendiri, kemana sahaja saya berurusan saya akan membawa anak saya bersama dan menjaga anak saya sendiri, seronok dan bersemangat bila melihat anak membesar dihadapan mata.
Sebenarnya ini adalah pengalaman pertama saya walaupun saya telah punyai anak – anak yang lain kerana kakak dan abang – abangnya hanya berpeluang menyusu badan selama tempoh berpantang sahaja kerana saya bekerja dan waktu itu saya tidak didedahkan dengan cara penyusuan ibu yang betul.
Saya mula bekerja dengan membantu suami berniaga selepas habis pantang. Saya terpaksa mengambil risiko dengan mendedahkan anak saya yang baru berusia 4 bulan itu kepada pesekitaran dan orang ramai yang kita tidak tahu tahap kebersihan dan kesihatanya.
Kadang – kala ada juga yang mencium, mendukung dan menggomol anak saya. Maklumlah anak kecil yang masih bau syurga, sesiapa sahaja yang akan berasa geram dan sayang. Saya bersyukur kerana anak saya kuat. Tidak mudah mendapat jangkitan penyakit.
Terjaga pada waktu malam, tidak dapat tidur lena, sakit badan dan urat itu adalah pekara normal bagi ibu yang menyusukan anak dengan susu badan.
Anak akan terjaga setiap jam dan kadang – kala setiap minit untuk menyusu jika tidak dapat susu yang secukupnya kerana cepat merasa lapar dan dahaga. Namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan penyusuan ibu kepada anak saya sehingga berusia 2 tahun penuh.
Ada juga di antara ibu – ibu yang gagal menyusukan anaknya mungkin kerana faktor kesihatan atau faktor – faktor lain contohnya terpaksa meninggalkan anak dalam jangka waktu yang lama kerana bekerja atau masih lagi belajar di IPT.
Ada juga anak yang tidak sesuai dengan susu badan dan akan muntah jika dipaksa menyusu badan, ibu – ibu akan disarankan oleh pakar kesihatan untuk memberi susu formula kepada anak. Maka pilihlah susu formula yang baik dan bersesuaian dengan anak – anak.
Kepada ibu – ibu yang bimbang payudara akan kendur atau berat badan akan bertambah jika meneruskan susu badan lalu berhenti dan beralih kepada susu formula sangat rugi kerana ibu yang menyusukan anak dapat membakar kira-kira 500 kalori setiap kali sesi penyusuan.
Maka ibu yang mengalami pertambahan berat badan semasa hamil dan susah nak kurus, susukanlah anak anda dengan senang hati. Ada juga kajian menunjukkan ibu yang menyusukan anak kurang terdedah kepada risiko mendapat penyakit seperti kanser payudara, tekanan darah tinggi, diabetes, kanser uterus dan ovari.
Kini si manja saya sedang membesar dan masih bersisa 3 ke 4 bulan sahaja lagi Mahsuri akan genap 2 tahun… Sayu rasa hati jika kenangkan bila tiba saatnya nanti dia akan ‘putus susu’… Doakan saya kuat dan tabah bila tiba saat itu. Mungkin bagi kalian ianya nampak mudah. Tetapi bagi ibu – ibu yang pernah laluinya akan rasa bagaimana perasaan saya waktu itu nanti.
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy