Kalau awal-awal dah niat nak bekalkan anak makanan setiap hari, mak-mak kenalah cedok ilmu cara uruskan dapur dengan lebih bijak. Haaa… macam mana nak buat kerja ekspres di dapur, anda kena bertukar jadi chef hebat!
Bila tak tahu tip yang betul, urusan di dapur menjadi payah dan rumit. Jadi kalau nak tahu apa rahsia yang bolehkan kaum mak-mak masak setiap hari, ikut idea Puan Maslinda Mahat ini…
Disebabkan akak banyak terima soalan, bagaimana akak uruskan dapur akak sampai akak boleh bekalkan anak-anak akak setiap hari, akak rasa ada bagusnya kalau akak kongsi tips dengan adik-adik semua. Manalah tahu perkongsian ini dapat jadi motivasi kepada adik-adik kan!
Setiap hari akak memang bangun 4.30am dan ada satu jam sahaja masa untuk siapkan bekal sarapan, lunch dan dinner kami sekeluarga. Tepat 5.30am memang dah kena berhenti memasak sebab akak keluar ke pejabat jam 6.15am. Jadi masa 1 jam tu memang perlu digunakan sebaiknya. Bila dinner nanti panaskan je lauk yang masak pagi tu, tapi sayur memang masak yang baru la.
Sabtu atau ahad adalah masa untuk beli barang dapur. Kalau ayam daging udang ikan, akak memang beli cukup untuk seminggu. Bila dah balik dari pasar, pastikan bahan yang dibeli tu siap dibersihkan, baru simpan dalam peti ais. Ikan perlu disiang, udang perlu dibuang kulit, daging perlu direbus, ayam perlu dipotong kecil. Lepas tu simpan ikut portion memasak sekeluarga. Penggunaan Tupperware Freezermate memang sangat membantu sebab semua bahan masakan tu kekal segar walaupun ada yang terbabas disimpan lebih 2 minggu. Freezermate tu ada macam-macam saiz, adik pilih je nak yang macamana. Saiz 650mL tu so far paling akak suka.
Jika ada beli ayam, bahagian dada tu boleh kisarkan untuk jadi bahan penambah perasa bila memasak. Kalau ada daging lembu pun sama. Kisarlah guna Tupperware Fusion Master ke atau apa juga jenama Food Processor yang adik-adik ada. Bila rebus daging guna pressure cooker, air rebusan tu pun simpan dalam bekas & bekukan. Masakan adik-adik memang akan jadi sangat sedap bila campur dengan bahan-bahan macam ni. Air rebusan simpan dalam Freezermate yang besar pun takpe sebab bila freeze-thaw ulang-ulang kali pun tak menjejaskan rasa dia.
Sayur-sayuran selalunya akak beli cukup untuk 3 hari je. Sayur yang wajib ada dalam peti ais akak adalah salad, tomato, capsicum, cauliflower, carrot dan kobis. Ni semua sayur versatile yang tak cepat layu dan adik-adik boleh sediakan dengan cepat. Makan mentah boleh, rendam air panas pun boleh.
Penggunaan cili boh untuk memasak sangat penting. Jadi akak akan buat stok cili boh tahan sampai 2 minggu. Caranya: Blender cili kering (yang direbus dahulu) sekali dengan bawang, halia, belacan dan guna minyak sebagai cecair pelincir. Kalau kisar guna air, cili boh takkan tahan lama. Blender halus lepas tu simpan dalam Tupperware Freezermate saiz 650mL x 2 bekas atau Tupperware Snowflakes 800mL, dan letak dalam peti ais bahagian dingin, bukan beku. Selalunya akak simpan 3 minggu pun masih tak berkulat. Kalau ada air sikit-sikit tu buang je bila nampak.
Sesetengah orang suka kisar bawang dan halia siap-siap. Tapi akak tak buat macam tu. Akak memang kupas masa pagi nak memasak. Kenapa? Takde sebab apa pun, masing-masing punya cara. Jadi jangan tanya akak tau bawang kisar atau bawang siap kupas boleh simpan berapa lama. Akak memang tiada jawapan!
Dari segi agihan masa memasak, selalunya akak akan masak air panas dulu. Satu sebab nak minum air panas melegakan dahaga masa memasak. Satu sebab kadang-kadang nak cepat siapkan bahan berkuah. Lepas tu, akak akan tanak nasi dan lepas tu kupas bawang. Masa kupas tu terus kupas untuk jumlah yang diguna pagi tu. Jangan buat kerja ulang-ulang!
Bila memasak, gunakan semua dapur yang ada. Kalau adik-adik ada 4 tungku dapur, maka gunalah semua. Tapi guna api perlahan lah kalau tak biasa nak coordinate 4 tungku serentak. Kalau ada 2 gunalah jelah 2 tu. Guna konsep multi-tasking. Sambil memasak sambil potong sayur atau bahan lain. Sambil masak lauk lunch sambil masak breakfast. Jangan adik-adik dok tenung je satu masakan tu sampai masak!
Gunakan semua gadget yang boleh membantu adik-adik tangkas memasak. Kalau ada Periuk Noxxa ke Tupperware Black Series ke Tefal Non-Stick Pan ke, Turbo Chopper ke, Pie Maker ke, apa sahajalah. Semua gadget-gadget ni perlu digunakan sepenuhnya, jangan simpan jadi tukun tiruan!
Ada sesetengah orang akan sediakan bahan masakan malam sebelum tidur untuk jimat masa pagi tu. Akak tak buat macam tu. Malam-malam sebelum tidur akak cuma rancang esok pagi nak buat bekal apa dan thaw bahan-bahan yang sepatutnya. Tapi ini pilihan masing-masing, so terpulang pada adik-adik ya.
Satu bahan yang paling versatile untuk buat bekal sarapan adalah telur. Akak memang beli terus sepapan untuk dua minggu. Lagi satu, roti. Kombinasi dua ni sebagai bekal memang paling senang dan boleh dipelbagaikan.
Akak juga bagi peluang anak-anak dan suami akak untuk order bekal mereka. Tapi bukan order serentak sebab akak tetapkan, semua orang akan makan bekal yang sama. Jadi mereka akan berpeluang makan bekal favourite mereka ikut giliran. Dengan adanya idea dari diorang, sekurang-kurangnya akak dah tak payah pening fikir nak masak apa!
Apa yang paling penting, untuk konsisten memasak setiap pagi tu memang perlukan motivasi yang sangat tinggi.
Tak payah bandingkan akak yang boleh memasak bfast lunch dinner sekaligus dengan adik-adik yang baru mula nak buat bekal anak-anak. Start slow but consistent. Akak ni, mak akak dah latih akak memasak untuk mak ayah adik-adik akak sejak akak sekolah menengah. Jadi kalau adik-adik baru nak jadikan ini rutin, jangan bandingkan diri adik dengan akak. Simpan rasa kagum sekadar untuk jadikan motivasi, bukan untuk bebankan diri.
Macam akak, masa akak mula-mula kawin dulu, akak buatkan suami bekal sebab tu permintaan suami akak. Tapi bila Amirah lahir, suami dah drop permintaan tu, tapi akak pula yang akan rasa menyesal bila tak memasak. Rasa menyesal sebab bila tengahari akak nak kena ke kantin untuk makan, lauk di kantin selalu mengecewakan. Ada masanya akak malas nak ke kantin dan makan maggie atau quaker oat dengan rasa loser habis. Nak sangat tido sedap pagi tadi kan, haa menghadap maggie/quaker oat la akak! Akak paling malas nak keluar ofis untuk lunch, penat!
Jangan lupa, akak juga manusia biasa yang kadang-kadang akan ada rasa malas yang teramat sangat. Ada sesetengah pagi tu akak boleh pulak melopong atas katil cari kekuatan nak memasak, ada sesetengah pagi yang akan akan matikan loceng jam dan set semula untuk tido sampai cukup-cukup masa mandi pergi kerja je. Itu sangat normal ye adik-adik. Jadi jangan rasa stress bila ada mood macam ni. Adik-adik standby je roti krim atau roti manis sekali dengan susu kotak, sebagai ganti bekal untuk mereka. Balik kerja petang nanti, memasaklah kita lepas penat redah jem. Kot malas jugak, beli jelah lauk kedai. Haha!
Lagi satu yang menjadi motivasi akak adalah apabila balik kerja petang-petang, anak-anak akak akan puji bekal akak tu. Kalau suami pun puji sama, lagi nak melompat rasanya. Terus rasa penat memasak tu akan hilang. Tapi ada masa-masanya mereka juga akan kritik hidangan akak. Tapi akak akan berlapang dada, sebab akak cakap dalam diri, sekurang-kurangnya akak dah tunaikan tanggungjawab akak sediakan makanan yang bersih dan sihat dari rumah.
So itu jelah perkongsian akak. Semoga mendapat manfaat. Kalau nak share, silakan.