Apabila anak kecil seusia 2 tahun 9 bulan ini memperdengarkan bacaan surah dari Al Quran, Allah.. sejuknya rasa hati yang mendengar. Kita yang orang luar pun dah rasa seronok, mak dan ayahnya lagilah bahagia.
Akui ibunya, Nurul Shahida Lukman, 27 anak tunggalnya itu, Ahmad Ziyyad Bin Mohd Zahir sudah memahami, kenal ABC dan nombor sejak berusia 8 bulan.
Ibunya ada berkongsi tip mak ayah boleh mendidik anak hafaz Al-Quran seawal usia 2 tahun sebagaimana yang pernah Mingguan Wanita siarkan sebelum ini.
Agar lebih dekat dengan jiwa mak-mak, MW menghubungi ibu hafiz cilik ini bertanyakan apakah amalan-amalan yang menjadi sandarannya sejak mengandungkan Ahmad Ziyyad, melalui fasa berpantang sampailah sekarang.
Sepanjang mengandung saya amalkan membaca Al Quran dan beri Ahmad Ziyyad mendengar audio. Baby dalam kandungan dah boleh dengar dunia luar rahim.
Semasa hamil, ibu ini mewajibkan dirinya membaca surah-surah ini setiap hari. Iaitu surah Al Mulk, Surah Luqman, Surah Yusuf, Surah Maryam dan surah Al Kahfi.
Makanan semasa mengandung pun Nurul Shahida menjaga dengan penuh teliti. “Saya tak ambil minuman atau makanan yang ada kandungan kafien, makanan jajan pun saya tak makan.”
Dalam tempoh berpantang, tak adalah amalan-amalan yang lain. Saya berpantang macam biasa. Cuma sejak hari pertama dia lahir, saya dah beri dia dengan Al Quran.
Saya selalu pasang audio ngaji. Malah Saya selalu pasang juzz amma dalam kereta. Qari kanak-kanak pilihan saya untuk Ziyyad. Tak pernah pasang lagu-lagu dengan hiburan-hiburan dalam kereta.
Saya tak nak bagi hati dia gelap. Susah nak terima ilmu. Qari favourite Ziyyad, Muzammil Hasballah dan Mishary Rashid. Yang ini saya selalu pasang di rumah sambil-sambil dia main.
Saya gantikan hiburan lagu kanak-kanak dia dengan Al Quran.
Kerjaya Nurul Shahida sebagai pemilik butik pengantin memerlukan wanita ini bergerak sentiasa. Ziyyad tak pernah ditinggalkan. “Kalau saya pergi setting pelamin pun saya bawa dia sekali.
“Tak pernah tinggal, 24 jam ada dengan saya.”
Selalu saya baca Al Quran bagi rangsang minat dia untuk ikut baca Al Quran sekali. Lepas maghrib, dia dah tau dah. Selesai saja solat dia akan ambil Al Quran, buka mana-mana surah yang dia nak.
“Saya tolong bacakan sepatah demi sepatah ayat untuk dia ikut. Lama-lama dia jadi lancar dan cam ayat Al Quran itu kat mana mula dan berhenti baca kat mana
.”Sejujurnya saya bukan jenis penghafaz Al Quran. Tapi sejak ada anak, saya berusaha untuk menghafaz sekali dengan Ziyyad supaya dia boleh ikut contoh yang terbaik daripada saya dan suami.
Banyak surah-surah yang saya hafal dulu untuk tunjuk ajar dia hafal. Bila Ziyyad biasa dengan Al Quran, ilmu-ilmu lain pun dia senang nak terima. Alhamdulillah sekarang dia dah mula pandai membaca. Alhamdulillah..
12 keping gambar ini antara contoh lain yang mak ayah boleh ikut. Ini cara nak bagi anak lebih peka dengan persekitaran, merangsang kebijaksanaan mereka melalui 6 deria yang ada di sekeliling mereka.
“Dari zaman yadd bambam lagi setiap apa yang yadd tengok dan pegang, umi perincikan benda tu. Ciri seperti warna, bentuk, tekstur, rasa dan bilangan. Tengok kat setiap gambar-gambar umi terangkn satu-satu.”
Banyak lagi perkongsian ilmu keibu bapaan yang dekat dengan jiwa mak-mak yang boleh dicontohi dalam facebook Nurul Shahida.
Semoga mak-mak di luar sana akan dapat mengikut jejak langkah Nurul Shahida yang melatih anaknya dengan memulakan latihan pada dirinya sendiri. Agar diri mak itu sendiri dapat menjadi teladan untuk anak ikuti.
Sumber/Foto : Shahida Lukman