Ibu bapa mana yang tak nak anak yang cemerlang, itu semua impian setiap ibu bapa. Tetapi kita kena akui hakikat tidak semua anak yang dilahirkan akan menjadi seperti yang kita mahukan mereka jadi.
Samalah halnya, bukan semua perkara dalam hidup ini akan menjadi hak kita mengikut minat dan kesukaan kita. Sesetengahnya, puas kita berhempas pulas untuk mendapatkannya, tetap gagal juga. Ikuti perkongsian daripada HM Tuah Iskandar al-Haj, yang pernah disiarkan di dalam majalah Mingguan Wanita (www.drtuah.com)
Walau apa pun, kita tidak boleh pasrah terlalu awal. Impian untuk menjadikan anak-anak insan yang terbaik wajib ada dalam jiwa setiap ibu bapa. Kita kena beri semua yang diperlukan untuk dia muncul sebagai orang yang berguna, berjaya lagi cemerlang dalam dunianya kelak.
Kitalah ibu bapa yang diharapkan memberikan acuan yang sebenar agar hasilnya turut benar. Anak-anak adalah produk kita hari ini untuk mentadbir bumi pada hari muka mengikut acuan yang kita berikan itu serta matlamat yang ALLAH telah tentukan. Gagal bererti kecundang, berjaya bermakna bahagia.
Dalam nak melahirkan insan yang unggul, dua aspek penting perlu diberikan perhatian; pengetahuan dunia untuk kehidupan di dunia, juga pengetahuan akhirat untuk kehidupan dunia akhirat.
Justeru, ibu bapa harus memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab mendidik, mengasuh serta membimbing anak mereka untuk menjadi pewaris kepada generasi cemerlang ilmu dan akhlak.
Ibu bapa harus menjadi model contoh yang cemerlang untuk anak-anak dalam segenap segi. Kecemerlangan akademik dan akhlak pelajar mesti dicapai secara bersepadu kerana akhlak yang baik secara langsung akan membentuk suasana yang kondusif untuk pelajar mencapai kejayaan
Sudah tentu matlamat kehidupan yang begini bersalahan dengan cita-cita untuk melahirkan insan yang kamil – pintar mindanya dalam masa yang sama mantap kefahaman agamanya. Lihatlah perkembangan terkini, hampir saban hari ada sahaja berita penjawat awam ditangkap SPRM atas kesalahan rasuah, membabitkan berjuta-juta ringgit.
Mengapa mereka sanggup melakukan pengkhianatan serupa itu? Bukan sahaja berdosa tetapi juga risikonya amat besar jika tertangkap. Kalau dulu ketua pengarah sesebuah jabatan dengan seluruh penghormatan diberikan terhadapnya, hari ini terpaksa digari untuk dihadapkan ke mahkamah.
Nilai kejayaan bukanlah apa yang dimiliki tetapi bagaimana ia dimiliki. Apa ertinya kereta mewah tiga empat buah serta kediaman bak istana kalau ia diperolehi secara salah. Lambat laun akan dipertikaikan orang juga.
Dalam soal pendidikan anak-anak, matlamat akhirat mesti diselarikan dengan matlamat-matlamat duniawi. Motivasikan mereka untuk cemerlang akademik, dalam masa yang sama tegaskan semuanya itu tidak bermakna tanpa adanya reda ALLAH.
Biar mereka membesar dengan nama ALLAH turut membesar dalam jiwa mereka, sehingga mereka merasakan setiap pergerakan diperhatikan ALLAH seterusnya setiap pengharapan hanya dipasrahkan kepada ALLAH. Dengan langkah ini moga-moga dia tumbuh sebagai manusia yang berjaya sambil berakhlak mulia.
Anda juga tentu tidak mahu menanggung malu apabila anak yang dibangga-banggakan sebagai cemerlang, kemudian menjawat jawatan penting kerajaan, tetapi kemudiannya ditangkap dan dipenjarakan.
Mari lahirkan anak-anak yang terbaik dalam istilahnya yang sebenar iaitu tidak keduniaan semata-mata tetapi juga memiliki kefahaman agama yang secukupnya untuk turut berjaya di akhirat.
https://www.mingguanwanita.my/isteri-sibuk-berpersatuan-suami-hadiahkan-madu/