Sebagai ibu ayah sudah tentu kita mahu yang terbaik buat anak-anak. Sebenarnya ibu ayah sedarilah 90 peratus tabiat anak mengikut tabiat kita.
Seperti mana yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun (UAH) menerusi perkongsiannya di laman sosial, Facebook, Ustazah Asma’ memberi tips untuk ubat tabiat anak.
Ternyata ilmu yang dikongsikan ini cukup bermakna boleh menjadi panduan buat para ibu bapa.
“Iya, kita semua mahu anak kita suka buku, membaca dan menambah Ilmu. Atas sebab itu, kita jadi sedih dan marah bila anak-anak tunjuk muka tak minat dengan buku, mengantuk dan baca sekejap sahaja.
“Berbeza pula bila mereka tonton tv, main game, main luar rumah, dll. Mereka menunjukkan minat dan memberi tumpuan sepenuh hati.
Jadi. Siapa dan dimana silap.
“90% tabiat anak mengikut tabiat kita, Jika marah anak tentang sesuatu, sebenarnya kita sedang marah diri sendiri. Apabila kita mengadukan perihal anak, seolahnya kita sedang mengadukan tentang perangai sendiri.
“TABIAT IBU AYAH, contohnya solat di awal waktu, kerap baca Quran, zikir dan doa selepas solat, bersedekah, dll Amal soleh yang diperlihatkan kepada anak-anak akan lebih kuat mempengaruhi tabiat anak, berbanding hanya melalui perintah perkataan.
Apa yang dilihat dengan mata lebih kuat terakam dalam memori daripada apa yang didengar dengan telinga.
“Jadi, IBU AYAH SEKALIAN, ketika kita melakukan suatu amal soleh boleh perlihatkan kepada anak-anak dengan niat untuk menjadi ikutan dan salah satu bentuk pendidikan.
“Ada sesetengah ibu suka solat dan baca Quran di dalam bilik, katanya lebih tenang dan boleh fokus. Anak-anak jarang sekali melihat ibunya duduk atas sejadah, zikir, baca Quran dll.
“Ada baiknya jika kita boleh kerap perlihatkan, InsyaAllah tidak timbul isu bimbang riya’, ujub, takabbur dll. Dengan anak sendiri, insyaAllah kita boleh hindari penyakit hati.
“Begitu juga tentang amalan sunat, contohnya sedeqah, ada ketikanya perlihatkan dan terangkan tentangnya. Begitu juga solat sunat, biarkan anak bertanya, ibu solat apa lagi tu?. Ambil peluang dan jelaskan. Dll.
“Ada kisah ibu yang hebat, beliau bercerita kepada saya. Dia sangat penat untuk mengajak anak-anaknya suka baca Quran, jika baca mesti laju-laju dan cukup 1ms sahaja. Jika minta tambah terus buat muka.
“Satu ketika, beliau nekad tidak mahu mengajak lagi. Rasa ingin merajuk. Dalam waktu yang sama, beliau melakukan solat Taubat kepada Allah atas dosa kelalaiannya dalam mendidik sehinga anak-anaknya ketagihan gajet.
“Doa dan istighfar diulang, mohon petunjuk daripada Allah swt. Akhirnya beliau mula membaca alQuran setiap kali lepas solat 1 juz. Dilakukan secara rutin, di ruang utama rumah yang mana semua boleh melihatnya.
“Diulang lagi, dibuat dengan ikhlas hati untuk mengubah diri. Beliau percaya, untuk orang yang disayangi berubah, diri sendiri perlu berubah dahulu. Dan InsyaAllah, pertolongan Allah akan tiba bagi yang benar² ikhlas.
“Akhirnya dalam tempoh lebih kurang seminggu dua, seorang demi seorang anak-anaknya datang tanpa diajak untuk sama-sama membaca alQuran.
“Daripada beberapa helai sahaja, sehingga peringkat beliau berkata, anak-anak dah mula “ketagih” alQuran. Allahu Akbar. Dengan air mata beliau bercerita.
“Ustazah, dulu saya banyak bebel, marah, ajak dengan paksa, akhirnya saya penat dan rasa nak mengungkit itu ini, selalu nak salahkan suami dan melepaskan marah pada suami.
“Rupanya Allah sebenarnya nak saya berubah menjadi seorang yang mencintai alQuran, barulah anak saya akan mengikuti jalan yang sama. Saya syukur Allah uji anak-anak saya begitu dahulu, jika tidak mungkin saya hanya sekadar meminta anak untuk cintai alQuran, sedangkan saya sendiri jauh sekali”.
“Allahu Akbar. Begitulah.
Kita Tak Boleh Ubah Hidup Selagi Tak Ubah Rutin Harian
“Ingatlah, kita takkan boleh mengubah hidup kita selagi tidak mengubah rutin harian. Kita tidak boleh mengubah insan yang disayangi selagi tak mengubah diri sendiri.
“Rupanya Allah ingin kita berubah dahulu, bukan fokus ubah orang lain. Anak dan pasangan, adalah perantaraan Allah untuk membentuk diri kita menjadi siapa.
“Saya selalu cuba amalkan doa ni, bila lihat wajah anak, atau teringatkan mereka, juga ketika teruji dengan sikap atau kerenah anak, sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS :
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Robbi hablii minash shoolihiin”
[Ya Rabbku, kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang saleh]”.
(Surah AsSaffaat: 100)
“Semoga bermanfaat. Nukilan hati muhasabah diri seorang Umi kepada 7 orang anak, yang selalu juga terduduk lemah, marah dan kalah. Tapi tetap bangkit untuk perbaiki diri tanpa henti, insyaAllah sampai mati,” kongsi ustazah Asma’.
Sumber/ Sumber Foto: Facebook Ustazah Asma’ Harun
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita