Sebagai ibu ayah sudah tentu kita mahu yang terbaik buat anak-anak. Sebenarnya ibu ayah sedarilah 90 peratus tabiat anak mengikut tabiat kita.
Seperti mana yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun (UAH) menerusi perkongsiannya di laman sosial, Facebook, Ustazah Asma’ memberi tips untuk ubat tabiat anak.
Ibu Ayah Sedarilah 90% Tabiat Anak Mengikut Tabiat Kita
Ternyata ilmu yang dikongsikan ini cukup bermakna boleh menjadi panduan buat para ibu bapa.
TIPS UBAH TABIAT ANAK
“Iya, kita semua mahu anak kita suka buku, membaca dan menambah Ilmu. Atas sebab itu, kita jadi sedih dan marah bila anak-anak tunjuk muka tak minat dengan buku, mengantuk dan baca sekejap sahaja.
“Berbeza pula bila mereka tonton tv, main game, main luar rumah, dll. Mereka menunjukkan minat dan memberi tumpuan sepenuh hati.
Jadi. Siapa dan dimana silap.
DUHAI IBU AYAH
“90% tabiat anak mengikut tabiat kita, Jika marah anak tentang sesuatu, sebenarnya kita sedang marah diri sendiri. Apabila kita mengadukan perihal anak, seolahnya kita sedang mengadukan tentang perangai sendiri.
Ads
“TABIAT IBU AYAH, contohnya solat di awal waktu, kerap baca Quran, zikir dan doa selepas solat, bersedekah, dll Amal soleh yang diperlihatkan kepada anak-anak akan lebih kuat mempengaruhi tabiat anak, berbanding hanya melalui perintah perkataan.
Apa yang dilihat dengan mata lebih kuat terakam dalam memori daripada apa yang didengar dengan telinga.
“Jadi, IBU AYAH SEKALIAN, ketika kita melakukan suatu amal soleh boleh perlihatkan kepada anak-anak dengan niat untuk menjadi ikutan dan salah satu bentuk pendidikan.
“Ada sesetengah ibu suka solat dan baca Quran di dalam bilik, katanya lebih tenang dan boleh fokus. Anak-anak jarang sekali melihat ibunya duduk atas sejadah, zikir, baca Quran dll.
“Ada baiknya jika kita boleh kerap perlihatkan, InsyaAllah tidak timbul isu bimbang riya’, ujub, takabbur dll. Dengan anak sendiri, insyaAllah kita boleh hindari penyakit hati.
“Begitu juga tentang amalan sunat, contohnya sedeqah, ada ketikanya perlihatkan dan terangkan tentangnya. Begitu juga solat sunat, biarkan anak bertanya, ibu solat apa lagi tu?. Ambil peluang dan jelaskan. Dll.
“Ada kisah ibu yang hebat, beliau bercerita kepada saya. Dia sangat penat untuk mengajak anak-anaknya suka baca Quran, jika baca mesti laju-laju dan cukup 1ms sahaja. Jika minta tambah terus buat muka.
Ads
“Satu ketika, beliau nekad tidak mahu mengajak lagi. Rasa ingin merajuk. Dalam waktu yang sama, beliau melakukan solat Taubat kepada Allah atas dosa kelalaiannya dalam mendidik sehinga anak-anaknya ketagihan gajet.
“Doa dan istighfar diulang, mohon petunjuk daripada Allah swt. Akhirnya beliau mula membaca alQuran setiap kali lepas solat 1 juz. Dilakukan secara rutin, di ruang utama rumah yang mana semua boleh melihatnya.
“Diulang lagi, dibuat dengan ikhlas hati untuk mengubah diri. Beliau percaya, untuk orang yang disayangi berubah, diri sendiri perlu berubah dahulu. Dan InsyaAllah, pertolongan Allah akan tiba bagi yang benar² ikhlas.
“Akhirnya dalam tempoh lebih kurang seminggu dua, seorang demi seorang anak-anaknya datang tanpa diajak untuk sama-sama membaca alQuran.
“Daripada beberapa helai sahaja, sehingga peringkat beliau berkata, anak-anak dah mula “ketagih” alQuran. Allahu Akbar. Dengan air mata beliau bercerita.
“Ustazah, dulu saya banyak bebel, marah, ajak dengan paksa, akhirnya saya penat dan rasa nak mengungkit itu ini, selalu nak salahkan suami dan melepaskan marah pada suami.
Ads
“Rupanya Allah sebenarnya nak saya berubah menjadi seorang yang mencintai alQuran, barulah anak saya akan mengikuti jalan yang sama. Saya syukur Allah uji anak-anak saya begitu dahulu, jika tidak mungkin saya hanya sekadar meminta anak untuk cintai alQuran, sedangkan saya sendiri jauh sekali”.
“Allahu Akbar. Begitulah.
Kita Tak Boleh Ubah Hidup Selagi Tak Ubah Rutin Harian
“Ingatlah, kita takkan boleh mengubah hidup kita selagi tidak mengubah rutin harian. Kita tidak boleh mengubah insan yang disayangi selagi tak mengubah diri sendiri.
“Rupanya Allah ingin kita berubah dahulu, bukan fokus ubah orang lain. Anak dan pasangan, adalah perantaraan Allah untuk membentuk diri kita menjadi siapa.
“Saya selalu cuba amalkan doa ni, bila lihat wajah anak, atau teringatkan mereka, juga ketika teruji dengan sikap atau kerenah anak, sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS :
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Robbi hablii minash shoolihiin”
[Ya Rabbku, kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang saleh]”.
(Surah AsSaffaat: 100)
“Semoga bermanfaat. Nukilan hati muhasabah diri seorang Umi kepada 7 orang anak, yang selalu juga terduduk lemah, marah dan kalah. Tapi tetap bangkit untuk perbaiki diri tanpa henti, insyaAllah sampai mati,” kongsi ustazah Asma’.
Bila sebut hari raya aidiladha tentulah sekali dikaitkan dengan menyembelih haiwan korban. Ini sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap Allah S.W.T.
Setiap tahun pasti akan ada binatang yang akan tumbang. Kebiasaannya tentulah lembu yang dijadikan korban pada hari tersebut. Kadang-kadang, sebelum menyambut hari raya aidiladha, ada saja gambar-gambar haiwan korban yang dikongsikan atau pun aksi yang mungkin boleh mencuit hati. Ini belum lagi pada hari penyembelihan haiwan korban.
Dek kerana terlalu seronok untuk melalui momen haiwan korban itu disembelih, ada saja gambar-gambar atau video yang ditunjukkan semasa penyembelihan. Namun, tanpa kita sedar ia seolah tidak menghormati sehingga menimbulkan persepsi negatif dan tidak menunjukkan keindahan Islam.
Jadi, apa yang perlu kita buat. Inilah yang dikongsikan oleh Kisah Zakat Malaysia tentang bagaimana untuk kita menjaga adab dan menghormati haiwan korban ketika hari raya aidiladha.
Antara adab sebelum / sewaktu / selepas menyembelih binatang korban yang secara sengaja kita terlupa kerana sangat ‘excited’, elok-eloklah diberi perhatian…
1. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan binatang korban
2. Merakam dan memuatnaik video keadaan binatang korban yang dalam keadaan ‘nazak’
3. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan kepala / bahagian tertentu binatang korban yang mungkin sensitif bagi sebahagian pihak / kaum lain
4. Merakam dan memuatnaik video keadaan2 yang mengaibkan semasa proses penyembelihan
5. Merakam dan memuatnaik gambar binatang korban yang telah disembelih dalam keadaan yang ‘menyiksakan’ …dan lain2 lagi.
Jika ingin juga…
Rakam dan ambillah gambar-gambar yang bersopan & boleh menunjukkan keindahan Islam, bukan yang boleh menimbulkan salah faham dan persepsi negatif.
Kembalilah kepada tujuan dan matlamat korban itu sendiri.
Petikan dari mufti Pulau Pinang:
Jangan Viral Aksi Binatang Yang Hendak di Sembelih
Umat Islam sepatutnya tidak menjadikan haiwan korban sebagai bahan lawak jenaka, demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian setelah kesal melihat segelintir pengguna laman sosial ‘memviral’ gambar lembu korban sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati orang ramai.
“Saya menyeru umat Islam supaya tidak ‘memviral’ gambar gelagat haiwan korban kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif di kalangan masyarakat terutama individu yang ingin memburukkan imej Islam di mata dunia.
“Pada pandangan saya, tindakan ini amat mengecewakan dan jelas masyarakat kita suka berhibur sehingga berlebih-lebihan,” katanya.
Wan Salim berkata, tidak wajar mengambil gambar haiwan korban dengan pelbagai aksinya ketika disembelih.
“Walaupun tiada dalil yg melarang, namun tidak wajar dilakukan kerana mungkin ada yang menganggapnya sebagai perbuatan kejam.
“Di samping itu cara menyembelih yang tidak mengikut etika atau peraturan yang ditetapkan dalam syariat juga mungkin menambahkan lagi salah faham mengenai ibadat ini,” katanya.
Jelasnya lagi, antara etika penyembelihan haiwan menurut syariat hendaklah dilakukan dalam keadaan haiwan tenang dan tidak menimbulkan rasa takut atau resah.
“Justeru disarankan supaya diletakkan pengadang antara haiwan yang disembelih dengan yang menunggu giliran atau dengan cara menutup penglihatannya.
“Kita ingin menasihatkan juru sembelih supaya terlebih dahulu memahami etika sembelihan menurut syariat supaya dengan itu imej Islam sebagai agama rahmat dapat ditonjolkan kepada umum,” katanya.
Ketahui Tujuan Ibadat Korban
Ibadat korban sepatutnya dilaksanakan secara serius dan menurut etika penyembelihan yang ditetapkan dalam syariat kerana tujuannya ialah untuk menghampirkan diri kepada ALLAH SWT.
Beliau berkata, individu yang menganjurkan ibadat berkenaan hendaklah menghayati hikmahnya daripada sudut sejarah dan sosial.
“Hikmah ibadat korban daripada sudut sejarah ialah penghayatan terhadap pengorbanan Nabi dua beranak iaitu Nabi Ibrahim yg sanggup menyembelih putera kesayangannya demi mematuhi perintah ALLAH SWT.
“Manakala hikmah ibadat korban daripada sudut sosial pula ialah memberi makan kepada golongan fakir miskin supaya mereka turut bergembira di hari raya yang mulia ini,” katanya.
Wan Salim mengulas isu berkenaan setelah beberapa pengguna laman sosial yang dilihat begitu seronok memaparkan pelbagai gaya lembu korban.
Menyedihkan apabila sesetengah gambar tersebut menimbulkan rasa lucu di kalangan pengguna laman sosial dan menjadikannya sebagai bahan lawak.
Mingguan Wanita : Tak salah untuk berkongsi momen semasa hari penyembelihan tapi biarlah gambar-gambar yang tidak ‘mengaibkan’ atau tidak menjadi bahan lawak bila melihatnya.
Tak semua orang dilahirkan terus kaya. Seseorang yang kaya itu mungkin mereka yang terpilih atau nenek moyang yang memang asalnya sudah ada harta yang banyak dan kita menumpang pada kekayaan mereka.
Nak jadi seorang yang kaya, ia tidak akan datang bergolek. Kena ada usaha dan kesungguhan, barulah semua ini akan mendatangkan hasil. Namun, bila sudah kaya, jangan mula bongkah dan berlagak dengan apa yang ada.
Bersyukurlah dengan rezeki yang Allah berikan, tak perlu berlagak atau ditayang, walaupun semua ini adalah hasil usaha kita selama ini. Cukuplah untuk pasangan,mak ayah kita saya yang tahu.
Kaya itu aurat. Inilah antara perkongsian dan teguran Saiful Nang untuk kita hayati tentang kekayaan yang kita ada. Tak perlu nak tunjuk atau berlagak. Bersyukurlah.
Abang memang suka anak-anak bangsa jadi kaya, berjaya dan pemurah. Abang cuma nak kongsi pengalaman Abang sendiri mungkin boleh jadi pelajaran juga.
1. Abang pernah lalui zaman “baru nak kaya” dan perasaan dia memang orang tak kaya tak akan faham. Perasaan dia macam semua benda nak beli dan tunjuk. Masa itu Abang fikir, kalau abang ada apa yang orang lain tak ada, orang akan pandang abang dengan satu penghormatan.
2. Abang dapat kemasyhuran tu dan dapat ramai kawan baharu yang merapat tapi sekadar banyaknya lalat menghurung taik.Bukan semua tapi ramai. Mereka datang untuk ambil apa kita ada dan tinggalkan telur yang menjadi ulat. Abang semak masa tu. Hari-hari kena kerja mengibas lalat.
3. Abang mula belajar yang kekayaan ialah aurat. Orang tertentu sahaja wajar tahu kita kaya seperti isteri dan ibu bapa kita. Orang lain tu kalau rapat-rapat tu, mereka sekadar tahu kita berada dan bila makan selalu kita yang bayarkan semua bil cukuplah. Dalam kehidupan orang kaya sebenar, peringkat teratas kekayaan ialah “self actualization” — nak mudah faham, jenis beli painting mahal-mahal masa auction dan menang lukisan Piet Mondrian harga 80 juta tapi tak announce dalam newspaper. Itu self actualization namanya. Biasanya, mereka melayani feeling of having it, not the feeling of showing it.
4. Kekayaan kita ni macam aurat. Bila orang tahu, ramai orang datang yang biasanya bukan berniat baik. Abang bagi tip ye, abang tak lama hidup tayang kekayaan sebelum abang mula masuk gua dan buat hal sendiri dan mengamalkan polisi gi-mam kepada apa yang orang lain nak cakap. Hidup aman sikit, Abang nak bawak Honda Cup pun orang tak kisah dah. Jam tangan abang dari Shopee pun orang tak kisah dah. Hidup abang aman. Ini zaman dah tutup aurat kekayaan. Baru hidup aman dari macam-macam gangguan. Bukan gangguan LHDN, itu biasa kalau kau dah berani tayang pasti kau dah declare income.
Cuma yang datang berteritip ni jenis-jenis yang tak jujur. Macam aurat perempuan juga. Ada yang cantik bergetah, langsing dan mantap tapi pakaiannya tertutup dan hanya suami dan keluarga sahaja nampak cantiknya. Kurang fitnahnya. Kalau ada yang memperisterikan dia pun, atas dasar akhlak bukan kerana cup dia saiz D. Tapi biasa yang tak cantik mana yang buka macam-macam dan yang tinggal tertutup pun dia ketatkan dan jarangkan, yang kecil pun dipush-upkan sebab nak belanja semua orang.
5. Akhir sekali, orang melihat kekayaan sebenar dari kebijaksanaan. Bila bercakap nadanya rendah tapi kebijaksanaannya tinggi walaupun hanya memakai sandal Asadi RM11 dari Tesco.
6. Ini bonus, kalau kaya berlagak kaya itu NORMAL. Kalau miskin berlagak kaya itu BAHAYA. Jika kaya berlagak miskin itu BIJAKSANA. Abang pergi ofis di wisma abang di Bangi dulu pun pakai jeans dan t-shirt. Sementara nak tunggu orang datang appointment nak jumpa abang, pergi kejap menyapu di koridor. Ambil penyapu, sapu sikit. Masa tu nampak staff abang semua sibuk-sibuk ada job, abang je lah menyapu, bersihkan kejap, sebab ada orang nak datang. Tengah bersihkan ada orang berlagak datang pakai baju suit, masuk-masuk ke koridor yang abang sapu, bagi salam dia tak jawab terus dia tanya “Saya ada appointment dengan En. Saiful Nang. Kasar dia jawab dik. Bila tanya kenapa nak jumpa Saiful Nang, dia angkuh menjawab “itu urusan saya dengan dia, mana boss kamu?”.
Kebaikan juga, bila orang tak kenal kita siapa, kita boleh kenal akhlak orang yang bakal kita nak bekerja bersama. Abg tak payah cerita lanjut apa jadi pada orang tu ye. Dia datang nak propose usahasama dengan kami, tapi perangainya tidak menghormati janitor, maka jangan harap dia boleh hormati orang lain juga. Tapi kalau Abang jenis pakai Breitling, Rolex dan suit RM7k sepasang, mesti dia cakap lain nadanya sekalipun abang betul-betul janitor.
Ada masa kita tunjuk kita siapa, ada masa kita jadi orang biasa-biasa itu lebih bahagia.
Last word abg.
Kaya ni premium. Benda premium tak ada di pasar malam yang ramai orang tengok.
Kalau kaya ditayang-tayang sebenarnya itulah miskin.
Kau miskin perhatian sampai kau perlu mengemis perhatian orang dengan menjajanya murah-murah.
Mingguan Wanita : Moga ia memberi manfaat kepada kita semua. Tak perlu nak tunjuk. Kaya itu aurat.
Sumber: SAIFUL NANG
Orang biasa-biasa pakai sandal jenama Amporlo.
Nama jer macam Italian, tapi cap ayam.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Ada sesetengah Mak-mak bukan tak nak pergi solat tarawih di masjid tetapi payah dengan anak kecil atau mungkin juga penat dengan keluar mencari rezeki, malam baru sampai rumah.
Jangan sedih sebab sebenarnya mak-mak ada pilihan lain untuk tunaikan solat sunat Tarawih. Tetapi pastikan faham dulu situasi ini…
Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’.
Kekangan biasa mak-mak adalah..
● Ada anak yang masih kecil, jadi agak sukar nak bawak si kecil bersama ke masjid.
● Anda ibu bekerja yang sudah seharian bekerja di pejabat dan pulang menyambung tanggungjawab di rumah pula.
Ok, Solat Tarawih boleh dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.
Jadi bolehlah mak-mak berehat atau menunggu si kecil tidur dahulu, sangat bersesuaian dengan diri mereka yang sudah keletihan menguruskan rumah dan keluarga.
Bagi yang baru nak berjinak solat tarawih dirumah, boleh ikut cara di bawah ye:
SOLAT SUNAT TARAWIH
● Niatnya :
أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّـَــة َ الــتـَّـَــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّـَـه تـَــعـَــالـَــى
“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
● Bilangan rakaat buatlah yang termampu. Paling ringkas buat 11 rakaat, 8 terawih dan 3 witir. Lakukan setiap 2 rakaat satu salam dan seterusnya. Witir pula, 2 rakaat 1 salam dan witir 1 rakaat 1 salam.
● Apa yang wajib adalah surah al Fatihah, surah surah berikutnya adalah pilihan kita dan ia adalah sunat.
● Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.
SOLAT SUNAT WITIR
Solat Witir adalah salah satu solat sunat yang sangat dituntut untuk dikerjakan.
Hukum solat Witir adalah Sunnat Muakkad. Jumlah maksima solat witir itu ialah 11 rakaat (6 salam), sebaik-baiknya 3 rakaat (2 salam) dan sekurang-kurangnya satu rakaat sahaja.
Jika berniat hendak melakukan qiyamullail, boleh tangguhkan solat witir selepas selesai qiyamullail tersebut kerana solat witir adalah penutup kepada solat2 sunat yang lain.
Niat Solat Sunat Witir Dua Rakaat
أصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ
“Aku solat sunnat witir dua rakaat kerana Allah Taala”
Niat Solat Sunat Witir Satu Rakaat
أصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكَعَةً لِلهِ تَعالىَ
“Aku solat sunnat witir satu rakaat kerana Allah Taala”
Zikir Selepas Solat Witir
سُبْحَانَ اللَّهُ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ [3x]
Doa Solat Witir
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu,dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasanMu, dan aku berlindung denganMu seperti pujiMu sendiri ke atas diriMu. Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redhai..
Solat Sambil Dukung Anak
Mungkin ada mak-mak yang besarkan anak kecil sendirian tanpa suami di rumah. Atau masalah lain anak kecil jenis tidur lambat dan asyik nak berdukung siap pakej meragam bila diletak ke bawah. Kalau situasi ini, nak solat pun tak khusyuk!
Namun masalah ini seharusnya tidak menjadi alasan untuk mak-mak tak buat solat Tarawih. Pendek kata, rugi! Apatah lagi Islam adalah agama yang memudahkan dan sudah tentu ada cara untuk memudahkan kaum ibu dalam hal ini.
Disebut dalam hadis
Sebenarnya jika berdepan situasi ini seseorang ibu itu dibenarkan mendukung bayi sambil bersolat. Perkara ini ada disebut dalam hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Qatadah al-Ansari ra :
“Sesungguhnya Rasullulah s.a.w menunaikan solat dalam keadaan membawa (mendukung) Umamah, anak perempuan Zainab binti Rasullulah s.a.w dengan suaminya al-As bin Rabiah bin Abd Syams. Apabila sujud , baginda meletakkannya apabila bangun, baginda mendukungnya semula. (Al-Bukhari,Sahih al-Bukhari)
Diharuskan
Dalam hal ini adalah diharuskan oleh ibu untuk mendukung anak kecil sewaktu mendirikan solat. Namun ada syarat-syarat yang harus ibu kena tahu…
1. Pastikan anak bersih dari najis, sebaiknya tukar lampin anak sebelum ibu bersolat.
2. Kawal pergerakan. Pergerakan yang dibenarkan atau tidak membatalkan solat iaitu tidak bergerak melebihi tiga kali berturut-turut.
3. Dada sentiasa mengadap kiblat.
4. Hanya dilakukan ketika keadaan memaksa. Adalah lebih baik anak dijaga seketika oleh orang lain ketika ibu bersolat.
Haaa… mudah kan? Kalau tahun lepas gagal buat, lepas ini mak-mak tetap boleh buat solat tarawih walau payah dengan anak-anak kecil. Moga mak-mak mampu kaut pahala berganda di bulan Ramadan ini.
Alhamdulillah. Semoga bermanfaat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...