Ibu Anak Satu Keliru, Nak Terima Atau Tak Hajat Bekas Suami Penagih Pujuk Rujuk Semula

Hidup manusia sering saja diuji. Baik ujian rumah tangga, mahupun ujian anak-anak. Apa pun setiap ujian itu tetap menyakitkan jika tak ditangani dengan baik.

Ibu anak satu yang menggunakan nama samaran Jiwa Kacau, menghubungi Mingguan Wanita. Minta bantuan menyelesaikan permasalahan ujian rumah tangga yang dialaminya.

Elok-elok Berniaga Bengkel.. Suami Tutup Kedai!

Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya berusia 29 tahun dan memiliki seorang anak lelaki berusia enam tahun. Saya telah berpisah dengan bekas suami dua tahun lalu kerana tidak tahan lagi dengan sikapnya yang mengambil dadah.

Perkahwinan saya dan suami berlandaskan cinta, sama-sama kenal ketika di sebuah pusat kemahiran.

Saya mengambil bidang kulinari dan suami pula bahagian permotoran. Hidup kami bahagia dan dia melayan saya dengan baik.

Saya pernah bekerja di sebuah kedai roti sebelum kahwin dan berhenti selepas kahwin. Suami pula mengusahakan bengkel membaiki kereta secara kecil-kecilan.

Pendapatannya agak lumayan, lebih daripada mencukupi untuk kami berdua. Selepas saya melahirkan anak kami, saya dapati ada yang tidak kena dengan suami.

Ads

Duitnya asyik tak cukup sedangkan ramai pelanggan yang datang kereta mereka untuk dibaiki.

Sehingga akhirnya dia terpaksa menjual bengkelnya dan bekerja di sebuah bengkel lain.

Entah mengapa, wang gajinya asyik tak cukup hingga kami terpaksa ikat perut. Hendak beli lampin anak pun susah. Nasib baik juga anak menyusu badan.

Patutlah Suami Asyik Tak Ada Duit

Dipendekkan cerita, akhirnya saya dapat tahu rupanya suami terlibat dengan najis dadah, sebab itu asyik tak ada duit.

Dia sering meminta gaji pendahuluan daripada majikannya dan setiap hujung bulan gajinya akan dipotong.

Ads

Saya cukup kecewa dan kerap kali berusaha memujuknya untuk berubah. Namun tidak diendahkan. Saya tekad keluar dari rumah kelamin dan membawa anak ke rumah ibu bapa.

Saya juga tekad menuntut cerai dan suami merelakan walau pun terpaksa. Sejak itu saya tekad untuk meneruskan kehidupan dengan anak tunggal.

Saya tahu ramai yang pandang serong tapi saya tahu apa yang saya lakukan. Bukan saya tinggalkan suami kerana tidak sanggup hidup susah dengannya. Tapi takut dia mempengaruhi anak kami kelak.

Janji Suami Buat Saya Berbelah Bagi

Dengan bantuan emak dan ayah, saya mengusahakan perniagaan makanan dari rumah. Saya buat roti dan pelbagai jenis kuih muih untuk mencari rezeki.

Ads

Alhamdulillah, hidup saya dan anak semakin baik. Walau pun tak mewah tapi kami cukup makan pakai. Saya bersyukur kerana anak saya matang dan memahami apa yang kami lalui. Dialah kekuatan saya.

Beberapa bulan lepas, tiba-tiba bekas suami muncul. Rupanya dia baru keluar daripada pusat pemulihan dadah dan mencari kami dengan harapan untuk kembali bersatu sebagai satu keluarga.

Dia berjanji untuk berubah dan merayu untuk menerimanya kembali. Hati saya berbelah bagi. Rasa kasih masih bersisa. Tapi saya takut dia akan mengulangi kesilapan lalu.

Dia berjanji untuk mencari pekerjaan bagi menyara keluarga kami kelak. Ibu bapa saya pula tidak melarang atau menyuruh. Apa yang patut saya lakukan?

Jiwa Kacau, Pontian Johor

Foto : Sekadar Hiasan / financialtribune.com

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI