Hukum suami isteri berkongsi gambar/video bercumbu di media sosial. Apakah hukum sekiranya suami dan isteri bercumbu di khalayak ramai dan media sosial bagi menzahirkan kemesraan mereka?
Sejak kebelakangan ini semakin ramai suami isteri tanpa segan silu berkongsi gambar dan juga video bermesraan dengan pasangan masing-masing. Mungkin ada yang kata, “halah, tak apalah, bukan orang lain, suami dia sendiri, isteri dia sendiri,….”Persoalannya bolehkah sebenarnya kemesraan ini ‘dikongsi’ secara terbuka?
Bermesraan antara suami dan isteri setelah berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki. Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.
Walaubagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.” (Riwayat Muslim, no. 35)
Rasa malu menurut Imam an-Nawawi rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”
Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 345)
Ads
Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini.
Sabda Nabi SAW:
الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Ads
Maksudnya: ”Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6117)
Semoga kita semua berusaha menzahirkan akhlak dan adab yang mulia dalam kehidupan kita.
Berkawan dengan rakan yang berlainan jantina di pejabat tak salah. Tapi kena letakkan batas tertentu agar tidak cenderung ke arah curang. Nak atau tak, kerna terima, banyak kes curang melibatkan rakan sepejabat.
Curang dengan rakan sepejabat? Ala..Berkawan jer! Itu adalah jawapan yang sering diberikan bila skandal terbongkar. Namun, tentu kita pernah dengar tentang skandal di pejabat yang melibatkan isteri orang, sama ada pasangannya juga suami orang atau pun si bujang teruna.
Puncanya Apa?
Apa punca agaknya mereka curang? Apa kata kita sama-sama hayati perkongsian daripada Dr. Syed Yusainiee Yahya, daripada Promind Training And Consultation, yang juga penulis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Para suami juga boleh jadikan artikel ini sebagai panduan. Kalau terasa diri dalam situasi yang dinyatakan ini, sila cepat-cepat ‘sedar diri’ dan menjauhi kawan rapat itu ye!
Berkawan Terlalu Rapat?
Pada mula semuanya kelihatan biasa. Anda kata hubungan profesional sebagai kawan sekerja dan rakan sepejabat. Apabila ada masalah di pejabat, maka kepada dialah tempat anda mengadu.
Anda rasa selesa ke sana dan ke sini bersama dengan lelaki yang merupakan kawan rapat anda itu. Ada sesekali rakan sepejabat lain memberi nasihat, yang membawa makna anda berdua sudah terlalu rapat. Tapi nasihat itu terus membuat anda menjadi ‘singa’.
Bila Berkawan Terlalu Rapat, Hati Mula Keliru
Anda kata anda tidak ada apa-apa kecuali urusan kerja. Memang betul pun sebab tidak pernah sekali pun kawan rapat anda itu berbuat tidak elok kepada anda. Tapi jauh di sudut hati,semakin lama anda rasa dia adalah lelaki yang lebih baik berbanding dengan suami di rumah. Dia pandai bergurau dan tak macam suami yang bosan macam tiang lampu. Anda terasa seperti ‘kehilangan’ apabila dia tidak hadir ke pejabat. Anda keliru. Tidak ada niat untuk curang.
Anda bukan tidak tahu hukum. Hati anda berbisik seperti merasa ada sesuatu yang tidak kena. Adakah anda sudah melepasi sempadan rakan profesional atau apa? Sudah tentu anda tidak berniat serong tetapi hati tidak mudah dipujuk begitu. Apakah tanda-tanda anda sudah melebihi sempadan yang sepatutnya? Inilah yang saya akan kongsikan.
Kerja di pejabat bukan seperti kerja di kebun pisang. Kerja sementara matahari masih ada. Kerja di pejabat kadangkala berlarutan sehingga ke malam. Ada juga kerja yang memaksa pasangan sekerja ini berada lama di luar pejabat. Kemudian terpaksa berada berdua di pejabat sehingga larut malam untuk membuat berbagai laporan.
Di pejabat, ada mata rakan yang melihat yang membuat anda segan. Tetapi di luar pejabat siapa yang tahu hubungan anda berdua? Adalah sesuatu yang baik sekiranya anda bimbang sekiranya ada perasaan lain yang timbul dalam situasi itu. Sesungguhnya bimbang dan takut yang rasional itu adalah perisai terbaik kepada isteri-isteri ahli syurga yang terpaksa keluar bekerja.
Lanjutan daripada kerja di pejabat, ianya pasti ada masa tenang dan ada masa gelora. Maksudnya ada waktu keadaan sangat panas. Tekanan kerja banyak. Perangai bos yang membuat hati anda seperti dicencang lumat.
Berkawan Rapat Dan Jadi Tempat Mengadu
Apabila tiba waktu-waktu begitu siapakah orang pertama yang menjadi tempat anda mengadu? Adakah kawan rapat itu orang yang sama menjadikan anda tempat meminta nasihat sama ada berkaitan hal-hal pejabat atau hal-hal emosi berkaitan tekanan kerja? Jika dalam semua keadaan anda selesa mengadu kepada orang yang sama maka elok jika anda semak semula perasaan anda kepadanya.
Saya selalu kata bahawa ada dua perkara paling best dalam dunia. Pertama; makan percuma. Kedua; bergosip hal orang (walaupun kita tahu sangat berdosa). Bayangkan jika dia selalu belanja anda makan dan dia menjadi tempat anda berkongsi segala gosip dunia. Anda selesa berkongsi gosip di pejabat, gosip di rumah hinggalah gosip di bilik tidur dengannya.
Apabila anda semakin selesa berada dalam situasi begitu dengan dengannya selain daripada suami di rumah maka semakin jauhlah anda daripada sempadan ‘rakan profesional’ yang sepatutnya. Lagi satu, bayangkan anda rasa selesa untuk bercakap apa sahaja dengan dia. Anda boleh tegur dia semakin boroi sambil menepuk-nepuk perutnya. Dia memuji anda semakin langsing apabila berdua dalam kereta dan anda suka mendengar pujian itu. Anda mungkin rasa itu ‘OK’ tetapi bayangkan suami duduk di kerusi belakang. Agaknya apa suami anda akan kata?
Berlarutan Hingga Ke Rumah
Tanda terakhir yang saya kongsikan ini adalah yang paling menakutkan. Adakah anda membawa kawan rapat anda itu dalam fikiran anda apabila berada rumah? Maksud saya adakah hari minggu anda hantar ‘watsApp’ kepadanya bertanya khabar? Cuba kira semula sudah berada kali anda menghubunginya semasa bercuti atau semasa berada di rumah? Kenapa anda mesti menghubungi dia sedangkan pada ketika itu anda sepatutnya menjadi kepunyaan keluarga anda?
Saya faham. Anda kata hanya untuk bertanya khabar tetapi itu selalunya adalah isyarat merah bahawa anda teringat-ingat kepadanya. Jika anda bujang tidak mengapa. Itu usaha yang bagus. Tetapi jika ada isteri orang maka itu perlu dihentikan.
Artikel: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation
Masalah kewangan merupakan faktor utama yang mendorong kepada kes-kes perceraian yang berlaku di negara ini. Kebanyakan kes perceraian didorong oleh pelbagai masalah kewangan termasuk melibatkan pemberian nafkah, kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang kecil sehingga tidak dapat menampung keperluan isi rumah.
Masalah Kewangan Punca Pasangan Bercerai
Masalah kewangan dalam kehidupan berumah tangga menjadi antara punca utama perceraian berlaku. Berdasarkan undian di laman sosial X Sinar Harian dalam tempoh 24 jam bermula jam 1 petang Jumaat, mendapati 50 peratus daripada 319 yang mengundi bersetuju bahawa masalah kewangan menjadi punca utama perceraian.
Penganalisis ekonomi dan muamalat di Universiti Sains Islam, Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata tekanan masalah kewangan antara penyebab utama perceraian.
“Gaji sekadar cukup makan juga menyebabkan pasangan bergaduh kerana tidak mampu menyara kehidupan seharian.
“Mereka perlu bekerjasama dan bertoleransi dengan cara berkomunikasi bagi mencapai persefahaman dalam mengatasi masalah kewangan.
“Sememangnya sukar merealisasikan impian hidup berkeluarga tanpa menghadapi krisis kewangan. Namun, mereka perlu bersabar dan tidak cepat melatah dengan apa jua cabaran akan datang.”
Beliau mencadangkan kursus pra-perkahwinan ditambah baik, antaranya membantu peserta merancang perbelanjaan sejajar pendapatan mereka, menggalakkan simpanan wang selepas majlis perkahwinan dan penerangan mengenai perancangan serta pengurusan kewangan.
Kos sara hidup tinggi menjadi antara penyumbang kepada jumlah perceraian di Selangor
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup ini mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.
Sibuk Cari Rezeki Sampai Tak Ada Masa Dengan Famili
“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.
“Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mu’izzudden Mahyuddin (PN – Hulu Bernam) mengenai faktor mendorong Selangor mencatatkan jumlah penceraian tertinggi berbanding negeri-negeri lain pada tahun lalu.
Tambah beliau, peningkatan jumlah cerai juga adalah disebabkan akses kepada perkhidmatan peguam syarie sama ada disediakan oleh agensi-agensi kerajaan atau swasta.
“Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi supaya hasil kajian tersebut boleh diguna pakai untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor,” katanya.
Penularan virus COVID-19 membuatkan kerajaan mengambil langkah untuk meyekat aktiviti berkumpulan temasuklah aktiviti-aktiviti keagamaan. Mak, ayah digalakkan untuk menghabiskan masa di rumah bersama anak-anak. Tolonglah akur dengan arahan kerajaan untuk mengelak keadaan ini semakin parah.
Ustaz Ebit Lew antara selebriti yang terpalit dengan situasi ini. Jadualnya yang sentiasa penuh kini dihargai sebaik mungkin dengan meluangkan masa membantu isterinya di dapur dan melayani karenah anak-anak. Sebenarnya ada nikmat dan hikmah di sebalik COVID-19.
Nikmat hikmah disebalik COVID-19. Biasa busy. Terima kasih ya Allah. Adalah masa di rumah masak untuk bidadari dan anak-anak. Dapat makan sama-sama. Bersepah dapur ayah masak. Anak-anak berlari makan dekat saya. Nikmatnya bila dapat beri masa bersama bidadari dan anak-anak. Suap bidadari dan anak-anak. Bestnya.
.
Kasihan bidadari saya selama ini masak dekat rumah. Ya Allah. Ini semua anak cuti panjang. Bidadari saya penat. Syukur dapat membantu dirumah
.
Bergilir-gilirlah dan saling membantu dalam khidmat buat ahli keluarga dan juga orang lain. Jamu orang miskin dan anak yatim.
Kisah Saidina Umar
Teringat Saidina Umar r.a khalifah mulia bawa guni barang dapur dan masak untuk sebuah keluarga miskin tengah malam atas bukit dalam khemah. Hidupkan api sampai janggut dan wajahnya kena asap. Layan dan lihat anak mereka bermain. Katanya melihat anak ini tadi menangis lapar buat rasa sedih dan melihat mereka bermain kekenyangan buat rasa bahagia.
.
Ayuhlah kita bantu bidadari atau anak-anak bantulah ibu cuti sekolah ini. Anak lelaki baik anak perempuan. Kita sama-sama buat dengan kasih sayang dan cinta. Disaat ujian ini kita jemput rahmat dan keampunan Allah. Orang yang paling untuk orang khidmat. Semua orang yang puasa, solat, baca al-Quran, zikir dan semua kebaikan mereka dapat pahala.
Tetapi orang yang khidmat menyediakan makanan buat mereka paling besar pahala. Dia dapat kebaikan besar dari semua amal ahli keluarga.
MW: Semoga setiap daripada kita mengambil hikmah di sebalik apa yang berlaku. Patuhi perintah kawalan pergerakan sebaik mungkin. Duduk ‘betul-betul” di rumah, barulah virus ini tidak merebak. Bantulah isteri dan luangkan masa bersama anak-anak yang selama ini kita terhutang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
6 tahun jaga suami terlantar parah akibat kemalangan, isteri diuji pasangan berkahwin lain. Pengorbanan seorang isteri menjaga suami yang terlantar akibat kemalangan jalan raya...