HUKUM Sapuan Pada Stoking Moden Mengikut Mazhab Syafi’i TIDAK SAH & Tak Mencukupi Syarat

Share

HUKUM Sapuan Pada Stoking Moden Mengikut Mazhab Syafi’i TIDAK SAH & Tak Mencukupi Syarat. Membasuh kaki sehingga ke buku lali merupakan salah satu bahagian dan anggota wajib ketika berwuduk. Sekiranya tertinggal salah satu rukun atau anggota wajib wuduk, maka wuduk dan solat itu tidak sah.

Ulama mempunyai pelbagai pandangan berkaitan isu sapuan di atas stokin bagi memudahkan ketika mengambil wuduk. Terutamanya apabila dalam perjalanan jauh menaiki kapal terbang, ke negara sejuk yang susah untuk jumpa air dan penggunaan air yang minimum.

Untuk faham lebih lanjut, baca penjelasan daripada Dr.Syed Shahridzan Ben-Agil ini yang merupakan Ketua Penolong Mufti di bahagian Penyelidikan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai rujukan.

HUKUM SAPU ATAS STOKING

Ada yang mendakwa terdapat pandangan kedua dalam mazhab Syafi’i yang mengharuskan sapuan di atas stokin. Jawapannya ada dua, iaitu YA dan TIDAK TEPAT.

1) Jawapan YA bermaksud sememangnya ada pandangan yang bukan muktamad(مقابل الأصح) dalam mazhab Syafi’i tentang keharusan menyapu di atas sarung kaki yang ditenun daripada benang yang mampu ditembusi air. Ini adalah pandangan yang marjuh(lemah) di sisi ulama mutakhir mazhab Syafi’i.

2) Manakala jawapan TIDAK TEPAT ialah maksud stokin menurut pandangan kedua ini bukan dimaksudkan dengan stoking zaman moden kini, tetapi stokin yang kuat dan mampu digunakan untuk permusafiran yang jauh (يمكن تباع المشي). Maksudnya lapik kaki seperti khuf yang ditenun mampu digunakan untuk perjalanan dua marhalah dan tidak mudah rosak seperti khuf yang diperbuat daripada kulit.

3) Ulama-ulama Syafi’iyyah (Ashabul Wujuh) khilaf dalam menentukan harus atau tidak sapu di atas khuf yang boleh ditembusi air, namun yang muktamad tidak sah sapuan atas sarung kaki yang boleh tembus air kerana tidak tepat diqiyaskan dengan khuf kulit.

Namun ulama Syafi’iyyah bersepakat khuf yang layak disapu hanya khuf yang kuat dan mampu menanggung perjalanan jauh tanpa rosak dan syarat ini tidak ada pada kebanyakkan stoking moden.

Khuf boleh diterjemahkan kepada kasut boot zaman moden(tak tembus air). Kulit mengikut kebiasaan tahan untuk perjalanan jauh bagi jalan yang berpasir seperti di padang pasir, bukan jalan berturap macam zaman sekarang(ini lebih cepat rosak). Khuf pada zaman Rasulullah ﷺ adalah kasut pada zaman itu, jadi bahagian tapaknya mungkin lebih tebal berbanding bahagian lain.

4) Oleh yang demikian, menurut mazhab Syafi’i hukum sapuan pada stoking moden tidak sah walaupun di sisi pandangan marjuh kerana stokin moden tidak mencukupi syarat. Ini juga pandangan muktamad 3 mazhab yang lain.

Akhir sekali saya tidak menafikan ramai ulama kontemporari mengharuskan sapuan pada stoking sebagai qiyas kepada hukum khuf sepertimana difatwakan oleh beberapa badan-badan fatwa di sebahagian negara Islam.

Namun dalam mendepani isu-isu khilaf lebih baik kita mengambil pendekatan keluar daripada khilaf kerana itu lebih warak dan selamat.
Kalau ingin guna pandangan ulama moden sekali pun disarankan apabila berada dalam situasi yang berhajat dan mendesak seperti cuaca sejuk, sakit kaki dan seumpamanya.

Wallahu A’lam

Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

Mesti Baca:Dugaan Hebat Raja Sehari, Pagi Uruskan Pengebumian Jenazah Mak, Petang Halalkan Isteri Tercinta
Baca Lagi Di Sini:Jaga Pergaulan, Biarlah Kita Nampak ‘Old School’ Tapi Menjaga Hukum Tuhan!
Artikel Menarik:Hati-Hati Trend Jual Beli ‘Cedok-Cedok’ Adalah ‘Gharar’, Tak Sah & Hukumnya HARAM!

Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kita tidak mengambil mudah dalam hukum agama terutamanya apabila melibatkan isu khilaf.

Sumber:Dr.Syed Shahridzan Ben-Agil

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab