‘Hujan Ribut Pun Buat Kelas’ Guru Kongsi Usaha 39 Murid UPSR Asalnya Corot Matematik

Share

Semalam murid-murid tahun 6, 2018 sudah pun memperoleh keputusan peperiksaan UPSR masing-masing. Apa pun keputusannya, itulah rezeki yang telah tuhan tentukan untuk anak-anak kita.

Rezeki juga berkait dengan usaha. Usaha yang bagaimana, sungguh-sungguh kah atau apa. Dan akhirnya berbalik kembali kepada rezeki yang tuhan beri. Kerana Allah itu Maha Pemberi Rezeki.

Cerita 39 orang murid yang mengambil subjek Matematik UPSR di bawah bimbingan guru Mohd Fadli Salleh ini cukup indah perjalanannya.

 

Hari hujan. Biar pun kebasahan, namun kelas tetap JALAN!

Asalnya Cuma 4 Pelajar Lulus Matematik..

Ini murid kelas 6 Aktif. 39 orang semuanya. Aku ambil alih kelas ini untuk ajar Matematik pada pertengahan April 2018.

Guru Matematik mereka beranak dan guru pengganti pula keguguran. Dari situ aku bermula. Jujur aku kata, keputusan mereka sangat tidak memuaskan.

Peperiksaan pertengahan tahun, hanya 4 orang dari 39 orang yang lulus. Ya, hanya 4 orang sahaja yang LULUS manakala 35 orang lagi GAGAL!

Dan masuk bulan 6 tapi hanya 4 orang yang lulus dari 39 orang adalah satu malapetaka bagi seorang guru. Berbaki 3 bulan sebelum UPSR sebenar.

35 orang yang tak lulus itu hanya 6 orang nearmiss, hampir lulus dengan markah lebih 30%. Bakinya, majoritinya markah mereka kurang dari 20%.

Seram ya ampun tak boleh nak cerita kat orang perasaan aku.

 

Cikgu Terus Beri Kata Semangat, Hujan Ribut Pun Buat Kelas

Namun aku tak pernah pandang rendah pada mereka. Aku terus bagi kata-kata motivasi dan semangat.

Kelas tambahan pula aku buat 3x ganda lebih dari kelas lain. Petang, malam, hujung minggu, semua aku hentam.

Hujan ribut pun jalan juga. Aku pergi kursus sehari pun, petangnya aku kembali ke sekolah untuk ajar dan ajar lagi.

Penat memang penat. Perit memang perit. Letih memang letih. Namun itu pengorbanan yang perlu dilakukan demi sebuah kejayaan.

Cara apa aku tak guna. Segala cara mengajar aku guna. Cara baik, cara kasar, cara lembut, cara keras. Semua aku guna pakai.

Dan tadi hari keputusan UPSR diumumkan.

 

Ini Hasil Yang 39 Murid Peroleh..

Dari 39 orang murid, hanya seorang yang gagal Matematik. 38 orang murid lagi lulus. Alhamdulillah.

Ada yang dari D terus pergi A. Ada yang sebelum ini E, hari ini menjadi B. Ada yang tak pernah lulus Matematik dari awal tahun sehingga percubaan, namun usaha gigih itu membuahkan hasil. Dia dapat C!

Aku cuma ingin murid-murid diluar sana tahu. Jangan pernah berputus asa. Jangan!

Jangan rasa kita tidak pandai jika keputusan kita selalu gagal. Jangan!

Jangan rasa kita tidak boleh dan semuanya sudah terlambat untuk mengejar kawan-kawan yang lain. Jangan!

Tuhan telah berkata, DIA takkan ubah nasib seseorang melainkan orang itu sendiri yang ubah nasib mereka.

Pepatah Arab pula ada mengatakan,

Man jadda, wajada.”

Sesiapa berusaha, dia berjaya.

Untuk berjaya, tiada jalan pintas. Usaha, usaha, dan terus usaha. Setiap kali jatuh, bangkitlah semula.

Dan jadikan setiap kali kegagalan itu penguat untuk berusaha lebih hebat.

MW : Begitulah apabila seorang guru itu ikhlas mendidik, Allah hadirkan bahagia buatnya. Dan rasa indah itu tersebar luas pada murid-murid, ibu bapa malah orang yang ada di sekelilingnya.

 

 

Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh, Guru biasa yang tidak pernah henti berusaha.

.

Published by
Netty Ah Hiyer