Hubungan yang terjalin tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Berapa banyak pula yang terputus apabila ia tidak lagi dihargai, lebih-lebih lagi pada zaman serba material ini.
Hari ini sekian ramai yang merungut tentang harga barangan yang meningkat sedangkan nilai pendapatan masih di takuk lama. Ada juga yang berkata mengapa perlu merungut.
Pada saya, mereka merungut kerana mereka sedang melaluinya. Sama seperti orang sakit yang akan bercerita tentang kesakitannya kepada mereka yang menziarahinya. Jadi, tidak ada salahnya jika kita meluahkan rasa terbeban tentang keadaan ekonomi sekarang.
Mereka yang tidak merungut boleh jadi mereka memendamnya dalam hati atau mereka sememangnya tidak terasa sedikit pun himpitan keadaan kerana boleh jadi mereka mempunyai wang simpanan yang sangat banyak atau pendapatan yang sangat besar.
Susah orang dahulu berbeza dengan orang sekarang. Ini kerana sekarang semuanya memerlukan wang. Dahulu mandi di rumah percuma kerana menggunakan air perigi.
Tetapi sekarang biarpun kita mengatakan mandi di rumah percuma namun hakikatnya tidak. Kita perlu membayar bil air yang kita gunakan untuk mandian tersebut. Zaman serba canggih ini tiada yang percuma. Bahkan meminta nasihat pun perlukan wang.
Baca lagi artikel menarik di sini:
Biarkan Tandas Dalam Bilik Tidur TERBUKA, Punca Hubungan Suami Isteri Tak Tenang
Ipar-Duai Boleh Jadi Punca Hubungan Suami Isteri Bergolak, Sila Waspada!
Ikuti Mingguan Wanita di instagram:
Begitu juga dengan hubungan kita sesama manusia. Tanpa kita sedar banyak yang putus kerana ia dianggap sudah tidak bernilai. Saya selalu bertanyakan kepada mereka yang berada di sekeliling saya, “berapa nilai hubungan kamu dengan orang yang kamu sayang?” Jawapannya mudah dan boleh diteka oleh sesiapa pun. “Tidak ternilai kerana dibina atas perasaan cinta.”
Setiap nilai ada nilai yang boleh dirujuk dan disandarkan pengiraannya. Kita tidak boleh berkata berlian yang tidak ternilai harganya kerana nilai berlian tetap sahaja boleh dinilai.
Cuma mungkin kita tidak tahu berapa nilainya atau kita tidak tahu bagaimana nak menilainya. Walau bagaimana sekalipun, ia tetap ada nilai. Kita mungkin tidak pernah mahu memikirkan tentang nilai hubungan yang wujud antara kita dan orang yang kita sayang.
Tadi kebetulan saya menonton kisah seorang isteri yang begitu tabah menyara keluarga kerana suaminya mempunyai masalah kesihatan. Mungkin ada yang berkata itulah bukti cinta itu tidak ternilai harganya.
Saya mempunyai pandangan berbeza. Wanita tersebut masih setia bersama suaminya dan sanggup berkorban demi menyara keluarga kerana dia tahu berapa nilai ikatan antara mereka.
Biarpun susah tetapi mungkin mengikut pengiraan wanita tersebut hidupnya akan menjadi lebih susah jika suaminya hilang selama-lamanya. Dia bukan hanya hilang tempat pautan kasih sayang tetapi ia bakal menghuru-harakan emosinya.
Harga kesusahan itu lebih besar nilainya dari keadaannya sekarang. Justeru, dia perlu terus kuat agar tidak kehilangan hubungan itu kerana nilainya sangat besar baginya.
Pada saya, hubungan dengan orang tersayang mempunyai nilai dan nilainya sangat besar. Maka untuk mengatakannya tidak ternilai adalah tidak tepat kerana hubungan tersebut mempunyai nilai.
Dek kerana besarnya nilai hubungan tersebut, maka kita sanggup berbelanja besar untuk membahagiakan orang yang disayangi kerana jumlah yang dibelanjakan itu masih kecil jika dibandingkan dengan nilai sesebuah hubungan.
Kita tidak menjadi kedekut dan kita juga tidak menjadi orang yang membazir. Kita perlu meletakkan sebuah nilai dalam hubungan agar setiap daripadanya mempunyai nilai untuk dihargai. Ini tidak pula bermakna kita mata duitan dan perlu membayar hubungan tersebut. Ia adalah satu sandaran untuk merujuk berapa hebatnya nilai hubungan kita dengan seseorang.
Ada orang yang sanggup berpisah dengan orang yang disayangi hanya dengan satu juta ringgit misalnya. Ada kawan yang sanggup berpaling dan menikam belakang kerana projek puluhan ribu.
Ini semua membuktikan bahawa sesebuah hubungan ada nilainya. Semakin kuat perasaan kita pada seseorang semakin tinggilah nilainya.
Semakin tinggi nilai sesebuah hubungan semakin baiklah kita menjaganya biarpun ia adalah satu bentuk perasaan yang tidak boleh digilap dengan sentuhan.
Janganlah kita meletakkan nilai hubungan pada satu tahap yang rendah hingga tidak bernilai dan jangan juga kita membiarkannya begitu sahaja tanpa nilai kerana ia tidak ternilai kerana tiada nilai.
Akibatnya hubungan tersebut menjadi rapuh dan hambar kerana tiada usaha yang bersungguh untuk menjaganya sebagaimana kita menjaga barang yang tinggi nilainya.
Meskipun begitu, jangan biarkan ia menjadi bahan dagangan yang boleh berubah tangan hanya kerana ia mempunyai nilai. Jangan juga menggadaikannya hanya kerana nilai yang ada padanya. Hargailah setiap hubungan yang ada kerana ia menjadikan kita mempunyai nilai.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)