Hubungan yang terjalin tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Berapa banyak pula yang terputus apabila ia tidak lagi dihargai, lebih-lebih lagi pada zaman serba material ini.
Hari ini sekian ramai yang merungut tentang harga barangan yang meningkat sedangkan nilai pendapatan masih di takuk lama. Ada juga yang berkata mengapa perlu merungut.
Rungutan Luahkan Apa Yang Dirasa
Pada saya, mereka merungut kerana mereka sedang melaluinya. Sama seperti orang sakit yang akan bercerita tentang kesakitannya kepada mereka yang menziarahinya. Jadi, tidak ada salahnya jika kita meluahkan rasa terbeban tentang keadaan ekonomi sekarang.
Mereka yang tidak merungut boleh jadi mereka memendamnya dalam hati atau mereka sememangnya tidak terasa sedikit pun himpitan keadaan kerana boleh jadi mereka mempunyai wang simpanan yang sangat banyak atau pendapatan yang sangat besar.
Beza Dulu Dan Sekarang
Susah orang dahulu berbeza dengan orang sekarang. Ini kerana sekarang semuanya memerlukan wang. Dahulu mandi di rumah percuma kerana menggunakan air perigi.
Tetapi sekarang biarpun kita mengatakan mandi di rumah percuma namun hakikatnya tidak. Kita perlu membayar bil air yang kita gunakan untuk mandian tersebut. Zaman serba canggih ini tiada yang percuma. Bahkan meminta nasihat pun perlukan wang.
Begitu juga dengan hubungan kita sesama manusia. Tanpa kita sedar banyak yang putus kerana ia dianggap sudah tidak bernilai. Saya selalu bertanyakan kepada mereka yang berada di sekeliling saya, “berapa nilai hubungan kamu dengan orang yang kamu sayang?” Jawapannya mudah dan boleh diteka oleh sesiapa pun. “Tidak ternilai kerana dibina atas perasaan cinta.”
Saya sering memberi kefahaman saya tentang apa yang dipanggil ‘tidak ternilai’. Tidak ternilai pada saya wujud atas dua perkara. Pertama, tidak ternilai kerana tiada nilainya. Kedua, tidak ternilai kerana tidak tahu nilainya.
Foto: 123rf
Tiap Benda Ada Nilai
Setiap nilai ada nilai yang boleh dirujuk dan disandarkan pengiraannya. Kita tidak boleh berkata berlian yang tidak ternilai harganya kerana nilai berlian tetap sahaja boleh dinilai.
Cuma mungkin kita tidak tahu berapa nilainya atau kita tidak tahu bagaimana nak menilainya. Walau bagaimana sekalipun, ia tetap ada nilai. Kita mungkin tidak pernah mahu memikirkan tentang nilai hubungan yang wujud antara kita dan orang yang kita sayang.
Pengorbanan Dalam Perhubungan
Tadi kebetulan saya menonton kisah seorang isteri yang begitu tabah menyara keluarga kerana suaminya mempunyai masalah kesihatan. Mungkin ada yang berkata itulah bukti cinta itu tidak ternilai harganya.
Ads
Saya mempunyai pandangan berbeza. Wanita tersebut masih setia bersama suaminya dan sanggup berkorban demi menyara keluarga kerana dia tahu berapa nilai ikatan antara mereka.
Nilai Terlalu Besar
Biarpun susah tetapi mungkin mengikut pengiraan wanita tersebut hidupnya akan menjadi lebih susah jika suaminya hilang selama-lamanya. Dia bukan hanya hilang tempat pautan kasih sayang tetapi ia bakal menghuru-harakan emosinya.
Harga kesusahan itu lebih besar nilainya dari keadaannya sekarang. Justeru, dia perlu terus kuat agar tidak kehilangan hubungan itu kerana nilainya sangat besar baginya.
Tidak Tepat
Pada saya, hubungan dengan orang tersayang mempunyai nilai dan nilainya sangat besar. Maka untuk mengatakannya tidak ternilai adalah tidak tepat kerana hubungan tersebut mempunyai nilai.
Dek kerana besarnya nilai hubungan tersebut, maka kita sanggup berbelanja besar untuk membahagiakan orang yang disayangi kerana jumlah yang dibelanjakan itu masih kecil jika dibandingkan dengan nilai sesebuah hubungan.
Ads
Kita tidak menjadi kedekut dan kita juga tidak menjadi orang yang membazir. Kita perlu meletakkan sebuah nilai dalam hubungan agar setiap daripadanya mempunyai nilai untuk dihargai. Ini tidak pula bermakna kita mata duitan dan perlu membayar hubungan tersebut. Ia adalah satu sandaran untuk merujuk berapa hebatnya nilai hubungan kita dengan seseorang.
Berapa Nilai Sebuah Hubungan?
Ada orang yang sanggup berpisah dengan orang yang disayangi hanya dengan satu juta ringgit misalnya. Ada kawan yang sanggup berpaling dan menikam belakang kerana projek puluhan ribu.
Ini semua membuktikan bahawa sesebuah hubungan ada nilainya. Semakin kuat perasaan kita pada seseorang semakin tinggilah nilainya.
Menjaga Hubungan Dengan Sebaik Mungkin
Semakin tinggi nilai sesebuah hubungan semakin baiklah kita menjaganya biarpun ia adalah satu bentuk perasaan yang tidak boleh digilap dengan sentuhan.
Janganlah kita meletakkan nilai hubungan pada satu tahap yang rendah hingga tidak bernilai dan jangan juga kita membiarkannya begitu sahaja tanpa nilai kerana ia tidak ternilai kerana tiada nilai.
Jangan Biarkan Saja
Akibatnya hubungan tersebut menjadi rapuh dan hambar kerana tiada usaha yang bersungguh untuk menjaganya sebagaimana kita menjaga barang yang tinggi nilainya.
Meskipun begitu, jangan biarkan ia menjadi bahan dagangan yang boleh berubah tangan hanya kerana ia mempunyai nilai. Jangan juga menggadaikannya hanya kerana nilai yang ada padanya. Hargailah setiap hubungan yang ada kerana ia menjadikan kita mempunyai nilai.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Percaya atau tidak. Itulah yang selalu kita dengar, sihir orang sebab tak suka, nak jatuhkan kehidupan orang lain, tak boleh lihat pasangan bahagia atau dendam dan sebagainya.
Jalan singkat untuk melihat penderitaan orang.Tak nak percaya tapi bila berlaku depan mata atau diri sendiri, barulah tahu ia betul atau tidak. Kadang-kadang, kita fikir cara ini adalah berdosa besar dan syirik. Tapi ramai yang buat juga.
Lagi menyedihkan ada yang sanggup sihir adik beradik, darah daging sendiri kerana tidak mahu adik beradik itu hidup senang. Sampai sanggup begitu sekali. Keluarkan modal untuk upah bomoh supaya jin datang menganggu.
Namun, perkara yang diterangkan oleh Ustaz di Pusat Rawatan Al Idrus adalah supaya perawat itu tidak mendengar kata-kata jin yang dihantar itu. Sebaliknya, usahalah untuk merawat kerana ia kata-kata jin itu boleh jadi fitnah dan membuatkan adik beradik bermusuh.
Sihir Adik Beradik, Jangan Hancurkan Darah Daging Sendiri
Cukup menyedihkan apabila dengan adik beradik ada perasaan dengki. Sanggup lakukan macam-macam dengan bagi anak sakit dan tanam ‘sesuatu’ depan rumah.
Daripada perkongian video itu juga, mereka adik beradik bersepakat dan siap kutip duit untuk ubah bomoh dari Melaka supaya suami isteri bercerai berai. Tak boleh langsug tengok mereka bahagia atau lebih daripada dia.
Sampai satu masa, siap menghasut adiknya supaya ceraikan isteri. Boleh dikatakan pelbagai cara yang dilakukan untuk pecah belahkan pasangan ini. Paling tak disangka, risau harta ayah jatuh pada tangan adik dan ipar memandangkan mereka terlalu baik dalam menjaga ayah mereka.
Itu antara serba sedikit perbualan antara perawat dengan pesakit. Dikatakan yang bercakap itu bukan dirinya sebenar tapi adalah ‘jin’. Bila difikir balik, kata-kata jin ini boleh dipercayai atau tidak.
Inilah antara penjelasan ustaz di Pusat rawatan Al Idrus:
Berdasarkan kepada video itu ia memberitahu tentang sihir adik beradik. Tapi apa yang ditekan di sini adalah bagaimana perawat itu mengendalikannya.
1. Sebagai seorang perawat yang merawat pesakit, jangan sesekali percaya kata-kata yng keluar daripada mulut pesakit itu. Ini boleh jadi fitnah yang daang dari jin itu sendiri.
2. Sebagai seorang perawat atau ustaz, kita hanya buang jin yang ada dalam badan pesakit itu dan tak perlu percaya. Dengar boleh, percaya jangan.
3. Antara sebabnya, ia boleh menjadikan pergaduhan adik beradik. Jika tidak buat, ia boleh menimbulkan fitnah dan pergaduhan adik beradik.
4. Jangan dengar kata-kata jin, rawatlah untuk membuang / keluar jin dan jangan sesekali masuk campur dalam urusan pesakit
5. Ini boleh mendatangkan fitnah dan masam muka adik beradik.
Mingguan Wanita : Macam tak percaya tapi kadang-kadang alasan tidak puas hati dengan orang, tak boleh tengok orang senang, dengki dan macam-macam lagi sampai sanggup jumpa bmoh untuk sihirkan orang. Nauzubillah.
Melihat kepada kematian yang tidak mengenal usia, bagaikan terpanggil untuk Latifah (bukan nama sebenar) berkongsi sebuah cerita yang boleh dijadikan teladan buat kita semua. Latifah merupakan seorang guru di Selatan Tanah Air, dia mempunyai seorang kawan yang juga merupakan seorang warga pendidik sepertinya juga.
Kawan yang dipanggil Alisya (bukan nama sebenar) itu sangat alim dan taat kepada suami. Lebih hebat lagi dia juga seorang hafizah. Hebat orangnya sehinggakan boleh membetulkan bacaan Al-Quran orang lain tanpa melihatnya. Hanya dengan mendengar sahaja, Alisya boleh mengesan kesalahan bacaan Al-Quran orang lain.
Kita semua pasti sedia maklum orang yang Hafaz Al-Quran tinggi kedudukannya dan dijanjikan ganjaran yang hebat oleh Allah. Namun itu tidak berlaku kepadanya dek kerana salah faham antara suami dan ibu Alisya.
Dia dalam dilema, berada di tengah-tengah antara suami dan juga ibunya. Ditelan mati emak, diluah mati anak. Bagi seorang isteri, syurga di bawah tapak kaki suami dan kerana itu Alisya banyak memihak kepada suaminya tanpa sedar bahawa dirinya telah melukakan hati ibu tersayang.
Ajal maut itu semua urusan Allah, umur Alisya tidak panjang. Apa yang menyedihkan urusan pengebumian Alisya tidak berjalan dengan lancar. Sebagai seorang muslim, diharuskan kita untuk menyegerakan urusan pengebumian jenazah, tapi itu tidak berlaku kepada arwah Alisya.
Bermula di hospital, jenazahnya dibiarkan lama hanya semata-mata untuk mendapat pengesahan kematian daripada doktor. Lebih menakutkan lagi, apabila di bawa pulang ke rumah, mayatnya arwah tidak semena-menanya mengeluarkan bau yang busuk. Menurut Latifah bau tersebut melekat di pakaian tetamu yang datang menziarah, malah ia masih lagi kekal pada bajunya walaupun sudah dibasuh berkali-kali.
Jenazah arwah juga dihurung serangga berterbangan yang sering hinggap pada makanan yang hampir busuk. Lebih menyedihkan lagi ketika di rumah terjadinya pergaduhan antara suami dan adik arwah Alisya. Keadaan itu melambatkan lagi pengurusan jenazah si mati. Memang ralat melihat apa yang berlaku kepada jenazah orang yang hebat seperti arwah Alisya. Seorang yang alim dan hafizah pun diberikan hukuman sedemikian lupa apatah lagi kita manusia biasa yang sentiasa khilaf.
Akhirnya urusan pengebumian Alisya selesai, tapi pengakhirannya itu sangat menyedihkan dan dapat memberikan pengajaran kepada kita semua. Setelah diselidiki, rupa-rupanya ibu arwah berkecil hati dengan sikapnya yang sering memihak kepada sang suami. Betapa hebat kuasa seorang ibu, kecil hatinya sahaja memberikan azab yang dasyat untuk kita semua. Oleh itu, jangan sesekali menderhaka atau melakukan sesuatu yang boleh melukakan hati ibu bapa kita. Walaupun syurga itu di bawah kaki suami, tapi itu tidak bermakna kita boleh melukakan hati mereka. Jagalah hati mereka kerana sesungguhnya semakin berusia seorang manusia, semakin rapuh hati mereka.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap hari sudah tentu kita akan habiskan masa dengan aktiviti rutin. Tak kiralah kerja rumah tau pun amalan yang dirasakan satu tabiat yang perlu buat ini. Nak tak nak memang kena buat.
Bila dah biasa dengan tabiat ini, lama-kelamaan kita akan rasa tidak lengkap tanpa melakukan. Sebab bila difikirkan balik, ia hanya mengambil masa beberasa minit saja.
Begitu juga, kalau nak rezeki melimpah dan hidup berkat, bileh amalkan tabiat ini. Mungkin, ia nampak kecil tapi kita tak tahu akan datang ia akan memberi satu kejutan yang kita sendiri tidak sangka-sangka.
Inilah yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad tentang micro habit, perkara yang perlu kita jadikan tabiat setiap hari. Tak rugi pun sebab kesannya akan lebih besar dalam hidup kita.
Kita kena ada 13 micro habit yang ini. Ia kecil dari jumlah masa, namun beri impak besar dalam hidup:
1. Mengaji 1 helai Al-Quran setiap hari, jiwa akan tenang.
2. Membaca 1 helai buku setiap hari, akan dapat lebih 200 perkataan dimasukkan dalam kepala.
3. Bersenam 10 minit sehari, badan sihat.
4. Minum 8 gelas air masak sehari, badan cergas.
5. Sentiasa berfikir 1-2 saat sebelum bercakap atau menjawab soalan atau memberi idea adalah rasional.
6. Solat 5 waktu hanya 30 minit dari 24 jam sehari.
7. Menyusun checklist setiap pagi untuk siapkan kerja sepanjang hari.
8. Istighfar jika tersalah, bismillah untuk bermula dan sebut alhamdulillah apabila selesai adalah mendahulukan Allah. Ia sekitar 1 saat setiap kali menyebutnya.
9. Mengucap selawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam sekitar 5-7 saat sahaja. Ia untuk tegapkan hati mendahului sifat, sikap dan cara baginda dalam melakukan sesuatu.
10. Sedekah secara transfer atau menghulurnya terus hanya sekitar kurang 10 saat sahaja.
11. Terserempak sesiapa, beri salam. Ia hanya perlu sekitar 1 saat sahaja mengucapkannya.
12. Berdoa merupakan perkara kita suka buat. Namun kita sengaja baca laju-laju. Tenang! Bacalah perlahan-lahan, biasanya hanya sekitar 2-3 minit sahaja!
13. Berwuduk hanya sekitar 1 minit sahaja kawan-kawan!
Kawan-kawan,
Semua perkara ini sangat sekejap. Sangat kecil dari jumlah 24 jam sehari. Kita mahu hidup kita aman, tenteram, jiwa lapang dalam diuji, namun kita tak serikan dengan habit-habit “kecil” begini.
Ia adalah cara hidup (lifestyle), kita kena biasakan. Jadikan sebagai tabiat. Hidup kita akan banyak berkat. Dilimpah dengan berbagai hadiah, rezeki dan nikmat.
Begitulah.
Buat list micro sendiri! Lihat mana yang tiada, tambah! Mula terus esok! Bismillah!
Mingguan Wanita : Selalunya begitulah, bila fikir balik masa yang ambil sekejap saja pun tapi nak buat tu ambil masa bukan main lama lagi. Kena biasakan ni.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Nur Afiqah Amran yang juga Pengasas Perfume Paradise mengkagumi semangat pelakon veteran Ku Faridah atau lebih popular dengan panggilan Mak Engku. Wanita yang berusia...