Hingga Terbit Mata Putih Saja, Saya Panggil Nama Isteri Berulang Kali..

Share

Besar pengorbanan seorang isteri yang bakal melahirkan cahayamata yang dikandung selama 9 bulan. Inilah pengalaman sukar yang dilalui Pencetus Ummah (PU) Amin tatkala menemani isteri dalam bilik bersalin.

Saat cemas hingga dia terpaksa berulang kali memanggil nama isterinya, yang ada ketika cuma nampak mata putih saja di kelopak mata. Syukur, akhirnya isteri selamat melahirkan bayi ketiga mereka, bayi perempuan.

Kesakitan yang isteri tanggung sewaktu melahirkan mampu melunturkan keegoan seorang suami. Jadi, wahai suami. Jika anda punya kekuatan, temanilah isterimu dalam bilik bersalin. Lihat dengan mata sendiri bagaimana susahnya mahu melahirkan zuriatmu. Kelak kau akan sedar dan jadi lebih kasih pada isterimu yang telah bersusah payah itu.

 

‘Saya Panggil Namanya Berulang Kali’ Ketika Temani Isteri Bersalin

Alhamdulillah . Syukur Ya Allah ! Atas nikmat dan rezeki Mu ini..

Pagi tadi saya sampai rumah dari Ipoh ( Ceramah di sana ) jam 1 pagi, kemudian jam 3 pagi isteri mengadu sakit perut, jam 4 pagi di Hospital. Jam 5 pagi Isteri saya selamat melahirkan. Ini anak ke-3 saya. Kemudian jam 8 pagi saya bergegas ke Universiti untuk final exam Master Pengajian Islam saya. Alhamdulillah selesai menjawab tadi..

Kisahnya, Sesuatu yang saya takut untuk lalui, adalah teman isteri ketika bersalin tadi.

Hingga terbit mata putih sahaja di kelopak matanya. Allah… Saya panggil panggil nama dia berulang kali. Dia terus kuat untuk melahirkan puteri kami..

Insaf. Sungguh beban mengandungkan 9 bulan, ditambah saat hari nak melahirkan. Kuat orang perempuan. Sebab itu dosanya dihapuskan hari dia melahirkan..

Jangan Kau Remukkan Hati Isterimu

Wahai anak, jangan kau luka hati ibu mu. Wahai lelaki jangan kau remuk kan hati isteri mu. Pengorbanan mereka ini cukup agung.

Bagi kawan kawan yang belum dikurniakan zuriat, saya doakan anda semua disegerakan rezeki oleh Allah untuk mendapat zuriat. Percayalah pasti ada..

Selamat Datang ke dunia penuh cabaran ini Puteri Ku. Selamat berkenalan dengan Aisyah dan Umar.

 

Dengar Cerita Keretakan Rumah Tangga, Cepat Cepat Peluk Anak Isteri

Saya sangat takut bila mendengar cerita tentang keretakan rumah tangga. Tiap kali ada cerita yang tak sedap didengar tentang rumah tangga, saya cepat cepat peluk anak isteri saya. Tanda syukur Allah anugerahkan mereka untuk saya.

Kerana bagi saya kelurga adalah pelengkap ke SYURGA. Jodoh dan pertemuan adalah hadiah dari Allah. Allah pilih jodoh dan ahli keluarga kita .

Anak anak yang menjadi zuriat kita adalah anugerah yang paling istimewa . Rezeki bertambah kerananya. Anak anak pelengkap dunia akhirat.

Bina Perkahwinan Dengan Kasih Sayang

Saya doakan anda semua bertemu jodoh yang mendamaikan hati dan terus memimpin tangan anda ke SYURGA . Keluarga ini kerajaan kecil yang wajib dipertahankan, pasti ada musuh, pasti ada ujian, pasti ada pasang surut ombak membadai.

Tiap kali ujian hadir ucapkan kalimah kalimah yang menyeru Allah. Kita semua bukan sempurna tapi kita wajib mencari kesempurnaan . Bina perkahwinan kita dengan kasih sayang Allah.

Ingat kalau ada hati nak meninggalkan nya , fikir dan ingat saat saat anda mahu memilikinya.

Ujian kita beza beza.

Allah sedang mencatur hidup ini dengan apa yang kita sangka kan.

Ya Allah ! Peliharalah Kami.

Sumber/Foto : IG PU Amin, FB PU Amin

Published by
Netty Ah Hiyer