Allahu, sebaknya bila mengenangkan kejamnya seorang anak apabila tergamak membunuh mak kandungnya dengan tangannya sendiri.Lebih memilukan, darjat seorang ibu yang selayaknya berada ditempat yang mulia dan tertinggi, berakhir ditempat yang hina, kotor malah menjijikan.
Misteri kehilangan seorang wanita sejak 19 September lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung, Balik Pulau, petang semalam.
Mangsa Faridah Mat Hashim, 63, dipercayai dibunuh anak kandungnya pada Rabu lalu sebelum mayat wanita malang berkenaan disembunyikan di dalam tangki najis rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, mayat mangsa yang tenggelam di dalam tangki sedalam 1.2 meter itu ditemui menantunya pada 2 petang sebelum menghubungi polis.
“Polis dengan bantuan pihak bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa dan mengesan satu kesan kelar di bahagian hadapan lehernya, selain turut menemui pisau di dalam tangki itu.
“Siasatan awal polis percaya mangsa dibunuh anak lelakinya berusia 29 tahun selepas dia kini didapati menghilangkan diri sejak kehilangan ibunya.
“Satu laporan polis dibuat pada Jumaat lalu memaklumkan kehilangan mangsa sebelum mayatnya ditemui hari ini,” katanya.
Menurutnya, suspek kini diburu polis dan dia turut mempunyai rekod jenayah membabitkan kes mencederakan saudaranya sendiri.
Katanya, rumah itu didiami suspek bersama ibunya dan seorang adik perempuannya.
“Adik suspek memberitahu polis bahawa dia ada melihat ibunya menunaikan solat Subuh pada pagi 19 September itu sebelum hilang sejak itu sehingga mayatnya ditemui, hari ini.
“Suspek dipercayai suka berkhayal dengan menghidu petrol. Lelaki itu kini diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Laporan terkini, suspek berjaya ditahan pihak polis.Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Balik Pulau dengan lelaki terbabit dijangka direman, esok.
“Ya, kita sudah berjaya menahan suspek kes terbabit.
“Siasatan masih dijalankan dan saya akan beri makluman lanjut kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga wanita ini, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Semoga pelaku, menerima hukuman dan pembalasan yang setimpal.