Ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pastinya mengimpikan kehidupan bersama hingga ke hujung nyawa. Tapi kita sebagai manusia hanya mampu merancang, selebihnya Tuhan yang menentukan.
Perkenalan Darmawatie Alwi Hendrick, 37 dengan bekas suami 10 tahun yang lalu menerusi salah seorang saudara telah membibitkan rasa cinta antara dia dan pasangan. Lalu keputusan diambil untuk menghalalkan hubungan yang ada dengan sebuah ikatan perkahwinan yang suci.
Disangka langit selalunya cerah, tapi ternyata hujan di tengah hari. Perkahwinan yang terbina hanya mampu bertahan selama lapan tahun sahaja. Meski pahit untuk ditelan, sementelah pula wanita yang lebih mesra dengan panggilan Watie ini tidak bekerja ketika berpisah, namun kehidupan perlu diteruskan. Dua orang puteranya hasil perkongsian hidup bersama bekas suami perlu dijaga dan diberi kasih sayang demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.
“Saya berkenalan dengan bekas suami melalui anak saudara saya. Setelah berkawan dan ada keserasian kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Tapi jodoh kami tak panjang, tiada lagi persefahaman antara kami berdua, mahligai yang dibina hanya bertahan selama lapan tahun sahaja,” ujarnya memulakan cerita.
Anak-anak Terkesan
Mempunyai dua orang anak lelaki yang masih kecil dan rapat dengan bekas suaminya dahulu, ketika mula-mula berpisah keadaan cukup meruntun hati Watie setiap kali anak-anaknya bertanyakan tentang ayah mereka.
“Pada permulaan, anak-anak memang selalu bertanya mana daddy mereka sebab tak balik-balik ke rumah. Saya hanya mampu beritahu mereka bahawa daddy bekerja jauh sahaja pada masa itu. Memang kesian melihat anak-anak sebab tak pernah berpisah dengan daddy mereka. Anak-anak saya memang rapat dengan ayahnya. Ketika itu memang saya sedih sangat tengok keadaan anak yang masih kecil dan tidak memahami. Akibat perpisahan kami, anak-anak jadi mangsa keadaan,” ujarnya sayu.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ketika dirinya ditinggalkan Watie hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa. Terasa dunianya gelap seketika, tiada lagi tempat untuk bergantung harap. Hanya ibu dan anak-anak penguat semangat untuk teruskan kehidupan yang belum tahu penghujungnya kelak.
“Setelah berpisah dengan bekas suami memang saya berasa down sangat. Umpama dunia saya gelap seluruhnya, saya hilang tempat bergantung. Saya tidak bekerja sebelum ni dan hanya suri rumah. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Dengan anak-anak dan mak saya lagi. Saya sudah tiada ayah dan merupakan anak tunggal. Segalanya bergantung pada saya seorang sahaja. Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa kepada Allah S.W.T semoga terus tabah dan kuat dengan ujian yang diberikan.
Berniaga Lunchbox
Perpisahan yang berlaku menjadi titik tolak kepada Watie untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan makanan. Syukur pada Yang Esa, segalanya dipermudahkan. Perniagaan makanan yang diusahakan semakin hari semakin maju, malah dia juga sering mendapat tempahan daripada pelanggan lama dan baru menerusi laman instagram dan facebook miliknya.
“Dalam keadaan bersedih dengan nasib yang menimpa, saya sedar saya perlu bangkit untuk teruskan kehidupan. Saya ada anak-anak untuk dibesarkan, ada ibu untuk dijaga. Jadi saya perlu kuat dan tabah. Alhamdullilah, akhirnya saya didorong olehNYA untuk berniaga makanan memandangkan saya seorang yang suka memasak. Saya terus gagahkan diri mencari rezeki untuk kami anak beranak. Walaupun hati masih terluka, saya perlu kuatkan semangat untuk teruskan kehidupan. Berbulan juga saya ambil masa untuk pulihkan hati ketika itu.
“Sebagai tunggak utama dalam keluarga segalanya di atas bahu saya seorang. Jadi saya harus kuat tidak boleh mengalah. Selain itu saya sering berdoa semoga segala urusan saya dipermudahkan. Segala perbelanjaan rumah, kereta, rumah dan semuanya saya perlu cari sendiri. Saya bermula dari bawah dan sedikit demi sedikit atas sokongan saudara terdekat, rakan-rakan baik dan rakan-rakan di media sosial yang banyak membantu mempromosikan perniagaan saya. Alhamdulillah rezeki anak-anak dan mak sentiasa ada. Tempahan yang saya dapat tak putus-putus, syukur sangat. Dari tempahan lima bungkus untuk lunchbox sampai sekarang saya dah dapat tempahan untuk katering pelbagai majlis,” ujarnya penuh kesyukuran.
Ibu Penyokong Kuat
Dalam kebangkitan Watie meneruskan kehidupan sendirian, ibu adalah sosok utama yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya untuk lebih bersemangat. Selain itu saudara mara dan rakan-rakan juga turut menyumbang kepada kebangkitan ibu muda ini.
“Ibu sayalah yang paling banyak membantu saya. Dalam perrniagaan ibu sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya lebih kuat, pemberi semangat untuk saya terus berusaha mencari rezeki. Selain itu saudara mara yang terdekat banyak memberi semangat serta rakan-rakan baik dan paling membantu adalah rakan-rakan media sosial. Sejujurnya media sosial adalah satu medium yang banyak membantu saya dalam perniagaan yang saya jalankan,” katanya lagi.
Apa yang berlaku kepada Watie bagaikan sekelip mata, terlalu cepat untuk dihadam. Namun alah bisa tegal biasa, dengan berbekalkan sedikit simpanan yang ada dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri selain berdoa pada Yang Maha Mendengar, wanita ini bangkit semula.
“Nasib baik saya ada sedikit simpanan untuk menjadi modal perniagaan saya. Segalanya saya perlu buat sendiri, anak-anak pengguat semangat saya untuk teruskan kehidupan. Perpisahan yang berlaku cepat sangat dan tidak dijangka. Saya cuba sentiasa positifkan, saya percaya semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Apa yang boleh saya katakan kepada ibu tunggal di luar sana teruskan kehidupan anda walaupun tiada insan yang bergelar suami di sisi. Tiada pasangan hidup bukan bermaksud kelam seluruh kehidupan kita. Lalui kehidupan dengan tenang dan tabah walaupun ia sangat perit untuk dilalui. Insya Allah kesedihan itu akan ganti dengan kegembiraan yang tidak dijangka. Sentiasa berfikiran positif untuk menjadikan jiwa kita lebih tenang. Sentiasa perbaiki kelemahan diri, kita hanya manusia biasa, sentiasa mencari keredhaan Sang Pencipta, Insya Allah pasti ada sinar untuk kita. Saya doakan wanita-wanita yang senasib dengan saya akan lebih tabah dan gembira kelak. Yang penting jangan pernah putus asa dengan kehidupan. Terima Qada dan Qadar, itulah perjalanan manusia selagi masih berpijak di bumi Allah. Reda dengan ketentuan Allah pasti hidup lebih tenang dan gembira,” akhirinya.