Mendekati waktu maghrib, Allahyarham Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35 menunggang motosikal jenis Honda Vario bersama anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8. Bapa ini mahu menghantar anak lelakinya itu ke kelas mengaji.
Bagaimana pun hajat keduanya tak kesampaian, apabila sekitar jam 7 malam, mereka terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa keduanya di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus.
Ketika ditempat kejadian, motosikal Allahyarham dikatakan keluar dari simpang, kemudian dirempuh Proton Preve dipandu lelaki berusia 38 tahun. Pelanggaran itu menyebabkan dua beranak ini tercampak dan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami. Sementara, pemandu proton Preve mengalami kecederaan ringan.
Pemergian Allahyarham Md Firdaus dan anak sulungnya ini tentunya memberi tamparan hebat buat Siti Hawa Mohd Sebari, 30, isteri dan juga ibu yang sedang hamil anak keempat ini.
Pemergian ini mengundang kejutan yang teramat buat Siti Hawa. Malah, sewaktu menunggu jenazah suami dan anaknya, tak berhenti air mata berlinang. Beberapa kali suri rumah ini pengsan, malah perlu ditenangkan ahli keluarganya sewaktu menunggu jenazah suami dan anak di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) .
Pemergian insan kesayangan secara serentak tentunya memberi kejutan buat mereka yang ditinggalkan. Allahyarham meninggalkan dua orang anak perempuan dan bayi yang masih dalam kandungan isterinya.
Ketika hayat masih ada, anak lelaki sulungnya rajin membaca Al-Quran. malah, kata bapa mentua arwah, Mohd Sebari Kabon, 72 cucunya itu juga cukup menghormati orang tua.
Allahyarham Md Firdaus pun cukup sayangkan anak sulungnya itu. Bila saja pulang bercuti baik di rumah keluarga dekat Tambun, Perak atau rumah keluarga mentua di Felda Adila, Kota Tinggi, dia pastu meluangkan masa bersama Allahyarham Muhammad Lutfil.
Sebak apabila bapa Allahyarham Md Firdaus, Omar Endut, 71 berkongsi rasa hati. Amat sukar untuknya menerima hakikat kehilangan anak lelakinya yang begitu bertanggungjawab dengan keluarga.
Tak pernah pun sekali bapa dan anak ini berpisah dalam hidup mereka. Sejak arwah masih kecil sehingga bergelar Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2008 belum pernah mereka berjauhan.
“Tapi hari ini (semalam) kami berpisah buat selama-lamanya.”
Biarpun bapa ini redha dengan qada dan qadar Allah SWT, kesedihan di hati tetap tak dapat ditahan-tahan.
Jenazah dua beranak ini kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu dan dihantar ke Kota Tinggi dengan van jenazah maritim dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah perkuburan Islam Felda Adila.
APMM Johor turut memberikan penghormatan kepada jenazah dengan Majlis Istiadar Pengebumian dan Kawalan Jenazah yang dilaksanakan oleh 15 Pegawai penguatkuasa dan 17 Pegawai lain-lain Pangkat daripada Maritim Negeri Johor.
Sumber/Foto : Harian Metro