
Bagaimanalah nak berseri sesebuah rumah tangga jika ikatan kekeluargaannya sangat rapuh. Pabila masing-masing lebih pentingkan privasi daripada mengambil tahu tentang antara satu sama lain. Semakin lama semakin hilang komunikasi dalam keluarga moden hari ini.
Betapa sedihnya apabila keluarga ada di depan mata tetapi jarang-jarang berkomunikasi. Makan sendiri dan buat hal masing-masing tanpa bertegur sapa. Sudah tentu walaupun telah berpuluh tahun rumah tangga dibina, tetapi bila keadaan ini akan hilang serinya sebuah rumah tangga yang bahagia.
Fahami perkongsian Firdaus Shakirin ini :
Rumahtangga yang hilang seri…
Zaman sekarang adalah zaman di mana suami dan isteri lebih banyak buat hal sendiri berbanding berkomunikasi sesama sendiri, memahami isi hati, bergurau senda, bantu membantu, tolong menolong, bercerita dan sebagainya…
Dalam rumah ada suami, ada isteri, ada anak-anak… tetapi suasananya sunyi macam tiada siapa-siapa di dalamnya…
Masing-masing meletakkan diri pada zon selesa masing-masing… Isteri di dapur, suami di ruang tamu, anak-anak dalam bilik… Isteri dengan kerja-kerja di dapur, suami menonton TV, anak-anak main HP…
Keluarga Zaman Moden
Ini contoh keluarga zaman moden…
Buat hal masing-masing, makan asing-asing… Tidak ada sesiapa yang hendak memulakan komunikasi antara keluarga, apa jua masalah, sendiri simpan, sendiri selesaikan…
Nampak isteri lalu, nampak suami lalu, nampak anak-anak lalu depan mata, tapi tak ditegur, tak di hiraukan, tak dipanggil untuk bersembang…

Bayangkan, seharian isteri tunggu suami di rumah, suami balik kerja saja, sempat bercakap beberapa patah sahaja… Seharian suami di tempat kerja, sampai saja di rumah, sempat bercakap beberapa patah juga… Seharian anak-anak ke sekolah, tuisyen dan sebagainya, bila datangnya malam, berkumpul dengan ibu bapa, tetapi hanya bercakap beberapa patah dengan mereka…
How sad is life nowadays bila masing-masing lebih memilih untuk buat hal masing-masing…
Sumber: Firdaus Shakirin
MW: Sedihnya bila secara fizikalnya ada ahli keluarga tetapi masing-masing hanya pentingkan dunia sendiri. Sebaiknya berkomunikasilah dan curi peluang untuk menunjukkan kasih sayang kepada setiap ahli keluarga. Ahli keluarga perlu disayangi kerana mereka adalah segala-galanya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Susah Juga Mertua Murah Hati, Lama-lama Pasti Buat Menantu Terasa Hati

Lumrah pasangan muda mendirikan rumah tangga, pasti terasa sedikit susah di awal-awal perkahwinan. Maklumlah selama ini hidup bujang, kini tiba hidup sebumbung berdua. Ketika bujang mungkin tiada masalah jika menyewa beramai-ramai dengan kawan-kawan sekepala. Tetapi setelah berpasangan sudah tentu perlu adanya tempat berteduh biat pun kecil.
Situasi ini kadang-kadang buat ibu dan bapa jatuh kasihan pada anak dan menantunya. Tanpa sedar menghulurkan bantuan, begitu juga dialami Hakimi. Sejak mendirikan rumah tangga, Hakimi sering dibantu keluarga mertuanya dari segi kewangan. Awalnya, Hakimi tidak merasakan sesuatu namun akibat terlalu kerap diberi wang, Hakimi jadi serba salah.
Apatah lagi setelah Hakimi dan isteri telah memperoleh cahaya mata. Semakin melimpah bantuan dari ibu dan bapa mertua. Ditolak, bimbang mereka akan berkecil hati. Tetapi makin lama, makin Hakimi terasa seperti tidak berharga.

Menurut Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, Pensyarah dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, sebenarnya kita bertuah jika memiliki ibu mertua yang pemurah dan suka menghulurkan wang bagi membantu keluarga kita. Pembentukan keluarga juga bukanlah bererti kita memisahkan isteri kita daripada keluarga ibu bapanya, malah ibu bapanya adalah menjadi ibu bapa kita.
Tidak dinafikan, dari sudut psikologi, fitrah lelaki akan tercabar andainya isteri yang berada di bawah tanggungannya, tetapi seolah-olah ditanggung oleh orang lain. Dalam banyak kajian psikologi oleh penulis tersohor seperti Dr John Gray, Alan & Barbara Peace dan lain-lain membuktikan lelaki mudah rasa tercabar dan tersentuh egonya apabila ada pihak ketiga seolah-olah mengambil tanggungjawabnya terhadap isterinya, terutama dalam soal kewangan.
Bagi menangani situasi ini agar tidak menjadi negatif, sebagai ibu elakkan daripada secara terang-terangan memberi bantuan kewangan kepada anak perempuan yang sudah berkahwin. Malah lebih baik, memberilah secara sekali sekala dengan menjadikannya hadiah bersempena ulangtahun, hari jadi dan sebagainya.
Perkara ini mungkin lebih mudah difahami dan diterima oleh suami. Sebagai suami pula, uruskan ego kita dengan bersangka baik betapa kita memiliki ibu mertua yang pemurah dan penyayang. Terimalah apa sahaja pemberiannya dan jadikan ia situasi “menang-menang”. Berterima kasihlah dan hargailah secara positif.
Manakala sebagai isteri, elakkan daripada menunjuk-nunjuk pemberian ibu di hadapan suami atau mengungkit-ungkit serta membandingkan pemberian ibu dengan pemberian suami. Apatah lagi, jangan sampai memperkecilkan keupayaan suami dengan menampakkan pemberian ibu kita sebagai penyelamat dan penyelesai masalah. Hargai fitrah masing-masing, tetapi fitrah perlu diurus dengan ilmu dan iman.Fitrah ditatang jangan, ditentang pun jangan!
Sikap Pemurah Semata
Selain itu, tambah Dr Mohd Noor lagi, kadang kala perkara ini berlaku bukanlah disebabkan kegagalan suami atau menantu menyara keluarga anak tetapi lebih kepada sikap pemurah dan penyayang sebagai ibu terhadap anak dan cucunya. Barangkali juga ada ibu-ibu yang tidak ingin terasa kehilangan anak perempuan setelah berkahwin, dengan masih meneruskan pemberian bermacam-macam termasuk wang.
Walau bagaimanapun, ada juga ibu bapa yang memberi untuk tujuan memperlekehkan kemampuan suami dengan mengungkit-ungkit pemberiannya sebagai penyelesai masalah anak menantunya. Apa pun tujuan ibu, andainya tidak dengan penjelasan yang baik dan cara yang positif, sangat mudah disalah ertikan oleh suami yang terasa dicabar ego dan peranannya.
Bagi suami yang menerima bantuan, bukanlah suatu kesalahan dan menyebabkan tanggungjawab kita sebagai pemberi nafkah tercalar. Pun begitu, sebagai ibu bapa, benarkan menantu kita menguruskan nafkah keluarga dengan caranya yang mungkin lebih sesuai dengan keluarga yang dibangunkan bersama anak perempuan kita di bawah jagaannya. Paling penting memberi, jangan sampai mendesak. Membantu, jangan sampai menghina.
Dapatkan Keizinan

Di samping, jelas Dr Mohd Noor lagi, biar apa pun yang berlaku dalam rumah tangga kita, perlulah kepada keputusan ketua keluarga untuk kebaikan bersama. Dalam hal ini, sebagai isteri, perlulah mendapat keputusan dan keizinan suami. Inilah panduan yang ditunjukkan dalam Islam, setiap tindakan yang diambil perlulah dirujuk dan mendapat keizinan suami, agar pengurusan keluarga kita teratur dan sentiasa selari dengan fitrah.
Andainya suami telah mempunyai perancangan yang tersendiri dan perancangan tersebut lebih baik, adalah lebih baik kita bersabar dan memberi sokongan kepada suami. Ini kerana, kebahagiaan dalam hubungan lahir bukanlah disebabkan banyaknya wang dan harta, tetapi lebih kepada saling terasa dihargai dan dihormati.
Sebagai ibu mertua pula, usahlah terlalu mendesak menantu agar menerima bantuan kita, kerana ia mudah menyakitkan hatinya dan mungkin juga terasa seolah-olah dipandang rendah dan hina. Namun, jika suami pula yang menghadapi masalah untuk menguruskan keperluan keluarga, uruskan ego kita dengan menerima bantuan ibubapa mertua secara positif.
Ibu mertua juga adalah ibu kita, sebahagian daripada keluarga besar kita dan rumah kita juga adalah rumah ibu bapa kita dan ibu bapa mertua kita dalam konteks keluarga yang lebih besar. Hormati pemberian ibu mertua kita, mudah-mudahan kita lebih disayang. Menghormati, kita akan disayangi. Menyayangi, kita akan dihormati. Kita ubah situasi ‘mertua murah hati, suami senang hati!’
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Minta Izin Kahwin Lain, Isteri Tolak Diri Dimadukan!

Isi Kandungan
ToggleIzin atau tak? Suami memang berhak berpoligami. Namun, poligami adalah sesuatu yang sangat mendukakan hati isteri walau pun ia dibenarkan dalam agama. Ikuti pengakuan seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Saya seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Tak pernah ada yang kurang pun. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemani keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Hidu Perubahan Suami
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja.
Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan Suami
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya.
Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak. Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami. Suami juga terus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja.
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Tak Kaya Tak Apa...
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, “ku sangka anas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari”. Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampukah Suami?
Kita pernah mendengar satu frasa yang menyebut “ wanita banyak sembilan nafsu tetapi hanya ada satu akal, manakala lelaki hanya ada satu nafsu tetapi ada sembilan akal. Dan nafsu lelaki yang satu itu hanyalah wanita. Maka Allah izin lelaki berkahwin hingga empat orang jika dia benar-benar boleh berlaku adil. Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua.
Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Tiga Pendekatan
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lai, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih. Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya.
Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Artikel lain di sini:
Ditagih Cinta Lelaki Berstatus Suami Orang
Bila Suami Rasa Hebat Terus NIAT Pasang Dua, Lupakan Isteri Banyak Berkorban

https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Pilihan
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami.
Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka. Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, senantiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Bersemuka Dan Terus Terang
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Puan perlu ada sebuah kereta sendiri yang dinamakan atas nama puan. Puan aktifkan diri dengan perniagaan. Pada masa yang sama puan aktifkan diri dengan aktiviti kebajikan membantu masyarakat sekeliling yang susah dengan memberi pertolongan. Dengan kata lain, tiga perempat daripada tumpuan puan kepada suami dialihkan kepada aktiviti puan di luar daripada lingkungan rumah.
Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang. Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat.
Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan. Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Terlalu Sibuk Mengejar Kerjaya, Kurang Masa Dengan Anak Sehinggalah Terima Satu Berita Mengubah Segalanya

Isi Kandungan
ToggleTerkesan sungguh membaca secebis perkongsian yang dikongsikan Lutfi Lokman ini. Beliau merupakan ayah kepada 5 orang anak yang dahulunya terlalu sibuk mengejar kerjaya, sangat kurang masanya dengan anak-anak untuk melihat perkembangan dan proses pembesaran mereka.Segalanya urusan anak-anak diserahkan kepada isteri, sehinggalah sampai satu peringkat, dia menerima berita yang berjaya mengubah dirinya. Rentetan kisah tersebut, membuatkan dia muhasabah diri, menyesal dan menangis di atas kesilapannya yang terlalu fokus pada kerjaya.
Berikut antara catatan beliau;
ADA APA DENGAN ANAK?
Petang tadi ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, isteri saya bertanya, “Saya lihat awak sekarang banyak habiskan masa dengan anak-anak. Tak pemarah seperti dahulu. Anak nakal pun, awak peluk anak. Cakap elok-elok. Kenapa ya?”
Saya ketawa. Saya tidak menjawab kerana jawapan itu terlalu panjang untuk diceritakan.Perjalanan dari Port Dickson menuju ke Kuala Lumpur agak tenang. Kecuali ketika tiba di Bangi, ada sedikit kesesakan. Biasalah, Bangi kan bandaraya. Mesti perlu sibuk. Kami menghabiskan masa di Port Dickson untuk melihat pantai. Maklumlah, orang Terengganu ni memang suka pantai dan laut. Maka, tempat terdekat boleh kami berkunjung ialah Port Dickson. Nak pergi Pantai Dalam macam tak berapa kena.
….
Setiap hari, anak-anak dan saya akan bertemu pada waktu mereka telah hampir lena. Atau ketika solat subuh berjemaah. Itu sahaja. Waktu solat subuh, nak berbual apa sangat? solat pun sebelah mata terpejam. Selain itu, mereka akan keluar awal untuk ke sekolah dan kami jarang bertemu waktu matahari masih ada. Saya pulang lambat dari pejabat hampir setiap hari. Anak pula sudah tidur awal.
Pada hari minggu, saya berniaga ke pasar dan pulang ketika senja. Hanya ada waktu malam. Itu pun penat dan keletihan telah menguasai diri. Silap berbual, kena marah. Apalah sangat yang boleh didapati oleh si kecil ini semua.
Mula Berubah
Segala-galanya berubah apabila saya mendapat berita tentang anak sahabat saya Ustaz Nazri Mansor disahkan menerima Brain Tumor. Baca Disini:
Siapa sangka. Anak yang sihat, yang cergas, yang ceria tiba-tiba terlantar di hospital dan sudah tidak seriang dahulu.Saya sangat terkejut dan bersimpati. Namun, saya bersyukur kerana Tuhan menghadirkan Syamil untuk kita semua sedar tentang sesuatu.Tentang kasih seorang ayah terhadap anak-anak. Tentang nilai seorang anak buat ibubapa.
Berita ini benar-benar memukul jiwa seorang ayah. Saya memandang kesemua wajah anak saya yang dahagakan kasih sayang seorang ayah namun mereka hanya mampu menerimanya sebentar sahaja. Kadangkala apa yang diterima hanyalah kemarahan dan pukulan kecil kerana kenakalan mereka.
Terlalu Mengejar Kerjaya
Ramai yang menasihati saya agar jangan terlalu mengejar kerjaya. Jangan terlalu meletakkan kerjaya sebagai priority utama. Ini juga nasihat emak kepada saya. Saya tidak hiraukan. Bagi saya, saya perlu fokus pada bina syarikat dan kerjaya. Anak-anak nombor empat dan lima.
“Mak tengok Pi ni stress sangat fikir pasal kerja. Hutang. Nak cari duit. Lihat sama anak dan isteri. Itu semua aset kita. Aset berharga dunia dan akhirat. Jika Pi tak lihat itu semua aset, Pi lihat itu semua amanah Allah beri. Untuk didik dan pelihara dengan baik. Jangan sampai waktu, anak dah besar dan sudah keras kepala. Kita terlepas semua moment mereka waktu kecil. Waktu masih lembut. Waktu masih boleh terima kata. Menyesal tak sudah nanti,” amanat emak diberikan kepada saya pada suatu hari yang baik ketika kami di Terengganu.
Emak menyuarakan kebimbangan apabila melihat saya hanya menumpukan pada kerja sehingga tidur pun bermimpi kerja. Berbual pun berkisar pada kerja. Namun, tiada apa yang berubah dalam hidup dan kerjaya. Malahan, semakin penat kerana mengejar sesuatu yang tidak pasti. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Ujar emak.
Pernah Alami Kemurungan
Sesungguhnya, saya pernah murung dan berubah tingkah laku kepada seorang yang pemarah ketika dilanda masalah pekerjaan tempohari. Saya tidak dapat berfikir dengan baik. Kesabaran saya sangat tipis. Dengan anak-anak lagilah teruk. Mereka langsung tidak berani bersuara dengan saya. Akibat yang diterima sangat sakit.
Saya pernah jatuh terduduk. Keluarga pun sudah berhempas-pulas memberikan bantuan sehingga tiada apa yang dapat diberi kecuali kata semangat dan jangan putus asa. Saya pernah merayu di FB untuk bantuan daripada para sahabat. Boleh baca di sini:
Alhamdulillah. Hasil bantuan semua, kata-kata semangat dan sokongan, saya bangkit kembali. Saya cuba bangun.Melihat kepada anak-anak. Saya lihat sinar dalam mata mereka. Benar. Perkara yang lepas jangan dikenang.
Saya sudah terlepas beberapa saat indah bersama mereka. Saya jarang luangkan masa untuk mendengar cerita dan permainan yang telah mereka ciptakan. Saya tidak mengenali rakan-rakan sekolah mereka. Saya tidak tahu cerita kejayaan peperiksaan mereka. Tahukah anda, Basmah mendapat 100% dalam ujian Pendidikan Islam? Naseem mendapat 96% dalam beberapa mata pelajaran. Saya tidak tahu sehingga pada suatu hari perlahan-lahan mereka bawa kertas ujian dan maklumkan pada saya ada benda nak cerita dengan Baba.
“Apa dia?” soal saya keras. Tangan masih memegang dokumen dan kertas kerja.
Lalu si comel ini menunjukkan kertas ujian masing-masing. Kecuali Waseem. Saya menangis kerana saya tidak pernah mengajar mereka untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Segalanya saya serahkan kepada isteri bagi menguruskan anak-anak. Saya langsung tidak mempunyai masa dan tidak tahu waktu bila anak saya ada ujian sekolah.
Teruk betul diri ini.
Malam tadi pula, saya melihat Hanaan dan Haneen (kembar) bermain bersama mereka. Bermain mangkuk dan gelas yang dibelikan oleh nenek mereka. Sungguh comel dan tanpa saya sedari, mereka telah boleh berbual sesama sendiri dalam bahasa yang saya fahami.
Ya Allah. Apa jadi pada aku ni?
Anak membesar pun saya tidak peduli. Anak boleh bercakap pun saya tidak sedar. Saya tidak tahu! Tahukah anda, saya kadang-kadang confuse dengan si kembar ini. Tidak tahu mana satu Hanaan dan Haneen. Asyik bertukar ketika panggil. Walhal umur mereka sudah hampir 3 tahun!
Berjanji Tumpukan Perhatian Pada Anak-Anak
Perkara-perkara ini membuatkan saya menangis. Menangis dan menangis. Menyesal di atas kesilapan saya yang terlalu fokus pada kerjaya. Padahal, rezeki itu bukan terletak pada usaha kita. Ia adalah kurniaan Tuhan pada hambaNya siapa sahaja yang Dia ingin berikan. Untuk itu, saya sudah berjanji akan menumpukan perhatian pada anak-anak yang merupakan amanah daripada Tuhan kepada hambaNya. Bila-bila masa sahaja, amanah ini boleh direntap dan diambil.Ada orang menginginkan anak walau seorang. Yang kita ni, Tuhan kurniakan sampai 5 orang anak boleh pula sia-siakan.
Sedangkan ketika berumur lima dan enam tahun pun saya masih lagi teringat dengan jelas memori indah ayah dan emak sama-sama membuatkan kapal terbang polisterin kepada saya lalu kami bermain di taman. Inikan pula anak-anak yang sudah mencecah 11 tahun.
Ya Allah. Ampunkan dosa kami, ibubapa yang kadang-kadang terlupa tentang tanggungjawab dan amanah ini. Pelihara lah anak-anak kami ini. Masukkan iman dan taqwa dalam diri mereka. Penuhi lah diri kami dan keluarga dengan kasih sayang dan harmoni. Wujudkan lah ikatan mesra antara kami satu sama lain. Pandu lah kami ke arah keluarga yang diredhai oleh Mu Ya Allah. Jadikan lah kami serta anak-anak ini pembela agama Mu Ya Allah.

Kurniakanlah rezeki memiliki anak kepada sahabat-sahabat kami yang ingin menimang cahaya mata. Agar mereka juga dapat merasai kebaikan daripada zuriat mereka sendiri.
Terimalah doa kami ini Ya Allah. Ya Razzaq.
Amin.
Itulah jawapan saya kepada isteri. Panjang kan? Nanti dia ingat saya berleter pada dia pula. Maka saya memilih untuk menjawab di sini sahaja.
Share sahaja jika mahu.
Ikhlas,
Lutfi Lokman
EPL TRAVEL AND TOURS.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sebenarnya ia juga satu peringatan buat kita. Ramai mak ayah yang terlalu sibuk bekerja dan tanpa sedar terlepas momen penting, pembesaran anak-anak sewaktu mereka kecil. Semoga ia dapat ‘menjentik’ hati kita, agar jangan alpa dan terlalu fokus dalam mengejar kerjaya. Nikmatilah saat anak-anak membesar, hargailah setiap masa bersama mereka.
Sumber: Lutfi Lokman
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI