Masa bercinta semuanya indah. Layanan dan kata-kata cukup mencairkan pasangan dan merasakan dialah pasangan sehati sejiwa. Bak kata orang, gaya dan tingkah laku pasangan amat romantik di pandangan matanya. Itu semua sebelum berkahwin.
Sebaik selepas mendirikan rumah tangga, layanan dan kata-kata itu tiada lagi. Cuma yang ada hanyalah tanggungjawab seorang suami pada isteri dan keluarga. Ke mana hilangnya romantik seorang suami. Adakah itu menandakan sayang sudah tiada atau sebaliknya? Kupasan lebih lanjut bersama Dr. Ben Fadzil tentang topik ini.
Sebenarnya, lelaki ada cara tersendiri dalam memapmerkan romantik. Tetapi, dari segi
psikologinya, selepas berkahwin, keghairahan dan minat untuk menakluki wanita yang diidamkan itu telah berakhir.
Selepas berkahwin mereka tidak lagi perlu bekerja keras untuk mendapatkannya dan
mengharapkan keadaan romantik itu datang daripada pasangan mereka. Apa yang perlu lelaki lakukan adalah maintain dengan keadaan romantik tersebut dan menjaganya dengan baik.
Sedangkan perasaan ini berlainan dengan wanita yang memerlukan keadaan dan perasaan romantik berpanjangan. Jadi, sebagai isteri, kita hanya perlu bersabar dan berikan masa kerana ada kata-kata romantik ini akan datang tanpa wanita itu dapat mengagaknya.
Ketahuilah, suami yang tidak romantik bukanlah bermakna tidak sayang. Sayang suami diganti dengan cara sayang yang lain. Contohnya, bertanggungjawab dan berada di sisi isteri sepenuhnya, membantu melakukan kerja rumah, kurang bersama kawan dan banyak berbincang dalam membentuk keluarga serta memahami hati pasangan masing-masing.
Sebagai isteri, kita hendaklah mencari dan mengetahui kelemahan suami. Sesetengah suami suka dibelai secara fizikal dan ada yang suka diberikan dengan kata-kata cinta. Cara ini boleh dilakukan asalkan suami selesa.
Selain itu, untuk menambat hati suami adalah dengan layanan mesra yang kita ada dan mampu berikan. Jika suami tidak romantik, layanan untuk suami hendaklah dikekalkan dan jangan memarahi atau bandingkan dengan sesiapa. Mungkin agak penat untuk menarik perhatian suami tetapi tindakan ini akan berbaloi jika kita tidak pernah berubah menunjukkan perhatian kepadanya.
Ada pelbagai cara yang ditunjukkan tetapi mungkin ia tidak dianggap romantik pada persepsi suami itu sendiri. Contohnya:
1. Suami tidak menyusahkan isteri.
2. Sering makan bersama.
3. Melakukan perkara bersama dan meninggalkan kawan-kawan kerana ingin bersama isteri.
4. Sering bertanyakan pendapat isteri.
5. Tidak mahu melihat isteri dalam kesusahan atau kerunsingan.
6. Sering menghiburkan hati dengan menyanyikan lagi kegemaran atau berlawak jenaka walaupun tidak kelakar.