Rupanya Ahmad Aqil Akbar Zaid, 10, yang dilaporkan hilang ketika berbasikal dekat rumahnya di Persiaran 5/2, Bandar Baru Putra, Ipoh, awal pagi hari ini sebenarnya merajuk dengan maknya.
Kehilangannya diviralkan orang ramai dan syukur alhamdulillah dia ditemui selamat oleh orang awam di Kuala Kangsar.
Murid Sekolah Rendah Agama Al Hidayah di Ampang, dekat sini, itu ditemui di Taman Harmoni, Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari rumah keluarganya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu keluar sendiri dari rumah dengan membawa pakaiannya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Zaid Mohamed Hashim, 38, berkata, dia dihubungi seorang wanita pada 2 petang yang mengaku menemui kanak-kanak lelaki menyerupai Ahmad Aqil di kawasan perumahan di Kuala Kangsar.
“Wanita itu menghubungi saya bertanyakan sama ada saya ada kehilangan anak.
“Dia kemudian mengirim gambar kanak-kanak berkenaan dan apabila melihatnya, saya pasti itu anak saya.”
Wanita itu memaklumkan dia menempatkan anak saya di rumah jiran berdekatan dan menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian.
Menurutnya, dia dan isteri, Ainun Zaharah Ismail, 36, lega dan bersyukur anak mereka sudah ditemui.
“Dari tadi saya memang sudah tidak dapat berfikir kerana terlalu bimbang anak saya hilang.
“Dialah satu-satunya anak kami dan hati saya lega bila anak saya ditemui.”
Zaid mengucapkan terima kasih kepada penduduk dan orang ramai yang menyebarkan berita kehilangan itu di media sosial sehingga anaknya berjaya ditemui.
Dia dimaklumkan anaknya akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini.
Sebelum itu, hasil kerjasama penduduk menemukan basikal anaknya kira-kira 200 meter dari rumahnya pagi tadi sebelum dia membuat laporan kehilangan anaknya itu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 9.30 pagi.