Diuji dengan kehilangan karier secara tiba-tiba, mantan Pengarang Hiburan akhbar Kosmo! ; Tengku Suzana Raja Hamat ini menjadikan lapangan baru ini sebagai medium merawat jiwa dan emosinya. Terbiasa dengan rutin kerja yang sibuk, selaku orang media lebih sedekad lamanya membuatkan Suzanna seperti lompong apabila diuji dengan kehilangan karier.

Foto wajah sugulnya juga pernah menjadi sebahagian bahan berita di blog tempatan dan laman sosial saat syarikatnya diumumkan menamatkan operasi Oktober lalu. Siapa pernah menduga, setelah berlama-lama menabur keringat dan bakti…tiada lagi rezekinya membina karier dalam dunia media. Hanya dengan sekeping memo, kehidupannya berubah 360 darjah.

Ketika dipelawa untuk ditemubual, ibu kepada tiga cahaya mata ini memohon diberikan ruang waktu. Selaku ‘beginner’ dalam dunia pendakian, menurutnya masih banyak lagi ilmu yang perlu digali dan dalami. Ikuti transisi baru yang dilalui Tengku Suzana menerusi komentar yang dititipkannya menerusi e-mel tempoh hari.

“Dalam fasa kehidupan saya sekarang, hilang pekerjaan ketika sedang berada di puncak karier, merupakan satu ujian yang amat dahsyat. Bagi saya situasi ini persis sebuah kematian kecil yang seperti merentap akar jantung saya. Sejujurnya seperti orang lain, saya juga menangis kerana saya lemah.

“Tetapi kata-kata seorang sahabat kembali mengingatkan saya, katanya; “Suzana, kau dah terlebih dahulu bersedia dengan situasi getir ini, Tuhan dah bagi kesempatan untuk kau belajar jadi kuat masa kau mendaki selama ini dan aku tahu kau kuat. Ini survival dan kau akan survive… saya cuba hadam segala dan situasi baru ini.

“Bercerita mengenai penglibatan saya kembali dalam bidang ini, sebenarnya saya seorang gemarkan aktiviti lasak. Dari zaman belajar sekitar tahun 1997 dan 1998, saya pernah mendaki Gunung Ledang dan Gunung Datuk. Namun aktiviti lasak saya terhenti tak terpeduli, sibuk dengan kerja dan mungkin juga tidak berada dalam kelompok hikers menjadikan aktiviti ini agak canggung buat saya.

IKLAN

“Sehinggalah pada awal April 2018, saya terlibat dengan aktiviti riadah anjuran Kosmo! ke Gunung Angsi. Dari situ minat hiking kembali bercambah. Tambahan pula baru saya tahu ramai dalam kalangan teman sepejabat aktif dalam aktiviti kecergasan sebegini.

“Tak lama kemudian kami tubuhkan kumpulan kecil atas nama Kosmo! Hikers, yang mana penyertaannya terdiri dari kelompok teman sepejabat dan kawan-kawan serta siapa sahaja yang sealiran minat. Kami juga membuka sebuah akaun media sosial khas menerusi instagram @kosmohikers dan juga ada page FB Kosmo Hikerss sebagai platform perkongsian minat. Kelab ini umpama rumah kedua kami bersilaturrahim, tanpa ‘garis mati’ biarpun Kosmo! Sudah bubar, tapi semangat kami takkan pernah pudar,”curahnya mengenai obsesi barunya.Hilang Kerja? Bekas Wartawan Ini Ada Cara Redakan Kusut & Singkirkan Tekanan
Ketagihan yang sukar digambarkan

Kemahirannya dalam mengarang masih belum pudar. Antara bait-bait kata terzahir dalam artikel ini juga sentuhan asal darinya. Menurut anak Terengganu ini lagi dunia hiking ini membuatkan dirinya mencari sisi baru dalam kehidupan. Mengakui dirinya masih lagi hijau bak budak baru yang masih tak punya banyak pengalaman, beliau mengharapkan minat baharunya ini datang bersama manfaat dan rezeki baru buatnya.

“Buat masa ini, belum terbit lagi istilah serik, bagi saya setiap pendakian memberikan satu makna dalam pencarian perjalanan hidup saya. Ia juga satu catatan juang yang tidak pernah saya sesali. Tetapi pernah juga bila diri dibalut dengan kepenatan teramat sangat, mulalah ayat-ayat seperti kalau tahu macam ini punya seksanya baik tidur lagi bagus! Situasi jadi berbeza bila dah balik rumah, lepas seminggu dah rindu nak mendaki lagi, macam ketagih pun ada.

IKLAN

“Sepanjang pendakian paling teruk yang pernah saya alami antaranya kekejangan dari paras pinggang sampai hujung kaki. Sakit akibat kejang itu luar biasa seksanya. Kaki tak boleh digerakkan, bongkok atau dibengkokkan. Kejadian menyakitkan itu berlaku selepas saya melepasi kawasan yang dipanggil Batu Hampar di Gunung Ledang,Johor.

“Saya dapat rasakan tenaga saya habis semasa melalui laluan bertali mendaki batu yang terhampar setinggi sekitar tiga tingkat, sesungguhnya saya menangis apabila melepasi laluan getir tersebut.Cabarannya sangat taktikal, saya pula tak pernah sampai situ, takut dan perasaan letih menguasi. Ditambah pula rasa lapar yang tak dapat dibendung menyebabkan saya mengalami kejang menyakitkan.

Hilang Kerja? Bekas Wartawan Ini Ada Cara Redakan Kusut & Singkirkan TekananABC & EBC yang diidamkan

IKLAN

Cerita Tengku Suzana lagi, setakat ini dirinya pernah menjejakkan kaki ke Gunung Datuk, Gunung Angsi, Gunung Nuang, Gunung Ledang, Gunung Gap, Gunung Ulu Semangkuk, Gunung Baling, Puncak Wang Gunung dan beberapa bukit antaranya Bukit Batu Kumbang, Bukit Cenuang, Bukit Botak, Bukit Cerakah, Bukit Batu Putih, Pine Tree Hills Twin Peak.

“Hajat dihati kalau boleh nak heret suami dan tiga anak-anak sama-sama mendaki. Walau bagaimanapun komitmen kerja suami sebagai seorang anggota keselamatan menyukarkannya menyertai saya. Saya bersyukur kerana dia sentiasa memberi dorongan dan merestui minat lasak isterinya.

“Saya ada satu perasaan di mana saya rasakan diri ini lemah, tak kuat dan lembik. Tetapi selepas hampir setahun berjinak-jinak dalam bidang ini, saya berjaya menawan puncak Kinabalu sekitar April lalu. Ia merupakan pencapaian peribadi yang membanggakan buat diri ini.

“Setibanya di puncak itu sekitar jam 8 pagi, empangan air mata ini tak dapat ditahan lagi. Saya menangis kegembiraan. Mungkin pada orang lain,
alah Kinabalu, trek mudah! tapi nak sampai ke situ punyalah mental! Tuhan sahaja yang tahu betapa beratnya nak melangkah naik tangga-tangga yang tiada kesudahan ibaratnya nak ke puncak dari Laban Rata ke Sayat-Sayat sebelum sampai ke puncak Kinabalu.

“Di masa depan, saya pun memasang impian untuk menawan Annapurna Base Camp (ABC) dan Everest Base Camp (EBC). Tanyalah mana-mana hikers, itulah dua puncak yang sering diidamkan untuk ditawan. Sebelum ke ABC atau EBC, sasaran saya menawan beberapa puncak tertinggi di Indonesia terlebih dahulu. Penutup tahun 2019, kami akan akhirnya dengan penjelajahan kembali ke Gunung Kinabalu, rindu datang kembali dan bersama Kosmo! Hikers kami ke pangkuannya,”zahir wanita ini mengenai kecintaan yang menjadi kecanduan terbaharu sebaik meninggalkan dunia kariernya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI