Figura seorang bapa memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian anak-anak, seperti yang ditunjukkan oleh maestro Dato M. Nasir dalam keluarganya. Seorang bapa yang berdedikasi dan penyayang, beliau menjadi contoh teladan yang baik, mengajar anak-anak tentang nilai-nilai seperti disiplin, integriti, dan kasih sayang.
Menurut isterinya, Datin Marlia Musa sempat berkongsi tentang peranan penting suaminya, M. Nasir, dalam keluarga mereka melalui temuramah bersama Mingguan Wanita sempena sidang media Konsert Dato’ M. N45ir Cipta baru-baru ini.
Mendirikan rumahtangga pada 31 Ogos 2000, Datin Marlia Musa menafikan persepsi segelintir pihak yang mendakwa suaminya seorang yang serius dan sukar untuk didekati.
“Ramai orang sangka dia seorang yang garang, serius dan ada yang kata dia tak berbual, katanya ‘man of few words’. Tetapi tidak, kalau begitu takkan lah saya berada di dalam perkahwinan ini selama 24 tahun.
Menurut Datin Marlia Musa lagi, komposer terkenal tersebut mempunyai sikap yang prihatin dan sering mengutamakan keluarga dalam setiap hal. Tambahnya lagi, Dato M.Nasir pasti akan mengambil tahu setiap aktiviti anak-anak melalui isteri tersayang.
“Kalau saya keluar dia mesti akan tanya pergi ke mana, seronok atau tidak, buat apa atau berbual apa dengan kawan-kawan.
Sama juga bila dengan anak-anak, dia selalu nak tahu apa yang mereka buat dan bagaimana hari mereka. Ada anak yang senang untuk bercerita dan ada yang tidak, tetapi sebagai ayah dia tidak pernah melihat benda itu menghadkan komunikasinya dengan anak-anak.
Dia selalu nak tahu, bila anak berkongsi cerita. Saya rasa itu satu benda yang bagus,” ujarnya.
Bersempena Hari Bapa, aktres berusia 55 tahun tersebut mengagumi figura seorang bapa yang ditonjolkan oleh pelantun lagu Suatu Masa itu kerana ia telah memberi kesan yang besar di dalam kehidupannya.
“Saya sendiri kehilangan bapa semasa berusia 10 tahun, kenangan dengan arwah masih ada tapi ketika membesar saya rasa kekosongan. Jadi bila saya melihat bagaimana Datuk bersama dengan keluarga, saya berasa beruntung walaupun saya tak punya bapa tapi hari ini saya lihat bagaimana seorang ayah menyayangi anak-anak.
Ini satu sisi yang orang tak nampak, tapi dalam keluarga kami tahu dia bagaimana.
Untuk info, pasangan mendirikan rumah tangga pada tahun 2000 dan memiliki seorang cahaya mata perempuan. Terdahulu, M.Nasir pernah mendirikan rumah tangga bersama Junaidah dan dikurniakan lima orang anak sebelum suri hatinya itu meninggal dunia pada 1998.
Mengenai perkembangan seni Dato M. Nasir, beliau dijadual mengadakan konsert DATO’ M.N45IR CIPTA pada 10 Ogos 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil. DATO’ M.N45IR CIPTA dibawakan khas oleh Icon Entertainment yang sentiasa menyokong karyawan seni.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE