Hilang 23 kg dalam setahun & bebas diabetes pencapaian membahagiakan IZAN SUHAILA

Share

Jika dahulu, hanya baju bersaiz XXXL sesuai dengan susuk tubuhnya. Terkini saiz itu sudah luput dari sejarah hidupnya. Selesa menggayakan pakaian bersaiz S ataupun M, Izan Suhaila Mohd Ali (44) bersyukur hadirnya kesedaran dalam diri untuk mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat membuahkan hasil yang positif.

Ibu kepada enam orang cahaya mata ini; Fatin Amira 18, Farah Alia 17,M Adam Dzulkarnain 14, Nabihah Arissa 12, Maryam Sofea 8 dan M Umar Fatih 3 dan isteri kepada Mohd Riza Mohd Jan pada awalnya didiagnos sebagai pesakit diabetes. Wanita yang juga merupakan seorang pengurus bang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini telah memulakan rawatan insulin pada Disember 2017. Kondisi diabetes yang dihidapinya perlu diberi perhatian serius walaupun usianya baru mencecah awal 40-an.

“Saya didiagnos kencing manis dan telah mula dengan rawatan insulin pada Disember 2017. Ketika itu saya mengalami obesiti melampau. Saya berazam untuk berubah dan telah di perkenalkan dengan Coach Azreen oleh sahabat saya Zetty Rosli pada Julai 2018.

“Saya mula menyertai program kecergasan Coach Azreen iaitu Scouts Biggest Loser dan saya ikut semua perancangan yang beliau buatkan untuk peserta program. Alhamdulilah, enam bulan pertama saya berjaya mengurangkan 15kg berat badan dan mula menyertai larian fun run 5km dan mendaki gunung. Perlahan-lahan saya berjaya mendaki gunung antaranya Gunung Datuk, Gunung Angsi dan Gunung Nuang bersama jurulatih.

“Selepas turun 15kg doktor yang merawat saya telah menghentikan suntikan insulin dan saya meneruskan rawatan dengan mengambil pil sahaja. Kemudian saya meneruskan kelas kecergasan sekali lagi bersama Coach Azreen untuk enam bulan berikutnya dan secara keseluruhan Berjaya kurangkan beban badan sebanyak 23 kg! Saya mula memberanikan diri berlari secara serius dan mula menyertai larian jarak 10 km dan half marathon (21km). Azam saya untuk tahun 2020 saya akan cuba buat full marathon pula,”kongsinya yang semakin selesa dengan perubahan besar dalam hidupnya.

Mulakan dengan ‘Big WHY’

Untuk menurunkan berat badan sebanyak 23kg dalam setahun ia umpama mimpi yang jadi kenyataan. Tambah Izan lagi, bagi mereka yang masih selesa dengan angka berat badan anda…fikirkanlah mengenai diri sendiri dan keluarga tersayang. Berubahlah demi hidup yang lebih sihat dan sejahtera. Masih belum terlewat untuk melakukan perubahan.

“Sekitar bulan November 2019, doktor yang merawat saya telah menghentikan ubat kencing manis yang saya perlu ambil. Alhamdulillah ini kerana keputusan bacaan ujian HbA1c saya untuk tempoh satu tahun adalah non diabetic. Menjadi satu kepuasan bagi diri ini bila dapat menjadi sihat dan cergas di usia ini. Saya yakin ianya tidak mustahil dan semuanya hadir dengan izin Allah.

“Nasihat saya untuk mereka yang tak tahu nak mulakan dari mana, mulakan dengan big WHY. Tanya diri sendiri kenapa kita perlu berubah. Bermula dengan buang gula dari menu dan diet harian. Ya…ia memang susah tapi tidak mustahil.

“Apabila sudah terbiasa, badan akan mula sembuh secara alami. Apabila rasa letih… saya akan tanya diri sendiri kenapa mengapa saya perlu berubah. Saya nak sihat untuk suami dan anak-anak. I want to be there in every part of their lives. Jadi saya kena sihat unruk semua itu.

“Bersenam dengan panduan berterusan dari jurulatih profesional bagi saya ia akan membantu kita kekal disiplin, tidak tersasar dari matlamat dan kita akan lebih peka dengan pengambilan maknan memandangkan ada yang memantaunya. Cari kumpulan sokongan, jangan sendirian dan dapatkan sokongan berterusan dari suami dan keluarga kerana ia sangat penting,”kongsinya.

Istiqamah

Mengakui dirinya bergelut masalah berat badan sejak melahirkan anak pertama 18 tahun lalu. Diuji dengan kencing manis dan obesiti bukan perkara yang menenangkan. Bimbang bakal ada penyakit lebih serius menyusul datang, Izan bersyukur kerana usahanya kembali kekal sihat dan cergas memberi impak besar kepada dirinya.

“Sejak melahirkan anak pertama 18 tahun dulu, berat badan tak pernah turun. Diet pun tak membantu. Berlari untuk jarak 1km pun cukup membuatkan saya kepenatan. Alhamdulillah,sejak setahun lalu saya boleh menyarung kembali cincin perkahwinan kami setelah lama tersimpan. Dulu saiz baju XXXL, sekarang S atau M.

“Beribadat juga tidak sesukar dahulu. Mudah sahaja untuk saya sujud dan duduk antara dua sujud dengan sempurna. Tubuh lebih sihat dan saya juga lebih selesa beribadat. Saya bersenam minimum tiga kali seminggu (berlari minimum 5km, berjalan 2km).

“Saya juga lebih teliti dengan pengambilan makanan. Tiada lagi pengambilan gula, makan lebih protein dan kurangkan makanan berproses dan berminyak. Perlu diingat, senaman hanya menyumbang 20 peratus kepada perubahan susut tubuh dan 80 peratus adalah dari tabiat pemakanan kita.

“Bersenam hari-hari bukan kerana nak jadi atlit. Saya merancang untuk memcah rekod peribadi saban tahun. Contohnya jika larian, saya akan tingkatkan jumlah km berlari setiap tahun. Kalau mendaki gunung kita bandingkan elevation gain yang kita dah buat setiap tahun. That is my goal…insyaallah. Doakan saya kekal istiqamah,”kongsinya mengenai sisi hidupnya yang memberi inspirasi.

Published by
Mastura Burhanuddin