” Hijrah Itu Kenalah Ikhlas Sikit…” – Sherry Ibrahim

Share

Sherry Ibrahim telah menambah baik perjalanan hidupnya dengan berhijab dan paling terkini adalah sibuk dengan bisnesnya Sherry Scarves by Sherry Ibrahim dan Deeja Cosmetic by Sherry Ibrahim. Pada bulan Ramadan ini, dia akan sibuk melakukan promosi dan jualan tudungnya di Malaysia, Singapura dan Brunei. Selain itu pelakon, pengacara dan penyanyi ini tidak lupa mengutip pahala sepanjang bulan Ramadan apabila meneruskan aktiviti amal kebajikan dan projek CSR yang dijalankan.

Ikuti temu bual bersama Sherry Ibrahim yang telah dikeluarkan dalam ruangan Soalan Panas di majalah Mingguan Wanita Volume 1 Jun 2018.

 

MW: Kenapa Sherry melibatkan diri dalam kerja amal kebajikan dan projek CSR?

Sherry: Saya ada buat CSR projek dengan gelandangan termasuklah orang susah atau tidak berkemampuan di kawasan luar bandar dengan membantu mengecat rumah mereka. Insya-Allah, tahun ini mungkin ada banyak lagi. Malah, pada bulan puasa ini, Sherry Scarf bersama pemilik butik vendor, Butik Wardia yang terletak di Melawati Mall akan memberi makanan kepada mereka yang memerlukan.

 

Saya melibatkan diri dalam aktiviti amal kebajikan ini bukan sebab imej. Malah sebelum  berhijab lagi saya sudah melibatkan diri dalam aktiviti sebegini. Saya hendak beritahu kadang-kadang ramai orang hendak melibatkan diri dalam projek CSR. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak pergi ke arah itu.

MW: Apa yang menyebabkan Sherry mengambil keputusan berhijrah sekaligus bertudung?

Sherry: Benda ini berlaku sebelum Gempak Superstar. Saya pernah berkata ingin mengenakan tudung selepas berkahwin tetapi suatu hari saya rasa macam saya banyak buat salah dan buat dosa. Saya imbas semula kisah lalu. Saya suka bertanya pada Allah. Kenapa saya? Saya tidak sedar apabila kita bertanya pada Allah, ada hikmah di sebaliknya. Saya minta nasihat seorang kawan dan pada malam itu saya telah ambil keputusan maafkan semua orang. Setelah buat benda itu saya rasa lega. Seiring dengan masa, saya berdoa agar diminta petunjuk dari Allah. Akhirnya, membuka hati saya untuk bertudung.

 

MW: Kenapa selebriti atau artis apabila bertudung mereka keluarkan tudung sendiri. Adakah nama mereka itu boleh melariskan tudung yang dikeluarkan itu?

Sherry: Apabila saya mula berhijab semua orang mahu ambil saya jadi duta. Masa itu saya tidak rasa hendak buat tudung sendiri sebab saya belum bersedia untuk berkongsi dengan orang ramai. Tetapi apabila orang ramai memberi dana untuk menjadi rakan bisnes, semuanya telah berubah. Kenapa pilih tudung? Ia adalah bisnes tetapi pada masa yang sama banyak aspek yang perlu difikirkan. Saya mahu pemakai tudung itu ada keselesaan. Rekaan tudung juga memainkan peranan. Selain itu saya mahu memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang mahu bekerja sendiri dengan menjadi stokis dan sebagainya. Saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh pengguna dan mereka yang mahu jadi stokis.

 

MW: Apa pandangan Sherry berkaitan jual tudung untuk fesyen dan jadi ikutan bukannya untuk menutup aurat?

Sherry: Itu hak individu. Sebenarnya seperti saya sebelum ini tidak berhijab. Benda itu datang secara tiba-tiba. Ia amat subjektif. Tetapi, jika kita buat kerana inginkan populariti, itu  bermakna kita tidak ikhlas. Kalau tidak ikhlas akan banyak kesilapan sepanjang perubahan bertudung itu. Apabila kita berhijrah Allah menguji kita dengan cara lain pula. . Saya pun masih baru dan masih belajar. Kadang-kadang saya pun pakai seluar ketat. Saya masih dalam proses pembelajaran.

 

Apa cabaran bertudung? Sepanjang saya pakai saya tidak pernah rasa rambut gugur atau sakit kepala. Saya juga tidak percaya jika kita buat kerana Allah kita akan kekurangan perkara lain. Daripada segi penggambaran saya pernah dapat watak utama tetapi watak itu ada perubahan imej sebab itu saya tidak dapat watak itu. Tetapi tidak mengapa sebab selepas itu saya ditawarkan watak lain watak berhijab yang lebih kuat.

 

MW: Bagaimana dengan hidup Sherry sekarang? Sudah ada teman istimewa?

MW: Saya ada teman tapi mesra. Saya tidak mahu bercakap banyak pasal perhubungan. Kalau ada jodoh, Insya-Allah. Saya bukannya serik tetapi setiap apa yang terjadi itu mengajar kita lebih kuat.

 

Published by
Julie Roshana