Hiduplah Seperti Manusia Bukan Malaikat, Barulah Rezeki Tak Tersekat

Share

Kadang-kadang tercari-cari punca sebenar kenapa hidup kita tak tenang, rezeki tersangkut dan anak-anak sakit. Puas berusaha lakukan itu dan ini, tetapi hidup dan rumah tangga kita masih tak berubah. Oleh itu hiduplah seperti manusia bukan malaikat, barulah rezeki tak tersekat.

Sebenarnya setiap perkara yang berlaku dalam hidup kita pasti ada asbabnya. Begitu juga dengan rezeki. Jika anda merasakan rezeki tersekat lakukan sesuatu dan jangan berdiam diri.

Ikuti perkongsian Puan Dhuha Rashidi :

7 SEBAB REZEKI SUAMI ISTERI SEKELUARGA TERSEKAT

Perasan atau tidak keadaan sekeliling kita boleh jadi kucar-kacir tanpa kita tahu apa sebabnya. Kenapa jadi begitu, macam mana boleh hadap benda-benda tak best macam tu. Di mana mungkin semua itu ada puncanya.

Ada beberapa kisah kawan datang mengadu. Hairanlah aku pergi sana masalah, sini masalah. Balik rumah entah jadi apa. Dalam rumah pun tak tenang. Kalau di tempat kerja itu banyak dugaannya tidak mengapa lagi.

Tapi, dalam rumah pun masalah. Duduk rumah rasa tak seronok. Letihlah anak-anak kecil besar buat ragam, ada cabaran (masalah) pula dengan pasangan. Penat sepenatnya. Rasa mahu lari. Ada kan kita lihat situasi begini.

Sebenarnya inilah perkara menyekat yang kita tidak sedar mampu meragut kebahagiaan rumah tangga atau diri sendiri. Hidup umpama tiada nikmat hidup. Hidup bagaikan tidak cukup nafas. Sedar atau tidak , inilah punca banyak rezeki kita makin terlepas dan menghilang. Rezeki jadi ‘mahal’ sangat nak dapat.

Saya faham benar situasi begini. Kadang-kadang yang sedang mengalami situasi macam ini mereka mengadu jiwa pun rasa tersekat. Ya. Seperti ada benda tak lepas. Tidak tahu apa dia. Apa cara nak keluarkan.

Bila sudah di tahap buntu kepala, mungkin sudah sampai masanya untuk upgrade diri kita dengan ilmu. Banyak lagi benda kita tidak faham jadi perlu sangat menuntut ilmu. Menuntut ilmu ini pulak bukan salah seorang saja. Suami dan isteri perlu berusaha. Ada kesedaran nak berubah.

Ini mungkin antara sebab yang saya nak kongsikan kepada anda. Anda boleh #SHARE sebagai bacaan tambahan ilmu.

1. BERGADUH ANTARA SUAMI ISTERI

Kadang benda kecil pun boleh jadi gaduh. Boleh selesai atau maafkan okeylah. Masuk pulak bab duit. Bergaduh tak selesai masalah. Tak bergaduh pun tapi pendam dalam hati pun tak selesai masalah juga. Ada orang sebab hal ekonomi rumah tangga sahaja boleh jadi teruk hingga bercerai-berai.

Bijaknya ialah berbincang dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Cari persefahaman. Usaha sehabis baik untuk pulihkan keadaan supaya masing-masing redha sesama pasangan. Elakkan tegak ego sendiri. Bila pasangan tidak redha, ego sentiasa ditinggi, di situlah rezeki akan tersekat.

2. MERUNGUT & RASA ANAK ITU BEBANAN.

Ini kisah nyata ya. Saya ada jumpa pasangan macam ini. Betul. Mereka masing-masing rasa anak itu bebanan. Tak sedar seolah mereka bergaduhkan siapa banyak dan sikit jaga anak. Rungutkan hal anak semacam mereka tak redha ada anak.

Anak-anak bukan bebanan tapi amanah untuk kita laksanakan sebaiknya. Secara bersama. Anak-anak ni rezeki Allah SWT. Nak cukup rezeki kita layan anak-anak dengan seimbang dalam kasih sayang.

Mana tahu, dengan redha kita tu, Allah berkati amanah kita jalankan, hari ini kita layan anak elok-elok. Bila tua mereka tidak kekok nak laksanakan tugas mereka pulak. Insyallah. Mudah-mudahan.

3. ADA TABIAT SUKA MENGELUH ANTARA SUAMI ISTERI APA YANG TIDAK ADA.

Sebenarnya, pasangan begini adalah pasangan kurang bersyukur. Syukur mungkin di mulut. Tetapi di hati terbitnya pada perbuatan. Berontak. Marah. Geram. Sakit hati.

Atau mengeluh pada kekurangan dalam kelengkapan rumah. Susahlah air cond pun tak ada. Tak best lah kipas ni. Apalah nak makan, asyik-asyik benda sama saja awak masak. Banyak lagi contoh. Nampak kecilkan.

Kalau masih ada rungut-merungut itu, mungkin kita perlu melatih diri kita banyakkan syukur. Bila settle part ini, masyallah, rezeki sentiasa cukup saja, banyak ke sikit ke, cukup je rasa. Cukup ni kesannya tenang, kawan. Sungguh.

4. BERKIRA-KIRA BANTU MUDAHKAN URUSAN KELUARGA

Macam saya tulis di atas tadi tu. Hal anak. Hal beli barang dapur. Hal beli barang bilik air. Benda kecil macam ini pun boleh jadi berkira-kira. Bergaduh. Asyik aku, kau bila. Macam ini punya berkira, memang runsing dalam hati itu tak pernah selesai. Ada saja rasa nak cari pasal.

Kalau boleh selesai, gaduh-gaduh, maaf, ketawa tak apa. Lumrahlah masam, manis rumah tangga kan. Ada suami yang berkira sangat nak keluarkan belanja barang dapur, tapi handphone selalu tukar baru. Ada.

Ada juga isteri berkira tugas dalam rumah tanggung jawab siapa. Yang kerja kau, kau buat. Aku tak mahu buat. Berkira yang jenis macam ini. Rumit juga jadinya. Hati suami kadang terguris juga. Tapi diamkan saja.

Apa salahnya kita bertolak ansur dan faham memahami sesama pasangan. Pasangan kita ada kekurangan dan kelebihannya. Kita pun begitu. Hiduplah seperti manusia bukan seperti malaikat. Baru rezeki kita tidak tersekat.

5. MENINGGIKAN SUARA ANTARA SUAMI ISTERI DAN ANAK-ANAK

Antara punca rezeki makin hilang, makin susah, serba tak kena hidup, bila hilang seri dalam rumah tangga. Suami ajar isteri tinggi suara. Isteri pun tinggikan suara juga. Sama-sama ajar mengajar tinggi suara depan anak. Anak pun terajar sama. Ikut contoh perangai mak ayah mereka. Rumitlah.

Dalam Islam sudah ajarkan cara hidup yang tenang , berkata-kata yang baik bila bersama ahli keluarga. Menegur dengan ketegasan dan hikmah. Insyallah banyak urusan jadi mudah. Dipermudahkan itu bukankah rezeki.

Melayan dengan buruk dan sambil lewa boleh jadi menyekat banyak rezeki.

6. TIDAK PUPUK SIFAT SABAR DALAM RUMAH TANGGA.

Adakalanya sesuatu itu kita tidak suka. Ap alagi kalau melibatkan perbezaan antara suami dan isteri. Aku cara ini. Tak nak cara itu. Hah , masing-masing menegak ego. Akhirnya hilang sabar menerima kekurangan pasangan. Ungkit , merungut semua ada. Pusing-pusing macam itulah rutin yang mungkin kita tak sedar ini punca rezeki lari.

Apa jua situasi kita tetap perlu bersabar dan cuba guna akal dan fahami keadaan pasangan, anak-anak. Allah bagi kita keluarga macam sekarang ada sebabnya. Ada hikmah yang kita perlu belajar darinya. Cari penyelesaian cara orang berakal. Insyallah, kita mempermudah, rezeki jadi ‘murah’ sangat untuk kita dapat.

7. PUTUS DOA

Doa adalah senjata dalam rumah tangga yang bahagia. Doa bermaksud kita tahu kepada siapa kita rujuk bila ada suatu cabaran(masalah) berlaku dalam rumah tangga. Allah Maha Mendengar apa saja luahan dan harapan hamba-Nya.

Yang membuatkan rezeki boleh tersekat, hidup menjadi kucar kacir mungkin sebab kurangnya kita berdoa untuk kesejahteraan keluarga. Mungkin solat pun tidak dijaga elok. Tiada berjemaah sesama ahli keluarga. Tidak membiasakan ahli berdoa tadah tangan dan aminkan sama sama.

Bila itu terjadi, subhanallah, hidup kita sudah cukup. Bila kebergantungan kita kepada Allah.
Hidup ini sebenarnya indah saja dalam pentadbiran Allah.

Cuma, kita inilah. Kadang merasa mahu tadbir semua perkara. Rasa macam boleh ubah orang pula. Bila orang tidak berubah, kita kecewa.

Yang boleh kita ubah adalah diri kita. Buat kerana ada amanah dengan Allah. Bukan sebab nak orang berubah sama. Insyallah, buat itu dulu. Pasangan, anak-anak, seluruh keluarga kita akan turut alami perubahannya.

Nanti saya share pula, apa doa yang patut kita ulang-ulang bila solat berjemaah bersama pasangan dan anak-anak. Mantap sangat doa tu.

Teruskan follow saya disini , supaya tak terlepas pasal hantaran doa itu nanti ya.

Puan Dhuha Rashidi.
Pengemudi bahtera keluarga bersama.

Sumber: Puan Dhuha Rashidi

MW: Sebaiknya dalam rumah tangga, jagalah hubungan suami, isteri serta anak-anak. begitu juga hubungan dengan Allah. Jika segalanya terjaga, insyallah Allah akan murahkan rezeki kita. 

Published by
Syazwani Mehat