Hidup wanita selepas berkahwin lebih sukar memandangkan mereka mempunyai kadar tekanan yang lebih tinggi berbanding wanita bujang. Ada yang mengatakan tekanan lebih besar dirasai wanita berkerjaya kerana terpaksa menguruskan kerja di pejabat dan komitmen keluarga dalam satu masa.
Tidak kurang juga yang memperjuangkan susah payah suri rumah menguruskan anak, mengemas, memasak, melayan kerenah anak dan kehendak suami serta pelbagai cabaran lain.
Indahnya jadi seorang wanita dan isteri kerana sentiasa diangkat dan dihormati statusnya. Tapi mungkin ramai yang tidak tahu selepas berkahwin, kehidupan seorang isteri itu lebih sukar kongsi Ustazah Noor Laila Aniza ini.
Hidup Wanita Lepas Berkahwin Lebih Sukar
WANITA DAN TEKANAN
Selepas kahwin, lebih sukar kehidupan?
Jika ini sculpture yang dibuat,maka benarlah begini hidup wanita seluruh dunia digambarkan selepas berkahwin.
Kerana itu, disebutkan dalam pelbagai riwayat tentang mulianya akhlak Nabi sehingga Nabi uruskan dirinya sendiri, jahit baju,jahit kasutnya,siapkan makan keluarganya, Nabi buat kerja-kerja rumah, Nabi belai isteri-isteri baginda, Nabi bersihkan bekas haid isterinya, Nabi potong kuku isterinya, Nabi bantu ketika isteri Nabi naik unta sehingga Nabi letakkan pahanya ke tanah untuk dipijak isteri, Nabi paling banyak tersenyum, Nabi didik isteri dengan akhlak yang terbaik dengan perintah-perintah Allah, Nabi berlemah-lembut pada isteri baginda, Nabi tak pernah tinggi suara pada isterinya bahkan Nabi tak pernah menjerit-jerit atau memaki hamun.vIsteri Nabi juga diberikan pembantu untuk memudahkan segala urusan.
Bahkan Nabi orang yang paling banyak ibadah kepada Allah, paling sempurna imannya, paling rajin bekerja dan sangat jujur tidak pernah mengambil harta isterinya untuk tujuan peribadi. Allahu Akbar!
Jika sebegini high class akhlak Nabi dan layanan suami kepada isteri, selayaknya disebutkan Nabi, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami”‘..
Dengan kata lain, selayaknya suami sebegini mendapat penghormatan dari isteri bukan sekadar kerana suami itu menafkahi isterinya, dan bukan sekadar kedudukan suami lebih tinggi dari isteri, tetapi disebabkan suami itu sendiri memuliakan isterinya.
Namun hadis ini disalah guna pakai untuk mengatakan kedudukan lelaki sebagai suami terlalu tinggi sehingga isteri perlu taat tanpa sempadan dan korban sehingga mati!
Satu kezaliman yang membunuh sifat kemanusiaan dalam rumah tangga itu sendiri.
Dan kesannya emosi wanita bercelaru dan sakit. Sehingga tekanan-tekanan itu membawa kegilaan dan anak tidak berdosa menjadi mangsa dibunuh, dicampak luar flat, ditikam, dikelar. Nauzubillahi minzalik.
Banyak Tekanan, Ini Faktanya
Belum lagi beban emosi wanita itu dihenyak lagi dengan suami yang mengambil duit isteri, mencuri harta isteri, menyuruh isteri berhutang, berjanji akan bayar balik, bila diminta dikata mengungkit, tak bersyukur, tak boleh sabar, menetapkan pula itu ini isteri kena bayar dengan alasan isteri bekerja kenalah bersusah bantu suami, kaki lepak, keluar masuk rumah ikut suka, curang disebabkan isteri tak pandai melayan dan macam-macam rencah kerenah kerana suami tidak diberi tanggungjawab sebagai lelaki yang perlu bersusah-payah bukan sekadar mencari nafkah untuk isteri tetapi juga mengurus tadbir keperluan keluarganya dengan baik dan sabar.
Jika benar, seorang lelaki faham agama, pasti dan pasti akhlaknya seperti Nabi dan tiada seorang wanita akan terkoyak emosinya sebegini teruk. Dan tekanan-tekanan dari keluarga mertua, ipar duai sepupu sepapat, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dengan pelbagai rencah hentaman, pandai cakap, tukang mengajar, kecaman, suruhan, perintah, teguran kononnya mana boleh lelaki buat kerja rumah, mana boleh jaga anak, semua benda suami yang buat, habis isteri buat apa…? Soalan yg tidak masuk akal, suami takut bini, suami kena guna-guna…isteri macam ini tak layak jadi ibu sebab tengok suami yang uruskan anak-anak..Allah…beban sangat tengok suami tu…derita sungguh suami perkasa kena buat semua kerja rumah…isteri tak tahu tanggungjawab….Isteri tak bersusah payah dengan suami. Desakan-desakan ini juga yang menambah sakit mental wanita.
Belum cerita tentang isteri ceaser belah perut yang kadang-kadang terkoyak balik jahitan dan bernanah dalamnya akibat gerakan yang banyak dan angkat benda berat, bahkan bertahun pun tak hilang lagi sakit ceaser itu. Punya bertarung nyawa untuk suami. Belum lagi cerita perut berparut seribu dan perut lembik macam kain buruk akibat mengandungkan zuriat-zuriat suami, longgar sana longgar sini dan suami hanya pandai komplen.
Belum juga kisah terkuburnya cita-cita selepas kahwin dengan ‘hukum buatan manusia’ lepas kahwin, isteri kena ikut suami. Tanpa kompromi, tanpa berbincang, ikut sahaja.
Seharusnya sebelum kahwin sudah jelas perancangan ke depan, dan kesediaan kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa ditekan emosi. Jelas dan jujur.Jika tak sedia, janagn teruskan perkahwinan.
Nak sambung belajar, mak mertua kata tak perlu sebab perempuan lebih baik duduk rumah, mengasuh anak. Terkubur satu lagi hasrat dan cita-cita yang ditanam dgn semangat membara dari kecil hasil didikan ibu ayahnya…Anak perempuan siapa yang diperlakukan sebegini? Kezaliman apa sehingga dinafikan hak wanita untuk memperoleh apa yang dihajati dari kecilnya? Dunia apa yang dicorak untuk para isteri ini? Tekanan!
MULIA SUNGGUH MENJADI SURI RUMAH, TETAPI PASTIKAN SURI RUMAH YANG MERASA NIKMAT BAHAGIA, BUKAN DERITA STRES TEKANAN SEHINGGA SAKIT MENTAL DIBUATNYA! ALLAH…
Lalu dia diajar untuk reda, sabar, taat sedangkan tak cukup duit, ibu ayah perempuan pula yang kena tanggung bagi duit sebab suami tak cukup duit. Isteri yang tiada pemilikan apa-apa, terkulat-kulat lihat apa orang lain ada sedangkan dia juga punya angan-angan dan impian. Nak bagi duit pada mak ayah yang membelanya dari kecil juga tak mampu. Pemilikan isteri yang membunuh emosinya! Semua harap suami sedang suami tidak pula tak mampu memberi secukupnya bahkan berkira-kira pula! Ya Allah!
Ditambah suara-suara yang mengatakan isteri habiskan duit suami. Bahaya betul perkataan-perkataan jahat ini.
Sewajarnya selepas kahwin, lebih mudah hidupnya kerana lelaki meminangnya dengan janji untuk menjaganya, mengangkat martabatnya, melindunginya, meneruskan semangatnya untuk memperoleh cita-citanya dan perjuangannya.
Sama-sama bina cita-cita, sama-sama membangunkan antara satu sama lain, sama-sama bina keluarga, sama-sama didik anak…MashaAllah.
Ads
Sekalipun suami itu sangat baik, dibelanjakan hartanya untuk keluarganya,disiapkan tempat tinggal, makan pakai, dicebok anak-anak,dimandikan anak-anak, disuap makan, dibasuh baju anak isterinya, dia juga yang memasak, belum lagi dia dapat membalas jasa isterinya bertarung nyawa ketika melahirkan zuriat-zuriat untuknya bahkan zuriat-zuriat itu pula dengan rahmat Allah akan menjadi penolongnya ke syurga.
Suami juga tak pernah sekali pun gadaikan nyawa untuk melahirkan, antara hidup dan mati, tak pernah hilang kecantikannya akibat tidur yang tak cukup, bentuk badan yang dah tak sama, lelah yang tak habis menyusu dan fikirkan sakit anak dan pelbagai ragam anak siang malam yang tak pernah habis.
Bagaimana selepas selesai bersalin, isteri juga yang dukung anak bahkan isteri juga basuh baju anak dan suami. Ya Tuhan…
Bila isteri dah sihat sikit, berjalan bersama, isteri juga yang dukung anak…alasan anak nak pada ibunya..ke sana ke mari isteri gendong anak,suami jalan pegang hp di tangan.Ya Allah. Berat bawa perut pun tak pernah habis rasanya. Suami hanya bawa diri…Relak je suami. Sakit pinggang membawa perut mengandung pun tak pernah habis lagi!
Inilah realiti, apabila kita tidak menyediakan anak-anak lelaki kita sebagai hero dan penyelamat, sebagai pelindung dan sanggup bersusah payah bekorban untuk anak isterinya tapi kita cerita pada anak lelaki kita, lepas kahwin ada orang jaga dia…lepas kahwin lebih terurus hidupnya…
Berapa ramai yang bercerita lepas kahwin, kena jaga isteri dengan sempurna, isteri ini amanah, bantu isteri, buat kerja-kerja rumah, uruskan anak, jangan harap duit isteri, usaha sungguh-sungguh,jaga mak ayahnya, jadi laki-laki bermaruah, jaga solat di masjid/ surau/tempat azan dilaungkan, jaga Al-Quran setiap hari, jaga rumahtangga dan jangan khianat. Tidak ramai bukan?
Berapa ramai ambil tahu tentang impian isteri dan sama-sama usaha mendapatkannya atau setidaknya memberikan dia jalan lebih selesa untuk kehidupan rumahtangganya?
Malangnya, lelaki diajar menjadi raja, dan wanita diajar berkorban tanpa jemu. Sehingga semua pakaian suami perlu dicuci, digosok, disediakan sehingga di mana letaknya stoking pun, kalau tak jumpa, isteri juga kena marah.
Ads
Lelaki diajar makanan tersedia untuk dijamah, pinggan tak perlu cuci, rumah tak payah sapu, mop lagilah tidak, cadar katil tak payah tukar, masak tak payah, semuanya kerja orang perempuan…
Akhirnya isteri tarik muka, penat letih, tiada lembut lembut, hanya jerit pekik, marah tak tentu pasal, lalu dikatakan…oh isteri tak macam dulu, isteri derhaka, isteri tak memahami, isteri tak layak jadi ibu….
Takutlah pada Allah. Berlebih-lebihlah suami dalam membuat tugasan rumah. Berilah kerehatan dan belaian kepada isteri, penghargaan dan kasih sayang, urutan dan sentuhan, doa dan semangat, kerja keraslah untuk isteri anak-anak, bukan banayk komplen banyak marah, banyak tegur.
Takutlah kerana para suami akan menghadap Allah. Ikhlaslah dalam setiap khidmat pada keluarga. Nescaya,isteri akan jadi ibu ysng penyayang,isteri penyejuk mata ,manis wajahnya,dan lunak kata-katanya serta pasti dia menghormati suaminya. Anak-anak penuh kasih sayang dan ceria, tidak murung dan memberontak. Ajarilah isteri dengan didikan agama untuk memperbaiki Al-Quran dan solatnya.
Begitulah jika agama dipelajari, difahami, diamalkan. Tidaklah kita memandai-mandai menzalimi wanita. Jadilah wanita yang bersyukur. Sayangi suamimu dan berlemah-lembutlah, rendahkan suaramu dan janganlah dikeluarkan kata-kata yang tajam. Tetaplah dalam kesabaran, doa, solat dan peliharalah auratmu, labuhkan tudungmu, longgarkan pakaianmu dan pakailah baju berlengan panjang. Nikmat mana lagi yang mahu engkau dustakan wahai wanita?
Berdoalah supaya bahagia sampai syurga paling tinggi dan bertaubatlah bagi yang menyakiti tanpa sedar. Berbincang dan berdoalah.
Buat para isteri, tetaplah membantu suamimu untuk apa juga urusan kerja rumah dgn ikhlas dan bersyukurlah atas pemberiannya. Jangan jadikan suamimu tempat untuk ditengking jerkah, disuruh itu ini tetapi mohonlah pertolongannya dengan kata yang lunak dan baik. Bertolak ansurlah dalam urusan-urusan rumah tangga dan maafkan kekhilafan suamimu. Bertolak ansur dan belas kasihan adalah kunci untuk tidak mencari salah pasangan. Tetapi sama-sama sepakat, sama-sama membantu segala urusan rumahtangga.
Pastikan tulisan ini dibaca dengan ilmu bahawa kisah ini berkaitan wanita dan tekanan. Janganlah dengan post ini, menghilangkan hormat isteri kepada suami tetapi bawalah berbincang. Tidak ada suami yang mahu isteri yang dinikahi tertekan. Cuma mungkin si suami terlepas pandang.
Tahniah untuk isteri yang ikhlas membuat kerja-kerja rumah kerana mencari redaAllah.
Tahniah buat suami-suami yang telah menjaga para isteri tuan-tuan dengan sempurna, Allah berkati hidup tuan-tuan.
Terima kasih suamiku kerana menjadi hadiah terbaik dari Allah buat diriku dan anak-anak. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa engkau suami dan ayah yang mulia.
Kalau ikutkan pengorbanan mak, tak seorang anak pun mampu membalas 100% apa yang dia pernah terima daripada wanita bergelar ibu. Yang sanggup berjaga malam demi anak, rela tahan lapar demi kenyangkan perut anak dulu, gadai harta demi sekolahkan anak, malah sanggup buat apa sahaja demi melihat anak senang. Untuk ingatkan anda pada pengorbanan mak, baca perkongsian daripada saudara Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad ini…
“Dulu dulu adik selalu tanya mana Abah, mana Abah”. Mak tak tahu nak buat apa, adik selalu tanya, Mak pun gantung gambar Abah dihujung kepala adik masa nak tidur, tapi adik kata “tak mau yang tu, mau yang ada kaki, ada tangan, boleh berjalan mai kat adik, boleh dukung adik, boleh peluk adik”.
ALLAHUAKBAR! Baru semalam Mak cerita kisah berpuluh puluh tahun dahulu, ketika Mak membesarkan aku keseorangan setelah suaminya meninggalkan dunia ini ketika baru 15 hari melahirkan aku kedunia ini.
Sungguh! Rupa paras dan tubuh badan ku tidak pernah dilihat dan disentuh oleh seorang lelaki yang dipanggil Abah, Mak melahirkan aku tanpa suaminya disisi kerana berkhidmat di Sarawak pada ketika itu.
Abah meninggal dunia di Serian Camp, Sarawak, hanya jasadnya dibawa pulang ke Kodiang Lama, Kedah, kampung halaman kelahirannya. Bermula dari saat itu lah Mak berkorban segalanya membesarkan kami 4 adik beradik.
ALLAHUAKBAR! Pengorbanan Mak yang diketika itu baru mencecah 30 an usianya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan bagi aku dan adik beradik yang lain, Mak kerja apa saja termasuk menyemat atap daun nipah yang dijadikan bumbung rumah pada ketika itu di kampung kampung, upahnya dalam 50 sen sekeping atap, sehinggalah akhirnya Mak kerja kilang MMI dan membesarkan kami semua dengan sempurna.
Sebagai anak bongsu yang dipanggil adik, memang sungguh sangat sangat aku ini menjadi anak Mak, itulah Mak dan itulah Abah. Aku hanya dikenalkan kepada Abah dengan beberapa keping gambar yang ada, namun sebenarnya aku tidak pernah merindui seorang Abah kerana ya lah, langsung tidak pernah disentuh, apatah lagi dibelai, didukung, dipeluk dan dimanjakan. Sehinggalah semalam Mak menceritakan saat saat aku membesar dan sering mencari cari Abah.
ALLAHUAKBAR! Tak dapat aku bayangkan bagaimana kekuatan hati Mak ketika menjawab dan menggantungkan gambar Abah dihujung kepala ketika aku nak tidur itu. Kata Mak, Abah selalu kesana sini sebagai tentera dan biasa sangat kena tinggal, hanya satu saat saja Mak pasti mengalirkan air mata iaitu ketika kali pertama bergema takbir raya disetiap kali hari raya.
Selain dari tu, Mak gagah dan tunjuk gagah kepada kami adik beradik. Aku pernah diminta seseorang untuk diambil sebagai anak angkat tetapi dengan tegas dan semangat padu Mak menyatakan selama ia bernyawa dia akan pastikan dia melaksanakan amanah dari suami tercintanya.
Tulisan Abah meminta Mak jaga anak anak baik baik selamanya, aku baca didalam surat bertulis tangan itu Abah melahirkan rasa rindunya kepada Mak dan anak anak khasnya aku yang belum ditatap dan disentuhnya.
Surat itu bertarikh 24-Sep sehari sebelum Abah meninggal pada 25-Sep, kata Mak, Abah juga mengirimkan lagu di radio dan ianya disiarkan setelah Abah meninggal dunia, bayangkan ketika masih didalam pantang itu, Mak dengar radio kiriman lagu dari suami yang telah tiada.
Sungguh kuat dan tabah Mak aku ini! Ramai yang menggilai Mak, bukan calang calang yang cuba hampirinya, namun Mak nyatakan “Abah hampa tak ada ganti selamanya”, lagi pun sangat dibimbangi anak anaknya tidak diterima baik oleh ‘Pak Tiri’.
Mak sekarang dah nampak banyak uzur, mata dan pendengaran sedikit bermasalah, badan pun sedikit mengecil, kerdutan kulitnya jelas dilihat, namun masih tetap menggagah menyantuni anak menantu dan cucu cicitnya, sentiasa akan berusaha menyediakan makan minum untuk anak menantu, cucu dan cicitnya. Sentuhan dapur Mak memang tiada tandingannya, setiap kali balik kerumah Mak mesti akan masak makanan kegemaranku dan anak anak yang lainnya. Tidak lepas juga Mak akan menarik ku kedalam pelukannya dan mengucup dahi dan pipi ku dengan katanya “anak Mak dah besaq tua ni” sambil melirik senyum manisnya ketika aku bersalam untuk balik ke Kuala Lumpur.
Teringat ketika aku selesai aqad nikah, kata Mak “dah ada Pak Mentua, buatlah macam Abah sendiri, dulu kan tak dak Abah”. Mak juga sangat menyayangi isteriku Sharifah Mazrah menantu bongsunya, setiap kali bersalin Mak lah yang bertungkus lumus memasak makanan berpantang, membawanya ketingkat atas, memandikan cucu cucunya walaupun dengan kudratnya yang semakin terhakis setelah tenaganya diperah untuk membesarkan anak anak.
ALLAHUAKBAR! Beberapa minggu kebelakangan ini aku banyak menemui Pakcik Pakcik tua yang masih terpaksa bekerja, didalam FB aku menaikkan cerita seorang Pakcik tua berumur 82 tahun beranak 11 yang masih memandu teksi mencari duit belanja untuk menyara anak bongsunya yang terlantar di pembaringan sejak beberapa tahun yang lalu, aku juga menemui seorang Pakcik berusia melebihi 90 tahun yang dijaga oleh anak perempuan dan menantu, 3 anak lelakinya ada yang dah 10 tahun langsung tidak pernah menjenguknya sehinggakan ketika aku menziarahinya dia genggam erat tanganku tak dilepasnya ketika aku nak pulang, juga tiba tiba katanya ” …… ada ke tu” katanya dengar macam bunyi suara anak nya, mata Pakcik tu dah tak dapat melihat lagi.
Mak kata “baguslah walaupun tak boleh buat baik pada Abah sendiri, buat baik dan bantulah Abah Abah orang pun, nanti dapat pahala kat Abah kita juga”. Sungguh! Dalam hidup ku ini, aku sangat menyantuni bapa bapa saudara ku dari kedua belah pihak Mak dan Abah, dalam masa yang sama aku ada lelaki lelaki yang seolah Abah bagiku disudut hubungan kasih sayang yang terjalin, mereka banyak menasihati ku, membantu dan menjiwai ku. Aku ada Paksu Ali@ Haji Ali Bin Bakar, Pakcik Mat@Mohamad Bin Mahmud, Tuan Haji Hussain Bin Saat dan aku ada Paksu Duan@Haji Ridwan Bin Mat Som, mereka ini sentiasa bersama ku ketika susah dan senang, sekarang yang tinggal hanyalah Tuan Haji Hussain Bin Saat. Semoga ALLAH sentiasa merahmati mereka hendaknya.
ALLAHUAKBAR! Sungguh! Air mata ku laju membasahi baju ketika menulis ini kerana terbayang keadaan Mak ketika aku mencari Abah dan terbayangkan Ayah Ayah tua yang masih terpaksa mencari sesuap nasi walaupun beranak 11 dan bermacam macam lagi. Air mata ku juga semakin laju kerana ketika menulis ini, anak ku Syed Muhammad Abu Bakr Zuhdi sedang lena diribaan ku, sesuatu yang tidak pernah ku rasakan dari Abah ku.
Ya ALLAH, Kau rahmatilah Mak Abah aku dan semua Ibu Bapa didunia ini. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil, kurniakanlah kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka. Bagi yang mempunyai Ibu Ayah, janganlah sesekali mengabaikan mereka, tumpahkanlah sepenuh kasih sayang kepada mereka. Seandainya mereka telah meninggalkan dunia ini, jadilah kalian semua anak anak yang soleh yang sentiasa mendoa’kan mereka.
Ingatlah, siapa kita tanpa Ibu dan Ayah. Jangan lah kita abaikan peringatan dari ALLAH – Dan Tuhan mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua Ibu Bapa kamu dengan sebaik baiknya,jika salah seorang diantara keduanya atau kedua duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia,dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidikku di waktu aku masih kecil” Al-Isra’ 23-24.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak semua orang faham bila tengok perangai anak autisme yang kadang menguji kesabaran, hanya mak ayah yang ada pengalaman dan punya anak syurga ini akan faham lebih jelas.
Jadi kali ini, apa salahnya kita cuba selami dunia anak autisme dan hadam sedikit tulisan daripada penulis buku Kereta Mayat, Hamka Mekar buat mak ayah di luar sana yang mungkin masih tak tahu tentang sikap dan perangai anak autisme.
Jumpa Anak Nampak Kurang Ajar
Jika kamu jumpa budak, tanya soalan tak di jawab, bersikap kurang ajar, dan langsung tak ada muka bersalah di wajahnya, jangan cepat marah dia, atau hukum dia.
Itu adalah salah satu ciri Autisme.
Sejenis OKU yang fizikal luarnya nampak normal, tapi cara dia faham dunia, sangat berbeza dengan manusia normal. Jika tidak dibantu, apabila dewasa akan menjadi orang kurang keupayaan yang mungkin akan memudaratkan masyarakat.
Suka Kacau Orang Dalam Kelas
Jika anda seorang guru, mengajar darjah satu, tiba tiba ada budak tak focus pada pelajaran, kacau kawan, keluar kelas dengan selamba, berjalan ke sana sini, kamu beri arahan dia tak layan, kamu tanya soalan dia tak jawab, jangan tengking dia, jangan lempang dia, jangan rotan dia.
Mungkin dia adalah kanak kanak OKU autism yang ibu bapanya menafikan anaknya OKU dan tetap masuk sekolah biasa. Pujuklah ibu bapanya untuk hantar anak ke sekolah khas dan terimalah hakikat bahawa anak anda OKU walaupun memang sukar untuk ibu bapa menerima hakikat anak anaknya adalah OKU.
Mengamuk Di Kedai Makan
Jika anda sedang makan di kedai makan, ada kanak kanak mengamok dalam kedai, berlari ke sana sini, Ibu bapanya sudah marah tapi anak tetap berkelakuan seperti kurang ajar, jangan cepat menuduh ibu bapa itu terlalu manjakan anak, anak itu mungkin OKU Autisme yang mudah mengamok bila makanan yang di makan tak menepati seleranya.
Jenis Berlari-lari
Jika anda sedang naik pengangkutan awam, dan ada kanak kanak terlalu aktif berlari ke sana sini, menjerit dan mengamok, sedang ibu babanya tertunduk malu sebab tak mampu nak kawal ragam anak autisme, jangan tambahkan duka si ibu bapa dengan membuat muka marah sebab terpaksa berkongsi pengangkutan awam dengan anak-anak autism, senyumlah sebab anak anak itu, akan ikut ibu bapanya ke rumah mereka, bukan ke rumah anda.
Selami Anak Autisme
Bulan april, adalah bulan kesedaran Autisme. Sebarkan mesej ini agar tiada lagi kisah duka kanak kanak autisme di hukum sedangkan dia tidak mengerti apa kesalahannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mula-mula hanya kawan untuk temankan makan, selepas itu berlarutan sesi meluah perasan dan mulalah suka tanpa sengaja. Kononnya, orang itu mampu memberi nasihat terbaik untuk kita.
Bagaimana dengan pasangan kita yang sanggup susah senang selama ini. Segala kebaikan yang ada pada pasangan terus hilang sekelip mata hanya kerana suka tanpa sengaja orang lain.
Jangna begitu, marah atau merajuk macam mana sekalipun kita dengan pasangan, kita kena ingat dialah orang hadir dalam hidup kita dan mampu menerima baik buruk kita. Pasangan kita itulah yang terbaik dan menerima kekurangan kelebihan kita.
Keadaan ini biasanya kerap berlaku di kalangan suami isteri. Baik suami orang dengan isteri orang atau sebaliknya. Semuanya sebab tanpa sengaja tersuka hingga jatuh cinta. Sanggup pilih orang yang tanpa sengaja suka itu sebagai pilihan dan buang pasangan yang selama ini sanggup susah payah bersama.
Apa lagi yang dimahukan oleh pasangan, sedangkan segala tanggungjawab sudah dilakukan dengan terbaik. Ingat, jangan sampai tersalah pilih dan kerana nak car kesempurnaan itu, kita hilang orang yang terbaik untuk diri kita.
Ini nasihat dan panduan daripada Firdau Syakirin untuk pasangan di luar sana. Tak perlu nak cari yang lain sebab yang kita ada ini sudah lengkap segalanya. Terimalah seadanya.
“Saya ada tersuka dgn seorang kawan di tempat keje…”
Asal tu kawan biasa, bila dah rapat, saya macam suka dia dan dia pun macam suka saya…masalah sekarang ni ialah saya dah kawin…
Apa pendapat FS?
Selalunya kalau pm dari lelaki, soalan beginilah yang saya akan dapat. Respon saya tetap sama.
Jangan letak TER kalau kita sendiri yang buka ruang dan ambil peluang. Saya pun lelaki dan tak timbul pun isu TER-suka atau TAK SENGAJA bercinta dalam hidup saya walaupun bekerja dengan wanita.
Saya tanya lagi, isteri baik? bertanggungjawab? ada anak?
“Isteri ok, dia tak ada masalah, dia kerja pun elok…anak 3 orang dah…”
Dah tu? apa lagi yang kita cari? takkan nak musnahkan semua yang kita bina dengan isteri dan anak-anak itu dalam sekelip mata dek kerana perasaan suka kita itu.
Pandangan & Pendapat
Saya tak ada hak nak tentukan hidup orang lain tapi sekiranya dia nak pandangan dan pendapat, maka pandangan dan pendapat saya ialah:
1. Berhati-hati dengan hati kita sendiri.
2. Dalam mencari yang sempurna, kita akan kehilangan yang terbaik.
3. Apa yang kita suka, belum tentu terbaik untuk diri kita.
4. Hidup kita boleh berubah 360 darjah dalam sekelip mata.
5. Selagi isteri masih boleh buat yang terbaik, maka tak perlu kita menggantikan tempatnya dengan orang lain.
6. Jaga pergaulan dan batas hubungan kita dengan orang lain, insya Allah hidup akan baik-baik sahaja.
7. Nawaitu keluar bekerja ialah untuk menyara keluarga, menunaikan tanggungjawab serta kewajipan kepada keluarga, maka jangan sesekali lari atau menyimpang dari nawaitu tersebut.
MW: Betul apa yang dikatakan itu, niat dalam hati nak cari rezeki untuk keluarga. Insya Allah, tak ada timbul isu ter…atau tak sengaja itu.