Hidup Umpama Api PELITA Bila-bila Masa BOLEH Terpadam, Jadi Hargailah Orang Sekeliling

Share

Hidup ini umpama api pelita yang mana bila-bila masa boleh terpadam bila tiba masanya. Jadi hargailah orang sekeliling terutamanya pasangan kita. Jika sayang luahkan, kalau marah, maafkanlah cepat-cepat. Bimbang masih ada kesempatan atau tidak buat kita.

Tanpa kita sedar, setiap hari kita menerima berita kematian di kalangan keluarga atau kawan-kawan terdekat. Tak kira tua atau muda, jika sampai ajalnya tiada satu alasan dapat diungkap.

Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan fahami sedalam-dalamnya:

Dua tiga hari ini, lalu lalang post announcement kematian pasangan dan appreciation post buat pasangan yang telah pulang ke rahmatullah.

Ada isteri yang kehilangan suami.
Ada suami yang kehilangan isteri.
Ada yang pergi secara mengejut.
Ada yang sampai kini masih mengesat air mata kerana menanggung rindu tak terucap.
Hari ini boleh jadi kita terkejut membaca berita teman kehilangan pasangan. Esok lusa mungkin orang lain pula terkejut membaca berita yang sama tentang kita.
Sama ada kita yang dipanggil pulang atau pasangan kita yang meninggal dunia.
Ada yang baru semalam kita lihat post mereka tersenyum mesra berdua. Keesokannya kita membaca berita kehilangan mereka pula.

Hidup Umpama Api Pelita, Bila-bila Terpadam

Begitulah singkatnya hidup ini. Seperti kata Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, ‘Nyawa kita ini, diumpamakan api pelita yang bila-bila masa sahaja boleh terpadam.’
Ramai sahabat, guru dan para ‘alim sudah dipanggil ‘pulang’, begitu juga dengan kita yang sedang menunggu ‘angka giliran’ masing-masing. Entah esok, entahkan lusa, entahkan sekejap lagi. Wallahu’alam.
Takkan lambat sesaat pun. Takkan tertangguh hanya kerana amal kita belum cukup, taubat kita belum sempat, pasangan kita terlalu sayang, anak kita masih kecil dan masih menyusu ataupun apa-apa alasan lain.
Mati tetap akan tiba. Tiada yang mengejut kerana semuanya telah tertakluk.

Bila-Bila Terpadam, Hargailah Orang Sekeliling

Oleh itu, hargailah insan sekeliling kita hari ini. Tak usah bertangguh bab melakukan kebaikan.
Kalau sayang, ucapkanlah sayang. Kalau rasa berdosa, pohonlah segera kemaafan. Kalau nak hadiahkan apa-apa, hadiahkanlah segera. Kalau nak buat apa-apa, buatlah jangan ditangguh lagi.
Peluklah. Ciumlah. Telefonlah.
Kerana kita tidak tahu esok masih adakah untuk kita ataupun dia.
.
Muhasabah saya yang menulis.
MW: Jangan alpa dalam mengejar dunia, seimbangkan kedua-duanya agar cukup bekalan kita di sana bila dijemput pergi. Entah esok ataupun lusa, pasti akan tiba masanya.

 

Published by
Syazwani Mehat