Konflik menantu dengan mentua, khususnya menantu perempuan bukan cerita baru. Dari dulu lagi sudah bermula. Puncanya mungkin boleh jadi daripada perkara yang kecil saja.
Namun bagi menantu yang tinggal serumah dengan mentua risiko untuk konflik itu lebih besar sebab itu disarankan supaya pasangan suami isteri tinggal berasingan.
Tak akan sama, pengalaman buruk tinggal serumah dengan mentua ada macam-macam jenis. Terlalu banyak persoalan negatif berbanding yang positif. Agaknya macam mana nak melahirkan sebuah keluarga harmoni dan tenteram?
Jalan terakhir, anda terpaksa memilih keluar dari rumah mentua. Anak-anak yang sudah mesra dengan nenek mahupun datuk mula terasa rindu apabila terpaksa tinggal berjauhan.
Ada wanita mahukan lebih privasi dalam rumah tangga. Mereka tak nak dikongkong dan nak bebas tidur lama dan bila-bila masa boleh ‘asapkan dapur’. Tak ada yang nak marah dan jadi ‘mata-mata’. Dan sudah tentu apabila diaju soalan sama ada mahu tinggal di rumah mertua atau tidak, pasti jawapannya TIDAK!
Tetapi kalau tiada pilihan, mampu ke anda dan pasangan duduk sebumbung dan membina sebuah hubungan menantu mentua yang berbaik sangka? Beberapa panduan ini boleh dicuba dan membantu anda yang sedang berhadapan konflik yang cukup menduga emosi ini.
1. Peranan mentua
Dalam soal menangani konflik yang berlaku dalam sesebuah keluarga, seharusnya ketua keluarga iaitu ibu mentua tidak terlalu masuk campur dalam urusan rumah tangga anak-anaknya. Biarkan anak-anak menentukan hala tuju rumah tangga mereka. Sebagai ibu, anda hanya perlu memantau. Apabila berlaku masalah yang terlalu besar, barulah anda campur tangan.
2. Tegas mengatur jadual
Apabila bertekad mahu hidup sebumbung bersama mentua, antara perkara yang perlu dititik beratkan adalah belanja dapur. Sesekali biarlah pasangan itu belanja mak ayahnya. Dia bagi lebih, esok hari rezeki lain lagi tiba. Bukan orang lain, malah itu orang yang pernah besarkan pasangan kita.
3. Hati-hati dalam soal kewangan
Perkara paling sukar dikawal apabila tinggal bersama mentua menantu pastilah dalam soal kewangan keluarga. Pasti akan menjadi pertelagahan apabila ada pihak yang jenis ‘berjimat’ dalam kewangan. Baik dari segi suami belanja maknya lebih atau sebaliknya. Pasti ada bunyi!
Kalau benda ini terjadi, kedua-dua pihak perlu bermuafakat dan sentiasa berbincang untuk mengelakkan perselisihan faham. Sememangnya tidak mudah untuk tidak bermasam muka di dalam sebuah keluarga yang besar, namun andai pendekatan bersederhana dalam pergaulan menjadi amalan, pasti kemesraan mudah terjalin.
4. Jangan buat keputusan sendiri, berbincang dengan suami
Andai ada perkara yang membuatkan anda kurang senang tidak salah berbincang hal itu dengan suami. Namun, anda tidak boleh menyalahkan sebaliknya menjelaskan apa yang anda alami ketika itu. Dengan itu, suami pasti akan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah anda.
Perlu diingat, suami atau isteri pasti tidak gemar andai anda memperlekehkan keluarga mereka. Sebaik-baiknya anda kena berkomunikasi dengan tenang dan tidak terburu-buru dalam menyatakan sesuatu pandangan. Berfikirlah dengan tenang dan pastikan, luahan hati anda itu tidak mengundang mudarat pada hubungan adik beradik mereka.
5. Jangan paksa suami
Jangan sesekali memaksa suami mendengar kata-kata anda tanpa kerelaannya. Apabila suami bertindak, biarlah dipandu oleh akal fikiran waras dan bukannya emosi akibat dipengaruhi oleh kata-kata isteri. Bukankah berbaik sangka dengan keluarga mentua adalah jalan terbaik untuk mencipta keharmonian dalam sesebuah perhubungan.
Apabila berlaku konflik dalam keluarga, anda perlu belajar menerima penyelesaian yang akan diambil oleh suami anda. Kalau kurang bersetuju, cuba cadangkan perkara yang tidak akan memberi bebanan kepada kedua-dua belah pihak.
6. Fikir yang baik-baik pasti benda baik-baik yang muncul
Adakah anda tahu apabila hidup bersama di bawah satu bumbung, sebenarnya anda sedang mencipta penyatuan budaya dengan keluarga mentua. Yang mana, anda perlu belajar pendekatan pendidikan dan sosialisasi keluarga mentua. Jadi, berfikirlah positif agar anda mampu menyerap budaya yang positif dalam membesarkan anak-anak anda.
Sekiranya keadaan betul-betul memerlukan anda untuk tinggal bersama kedua ibu bapa mahupun mentua, fahamkan cabaran yang bakal dihadapi dan buat persediaan mental. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil sebab ada juga pasangan yang bahagia apabila tinggal serumah dengan ibu bapa atau mertua.
Yang penting, sentiasalah berkomunikasi dengan sihat sesama ahli dalam keluarga dan bersedialah untuk bertolak-ansur.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI