Sifir mudah dalam hidup, hidup ikut kemampuan diri bukannya mengukur hidup kita dengan orang lain. Tak perlulah membandingkan hidup mak ayah dengan orang lain, sedangkan kita sendiri tidak duduk dalam “kasut” mereka.
Sebaiknya, belajarlah dan banyakkan bersyukur dengan setiap rezeki yang kita perolehi. Jangan sekali berlawan atau mengikut cara hidup orang sehingga kita terbeban hutang.
Ikuti perkongsian Nurul Haslinda ini dan fahami sebaiknya untuk kita belajar bersyukur:
Jangan berlawan dan bandingkan hidup kita dengan orang lain.
Bila kita tengok orang lain beli itu dan ini, kita pun kalut nak beli juga. Tengok orang tukar kereta baru kita pun hendak tukar kereta juga hinggakan ia membebankan kita.
Nak tukar boleh, tak salah tapi tengok atas kemampuan kita. Jangan tengok orang kita hendak lawan dan lebih dari orang lain padahal kita tak mampu sehinggakan kita terpaksa berhutang menyebabkan kita terbeban.
Sanggup Berhutang & Susahkan Orang
Yang paling teruk jika kita berhutang dengan orang lain sehinggakan menyusahkan orang yang memberi hutang kepada kita kerana kita buat-buat lupa nak bayar.
Lagi satu kita tengok orang lain selalu bercuti dalam atau luar negara. Kita pun nak sama. Itupun boleh tak kisah juga, tetapi tengok atas bajet kita.
Ads
Kalau tak mampu mahal, kita bercutilah ikut kemampuan kita yang penting ianya seronok dan memuaskan hati keluarga kita. Tak salah kita nak dapat semua itu tapi jangan sampai membebankan kita.
Malah sanggup berhutang dengan orang untuk memenuhi kehendak kita yang melampau-lampau. Sudah itu bila janji nak bayar tetapi tak bayar juga. Ada juga yang berjanji nak pinjam kejap saja, tapi bila tiba masa membayar terus hilang, tukar nombor telefon dan sebagainya.
Kita Yang Berhutang, Salahkan Pula Orang Lain
Asal hendak pinjam 3 hari jadi bertahun-tahun. Bahkan menjadikan si pemberi pinjam itu musuh pula. Itulah berlagak sangat hendak berlawan dengan orang sedangkan awak tak mampu.
Kita hidup ini kena banyak bersyukur. Syukur dengan apa yang ada. Jangan berlawan-lawan dengan orang. Biarlah orang itu nak beli apa pun, nak pakai apa pun kerana itu adalah kemampuan dia.
Kita kalau mampu boleh saja beli ikut bajet kita tak perlu mahal-mahal yang boleh menyusahkan kita. Kita semua berhak untuk ‘reward’ diri kita tapi tak perlu berlawan dengan orang dan niat untuk menunjuk.
Ads
Tuhan Pun Marah Si Penghutang
Tuhan pun marah dengan orang yang riak dan takbur. Maka ukurlah baju dibadan sendiri janganlah berlebih-lebih sehingga menjejaskan ekonomi kita. Satu lagi, kalau meminjam dan janji nak bayar, bayarlah cepat.
Kalau tak mampu nak bayar, jangan meminjam. Kerana kalau kita tak bayar hutang kita, mati nanti roh kita akan tergantung dan di dunia ini pula kita telah menyusahkan orang yang memberi kita pinjam.
Kasihan pada yang beri pinjam, dia bagi pinjam sebab kita janji nak bayar balik dalam masa terdekat tetapi kita tidak tunaikan. Kita tak tahu mungkin orang yang bagi pinjam duit itu sangat memerlukan duit.
Bila Berhutang Belajar Tanggungjawab
Jadi bertanggungjawablah kalau sudah tahu berhutang perlu ingat kena bayar. Jadi tak perlu nak ikut-ikut orang atau berlawan dengan orang kalau sampai meminjam.
Ada buat cara ada, tidak ada buat cara tidak ada wang. Doa banyak-banyak moga Allah bagi kita rezeki. Oleh itu, tak perlulah berlawan-lawan dengan orang lain. Ikutlah kemampuan kita kerana bila kita susah bukan ada yang menolong.
Ads
Bebas Hutang Hidup Lebih Tenang
Orang nak beli apa ke? Nak menunjuk ke? Biarlah. Abaikan. Itu rezeki dia dan dia mampu. Rezeki kita, insyallah ada juga nanti. Jika kita hidup dalam kesederhanaan, jiwa kita juga akan tenang malah kita juga bebas dari hutang.
Betul tak? Semoga Allah beri kita rezeki yang berkat, cukup dan dapat melangsaikan hutang-hutang kita. Ingat… Jangan berlawan-lawan atau membandingkan hidup kita dengan orang lain. Rezeki masing-masing.
Allah sudah tetapkan rezeki kita. Hendak rezeki lebih kenalah rajin usaha kalau gitu-gitu saja jangan pula berlagak melebihi kemampuan sendiri.
Jika meminjam dengan orang kena cepat-cepat bayar supaya ianya tidak menjadi beban dan permusuhan dengan pemberi hutang itu. Sedangkan hutang dengan bank pun kita takut dan bayar jadi hutang dengan orang pun kita kena paksa diri bayar walaupun sikit-sikit dan ansuran.
Baru hidup kita pun tenang. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang tidak baik itu datang daripada kelemahan kita sendiri.
MW: Hidup adalah pilihan. Jika mak, ayah memilih untuk mengikut orang hingga sanggup berhutang, terserah. Tetapi mana mungkin hidup tenang bila berhutang keliling pinggang. Renung-renungkan.
Baik suami mahupun isteri, masing-masing ada hobi tersendiri. Beruntung jika suami isteri saling menyokong minat masing-masing. Andaikata hobi suami mendaki, isteri sokong dan ikut sekali mendaki.
Namun, tak semua hobi suami yang isterinya mampu sertai sekali. Bak kata, Khadijah Mohamad Nor ini, suami isteri itu perlu saling menyokong dan berkongsi hobi. Pengalaman mengikut suami mendaki, memberi momen untuk dikenang olehnya.
Penat dan mengah yang dialami, membuatkan isteri ini lebih menghargai hobi yang suami sukai.
Pengalaman Mendaki Di Bukit Melati
Kata orang, suami isteri perlu saling melengkapi.
Adakala mereka juga perlu saling menyokong dan berkongsi hobi. Barulah kehidupan berumahtangga bahagia dan serasi. Betul ke betul?
Tapi kan, bila bercakap tentang hobi, teringat saya sewaktu mengikut suami pergi hiking di Bukit Melati yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan pada 12 September 2020.
Ya Allah, dah dua tahun rupanya saya simpan kisah ini. Cepat betul masa berlalu
Ketika itu kami pergi bersama sahabat Kosmo! yang memang champion menawan puncak gunung iaitu Mustapa Lakawa dan isterinya, Kak Noranita Awang serta Editor Hiburan Kosmo! yang stailo, Tengku Suzanna Raja Hamat
Ya, suami dan kawan-kawannya memang suka mendaki. Alhamdulillah, puncak Akinabalu pun sudah dua kali berjaya dijejaki.
Jadi, sebagai isteri saya mahu meraikannya dengan cara mengikutnya pergi mendaki ketika itu. Bukan selalu, tetapi sesekali. Cuma nak beritahu, ‘sesekali’ itulah yang buat rasa hampir nak mati!
Kerana Mahu Menyokong Hobi Suami
Dan bermulalah pengalaman yang mencabar diri, fizikal dan emosi seorang isteri.
Ayat yang sering bermain di bibirnya waktu itu, kalau fikirkan memang geram je rasa.
“Sikit lagi, sayang. Dah nak sampai dah.”
“Kejap je lagi. Meh, pegang tangan abang.”
“Sayang jangan mengalah. Tak jauh dah.”
Itulah yang dijawabnya setiap kali saya bertanya encik suami jauh mana lagi nak sampai.
Ya Rabbi. Walau Bukit Melati hanya setinggi 350-370 meter, namun Tuhan saja yang tahu betapa lelahnya saya hendak sampai ke puncak.
Oh ya, untuk makluman kalian terdapat beberapa check point atau puncak kecil di sekitar pendakian Bukit Melati ini. Semuanya nama binatang. Hehe …
Ada Centipede Hill, Cobra Hill, Eagle Hill, Monkey Hill dan Mosquito Hill.
Bayangkan sampai termuntah dan hampir pitam ketika sampai di check point Eagle Hill.
Terpaksa Bebankan Suami Menunggu..
Situasi itu menyebabkan pendakian yang sepatutnya mengambil masa kurang 1 jam, menjadi lebih lambat disebabkan kehadiran saya.
Aduh! Rasa diri tak berguna sebab terpaksa bebankan suami untuk menunggu saya yang terhegeh-hegeh menghayun kaki.
Namun, melihat kesungguhan suami memberi kekuatan dan sokongan untuk saya meneruskan pendakian buatkan diri sebak. Tapi paling best rasa diri disayangi. Haha … Terima kasih, abang
Apabila sampai ke bawah selepas hampir tiga jam pendakian, terus satu keputusan diambil.
Saya nekad biarlah saya sekadar menjadi penyokong dengan mendoakan keselamatannya saja. Kerana saya tahu kemampuan diri sendiri. Dan saya bukan orang yang sesuai dengan aktiviti ini.
Bagi saya, cinta tak semestinya kita perlu sentiasa ada di sisi pasangan. Tetapi dengan selalu mendoakannya setiap waktu dan ketika terutama bila si dia berpergian.
Itu yang lebih utama dalam menjadikan rumah tangga bahagia dan harmoni sentiasa.
Ala kullihal, pengalaman mendaki Bukit Melati akan tetap dalam ingatan kerana di situ saya melihat kasih sayang dalam hubungan suami isteri dan jalinan persahabatan yang saling menguatkan kerana Tuhan.
Terima kasih Mus, Kak Ita dan Kak Suzana yang memang pendaki sejati. Tak mampu saya nak ikuti.
Alhamdulillah, terima kasih juga Kak Suzana kerana sempat merakam aksi kami mendaki dahulu. Ada juga kenangan untuk kelak diceritakan pada anak cucu. Insya-Allah
Yang pasti, saya memang dah ‘insof’ dan tak mahu hiking lagi
#HouseWifeJourney
Mingguan Wanita : Seronok sebenarnya sesekali dapat ikut serta hobi suami atau isteri ini. Emosinya jadi lebih mesra dan erat nanti.
Ada suami bila isteri kuat berleter, dia akan jadikan itu alasan untuknya escapism atau lari jauh-jauh dari leteran isteri. Keluar dengan kawan-kawan atau cari couple lain yang kononnya memahami. Beza caranya dengan Khairul Amir melayan isterinya Farhana Ismail.
Leteran isteri biarpun membingitkan telinga, tapi ada sesuatu tentang isteri yang buatkan dia sayang ketat-ketat. Bak katanya, walau keluar sekejap ke kedai pun dah jatuh rindu.
Punca Aku Masih Tak Kahwin 4
Khas buat isteriku Farhana Ismail Ermm berbini sorang ni pun ingat senang ka. Ada sorang dah macam ada 10 bini riuh rumah. Tambah-tambah jenis kuat merajuk macam bini aku ni. Serius kadang-kadang rasa macam hidup dengan manusia ka taliban ni.
Aku terbuang sambai belacan tumbuk dia dalam peti ais pun dia merajuk tak mau makan nasik. Nak tunjuk rajin basuh peti ais pun salah ka???? Haish.. haish.. hari-hari merajuk. Aku cepuk sekali baru dia tau. Nasib baik sayang kalau dak lama dah aku jahit mulut herot dia tu.
Tapi seburuk mana pun perangai mulut capoi, mulut hinggaq, mulut macam jubox ayam berak tak reti basuh tu.. Itu yang buat aku rindu hari-hari. Kluaq p beli gula tepi rumah pun dah rasa rindu teramat sangat. Tu diaaaaa tak sabaq balik rumah wei haha.
Sampai ja depan pintu rumah dia beletiaq lagi.. brettt,, brett.. slap beli gula. Aku pi beli gula pasiaq dia suruh beli gula-gula kat anak.! Hishh macam-macam.. Nasib la bini sorang kalau 10 aku tak taw laaa macamana nak tahan telinga depa punya bletiaq.. Kalau ada jawatan kosong jadi DJ radio aku suruh dia p keja dah.
Tapi dalam bletiaq-bletiaq dia pun empa tak taw kesusahan yang pernah kami tempoh bersama. Waktu aku susah dulu masa baru kahwin kami ni nak ada RM10 dalam poket hari-hari pun susah. Jangan kata soping nak beli spenda baru pun jenuh kumpoi duit syiling.
Tu belum time ada anak lagi. Part susu anak tu membuatkan bini aku betui-betui nak bantu aku. Dia nak yang terbaik untuk kami semua.
Masa mula-mula dia buat online dulu aku bagi RM200 ja. Modai dari situ la dia rolling juai barang siam. Tak sangka bole jadi sampai 20k lepas tu buat produk sendiri terus kepada 200k hinggalah ke angka nilai juta ria yang pertama.
Ya Allah besar sungguh rahmat Mu. Tiap-tiap malam dia bersengkang mata aku tengok dia duk picit hp sampai pagi buta. Kalau laki yang jenis jeles silap-silap kena baling da hp tu. Tak pun bangun-bangun terkejut punya pasai sampai terajang jatuh kateyy.
Jaga-jaga dari tidoq nampak rambut panjang berjuntai ja kat cahaya putih. Kena hari pakai baju kelawaq putih lagi la terkejut. Main p lah janji mulut tak bletiaq macam radio sudah.
Bila bini aku mula bisnes online makin rancak kesian plak kat dia sapa nak tolong so aku pun berenti keja sebab tengok masyukkkkk.. So fulltime kami buat bisnes online. Buat kerja sekali ngan bini tensen wei. Klah lagi macam keja makan gji. Kalau majikan aku khojoh dengan batang penyapu dah mulut tu…haha
Bayangkan kalau bini aku tak stat buat bisnes online. Taktaw la macam mana kedaan ekonomi kami lani. Tak dak la sehebat orang lain. Tp cukup la untuk kami hidup anak beranak.. Tah-tah dok panjat bumbung rumah orang lagi duk pasang kabel, bancuh simen, buat rumah. (AKU MEMANG MINAT BENDA-BENDA ni buat rumah buat landskap. Sampai ke hari ni aku masih panjat bumbung tapi rumah aku la. Dari wayering sampai la pembinaan aku buat sendri. Biasa la kedekut demi nak berjaya.
Isteriku Pembakar Semangat
Kiranya 100% aku renovate rumah aku hasil dari air tangan aku sendiri. Kadang-kadang bila terlampau main henpon buat aku rindu ketagih sangat nak main simen macam dulu-dulu. Besaq sungguh rezeki anak-anak dengan bini aku ni.
Tak sampai 2 tahun hidup kami bertukaq 100% dari dulu. Kalau dulu masa jatuh pernah dihina. Kawan-kawan hat keja gobemen duk kutuk aku keja tak tetap keja kontrak tapi lani kami dah buktikan kami pun bole berjaya. Asalkan hang usaha. Yang penting BINI KU PEMBAKAR SEMANGAT AKU UNTUK KAMI LEBIH BERUSAHA..demi anak-anak n company.
Kalau tak dak bini aku sapa la yang nak nasihat aku. Nak ajaq bisnes online kat aku. Kalau tak dak dia sapa yang nak gerak aku subuh hari-hari. Sapa nak peluk aku malam-malam bagi semangat suruh sabaq n yakin dengan rezeki Allah.
Terima kasih sayang sebab bagi abang anak-anak yang comel lagi manis kuat beli mainan..
Hargailah selagi ada. Motor keta tolak tepi dulu nanti depa jeles. Pastu merajuk. Sesungguhnya bini kita la sumber kekuatan kita tulang belakang tulang kaki tulang ayam sedap dimakan begitu saja.
Lagi satu belanja lah bini gunalah duit gaji kita tinggal separuh pun tak pa janji bini bahagia. Senyum gembira kerana belanja yang paling terbaik adalah berbelanja kepada isteri. Itu juga dianggap bersedekah. Maka dengan itu hang sedekah la banyak-banyak kat bini hang noh. hahaha gamak rasa dah pokai hampa pow balik bini hampa. Alaaa laki bini takkan berkira kot…
Kita suami biaq tak kaya pun tak pa janji boleh buat bini bahagia wang bukan segalanya bRo!
Tapi kalau ada RM10 hargai la dia RM8 untuk kita RM2 pun dah cukup.
Tahukah anda bini ni hang tak beli barang mahai pun dia tetap akan suka even benda tu cekelat hack sebijik pun tapi kalau hang bagi seperais kat dia taraa sayang abg beli sekelat kat sayang. tobatt dia happy. Tambah-tambah kalau guna duit laki. Laki dia suka..duit depa… depa simpan rapat. amboiiii amboiiii nyanyi skit.
Satu lagi mohon jangan kecam habang sebab habang masih dalam mood orang baru bernikoh. Nak dekat anebesery kami dah oi…kira terobekk lani… Nak baca hang baca la tak mau sudah. Janji bini aku baca k bye. Mohon biniku kurangkan beletiaq di pagi hari sebelum gosok gigi (busuk gigi buruk)
Nanti ada jawatan kosong DJ radio empa tolong habaq sat weeiiiiii aku nak hantaq bini p intebiuuuu…..200% cukup syarat!!!!!!k bye!!!
Lazimnya bagi mak ayah, pendidikan anak-anak sangat penting untuk menjamin masa depan mereka dengan menghantar ke sekolah menuntut ilmu. Namun berbeza pendirian buat bekas ahli kumpulan nasyid popular In-Team, Suhaimi Saad,40 dalam mencorakkan pendidikan dan masa depan anak-anaknya.
Suami kepada Ina Naim atau sebenarnya Nordiana Md Naim, 34, ini mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan alasan tertentu.Penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik lagu nasyid ini, ada berkongsi 7 sebab dia berpendirian demikian didalam posting facebooknya baru-baru ini.
Berikut perkongsian tersebut yang dikongsikan;
KENAPA ss TIDAK HANTAR ANAK ANAK KE SEKOLAH
Jika ada kebaikan dan kebenaran,maka ambillah ia sebagai ilmu dan panduan.Jika ia tidak sesuai,maka tinggalkanlah.Tak perlu kecam.Kalau nak kecam juga,silakan..tapi bukan di sini.di wall masing-masing ya.
Bismillah.Setiap orang,hidup dan beramal dengan ilmu, kepercayaan dan sesuatu yang dia yakini. ss pernah belajar di tadika,sekolah rendah,sekolah menengah, maahad tahfiz dan universiti.ss pernah mengajar di beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta.ss pernah tinggal di bandar besar dan pernah tinggal di kawasan pedalaman.
ss dibesarkan oleh seorang guru.5 dari 8 ahli keluarga ss merupakan guru dan ss juga ada ramai kawan dan kenalan dari kalangan guru. Dengan pengalaman hidup itulah Allah memberi ilmu,kefahaman dan kepercayaan berbeza ini.Bukan berniat untuk mengecam, memburuk burukkan atau menghasut orang lain.Sekadar berkongsi cerita dan rasa dengan harapan tidak timbul lagi persoalan dan spekulasi.
Inilah 7 sebab mengapa ss tidak menghantar anak anak ke sekolah.
1. Sistem Pendidikan
Sejujurnya,ss tidak percaya kepada sistem pendidikan yang sedia ada.(minta maaf).Ia berubah ubah tahun demi tahun.Seolah olah tidak ada dasar yang jelas.
ss juga melihat ia tidak banyak membantu anak anak ss memahami dan mengamalkan Islam dengan baik. Waktu dan pendedahan untuk mereka memahami Al Quran dan hadis sangat terbatas kerana diisi dengan perkara perkara lain yang kurang perlu.Al Quran dan hadis sepatutnya bukan saja menjadi perlembagaan, tapi subjek utama dan teras dalam sistem pendidikan negara.
ss juga tidak suka anak anak ss dididik dalam suasana bercampur di antara lelaki dan perempuan dalam satu kelas.Kebanyakan sekolah agama pun dah guna sistem yang sama. Dari kecil dibiasakan bercampur lelaki dan perempuan sehingga percampuran tu jadi perkara biasa.Hasilnya anak anak lelaki dan perempuan hilang rasa malu.Kesannya mungkin bukan sekarang. Nanti..
Kalau kita pernah tersilap dan berdosa,adakah kita mahu anak anak kita juga ikut tersilap dan berdosa?
Kalau ibubapa kita dulu bagi kita makan ubi kayu,takkan kita pun nak bagi ubi kayu pada anak anak,sekurang kurangnya bagilah laksa.Selagi kita tidak meletakkan itu sebagai teras dalam pendidikan awal,generasi kita akan terus menerus gagal memahami agama dan mengamalkan akhlak yang baik.
Buktinya ada ramai netizen yang pergi ke sekolah, belajar agama,tapi jadi haters dan musuh kepada sesama muslim.Pergi sekolah,belajar agama,tapi berwudhuk dan solat pun tidak betul.Tidak tahu hormat ibubapa dan guru. Pakai tudung hanya di sekolah saja.
Sekolah agama dan belajar akhlak, tapi makan sambil berjalan dan hisap rokok.Inilah hasilnya bila akhlak islam tidak dapat difahami dan dihayati dengan sebetulnya.
Akhirnya lahirlah graduan graduan yang bijak pandai dan berkelulusan tapi bila berkerja tidak ada integriti.Nampak hebat dan berjaya secara luaran,tapi jiwa kosong dan jauh dari agama dan amalan.Kerana kejayaan telah dipaternkan dan diukur dengan banyaknya A,ada sijil,ada ijazah,ada master dan PHD,ada banyak harta dan tingginya kedudukan dan tangga gaji.
Padahal kejayaan sebenar adalah kemuliaan akhlak dan kehebatan dalam hidup beragama.Pentingnya pendidikan awal ini kerana ia akan menjadi asas dan dasar pertama yang akan membentuk kefahaman dan pegangan hidup mereka.
2. Tanggungjawab
Tanggungjawab mendidik atau memberi pendidikan kepada anak anak adalah tanggungjawab ibubapa.Bukan guru,bukan sekolah.Sekolah itu platform, guru hanya pembantu.Allah akan tanya setiap kita bagaimana kita didik anak anak kita.ss ambil tanggungjawab itu sekadar yang ss mampu.Tak sempurna, tapi mencuba.
ss percaya tidak semua orang mampu mengajar anak anak sendiri. Jadi tak perlu kecam.Kita lebih kurang sama je. Apa yang wajib dalam agama ini adalah belajar, menuntut ilmu. Memang ramai anak anak yang pergi ke sekolah.tapi adakah semuanya belajar? Berapa ramai yang tak sampai ke sekolah pun. Kalau macam tu lebih baik belajar di rumah.
3. Kos
Perkembangan teknologi dan perubahan zaman membuat ss mengubah cara berfikir.Dulu kita tidak ada jaringan internet.Hari ni, semua ilmu dan informasi boleh didapati hanya di hujung jari. Ada handphone,youtube dan google.
Dengan kenaikan harga barang dan kos hidup,ss tidak fikir ss perlu buang duit untuk tol,minyak kereta dan perbelanjaan buku dan keperluan sekolah yang lain.ss pun bukan orang kaya. So di rumah boleh belajar. Di masjid boleh belajar.Waktu bercuti,di hotel dan di kampung pun boleh belajar.Kehidupan adalah sekolah yang real.
4. Masa
Bukankah kalian juga merasa bahawa hidup kita terlalu singkat? ss sangat menyedari hakikat itu.Bukankah kita banyak membuang masa di atas jalan raya,menunggu di hadapan sekolah dan dalam masa sama ada tugas lain yang tak kurang penting untuk diselesaikan.ss tidak suka situasi itu.ss pilih untuk mengelak.
Tapi kalau tidak ada pilihan,anggaplah itu sebagai pengorbanan.kita sama sama berkorban. ss juga fikir,Sistem pendidikan kita mengambil masa yang lama bagi seseorang pelajar mencapai hasrat dan cita citanya.
Ini kerana setiap pelajar perlu belajar semua perkara dan subjek meskipun yang bukan dalam kemampuan dan minatnya.Akhirnya dia buat kerja lain.Belajar engineering,tapi jadi grafik designer.
ss beri kebebasan untuk anak anak memilih bidang yang mereka minati.Kerana minat setiap anak tidak sama.begitu juga bakat dan kemahiran mereka.Kenapa perlu ikat dan paksa.Belajar,fokus dan jadilah apa yang kamu suka dan mahu.Tapi Al Quran dan sunnah,jangan tinggalkan.
5. Kasih Sayang
Inilah part yang paling touching.ss percaya bahawa ss akan mati.Apa pun kata orang,demi Allah ss juga sayang pada isteri dan anak anak ss.Sayang sampai tak mahu berpisah.Nak hantar ke sekolah pun tak sanggup.
Anak pindah belajar ke Kelantan,ss dan ina ikut pindah duduk di Kelantan. Padahal ss orang Pahang..Ina orang Johor. ss pilih untuk hidup bersama. Mudah mudahan mati pun bersama,amiiin..ss mahu lihat mereka membesar depan mata.
Hari ini ramai orang jadi pelik pelik sebab kurang perhatian dan kasih sayang.kerja jadi lebih utama daripada orang yang kita sayang.Padahal kita berkerja untuk mereka.tapi sangat kurang masa bersama mereka.itulah pilihan kita.
Sebelum ni,ss hantar mereka ke tahfiz.Tapi ada masalah dengan pihak pentadbiran.ss keluarkan.Hantar pula ke tahfiz lain.Mereka dibuli dan dipukul.ss keluarkan.Sementara mereka besar dan pandai membawa diri,ss lebih rela melihat mereka belajar di rumah.
ss boleh pantau solat mengaji dan akhlak mereka.alhamdulillah.. itu pun orang tuduh ss macam macam..takpe,ss maafkan.diorang tu bukan tahu semua perkara.
Ramai orang yang bimbang sangat pada nasib anak anak ss kalau ss mati dulu.terima kasih..ss nak bagitau,Kalau kita hidup lagi 100 tahun pun, belum tentu kita mampu jaga dan tentukan nasib anak anak kita.betul tak? Berapa ramai anak anak yang rosak akhlak dan agama mereka, derhaka pada ibubapa, padahal mak ayah dia masih hidup lagi.
Hidup kita,Semua berada dalam genggaman dan pencaturan Allah. Kalau kita ajar anak anak kita jaga Allah, Allah pasti akan jaga anak anak kita walaupun selepas kita dah tak ada lagi di dunia ni.itu kefahaman ss.
6. Cara Kerja.
Panas,sendu atau beku,sejak 20 tahun yang lalu,inilah pekerjaan utama ss.Penyanyi. Kalau tak kenal,sila taip Suhaimi Saad atau Doa Buat Ibu di ruangan carian Youtube.Boleh juga la kalau nak taip Inteam – Nur Kasih.
So cara kerja penyanyi ni,tak sama macam cikgu,macam kerja kilang atau kerja pejabat.Waktu kerja pun tak menentu,cuti pun tak tentu.Kadang kadang out station 3 hari,5 hari.so ss pilih untuk teruskan kerja ni.sebab ss percaya,inilah rezeki dan minat ss. Kerja ni tak memudahkan untuk ss hantar dan ambil anak di sekolah.ss lebih faham keluarga dan kerja ss.so tak perlu susun aturkan.terima kasih.
7. Hadis Akhir Zaman
Beberapa tahun lepas,ss ada terbaca sebuah hadis tentang Dajjal dan akhir zaman.Memahami hadis itu,fitnah akhir zaman dan realiti hidup hari ini,ss pilih untuk ‘ikat’ anak anak dan isteri di rumah.Semoga Allah selamatkan kami daripada tipudaya Dajjal.amiin
Setelah usaha ini,ss serahkan seluruh hidup dan mati ss dan keluarga hanya kepada takdir dan iradat Allah. Pada hemat ss,Kalian tidak mampu buat sepertimana yang ss buat.
Tapi sebagai muslim,Doakanlah yang baik baik,usahakanlah segala yang terbaik dan teruslah berdoa agar Allah memberi kekuatan untuk kita semua kembali beramal dengan cara hidup yang Allah suka dan redha.
WAllahu a’lam
Suhaimi Saad
MW: Setiap mak ayah pasti nak yang terbaik untuk anak-anak. Ini mungkin pendirian terbaik yang dirasakan oleh Suhaimi Saad dalam mencorakkan masa depan anak-anaknya. Mak-mak setuju ke?
Suami isteri pegawai Imigresen guna duit rasuah RM600k buka kedai emas. Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menyalurkan wang hasil rasuah untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.