Orang pakai seksi, rumah harga juta-juta, kereta mewah atau pakai gelang besar-besar kita tak perlu kritik dan cemburu. Mungkin segalanya adalah nikmat yang Allah beri untuk uji sejauh mana keimanan dia.
Hidup orang lain kita tak perlu kisahkan sangat, masing-masing diuji Allah SWT tak kiralah yang telah dapat nikmat atau pun belum dapat. Masing-masing sedang diuji dengan cara yang telah Allah aturkan.
Ikuti perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini dan hadam baik-baik ya:
Saya yakin, apabila Allah belum beri kita sesuatu nikmat, itu bermakna kita belum mampu nak pikul ‘amanah’ dan ‘ujian’ menggalas nikmat tersebut.
Sebab bukan semua orang kuat.
Yang ‘ada’ diuji, yang ‘tiada’ pun diuji.
Jangan ingat kita yang belum dapat nikmat ini tidak diuji ya, sudah tentu kita pun diuji dengan hati dan kata-kata kita.
Masing-Masing Sedang Diuji
Kadang kita masa miskin, gemuk elok saja pakai menutup aurat, labuh dan longgar.
Namun, apabila diuji dengan kekayaan, gelang berutas-utas, mula nak sinsing lengan untuk tunjukkan gelang.
Kadang ada itu, perli orang yang pakai gelang besar ibarat jakun dan menunjuk-nunjuk. ‘Tengok aku ini simple, minimalis, bangsawan pakai gelang halus-halus. Qanaah.’
Padahal orang pakai gelang besar tadi itu sikit pun dalam hati tak ada niat nak riak. Bahkan sudah banyak harta dia infaqkan ke jalan agama.
Begitu juga dengan bentuk tubuh. Waktu gemuk pandai jaga aurat, segan orang nampak bentuk tubuh.
Namun, apabila badan sudah langsing cantik, mula nak pakai ketat, singkat, ikut tubuh badan. Bersepah gambar berposing sana sini sedangkan dulu waktu gemuk sangat pemalu orangnya.
Kemudian kita pun judge, better lah aku ini gemuk.. Tak adalah nak tunjuk badan sana, sini. Muslimah eksklusif.. Kita yang pandai-pandai ‘angkat’ diri sebegitu.
Dua-dua pun sedang diuji.
Ads
Yang kurus langsing diuji dengan perasaan selalu hendak expose diri. Yang belum kurus pula rasa diri better daripada orang yang sudah langsing tapi suka expose aurat tubuh.
Saudara, kawan beli kereta ratus ribu, kita pun cakap, ‘Boss aku yang kaya pun pakai myvi saja tapi rumah banglo ecoworld 4 biji,’
Allahu.. Terkedu saudara dan kawan tadi dikritik sebegitu.
Hidup Dia Terpulanglah
Yang benarnya terpulanglah hidup orang lain, pilihan dia. Asalkan dia beli beras tak minta duit kita. Elok je nafkah anak isteri dia terlunas. Kenapa kita nak kisahkan sangat cara orang mengemudi hidup?
Ya Allah… Halusnya syaitan cucuk kita kan. Apabila kita rasa diri lebih baik dari orang lain. Tambah bahaya jika ia datang dari hati yang dengki.
Sebab itu saya kata.. Yang ada diuji, yang belum ada pun diuji juga.
Tak.. Ini bukan untuk kita judge orang lain. Tetapi ini untuk ingatan kita sendiri. Jadi, apabila membaca ingatan ini, tak perlu mula nak teringatkan si fulan, teringatkan si fulanah.
Ads
Hati kita perasan diri baik dan solehah itu pun perlu banyak juga muhasabah.
Sulitnya Menjaga Hati Bila Diuji
Begitu juga dengan diuji kekuatan untuk beribadah. Kadang ada pasangan yang apabila berkahwin sama-sama jahil.
Namun, apabila salah seorang mendapat hidayah taufik, mula pandang serong pada pasangan sendiri.
“Abang ini telefon saja 24 jam. Saya ini sudah baca 1 juzuk hari ini, abang solat pun tidak!” Mula sahaja kita rasa diri kita baik, solehah.
Bak kata Ustazah Asma’, pahala penat kita baca Al-Quran itu habis semua transfer kepada suami yang kita perli tadi. Allahu..
Begitulah. Hal paling sulit ialah menjaga hati. Dahulu waktu study, ustaz, ustazah selalu ulang ayat, ‘hati-hati menjaga hati.’
Sebab apabila hati baik, kita pandang kesilapan orang untuk kita bertambah rasa takut dan minta perlindungan Allah, betapa mudahnya hati kita berbolak balik.
Bukannya untuk rasa diri baik dan rasa diri mulia untuk judge orang lain.
Hidayah taufik milik Allah.
Allah juga yang pegang hati kita.
Mintalah Allah lindung diri kita dari suntikan halus syaitan.
Ingatlah 1 perkara, bahawa sesungguhnya kita semua sedang diuji.
.
.
#intandzulkefli
#selfreminder
MW: Hidup ini terlalu banyak ujian, kadang-kadang hanya kita yang tak sedar. Berlapang dadalah dengan setiap ujian yang Allah berikan. Sesungguhnya bukan mudah untuk menjaga hati tatkala diuji.
Sumber: Puan Intan Dzulkefli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila sebut hari raya aidiladha tentulah sekali dikaitkan dengan menyembelih haiwan korban. Ini sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap Allah S.W.T.
Setiap tahun pasti akan ada binatang yang akan tumbang. Kebiasaannya tentulah lembu yang dijadikan korban pada hari tersebut. Kadang-kadang, sebelum menyambut hari raya aidiladha, ada saja gambar-gambar haiwan korban yang dikongsikan atau pun aksi yang mungkin boleh mencuit hati. Ini belum lagi pada hari penyembelihan haiwan korban.
Dek kerana terlalu seronok untuk melalui momen haiwan korban itu disembelih, ada saja gambar-gambar atau video yang ditunjukkan semasa penyembelihan. Namun, tanpa kita sedar ia seolah tidak menghormati sehingga menimbulkan persepsi negatif dan tidak menunjukkan keindahan Islam.
Jadi, apa yang perlu kita buat. Inilah yang dikongsikan oleh Kisah Zakat Malaysia tentang bagaimana untuk kita menjaga adab dan menghormati haiwan korban ketika hari raya aidiladha.
Antara adab sebelum / sewaktu / selepas menyembelih binatang korban yang secara sengaja kita terlupa kerana sangat ‘excited’, elok-eloklah diberi perhatian…
1. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan binatang korban
2. Merakam dan memuatnaik video keadaan binatang korban yang dalam keadaan ‘nazak’
3. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan kepala / bahagian tertentu binatang korban yang mungkin sensitif bagi sebahagian pihak / kaum lain
4. Merakam dan memuatnaik video keadaan2 yang mengaibkan semasa proses penyembelihan
5. Merakam dan memuatnaik gambar binatang korban yang telah disembelih dalam keadaan yang ‘menyiksakan’ …dan lain2 lagi.
Jika ingin juga…
Rakam dan ambillah gambar-gambar yang bersopan & boleh menunjukkan keindahan Islam, bukan yang boleh menimbulkan salah faham dan persepsi negatif.
Kembalilah kepada tujuan dan matlamat korban itu sendiri.
Petikan dari mufti Pulau Pinang:
Jangan Viral Aksi Binatang Yang Hendak di Sembelih
Umat Islam sepatutnya tidak menjadikan haiwan korban sebagai bahan lawak jenaka, demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian setelah kesal melihat segelintir pengguna laman sosial ‘memviral’ gambar lembu korban sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati orang ramai.
“Saya menyeru umat Islam supaya tidak ‘memviral’ gambar gelagat haiwan korban kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif di kalangan masyarakat terutama individu yang ingin memburukkan imej Islam di mata dunia.
“Pada pandangan saya, tindakan ini amat mengecewakan dan jelas masyarakat kita suka berhibur sehingga berlebih-lebihan,” katanya.
Wan Salim berkata, tidak wajar mengambil gambar haiwan korban dengan pelbagai aksinya ketika disembelih.
“Walaupun tiada dalil yg melarang, namun tidak wajar dilakukan kerana mungkin ada yang menganggapnya sebagai perbuatan kejam.
“Di samping itu cara menyembelih yang tidak mengikut etika atau peraturan yang ditetapkan dalam syariat juga mungkin menambahkan lagi salah faham mengenai ibadat ini,” katanya.
Jelasnya lagi, antara etika penyembelihan haiwan menurut syariat hendaklah dilakukan dalam keadaan haiwan tenang dan tidak menimbulkan rasa takut atau resah.
“Justeru disarankan supaya diletakkan pengadang antara haiwan yang disembelih dengan yang menunggu giliran atau dengan cara menutup penglihatannya.
“Kita ingin menasihatkan juru sembelih supaya terlebih dahulu memahami etika sembelihan menurut syariat supaya dengan itu imej Islam sebagai agama rahmat dapat ditonjolkan kepada umum,” katanya.
Ketahui Tujuan Ibadat Korban
Ibadat korban sepatutnya dilaksanakan secara serius dan menurut etika penyembelihan yang ditetapkan dalam syariat kerana tujuannya ialah untuk menghampirkan diri kepada ALLAH SWT.
Beliau berkata, individu yang menganjurkan ibadat berkenaan hendaklah menghayati hikmahnya daripada sudut sejarah dan sosial.
“Hikmah ibadat korban daripada sudut sejarah ialah penghayatan terhadap pengorbanan Nabi dua beranak iaitu Nabi Ibrahim yg sanggup menyembelih putera kesayangannya demi mematuhi perintah ALLAH SWT.
“Manakala hikmah ibadat korban daripada sudut sosial pula ialah memberi makan kepada golongan fakir miskin supaya mereka turut bergembira di hari raya yang mulia ini,” katanya.
Wan Salim mengulas isu berkenaan setelah beberapa pengguna laman sosial yang dilihat begitu seronok memaparkan pelbagai gaya lembu korban.
Menyedihkan apabila sesetengah gambar tersebut menimbulkan rasa lucu di kalangan pengguna laman sosial dan menjadikannya sebagai bahan lawak.
Mingguan Wanita : Tak salah untuk berkongsi momen semasa hari penyembelihan tapi biarlah gambar-gambar yang tidak ‘mengaibkan’ atau tidak menjadi bahan lawak bila melihatnya.
Bulan Zulhijjah antara bulan kebesaran Islam. Kita dituntut untuk menambah nilai ibadah untuk merebut ganjaran pahala yang dijanjikan terutamanya pada 10 hari pertama dalam bulan ini.
22 Julai 2020 ini, iaitu esok merupakan 1 Zulhijjah 1441.In yang kita perlu ambil tahu.
1. 10 hari pertama di bulan Zulhijjah ini (iaitu 1 Zulhijjah Rabu hingga 10 Zulhijjah Jumaat) adalah hari-hari yang sangat mulia di sisi Allah. Saya ulang “HARI-HARI YANG SANGAT MULIA DI SISI ALLAH”.
2. Ia bukan sembarangan hari. Ia adalah hari-hari yang DICINTAI ALLAH. Oleh kerana itu, Allah akan melipat gandakan pahala bagi setiap amalan soleh yang dilakukan pada hari-hari tersebut.
3. Pahala yang dilipat gandakan itu adalah lebih dari hari-hari biasa. Hari-hari biasa 1 amalan soleh dibalas 10, akan tetapi dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini akan dibalas 700 kali ganda.
4. Jangan biarkan hari-hari terbaik ini berlalu tanpa kita MENAMBAH NILAI IBADAH.
5. PERBANYAKKAN amalan ibadah di 10 hari yang mulia ini seperti;
Solat sunat.
Puasa sunat (1-9 Zulhijjah sahaja dibenarkan).
Sedekah.
Zikir dan salawat.
Membaca Al-Quran.
Qiamullail.
Qurban.
Membantu orang lain.
Menuntut ilmu.
Bertaubat.
Dan lain-lain.
6. Para ulama’ menyatakan bahawa TANDA seseorang itu BERUNTUNG ialah dia diberi Allah hidayah dan taufiq untuk MENAMBAH IBADAH di hari-hari yang mulia di dalam Islam.
Semoga kita adalah hamba-hamba Allah yang beruntung itu, amin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sama-sama kita rebut peluang menambah ibadah, agar segala amalan diterima dan dilipatkali gandakan pahala pada bulan Zulhijjah ini.
Setelah bertudung dan berhijrah daripada kehidupan yang penuh maksiat, bertubi-tubi ujian datang seakan mahu menarik anda semula ke lembah jahiliyah lama.
Dituduh Munafik
Kawan-kawan mula memaki, menyoal niat sebenar anda berhijrah, mereka tak segan-segan menuduh anda munafik, berlagak suci. Cerita dan skandal lama yang memalukan sengaja dibuka kembali untuk mencacatkan karakter anda sebagai hijaber.
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, juga penulis tetap ruangan Keluarga Sakinah, di dalam majalah Mingguan Wanita.
Ini zaman netizen menggila, mencemar maruah perkara biasa. Bagaimana kita melalui kehidupan dengan tenang selepas berhijrah? Apakah kesilapan dan kelemahan wanita berhijab yang menyebabkannya tersungkur semula ke jurang maksiat?
1. Manis bertudung tapi hati gersang
Bertudung bukan jaminan anda ahli syurga, ia hanya satu permulaan untuk menerima hidayah Allah SWT. Selepas bertudung jangan biarkan jiwa kita kosong, kerana ramai muslimah baru berhijrah hanya fokus pada kesalehan luaran sehingga lupa pada kesolehan dalaman iaitu hati.
Hati adalah perkara yang paling penting untuk dihijab dari segala dosa. Hati itu segala-galanya bagi diri kita, Rasulullah s.a.w bersabda:“sesungguhnya Allah tidak melihat pada tubuh badan, rupa dan harta kalian. Tetapi sesungguhnya dia hanya melihat kepada hati dan amal kalian.” (Hadis riwayat Muslim)
Hatilah yang membezakan antara orang mukmin dan munafik, betapa perlunya wanita yang telah berhijab mempelajari bagaimana mendapatkan hati yang selamat, yang penuh dengan cahaya ilmu daripada-Nya kerana si pemilik hati itu amat gemar menyelami makna al-Quran dan hadis Rasul s.a.w.
Dia mahu memiliki hati yang segar disirami ibadah syukur, reda, sabar, sangka baik kepada Allah SWT. Hati yang lunak bila mendengar nasihat agama, cinta akhirat dan risau dunia menipunya. Hati yang jauh daripada penyakit dengki, bukan hanya indah dengan hijab yang syarie, halus juga budi pekerti. Tidak pernah gersang dibakar maksiat keji.
2. Berhijrah tanpa bekal ilmu
Ramai yang kembali ke jalan lama bahkan lebih teruk lagi derhaka dan maksiatnya kepada Allah, mereka tidak sabar dihina, dicaci dengan sebutan perempuan munafik, hijabnya dibuka kerana marah dengan orang-orang yang berlidah syaitan.
Semoga Allah memberi hidayah semula, kalaulah mereka teguh menapaki jalan allah ini dengan hati yang sentiasa dibimbing ke jalan Allah sudah tentu Allah akan menguatkan iman mereka. Kekuatan iman itu mesti dengan ilmu, hati yang kosong dari ilmu akan mudah dipengaruhi hasutan iblis naklatullah. Syaitan gembira bila kita benci ilmu dan ulama!
Rasulullah s.a.w tidak pernah minta ditambahkan harta, tapi nabi s.a.w sentiasa minta ditambahkan ilmu. Bukankah baginda telah diampuni dosanya dan dijamin syurga? Nabi s.a.w tetap meminta tambahan ilmu, kerana dengan ilmu atau hidayah itulah kita mampu menjawab semua tantangan dan ujian dalam kehidupan.
Ilmu juga akan menambah keyakinan, memperteguh iman, jika kita rasa goyah kerana maksiat sesungguhnya kita belum cukup ilmu untuk menepis keinginan-keinginan syahwat. Jika kita rasa putus asa kerana dimaki, diperlekeh, dituduh yang bukan-bukan sebenarnya kita belum cukup ilmu untuk menghadapi tipu daya syaitan yang berbentuk manusia.
Oleh itu wanita berhijab perlu duduk menelaah al-Quran, mengkaji hadis-hadis Rasul s.a.w, bertanya pada sarjana-sarjana islam, mengikuti majlis ilmu para ulama, duduk bersama para penuntut ilmu, setia di jalan Allah menjaga hidayah dan menambah lagi cahaya dalam hatinya dengan nasihat agama secara berterusan, tidak pernah bercuti daripada menuntut ilmu, setiap saat hatinya sentiasa haus, dahagakan ilmu Allah SWT.
3. Bercakap ikut nafsu
Syaitan akan menipu manusia dengan pelbagai cara, adakalanya ketika iman kita menipis langkah kita terjerat oleh dosa-dosa sendiri. Antara kesilapan wanita berhijab adalah tidak bijak mengawal lidah, mereka terlalu bersemangat mahukan semua orang menjadi seperti mereka.
Di sinilah kesilapannya, bila kita menyakiti manusia dengan lidah kita maka mereka akan membalas lebih teruk dari yang kita jangka. Mengapa ramai yang jatuh tersungkur kerana lidah, bukankah disebabkan lidah ramai manusia diheret wajahnya ke neraka?
Begitu juga mereka yang baru berhijrah, mereka kerap dibelit oleh belitan syaitan. Mereka sesuka hati melontarkan kritikan pada orang yang belum berhijrah, mereka menampakkan kesombongan dengan lidah fasihnya padahal baru beberapa hari kenal huruf al-Quran, mereka mula menyalahkan orang ini dan mengkritik orang itu, mereka rasa Islam yang mereka faham saja yang akan masuk syurga, akhirnya kesombongan pun bertakhta!
Syaitan menipu manusia, jika dilihatnya kita sudah baik maka akan dihasutnya hati kita untuk merasa diri paling baik! Kesombongan inilah yang menjerumuskan wanita berhijab ke alam maksiat yang baru. Untuk itu berwaspadalah wahai wanita yang baru berhijab, sediakan bekalan yang cukup, jalan anda masih panjang sampai nanti bertemu tuhan!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...