‘Hidung Tak Tersumbat Tapi Tak Boleh Bau Apa-apa’ Begini Gejala Awal Positif Covid-19

Bila mana terbaca di aplikasi My Sejahtera, ada kes Covid-19 dalam lingkungan 1 km dari rumah, bayangkan kalutnya macam mana. Lelaki ini, Abdul Fatah Abu Hanipah berkongsi gejala awal yang dialami sebelum disahkan positif Covid-19.

Apabila kesnya dikesan di bawah Klusteri Simera, dia ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKNN), Hospital Sungai Buloh. Dan, Covid-19 yang menakutkan ramai orang itu dihadapi dengan tenang.

Dan perkongsian Abdul Fatah ini semata,

Ingin memberi kesedaran kepada orang ramai agar memahami akan virus Korona ini. Bukan virus untuk ditakuti, tapi untuk difahami. Bila faham, barulah tenang dan matang berdepan dengannya.

Disahkan Positif Covid-19 Dan Ini Antara Gejala Awal

Hai semua. Saya Fatah. Kekal hensem walaupun dikesan positif Covid-19 dan sekarang ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Hospital Sungai Buloh. Orang kata PKKN ada hantu tapi saya peduli apa sebab Korona ini pun macam hantu juga. Ghaib dan menggelabahkan manusia.

Hari ini hari kedua saya di PKKN. Semalam saya disahkan positif setelah mengalami beberapa simptom dan berjelaga. Maafkan saya. Bergejala, bukan jelaga.

Untuk tulisan kali ini, saya nak ceritakan apa gejala yang saya alami sebelum saya disahkan positif. Iyalah, ini benda yang paling ramai orang nak tahu dan risau pun kan.

1) Demam panas dan batuk. Hari kedua saya jadi contact rapat dengan kawan yang positif (waktu itu dia pun tak tahu yang dia positif), saya dihinggapi demam panas sehingga sukar tidur malam. Hari lain rilek saja letak kepala terus lelap macam Nobita. Tapi tidak pada hari itu. Esok dan lusanya demam sudah tak ada.

IKLAN

2) Selsema dan sakit kepala. Dia datang sekali dengan demam. Pakej lah kiranya. Macam makan sate, kena ada nasi impit. Macam pakwe hensem, kena makwenya lawa. Ha macam tu lah.

3) Sakit sendi dan penat-penat. Sakit segala sendi ialah sakit yang paling orang tak nak sebab membuatkan kita rasa nak pulas segala bahagian sendi di badan. Orang pernah kena demam denggi pasti faham sakit dia macam mana. Tak boleh tidurlah kiranya selagi tak sapu minyak panas.

Hilang Deria Bau Dan Rasa

4) Hilang deria bau dan rasa. Ini paling power. Saya salute Virus Korona sebab dia mampu alter saraf saya jadi tak bau dan tak rasa apa. Hidung tak tersumbat tapi tak boleh bau apa-apa.

5) Rabun sekejap. Ini pun power juga. Hari terakhir di rumah sebelum saya disahkan positif, saya rasa macam mata saya ini berselaput macam baru bangun tidur. Dah mandi dah buat itu ini genyeh mata sampai berair, tetap rasa kabur-kabur. Saya ingat ada tahi mata, rupanya ini salah satu jelaga. Maaf, gejala.

Cukup dua gejala pertama dan sehari selepas saya dikategorikan sebagai contact rapat kepada kawan saya yang positif, saya pergi buat swab test di klinik kesihatan berdekatan (FOC). Tunggu dua hari, result di klinik kesihatan masih juga tak dapat-dapat.

Baca sini : Bersalam dengan pesakit Covid-19 tak dikira kontak rapat, hadamkan maksud betulnya.

Dek kerana badan makin terasa sakit-sakitnya, saya ke hospital swasta dan buat swab test sekali lagi.

Jam 10 pagi buat swab test, jam 7 pagi esoknya doktor telefon.
Morning Fatah. Tahniah, awak positif
Aku tipu saja doktor kata tahniah tu.
Ok flow dia macam ini.

Dari Swab Test Di Klinik Sampai Ambulans Datang

Buat swab test di klinik kesihatan atau hospital swasta dan kalau keputusannya positif, mereka akan hantar keputusan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat. PKD yang akan ambil tindakan seterusnya. Kalau negatif, dia akan beritahu juga. Ada yang suruh kita sendiri telefon tanya status.

Bila positif dan PKD telefon, dia akan temu ramah, ambil details semua lah sebelum dia hantar ambulans untuk ambil di rumah. Itu sebab, bagus kalau kita ingat details semua benda pergi mana dengan siapa naik apa bla bla bla kerana klinik akan tanya benda sama, PKD tanya benda sama, kawan tanya benda sama, pejabat tanya benda sama sampailah kau nak muntah jawab benda sama.

Nak senang, tulis semua benda dalam nota telefon. Orang tanya, tepek saja info. Orang tanya, tepek. Senang. Kalau tanya lebih-lebih, sihat nanti pergi lempang. Settle.

Bila ambulans datang, ha saat situlah bermulanya manusia sekeliling jadi kalut macam Alpaka hilang anak. Orang sekeliling akan ambil gambar, hantar ke semua group WhatsApp, hantar ke member di Perlis sampai member Perlis pun kalut pergi mandi dengan sanitizer walaupun kejadian berlaku di Ampang. Orang akan jadi kalut sampai tak boleh tidur. Risau sampai suruh sanitize surau walaupun tak pernah pergi surau.

Ha gelak. Tapi itulah hakikat dia Tuan Puan. Itulah hakikat dia. Virus Korona melemahkan antibodi pesakit. Kekalutan sekeliling kerana tak cukup faham dengan situasi dan tidak tahu cara bereaksi, membunuh mental pesakit.

Jadi, jangan jadi pembunuh mental. Sebaliknya membantulah. Daripada kalut sebar gambar dan berita itu ini yang tak tahu sahih tak sahih, eloklah tanya keluarga yang ada ahlinya yang positif itu, apa yang kamu perlukan yang kami boleh tolong dan usahakan.

Baru lah betul, kita jaga kita, Tuan Puan.

Fatah,
PKKN, Hospital Sungai Buloh.
#hellokorona

Sumber/Foto : Abdul Fatah Abu Hanipah