Hidayah mahu Ali Puteh jelaskan semua RM60,000, “tiada sebarang ansuran”. Kemelut perbalahan di antara Hidayah dan keluarga suaminya, Ali Puteh sering mendapat perhatian dari masyarakat.
Ramai bertindak menyokongnya ditambah kesengsaraan dialaminya selepas kematian Abam. Niatnya datang ke rumah sendiri pada ulang tahun ketiga pemergian Abam pada 10 Februari lalu tidak disambut baik keluarga sebelah Ali di mana Hidayah berdiri hampir sejam di luar bersama peguamnya dan pintu langsung tidak dibuka.
Dalam videonya, dia meluahkan rasa sedih kerana rumah itu tidak terjaga sepenuhnya selain meminta Ali menjelaskan RM60,000 segera seperti diarahkan mahkamah kerana peguamnya sudah menghantar surat tuntutan sebanyak dua kali.
Dan isu itu menjadi lebih panas dan kontroversi, apabila Ali Puteh mendakwa sebaik Hidayah bersama peguamnya pulang dari menziarahi rumah lamanya, dalam siaran secara langsung di instagramnya, dia menemui garam, daun bidara, daun limau, mengkarung dan mengaitkan Hidayah dengan isu khurafat sekaligus membuatkan orang ramai mengecam dirinya.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :-
Pengamal Perubatan Islam Jelaskan Daun Bidara Atau Kulit Limau Bukan Kaedah Sihir, Lebih Pada Pagar RumahRumah Tinggalan Abam Dipenuhi Semak, Macam Hutan. Dayah Tunggu 1 Jam Tapi Tak Diberi Masuk
Hidayah Mahu Ali Puteh Jelaskan Semua RM60,000
Terkini, mungkin sekian lama memendam perasaan, Hidayah ternyata bertindak lebih berani dan mahu Ali Puteh membayar saman sebanyak RM60,000 itu secara tunai dan tiada ansuran seperti mana dinyatakan Ali sebelum ini di mana dia akan membayar wang saman fitnah itu secara beransur-ansur.
Memetik laporan Harian Metro, balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali atau Hidayah menggesa pelawak Ali Puteh membayar RM60,000 kepadanya yang ditetapkan mahkamah sebelum ini dalam kadar segera tanpa kaedah ansuran.
Hidayah berkata dia tidak bersetuju sekiranya pihak Ali mahu menjelaskan jumlah bayaran berkenaan secara ansuran kerana tempoh masa yang agak lama sudah diberi dan kini dia ingin fokus dengan kehidupan bersama anak, Syed Uthman Hamzah serta perniagaan.
“Saya tidak bersetuju dengan bayaran secara ansuran kerana perkara ini sudah diberi tempoh masa yang agak lama serta peguam saya juga memberi notis selama 21 hari untuk memberi kerjasama, tetapi pihak sana (Ali) tidak memberi sebarang jawapan.
“Dengan ini, saya menegaskan untuk pihak sana segerakan bayaran tanpa sebarang ansuran kerana saya tidak mahu ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku agar tidak ada perkara berbangkit kerana hal ini adalah perintah mahkamah yang jelas.
“Saya juga ingin fokus dengan kehidupan saya dan Hamzah (anak) serta bisnes saya. Jadi, saya minta permudahkan urusan saya dan bayar dalam kadar segera kerana saya telah beri ruang dan tempoh masa yang agak lama sebelum ini. Hal ini akan diketengahkan dengan tindakan segera jika pihak sana masih melengah-lengahkan dan tidak memberi kerjasama,” katanya kepada Harian Metro.