Tiada siapa yang menduga, anak yang dikandung selama sembilan bulan 10 hari ini akan menerima ujian yang berat. Malah, ibu bapa mana yang sanggup melihat penderitaan si kecil ini. Sebolehnya, mereka cuba sedaya upaya berikhtiar agar si kecil ini sembuh seperti sedia kala dan dapat bermain bersama adik-beradiknya yang lain.

Sarah Nur Maryam Bt. Sulaiman, 9 bulan adalah anak ke enam bagi pasangan, Sulaiman Misri, 51 tahun dan Zuridah Sa’don, 42 tahun. Kehadirannya, cukup dinanti oleh adik beradik yang lain.

Boleh dikatakan sepanjang mengandungkan Maryam, Zuridah tidak mengalami sebarang masalah, sama seperti anak-anak yang lain. Pemeriksaan bulanan semasa mengandung juga mengikut tarikh yang diberikan.

Tanggal 9 Mac 2019, lahirlah si comel ini. Segalanya sempurna. Seperti anak-anak yang lain, Maryam telah dikesan mengalami masalah kuning semasa lahir. Bukan sekejap tetapi berlarutan.

Hasil pemeriksaan doktor, Maryam didapati menghidap penyakit Billery Atherisia (BA) yang mana tiada saluran hempedu ke hati semasa umurnya dua bulan.

Pembedahan Kasai
Menurut ayah Maryam, Sulaiman, bagi penyakit BA, tiada rawatan yang boleh diberikan selain daripada pembedahan. Saranan yang boleh doktor berikan adalah dengan membuat pembedahan kasai.

“Tidak mahu masalah ini berlarutan, kami menerima saranan doktor dan bersetuju untuk pembedahan kasai buat Maryam. Pembedahan itu berjaya dan untuk memastikan tahap kesihatan Maryam, dia perlu membuat rawatan susulan setiap minggu. Syukur dalam tempoh itu Maryam sihat seperti anak-anak yang lain,” terang Sulaiman.

Walau bagaimanapun, keindahan untuk melihat Maryam tersenyum tidak lama, apabila usianya memasuki enam bulan, Maryam mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat. Dia kurang minum susu, badannya agak lemah dan perut semakin membesar.

IKLAN

Apa yang boleh dilakukan oleh pasangan ini adalah dengan membawa Maryam berjumpa dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mengesahkan masalah yang dihadapi oleh Maryam.

“Hasil pemeriksaan doktor, hati Maryam telah rosak. Ini bermakna pembedahan kasai oleh Maryam tidak berjaya. Jalan terbaik adalah dengan melakukan pembedahan hati secepat yang mungkin,” katanya dengan nada sayu.

Perlukan Bantuan

Daripada apa yang diberitahu oleh pakar, kos rawatan untuk pembedahan hati memakan belanja yang besar iaitu kira-kira RM160,000.

Bagi pasangan ini, sumber pendapatan mereka sebagai pekerja kilang, mungkin tidak mencukupi dalam waktu terdekat. Bukan sahaja untuk kos rawatan, tetapi perbelanjaan anak-anak yang lain.

“Buat masa sekarang, kami berkampung di HKL untuk rawatan Maryam dan menunggu dana mencukupi bagi kos pembedahan hati,” katanya mengharapkan ada bantuan untuk anak kecilnya itu.

IKLAN

Sepanjang pemeriksaan dan rawatan Maryam, keluarga ini sanggup berulang alik dari Taman Rengit Indah, Johor ke HKL. Seminggu di HKL, Maryam ditemani setia oleh ibunya.

“Oleh kerana kos perjalanan dan rawatan ditanggung sendiri, saya hanya membawa seorang sahaja anak. Selebihnya dijaga oleh ibu mentua di Kg Parit Betak, Johor Bahru,” kata Sulaiman lagi.

Hidap Billery Atherisia, Maryam Perlukan RM 160K

Harapan Ibu Bapa

Tiada yang diharapkan oleh Sulaiman dan isterinya selain pembedahan Maryam dapat dilakukan secepat mungkin. Lebih-lebih lagi hati seorang ibu. Selagi hayat dikandung badan, Zuraidah sanggup lakukan apa sahaja dan berikan yang terbaik untuk anaknya.

IKLAN

“Kami tidak menyangka Maryam terpilih untuk dapat penyakit ini kerana anak-anak yang lain semuanya sihat. Walau bagaimanapun kami reda dengan Qada dan Qadar. Apa yang boleh saya lakukan, banyakkan berdoa dan pembedahan dapat berjalan dengan lancar,” katanya mengharapkan doa orang ramai juga.

Info daripada bapa saudaranya yang dikenali sebagai Ajie Jana, keadaan Maryam dari hari ke sehari agak lemah. Malah, sebelum membuat pembedahan, badan Maryam perlukan nutrisi untuk dia sihat.

Jadi, doktor perlu berikan albumin dan susu khas kepada Maryam bagi memastikan nutrisi badan Maryam meningkat dan barulah proses pembedahan dapat dijalankan dengan lancar.

Hidap Billery Atherisia, Maryam Perlukan RM 160K

Maklumat Tambahan:

*HKL telah menerima Maryam untuk menjalani pembedahan hati.
*Pesanan doktor sebelum dan selepas pembedahan
1)Nutrisi dalam badan Maryam perlu dalam keadaan baik (Contohnya, pengambilan makanan, kesihatan dan berat badan).
2)Perlu penjagaan rapi dan elakkan Maryam daripada dijangkiti kuman sebelum dan selepas pembedahan.
3)Memerlukan penderma hati yang sesuai untuk Maryam.
4)Bersedia daripada segi fizikal dan mental.
5)Memerlukan kos yang tinggi sebelum dan selepas pembedahan.

Maklumat Lanjut:

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi talian 0 13-716 6068 (Sulaiman Misri) dan 0 11-2671 5344 (Zuridah) atau menerusi akaun Maybank 15115574270 (Zuridah Sadon).

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI